Khamis, 21 Oktober 2021

Bolasepak:Cristiano Ronaldo selamatkan United sekali lagi

RONALDO meraikan gol kemenangan Manchester United ketika menentang Atalanta awal pagi tadi.

 MANCHESTER: Biar apa pun yang diperkatakan tentang Cristiano Ronaldo, bintang Portugal itu membuktikan kepulangannya ke Old Trafford memberi impak besar kepada Manchester United apabila muncul wira mereka sekali lagi.

Selepas ketinggalan 0-2 kepada Atalanta pada babak pertama, Reds Devils bangkit dengan tiga gol di separuh masa kedua untuk melakar kemenangan 3-2 dalam aksi dramatik Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan mereka mengungguli Kumpulan F dengan enam mata, dua mata mengatasi Atalanta dan Villarreal.

Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun meletakkan diri dalam masalah selepas membenarkan Mario Pasalic dan Merih Demiral membolosi gawang mereka di minit ke-15 serta 28.

MERIH Demiral mengejutkan Manchester United dengan meledakngol kedua Atalanta.

Begitupun, memasuki babak kedua tuan rumah memperkemaskan permainan dan sentuhan magis Bruno Fernandes membuka kepada gol pertama yang disempurnakan Marcus Rashford pada minit ke-53.

Kemasukan Paul Pogba, Edinson Cavani serta Jadon Sancho juga merubah permainan Red Devils, dan mengetuai kebangkitan hebat mereka.

MARCUS Rashford (kanan) dan Bruno Fernandes meraikan gol pertama United.

Ketua pasukan, Harry Maguire meledak gol penyamaan menerusi sepakan voli pada minit ke-75.

Ketika permainan berbaki sembilan minit, Ronaldo membuktikan mengapa dia digelar ‘Mr Eropah’ apabila menanduk hantaran Luke Shaw ke penjuru gawang lawan untuk mengesahkan tiga mata buat United.

HARRY Maguire meledak gol penyamaan.

Kemenangan itu menaikkan motivasi Red Devils sebelum menerima kunjungan musuh ketat, Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini. – AGENSI

0 comments:

Catat Ulasan