Isnin, 11 Oktober 2021

Lumba kereta secara profesional hanya guna kaki

 BARTEK Ortalowski. FOTO Youtube/Bartosz OstaÅ‚owski

BARTEK Ortalowski. FOTO Youtube/Bartosz Ostałowski

Warsaw: Meskipun kudung kedua-dua tangan, seorang peminat sukan permotoran dari Poland berjaya mengejar impiannya bergelar pemandu profesional dengan hanya menggunakan kaki.

Oddity Central melaporkan lebih mengagumkan apabila Bartek Ortalowski dapat bersaing dengan pemandu yang berkebolehan dalam pertandingan lumba kereta.

Bartek, kudung kedua tangannya, selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada 2006 iaitu ketika dia berusia 20 tahun.

Sejak itu, Bartek berdepan cabaran untuk belajar memandu kereta di litar lumba, tetapi pemuda berkenaan dapat memberanikan diri untuk terus maju ke hadapan.

Kesungguhannya membuahkan hasil apabila dapat menguasai pemanduan kereta lumba menggunakan kaki dalam tempoh tiga tahun.

Kini, Bartek adalah satu-satunya pemandu sukan profesional di dunia yang memandu menggunakan kaki.

Bagi mengatasi keterbatasan fizikalnya, Bartek mengubah suai kereta Nissan Skyline GT-R sesuai dengan keperluannya selain menambah enjin baharu, kotak gear bebas dan transmisi yang lebih kuat.

Pemandu yang bercita-cita tinggi itu menggunakan kaki kanannya untuk mengawal pedal dan memandu dengan kaki kirinya.

"Selepas kemalangan, saya cuba mencari jalan keluar. Saya bertanya pada diri sendiri jika mahu berlumba lagi apa yang perlu saya lakukan?" katanya kepada Business Insider.

"Saya dengar ada kisah seseorang di Poland seperti saya, tidak memiliki anggota badan yang sempurna tetapi memandu kereta setiap hari tanpa masalah.

"Selepas bertemu dengannya, impian dan minat saya untuk sukan permotoran kembali 'hidup' serta ia mendorong membuat keputusan untuk kembali berlumba suatu hari nanti," katanya.

Selepas menempa nama di litar perlumbaan Poland, Bartek menyahut cabaran yang lebih besar.

Pada 2019, Bartek menduduki tempat kesembilan daripada 50 pemandu dalam Kejuaraan Drift Poland, salah satu siri kejuaraan paling kompetitif di seluruh Eropah

Setahun sebelumnya, dia memenangi siri kejohanan perlumbaan antarabangsa Czech mengalahkan puluhan pemandu profesional lain.

Bartek kini ibarat adiwira dan inspirasi bagi orang kurang upaya (OKU) di seluruh dunia.

"Sudah tentu saya galakkan OKU untuk terbabit dalam sukan permotoran.

"Ini adalah semangat yang indah dan bagi saya bentuk pemulihan yang hebat juga. Oleh itu, jadikan impian anda menjadi kenyataan, "katanya.


-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan