Cita-citaku Islam gemilang
Cita-citaku daulahnya berulang
Cita-citaku Islam cemerlang
Cita-citaku Islam tinggi menjulang
Kawan mari susun barisan
Kita mara ke hadapan
Mari perjuangkan Islam
Kita tagih yang dijanjikan
Kawan mari kumpulkan tenaga
Kita korbankan harta punya
Jangan kita buang masa percuma
Kawan mari kumpulkan tenaga
Kita korbankan harta punya
Perjuangkan Islam hingga berjaya
Kawan jangan tunggu-tunggu lagi
Jangan berangan-angan yang merugi
Dunia menipu kita hindarkan
Cita-cita Islam kita tunaikan
Ayuh mari mara kehadapan
Jangan buang masa lagi
Inilah masanya tunjukkan bukti
Ayuh mari mara kehadapan
Jangan buang masa lagi
Kalau benar cintakan Islam
Lagu baru kumpulan Nadamurni ini acapkali diputarkan di radio rumah sewa Zul. Sejak mula ditubuhkan pada 1987, nama Nadamurni terus mencanak naik dalam industri hiburan tempatan. Pada era 80-an ketika irama rock menguasai muzik Malaysia, SYJ, Rusty Blade, Kembara dan Lavender adalah satu “fenomena”. Kalau di luar negara, Iron Maiden dan Metallica adalah legenda ikutan peminat muzik rock. Di tengah-tengah “tsunami” rock kapak di tanah air, muncul sebuah kumpulan yang mula menapak di majlis-majlis ceramah al-Arqam dengan imej berjubah dan berserban seterusnya tanpa disangka, merubah lanskap industri hiburan di negara ini.
Pergolakan politik UMNO dan PAS, serta semangat kebangkitan Islam era 80-an membawa kepada alternatif pilihan ketiga kepada segelintir kecil masyarakat yang menginginkan pendekatan gerakan Islam yang berbeza dengan yang lain. Al-Arqam berjaya memberi pengaruh dan kesan yang cukup mendalam melalui gerakan dakwah mereka yang berusaha menarik semula masyarakat kepada ajaran Islam yang sebenar dengan membentuk jemaahnya sendiri untuk mengamalkan cara hidup Islam. Al-Arqam yang diasaskan oleh Ustaz Ashaari Muhammad (lebih dikenali di kalangan pengikutnya dengan panggilan Abuya, bahkan ada lagu Bila Abuya Pulang) pada mulanya hanyalah sebuah kumpulan kecil pengajian fardhu ain di sebuah rumah berwarna putih di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.[1] Ia dipanggil jemaah Rumah Putih dan kemudiannya berkembang dengan nama baharu, Darul Arqam melalui cadangan Ustaz Zakaria Ansari[2] kepada Ustaz Ashaari. Bermula dengan pembukaan perkampungan Islam 5 hektar di Sungai Pencala, Darul Arqam terus berkembang pesat melalui pendidikan, sosial, ekonomi dan politik.
“Zul, jom kite rama-rama gi konsert Nadamurni. Buat di Stadium Negeri Kuale Tranung…”, ajak Rosli pada satu petang. Semua teruja hendak menghadiri konsert berkenaan kerana itulah pengalaman pertama masing-masing menghadiri konsert. Hiburan muzik bagi pelajar sekolah agama adalah amat terhad disebabkan pelbagai faktor. Antaranya mungkin kerana genre rock kapak yang dilihat tidak Islamik dan sinonim dengan pembaratan yang bercanggah dengan semangat kebangkitan Islam pada era 80-an. Justeru, bukan senang pelajar Thanawi nak pergi konsert!
Suasana Stadium Negeri, Kuala Terengganu berdekatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berubah wajah. Masing-masing pengong[3] dengan perubahan itu. Seolah-olah Terengganu telah berpindah ke sebuah alam lain; kebanyakan pengunjung lelaki memakai jubah dan serban manakala wanita memakai purdah, hanya mata yang kelihatan. Al-Arqam memandang pakaian sebegitu merupakan Sunnah Nabi SAW dan kebudayaan Islam.[4].
Kelihatan beberapa buah Pajero yang baru tiba, masuk ke ruang tempat letak kereta. Pada era 80-an, Pajero adalah kenderaan mewah dan jarang-jarang orang Melayu memilikinya. Tetapi, jika ada orang Melayu yang memandu Pajero, sudah hampir pasti beliau adalah ahli al-Arqam. Betapa kukuhnya ekonomi al-Arqam sehinggakan banyak ahli perniagaan Cina pun tabik dengan mereka. Penyokong Muslim dalam kalangan bukan ahli al-Arqam digelar Arqam Batik manakala penyokong bukan Muslim digelar Zimmi Jemaah.
Deretan gerai-gerai memenuhi luar stadium dengan jualan pelbagai makanan, minuman dan produk-produk al-Arqam seperti kicap, minyak, taucu, sos cili, sos tomato, mi dan lain-lain. Tertera sepanduk bertulisan tangan “Syukbah al-Tijarah wa al-Sina’ah Dar al-Arqam” atau lebih dikenali sebagai Biro Perusahaan dan Perdagangan Dar al-Arqam.[5] Ada juga sepanduk “Syukbah al-Zira’ah” (Biro Pertanian) yang menyediakan pelbagai peluang projek pertanian kepada orang ramai seperti penanaman padi, kelapa, sayur-sayuran, buah-buahan, penternakan ayam, lembu, kambing, dan lain-lain.[6]
Ada juga klinik bergerak yang digantung sepanduk Syukbah Kedoktoran”. Klinik milik al-Arqam menggabungkan perubatan moden dan tradisional serta sistem homeopati untuk pelbagai jenis penyakit dan rawatan pemulihan termasuk. “Mari sini…mari, mari. Klinik kami terbuka untuk semua bangsa dan agama! Setakat ni alhamdulillah, kami dah ada 24 buah pusat rawatan!”, seorang lelaki berjubah, berserban dan ada stetoskop yang tergantung di leher memanggil para pengunjung.
Di pintu masuk stadium, mereka disambut dengan pemuda berjubah, berserban dan memakai vest “Syukbah I’lam” (Biro Penerangan). “Assalamualaikum adik-adik…ape khabar? Jemput masuk.”, sapa salah seorang daripada pemuda ini. Zul dan rakannya dipeluk satu persatu bagai sudah lama kenal. Itulah tradisi al-Arqam. Ia menjadikan sesiapa sahaja yang bertemu mereka, merasa selesa dan mesra.
Setiap seorang diberi beg cenderahati berisi Majalah al-Arqam versi Bahasa Melayu (Rumi dan Jawi) dan Bahasa Inggeris. Ada juga terselit buku-buku keluaran al-Arqam dan brosur pengenalan tentang pertubuhan tersebut. Malam itu, semuanya solat Maghrib berjemaah di dalam stadium. Memang lain perasaannya apabila dikelilingi kumpulan al-Arqam. Terasa seolah Zul dan saing-saingnya yang ganjil kerana berpakaian biasa. Ya, memang ada juga sebahagian pengunjung yang bukan ahli al-Arqam (berdasarkan pakaian) tetapi majoriti sudah pasti ahli al-Arqam.
Di atas pentas, kelihatan Asri Ibrahim, Isman Nadim, Faizal Osman, Munif Ahmad, Azadan Abdul Aziz, Rahmat Shafie dan ramai lagi yang kurang dikenali. Mereka tampil segak dengan serban Turki yang tebal, jubah putih bergemerlapan dengan manik dan renda. Lagu-lagu popular seperti Assalamualaikum, Kegelapan, Kasih Sayang, Balada Makkatul Mukarramah, Untukmu Rasulullah dan sudah pasti lagu hit Nadamurni iaitu Munajat dinasyidkan dengan iringin muzik perkusi. Teknologi smoke machine, lampu berwarna warni dan PA system yang sepenuhnya dikendalikan oleh Syukbah Kebudayaan al-Arqam, menjadikan Stadium Negeri, Kuala Terengganu tak ubah seperti Royal Albert Hall di kota London!
“Zul, ape pandangang enta dalang isu muzik ning? Haram ke halal?”, tanya Ahmad Shukri yang berada di sebelahnya pada ketika itu. Zul menunduk seketika seolah-olah sedang memikirkan sesuatu dan kemudiannya berkata, “Ibn ‘Abd Rabbihi al-Andalusi dalam al-‘Iqd al-Farid simpulkang khilaf ulama’ dalam isu ning, hukum muzik dan nyanyiang same macam syair. Kalu baik isinye, maka baiklah iye. Kalu buruk isinye, make buruklah iye.[7] Enta boleh teliti hadith-hadith yang zahirnye larang muzik dan nyanyian. Kebanyakannye disebutkan sekali dengan arak. Ini menzahirkan pengharamang muzik oleh sebahagiang ulama’ kite, bukang kerana zat muzik dan nyanyiang tu. Oleh itu, ana cenderung dengan fatwa para ulama’ moden macam Shayk Yusuf al-Qaradawi hok mengharuskan muzik dan nyanyiang selame mane tak dop unsur maksiat dan lagha.”
Stadium kemudiannya gelap seketika. Lampu spotlight dihalakan ke sudut pentas. Asap memenuhi Dewan Stadium Negeri, Kuala Terengganu. Dalam balam-balam cahaya, muncul Ustaz Dinie Juri berpakaian jubah putih dan serban hijau dililit di kepala.
“Sakaraaattt…! Sakaraaattt…! Sakaratul mauuuutttt…!!!”, bergema suara Ustaz Dinie Juri bagai halilintar yang membelah sepi malam di Kuala Terengganu. Sungguh, suara emas beliau memang menyentuh lubuk hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
“Kini aku diazab dan disiksa di dalam kubur. Menunggu! Menunggu doa anak yang soleh: Mana doa anakku seorang peguam? Mana doa anakku seorang doktor? Mana doa anakku seorang jurutera? Mana doa anakku seorang arkitek? Mana doa anakku seorang professor? Manaaa…? Manaaa…? Manaaa…???!!!”
_____________________
[1] Tajul Ariffin. “Rumah Putih Arqam di Lorong Dua Datuk Keramat”, dalam Mingguan Islam, 8 April 1988; Mohd. Rom al-Khudri. “Bagaiman Saya Ikut Kumpulan Rumah Putih”, dalam Mingguan Malaysia, 13-20 Mei 1988.
[2] Beliau merupakan pengikut awal kumpulan Rumah Putih. Namun kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Ustaz Ashaari, beliau keluar Darul Arqam pada 1979.
[3] Tercengang
[4] Jaafar Salleh, “Penjelasan Mengenai Pemakaian Serban”, dalam al-Arqam, no. 2, tahun 8, Disember 1985; “Apakah Makna Jubah Hijau di Darul Arqam?”, dalam Keluarga, Mac 1978; Jaafar Salleh, Serban dan Jubah Pakaian Islam, (Kuala Lumpur: Penerangan al-Arqam), 1986; Mizwah Adam, “Purdah bukan Adat Resam tapi Perintaah Allah”, dalam al-Arqam, no. 2, tahun 7, Februari 1984.
[5] “Darul Arqam Cuba Tegak Perniagaan Ikut Al-Qur’an dan Sunnah”, dalam al-Arqam, no. 5, tahun 3, Mei 1985; Sistem Ekonomi Islam dapat Selamatkan Umat”, dalam al-Arqam, no. 2, tahun 3, Februari 1985.
[6] “Sektor Pertanian Ditingkatkan dengan Membuka Pusat Latihan”, dalam al-Arqam, no. 5, tahun3, Mei 1985; “Al-Arqam Lancar Projek Madu”, dalam al-Arqam, no. 3, tahun 7, Mac-April 1984.
[7] Lihat al-‘Iqd al-Farid, 7/10
Sumber Asal: zulkiflialbakri.com
Artikel Barkaitan:
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah
0 comments:
Catat Ulasan