"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label AlFatihah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AlFatihah. Papar semua catatan

Rabu, 30 April 2025

Belasungkawa:Tuan Guru Baba Hj Abd Rahman Hj Nuh-Pondok Sungai Limau Baling

 


انا لله وانا اليه راجعون

اَللّٰهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهَ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَس وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجٙا خَيْرًا مِنْ زَوْجٙهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ. 

Telah kembali ke rahmatullah, ulama' tertua bumi Kedah Darul Aman, Tuan Guru Baba Haji Abdul Rahman Bin Haji Nuh dalam usia lebih kurang 95 tahun di Sungai Limau, Baling.

Beliau merupakan antara murid terakhir al-Muhaqqiq Pak Da Eil Mekah di Kedah.

Moga Allah Taala menerima segala amal kebajikan, jasa baktinya terhadap agama dan penat lelah Allahyarham dalam mendidik masyarakat. Moga Allah Taala menempatkan Allahyarham di kalangan mereka yang mendapat Syurga ilahi. Amin

Manaqib ringkas beliau :

Tuan Guru Baba Bedol, Sungai Limau ( 1929 - 2025 )

Oleh : Tengku Yusuff 

Nama penuh Allahyarham Tuan Guru Baba Haji Abdul Rahman Bin Haji Nuh dan beliau dilahirkan di Kampung Rambong, Betong, Thailand pada tanggal 4 Oktober 1929 seperti mana tertera di dalam Kad Pengenalan beliau, namun Baba pernah menyebut bahawa beliau lahir awal 30an. Beliau lebih mahsyur dengan panggilan Baba Man Betong atau Baba Bedol oleh sahabat dan anak-anak murid.

Ketika berusia 13 tahun, Tuan Guru Baba memasuki pondok di Betong, Yala, Thailand iaitu di dalam Masjid Betong dibawah tarbiyah Tuan Guru Qadhi Haji Derani selama 6 tahun. Pada tahun 1955 beliau meneruskan pengajian di Pondok Mokgol, Patani berguru dengan Tok Mokgol selama beberapa tahun.

Di antara sahabatnya ketika menuntut ilmu di Pondok Mokgol ialah : 

1. Tuan Guru Haji Isa Bin Haji Yahya, Gerik 

2. Tuan Guru Haji Abdul Rashid Wara' - Carak Kerian, Teluban

3. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Tendung - (masih hidup dan tinggal di Batu 18, Betong, Thailand)

4. Tuan Guru Haji Awang Tendung (tenaga pengajar di Pondok Tok Mokgol)

5  Tuan Guru Haji Yusof Tok Jong (masih hidup dan menetap di Mekah)

Pada tahun 1964 ketika berumur 35 tahun beliau melanjutkan pengajiannya ke Mekah. Pada mulanya Baba Man belajar di Madrasah Indonesia sehingga tamat kelas 4 yang melayakkan untuk menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir. Kerana tidak ada kemampuan kewangan dan pembiayaan beliau terpaksa melepaskan hasratnya untuk ke Mesir dengan menyambung pengajian di Madrasah Darul Ulum al-Diniyyah, Mekah yang pada waktu itu dibawah kelolaan Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, selain itu beliau juga turut bertalaqqi di halaqah ilmu sekitar Masjidil Haram selama 13 tahun. 

Di antara guru-gurunya ialah :

1. Tuan Guru Qadhi Haji Derani Betong

2. Tuan Guru Haji Hassan Mokgol 

3. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili

4. Syeikh Muhammad Yasin Bin Isa al-Fadani

5. Syeikh Sayyid Muhammad Alwi al-Maliki

6. Baba Li Chaiya 

7. Baba Malik Lubuk Sawa

8. Baba Pak Man Cang

9. Syeikh Engku Abdul Jalil al-Maqdisi

10. Pak Da Eil Mekah

Antara sahabat-sahabat beliau di Madrasah Indonesia pula ialah :

1. Tuan Guru Baba Haji Abdullah Bin Masud, Kampung Tok Faqeh, Yala

2. Tuan Guru Baba Haji Ghazali Bin Abdul Wahab, Kampung Tok Faqeh, Yala

3. Tuan Guru Haji Yaakob Bin Abdul Rashis @ Ayah Su, Pohon Mace

4. Syeikh Wan Mustafa Bin Wan Ibrahim, Gajah Mati, Pendang

Pada tahun 1970, setelah 6 tahun berada di Mekah, beliau telah berkahwin dengan Hajah Aisyah Binti Haji Yahya (adik bongsu Tuan Guru Haji Isa Gerik). 

Pada akhir tahun 1977, beliau bersama dua sahabatnya iaitu Tuan Guru Haji Isa Bin Haji Yahya dan Tuan Guru Baba Haji Abdul Karim Bin Haji Yahya telah mengasaskan sebuah pondok pengajian yang diberi nama Madrasah Darus Saadah di Betong, Thailand. Namun aktiviti pengajarannya di pondok terpaksa dihentikan pada tahun 1980 akibat pergolakan politik di Thailand ketika itu yang sangat meruncing.

Akhirnya pada tahun 1980, Baba Bedol berhijrah ke Malaysia dan menetap di Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, Perak. Setelah itu beliau membuka pula Madrasah an-Najah di Kampung Sungai Limau, Baling, Kedah.

Di antara jawatan yang pernah disandang Tuan Guru Baba Haji Abdul Rahman ialah :

1. Mudir Madrasah Darus Saadah, Betong, Thailand (1977 hingga 1980)

2. Mudir Madrasah an-Najah, Sungai Limau, Baling (1981 hingga 1997)

3. Guru di Sekolah Agama an-Najah pada sebelah pagi (1981 hingga 1997)

4. Mengajar masyarakat sekitar kawasan Baling (1981 hingga 1997)

5. Penasihat Madrasah Darus Saadah Kampung Sungai Limau, Baling, Kedah (2004 sehingga sekarang )

Antara amalan beliau adalah :

1. Tarekat Syatariyyah yang di ambil dari guru beliau secara bersanad iaitu Syeikh Soleh di Mekah

2. Lum’atul Aurad yang di ambil dari gurunya Tuan Guru Haji Hassan Bin Muhammad Amin @ Tok Mokgol

Berikut merupakan sahabat seperjuangannya di Kedah :

1. Tuan Guru Haji Omar Zuhdi, Pondok Lanai

2. Tuan Guru Haji Abu Bakar Wara', Pondok Parit Panjang

3. Tuan Guru Haji Abu Bakar Ibrahim, Pondok Bandar Hilir

4. Tuan Guru Haji Salleh Musa, Pondok Sik

Allahyarham Tuan Guru Baba telah kembali ke rahmatullah pada pukul 1.00 pagi, 30 April 2025 dalam usia 95 tahun.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin 

*Sumber - Temubual penulis dengan Ustaz Moru Ju - Anakanda Tuan Guru Baba Haji Abdul Rahman

#WafatnyaUlamak

Sumber: WhatsApp 

Selasa, 24 Disember 2024

Pempengaruh Media Sosial, Man Kulim Meninggal Dunia


SKBerita
Kredit: Facebook

Pempengaruh media sosial, Man Kulim, dilaporkan telah meninggal dunia hari ini.

Berita sedih ini disampaikan melalui hantaran yang dimuat naik oleh Abu Mamu di laman Facebook.

Menurut hantaran tersebut, Allahyarham yang terkenal sebagai "food reviewer", menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5 petang tadi.

"Sama-sama kita doakan, semoga Allah permudahkan urusan dia," tulis hantaran tersebut.

Bagaimanapun, punca pemergian Allahyarham tidak dimaklumkan kepada orang ramai.

ADVERTISEMENT

Berita pemergian Man Kulim ini telah mengejutkan ramai pihak, khususnya di kalangan pengikutnya di media sosial.

Selain itu, ia turut mengundang pelbagai reaksi di ruangan komen hantaran yang dimuat naik oleh Abu Mamu.

"Allahuakbar... baru tengok video mamu bergurau dengan Man Kulim pasal bila terakhir masuk hospital. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,"

"Salam takziah buat keluarga arwah. Tagline 'pening' dalam kenangan. Terkejut dengan pemergian arwah. Alfatihah,"

-siakapkeli.my

Selasa, 19 Mac 2024

Kisah Atok:Bonda Ku Sayang 1922-1960.

 Bonda Ku Sayang 1922-1960. (Siaran ulangan atas permintaan ramai)

Emak kesayangan ku....begitu cepat kau pergi meninggalkan diri ku di usia begitu muda, belum puas rasanya bermanja dengan mu...sudah 64 tahun berlalu...hingga kini aku masih menagih kemanjaan dari mu.....Al Fatihah.

Arwah mak memang rapat dgn saya, sayalah sahabat dia. Selain adik saya  Awo yg masih kecik ketika ìtu, abang2 dan kakak saya duduk asrama di Malay College, di Federal Military College dan Malay Gìrls College. Merka jarang berada di rumah...Sayalah yang ada di kampung menemani beliau sepanjang hari. Arwah abah pulak sentiasa sibuk sebagai guru besar dan urusan lain, jarang berada di rumah....

Tengah2 malam mak akan kejutkan saya ajak masuk taman bunga.....berjam2 dia mencari dan menangkap kumbang2 yang hinggap di pokok2 bunga rosnya...kumbang2 tu keluar sebelah malam je....dulu2 tak ada ubat semburan...nak hapuskan ulat kena þangkap dengan tangan dan picit2...

Bila waķtu bakawali mengeluarkan bunga....sekali lagi dia akan mengejutkan saya dari tidur untuk melihat bunga bakawalinya kembang....bakawali ni pielnya kembang di tengah2 malam....menjelang pagi apabila mentari naik dia layu semula...Maka berjam2lah saya dalam taman dì dalam kegelapan malam bersuluhkan lampu pelita menemankan arwah mak....kadang2 terhangguk hanggai saya dibuatnya di atas tangga batu menahan mengantuk ....

Siang hari arwah mak suka cari sulur keladi....makanan yang sangat digemar oleh arwah abah.....mak akan ajak saya menemani beliau meniti batas2 sawah padi mencari dan memetik sulur2 keladi di tepi2 sawah....sedap betul sulur keladi kalau dimasak celur air macam sup.....hmmm....rindu ku akan sulur keladi, dah berpuluh tahun tak menjamahnya....mana nak jumpa lagi sulur ķeladi sekarang,  sawah pùn dah tandus jadi ladang kelapa sawìt...

Di suatu hari yang lain, mak ajak saya mencari rebung di tepi2 sungai.....jauh kami merayap sampai ke anak air mati iaitu satù lubuk besar di seberang sawah nan lebar..  Macam biasa kami hanya berdua.....dalam mak teraba2 mengambil rebung, se ekor tebuan tanah warna hitam telah menyengat telinga kanan saya....waduh sakitnya....saya meraung kesakitan. Emak meluru datang .....dipeluknya saya....tiba2 kaki saya jadi lemah, lembik,  tak mampu lagi berdiri....badan saya terkulai....mak memaut kuat seluruh badan saya, diangkat dan dipikul diatas bahunya. Berlarilah dia sekuat hatinya sambil menjerit2 meminta tolong....namun tak siapa yang mendengar kerana hanya kami berdua di atas sawah yang luas itu.....saya hanya separuh sedar, badan bergoncang2 di atas bahu emak yang berlari...Selang 15 minit saya tersedar dan kembali pulih....saya suruh mak turunkan saya....kami berehat di tepi bendar(tali air)....Mak mengambil daun2 tah apa....dikunyah2 dan di sembur2 ke muka dan badan saya.....emak kelihatan begitu cemas, saya tak pernah tengok dia secemas begitu....

Selesai episod itu kami berjalan berpelukan2 sampai ke rumah, parang tah kemana, baldi tah kemana.....terasa amat lega dan bersyukur. Ia tinggal rahsia kami berdua... tidak diceritakan kepada sesiapa.....selepas dari itu kami tetap sering keluar mencari rebung di sungai, atau sulur keladi di sawah atau kadang2 mencari pucuk memperai di hutan....saya memang kawan rapat emak.

Pada tanggal 25 Jan 1960 emak dan saya sekali lagi keluar mencari rebung.....itulah kali terakhirnya kami keluar bersama....Kami menyusur tepi sungai sekian lama namun rebung tidak di temu. Emak hanya dapat sebatang rebung yang masih kecil...' Jom kito balik Man, tak ado gobong eh....' kata mak dalam bahasa Rembau. Mendengar kata2 itu saya terus meluru balik ke rumah meninggalkan mak sendirian berjalan kaki di belakang.....saya tidak menoleh kebelakang sebab dalam kepala saya hanya hendak bermain dengan kawan2.....

Tiba malam, selepas makan malam, mak cakap kepada saya....' tadi apo kau tinggalkan omak....omak jatuh kek sawah tu tadi....ni omak sakit....' katanya. Saya pun taklah faham sangat sakit apa yang dikatakan emak....saya ada nampak emak berbincang2 dengan abah, tapi masih tak faham apa masalahnya....

Besoknya saya sekolah sessi petang macam biasa....pergi sekolah naik basikal 3km sampai Chengkau, kemudian naik bas Southern pergi sekolah URES .....Kira2 pukul 1pm, loceng belum pun berbunyi, arwah abah muncul di perkarangan sekolah.....'Man, jom ikut abah poi spital tengok omak....omak sakit.....' katanya. Abah nampak amat cemas....kami bergegas ke hospital Tampin......

Tiba di hospital Tampin saya lihat sudah ada sedara mara di perkarangan, saya juga lihat ada satu truk lori askar orang putih....ramai askar orang putih yang datang. Saya difahamkan mereka datang untuk menderma darah buat emak saya.....

Dari perkarangan hospital juga saya dengar suara raung kesakitan arwah emak....amat jelas kedengaran....raungan yang berterusan tanpa berhenti buat seketika.....

Itu suara mak...Iman kenal. Apa kena mak....sape buat mak, sape sakitkan mak...kenapa mak....Kenapaaaa!!!???....

Iman berlari arah kebelakang hospital mencari suara itu...tapi ada orang tahan, tak bagi Iman pergi...

Maaaak...!!!

Iman duduk dengan diorang semua kt bawah pokok besar...ternanti2, tertanya2....

Mereka kata mak keguguran, janin dah lepas, urinya sangkut. Diorang sedang cuba keluarkan uri...itu yg buat mak sakit...

Sakit sangat ke mak...maak, Iman tak tahan dengar suara mak meraung, Iman tau mak tersangat sakit...dah sejam...dua jam...Masa berlalu mak masih meraung kesakitan. Iman nak tengok diorang tak kasi....

Lepas asar baru suara mak mula perlahan, tak meraung lagi...masih ada bunyi mak sakit...tapi dah kurang, ....Iman rasa lega sikit. Mungkin mak dah mula baik....mak tak berapa sakit lagi....

Iman masih tunggu bersama mereka kt bawah pokok besar. Iman masih takut...Iman masih nangis, dari tadi Iman nangis....dari tadi kawan mak tu peluk Iman, dialah yang sabarkan Iman. Iman takde tempat lain mengadu... Iman peluk dia kuat2 seolah2 dia emak Iman. Abah jarang duduk dengan kami...dia keluar masuk, keluar masuk hospital tak tentu hala pergi tengok mak....

Bila suara jeritan mak dah tak kedengaran, Iman pergi mengasingkan diri...Iman pergi duduk kt bangku agak jauh sorang2...fikiran masih buntu. Iman tak senang duduk selagi tak tengok mak...

Masa terus berlalu....tiba hampir senja, abah datang berlari anak dapatkan Iman....dia pegang tangan Iman kuat2 tarik Iman ajak pergi tengok mak...

"Jom poi tengok omak...tah apo kono eh"...kata abah.

Kami pergi ke bahagian belakang hospital, ada bilik khas...Iman nampak mak terbaring di sana di atas pangkin batu. Mak sedang tidur, mata mak lelap tapi nafas mak berombak2...mak macam tak boleh bernafas...tersekat2. Nyata mak sangat sakit...Iman pegang tangan mak tapi takde respon. Iman panggil  mak tak jawab...Iman suruh mak bukak mata, mak tak dengar...mak dah tak dengar suara Iman....Iman sedih, Iman takut, Iman terus nangis kuat2....

Abah berdiri paling hampir mak, muka dia dekat muka mak...abah pun berkali2 panggil mak...yong...yong...yong. ...itulah panggilan manja abah kepada mak.

Akhirnya mak perlahan2 buka mata...tapi mak hanya pandang abah...mak tak pandang Iman. Kepala mak pun tak boleh gerak...Tak sampai seminit mak tutup mata semula...itulah kali terakhir mak buka mata. Nafas mak pun dah hilang...Iman tau mak dah pergi untuk selamanya....

Innalillahi innalilahirojiun...mak, Iman redhokan mak pergi, moga mak akan pergi ke tempat yang baik, yang tenang dan mak akan berada bersama orang yang baik2 belaka...sebab Iman tau mak sendiri adalah orang yang sangat baik...teramat baik. Iman sayang mak...mak kawan terbaik Iman, Iman tak akan lupakan mak...

Alfatihah buat emak ku tersayang Aishah bt Long 1922-1960.

Nukilan Zahriman Alias.

Ahad, 11 Februari 2024

Petugas Aman Palestin maut dibom bersama 21 ahli keluarga

 

Aman-Palestin-681x421
Rabab Zuhair Al-Masri

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan Aman Palestin di Gaza, Rabab Zuhair Al-Masri maut bersama 21 ahli keluarganya syahid dalam serangan udara Israel semalam.

Rabab berperanan besar dalam menguruskan anak yatim, keluarga miskin dan ibu tunggal di Gaza yang ditaja oleh para penyumbang Aman Palestin.

Menurut bekas Pengurus Jom Taja (Kafalah) Aman Palestin Berhad, Zulikha Ali, sangat aktif, dedikasi dan amanah dalam menguruskan sumbangan rakyat Malaysia dan Indonesia di Gaza dan Tebing Barat.

“Bukan satu tugas mudah bagi Rabab bersama Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Gaza, Ir. Omar Seyam dan pasukan Aman Palestin Gaza untuk menggalas amanah menguruskan seramai 2,415 orang anak yatim di Gaza.

“Allahyarham turut menguruskan 413 anak yatim di Tebing Barat, menyantuni 302 keluarga miskin dan 909 keluarga ibu tunggal,” katanya dalam kenyataan.

Rabab juga merupakan saksi kepada kecemerlangan dan kesungguhan anak yatim Palestin dalam menuntut ilmu.

Melalui laporan perkembangan pendidikan yang diterima anak-anak yatim ini memperolehi keputusan peperiksaan yang sangat membanggakan.

Setiap kekurangan dan situasi sukar yang mereka hadapi tidak menghalang mereka untuk belajar.

Sumbangan dari setiap penaja selama ini merupakan satu motivasi kepada mereka untuk terus berusaha memperolehi pendidikan yang tertinggi agar dengan kepakaran mereka nanti dapat membina semula tanahair tercinta.

“Kesyahidan Rabab tidak sesekali mematahkan semangat kami warga Aman Palestin untuk terus bertungkus lumus walau apa cara sekalipun untuk mencari dana demi membantu saudara di Palestin,” katanya.

Sementara itu Zulikha berharap, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia segera menyahbekukan akaun Aman Palestin.

Ini kerana bantuan yang sampai tidak diperoleh sepenuhnya oleh rakyat Palestin yang masih hidup dan sedang berhadapan dengan musim sejuk serta ketibaan Ramadan.-MalaysiaGazette

Khamis, 8 Februari 2024

Al-Fatihah:Azraai Khor Abdullah kembali ke rahmatullah

 Salam Takziah


Bekas pemain kebangsaan, Mohd Azraai Khor Abdullah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun, sebentar tadi selepas diserang strok.

Bekas pemain Kedah era 70-an itu yang nama asalnya Khor Sek Leng telah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978 dengan menganggotai skuad ke Piala Raja Thai, Pra Olimpik, Pestabola Merdeka, Piala Asia 1976 di Tehran dan Sukan Asia 1978 di Bangkok.

Sebagai jurulatih pula, Allahyarham membawa Kedah muncul juara double treble pada 2007 dan 2008, selain turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan lain seperti Negeri Sembilan dan Perak serta menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda pada 2010.

Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin.

Al-Fatihah

#FAM #HarimauMalaya

Sabtu, 28 Oktober 2023

Badrul Muhayat meninggal dunia

 ALLAHYARHAM Badrul. FOTO arkib NSTP

ALLAHYARHAM Badrul. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia ketika tidur di Pulau Pinang, pagi tadi.

Berita sedih itu disahkan pelakon Anne Abdullah selepas dimaklumkan oleh isterinya, Norhayati Zulkapli.

Saya nak maklumkan Badrul Muhayat meninggal dunia di Pulau Pinang selepas isterinya cuba kejutkan dia tapi sudah tidak sedarkan diri," katanya ringkas dalam satu rakaman suara di WhatsApp.

Difahamkan Allahyarham Badrul atau nama sebenarnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 55, tidak mengalami sebarang penyakit serius.

Badrul dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun menerusi perkahwinan kali kedua dengan bekas isterinya, Julia Daud.

Badrul juga baru melangsungkan pernikahannya dengan Norhayati pada April lalu dan belum sempat mengadakan majlis resepsi.

-myMetro 

Rabu, 21 Jun 2023

Alfatihah:Rohana Jalil meninggal dunia

 ROHANA Jalil

ROHANA Jalil

Kuala Lumpur: Penyanyi Rohana Jalil, 68, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 11.33 malam.

Beliau meninggal dunia di sisi suami, anak-anak dan keluarga apabila doktor mengesahkan keadaannya kritikal, petang tadi.

Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abd Jalil dimasukkan ke HCTM sejak 20 April lalu akibat kebocoran usus.

Berita kematiannya turut dikongsi oleh beberapa rakan rapatnya menerusi media sosial antaranya penyanyi Norshila Amin, Chef Yang Jamil dan ramai lagi.

Jenazah kini masih berada di hospital dan difahamkan urusan mandi jenazah dan kafan akan dilakukan di HCTM pagi nanti.

Sementara, solat jenazah akan diadakan di Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor.

-myMetro

Isnin, 20 Jun 2022

Dia ‘Terlalu Istimewa’ Buat Kami Semua, Rakan Artis & Menteri Malaysia Terkesan Pemergian Adibah Noor

 

Berita pemergian artis versatil Adibah Noor, bukan sahaja dirasai penggiat seni tanah air dan para peminat, tapi juga dalam kalangan pemimpin negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah menerusi industri lakonan serta pengacaraan.

Hilang sebutir permata negara

Perdana Menteri, meluahkan rasa sedih dan memberi ucapan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.

Semoga Allahyaham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham Adibah Noor.

Selain Ismail Sabri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan negara kehilangan sebutir lagi permata.

Negara dikejutkan dengan pemergian tokoh penghibur yang sangat berbakat dan disenangi ramai, Allahyarham Adibah Noor. Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Ternyata pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang cukup besar dan tiada galang gantinya buat industri seni tanah air. Sesungguhnya karya-karya seni Allahyarham akan terus dikenang dan dingati selamanya oleh rakyat Malaysia.

 Ahli Parlimen Lembah Pantai iaitu Fahmi Fadzil turut mengambil peluang merakamkan ucapan takziah buat keluarga Adibah Noor. Ujar Fahmi, sikap merendah diri dan jangan pernah takut untuk belajar merupakan sikap Adibah Noor yang wajar dicontohi oleh generasi zaman sekarang. Tambah Fahmi, arwah seorang yang tegas dengan pegangan prinsip. Seperti contohnya orang berkata mengenai berat badannya tapi arwah melihat ia dari sudut positif.

Selalu menyokong dan tidak pernah merungut

Pengarah dan pelakon Datuk Hans Isaac menyifatkan Adibah Noor seorang yang ikhlas dan baik hati. Allahyarham juga sering berkongsi mengenai kebaikan orang lain dalam industri seni dan tidak pernah merungut mengenai diri sendiri.

Wanita yang sangat ikhlas dan baik. Bila bekerja, dia selalu menyokong dan tidak pernah merungut. Kadang-kadang keadaan tak sempurna tapi dia relaks saja. Tak perlu bercakap mengenai bakatnya, itu memang tak boleh dipersoalkan. Kita kehilangan insan yang hebat.

Menurut Suki Low yang merupakan rakan seperjuangan arwah dalam program Gegar Vaganza, dia berasa ralat kerana tidak sempat melawat arwah semasa sedang sakit.

Saya ada tanya kalau diizinkan kami mahu melawat dan dia kata boleh apabila dia sudah okay nanti. Tapi saya tak sempat nak berjumpa. Kakak (Adibah) seorang yang sangat membantu, disenangi walaupun dia nampak tegas tapi dia sangat lembut. Dia bagi saya galakan ketika di GV8. Saya masih ingat dia mengatakan walau apa pun yang juri katakan, awak jadi diri sendiri. Saya tak pernah menyangka dia akan meninggalkan kami sebegitu. Dia yang mencadangkan nak buat projek untuk keluarga kami di GV8 sebab dia nak kami terus berhubung. Semuanya tidak akan sama lagi.

-ohbulan.com 

Khamis, 26 Ogos 2021

AlFatihah: Aming pesan ibu tutup aurat sebelum meninggal


Video Aming diulang siar oleh Ismail Sabri sehingga tular semula di Facebook pada Februari lalu.

KOTA KINABALU - Kanak-kanak yang pernah tular di media sosial menerusi videonya yang petah berkata-kata sambil memberi nasihat dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Tawau pada awal pagi Khamis.

Muhammad Aming Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aming berusia lapan tahun meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi.

Perkara itu disahkan ibunya, Santi Sabri, 33, ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Santi, anaknya itu tiba-tiba mengadu mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Katanya, sebelum ini anaknya itu berada dalam keadaan yang sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit atau dijangkiti Covid-19.

"Tiada juga apa-apa, cuma dia makan mi segera saja kemudian sesak nafas. Saya sangka dia biasa-biasa saja, sebab anak saya tidak sakit.

"Sempat lagi dia angkat barang-barang saya, azan dan solat," katanya.


Perkhabaran duka kematian Aming turut tular di media sosial pada Khamis.

-SH Online

Isnin, 9 Ogos 2021

Covid19: Siti Sarah meninggal dunia

 Siti Sarah meninggal dunia

Penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin, 36, yang bertarung nyawa sejak Rabu lalu akibat jangkitan COVID-19 meninggal dunia sebentar tadi. -Instagram
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin, 36, yang bertarung nyawa sejak Rabu lalu akibat jangkitan COVID-19 meninggal dunia sebentar tadi.
Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini.
Mengesahkan perkara itu, pengurus Siti Sarah, Nana Mohd Rom berkata Shuib kini dalam perjalanan ke hospital.
Siti Sarah pada Jumaat selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak keempat pasangan itu ketika menerima rawatan.
COVID-19 | Siti Sarah dirawat di ICU
"Saya baru mendapat maklumat daripada Shuib bahawa Siti Sarah sudah meninggal dunia," kata Nana kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Sementara itu, Shuib dalam hantaran di Instagramnya juga memaklumkan berita duka itu.
Siti Sarah dan Shuib sekeluarga positif COVID-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.
Siti Sarah dimasukkan ke ICU selepas tahap oksigen semakin tidak stabil.
Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 2011 sebelum ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.
-AstroAwani