MELAKA: Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung pendirian bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat tidak menguntungkan Melayu dan Islam.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata dalam situasi politik semasa yang menyaksikan kuasa politik Melayu dan Islam semakin terancam, Ahmad Zahid sepatutnya lebih memahami keadaan sebenar.
"Saya tidak tahu sama ada ia kenyataan peribadi atau pendirian parti, tetapi secara keseluruhannya ia tidak menguntungkan Melayu dan Islam.
"PAS meletakkan survival politik dan nasib umat Islam sebagai matlamat perjuangan politik tetapi kenyataan Presiden UMNO itu tidak membantu kita memperkukuh penguasaan politik kita di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu, Kamarudin menyerahkan kepada PAS Pusat untuk menentukan kerjasama parti itu dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Katanya, Ahmad Zahid tidak wajar menggunakan kuasa veto dalam menentukan kerjasama UMNO-PAS dalam MN, sebaliknya diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membuat keputusan.
Kamarudin berkata, PAS belum memutuskan sama ada bertanding 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau sebaliknya.
Katanya, PAS negeri masih mencongak kerusi bakal ditandingi bagi memastikan parti berkenaan mendapat sokongan besar pengundi dan akan terus bekerjasama dengan BERSATU menyusun strategi pilihan raya kali ini.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain, termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam MN atau BERSATU.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan