KUALA LUMPUR, 20 Okt – Wanita UMNO hari ini meminta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memanggil dan menyiasat tentang isu penjenamaan dengan mengguna pakai nama ‘Timah’ dan ianya jelas memang di bawah kuasa KPDNHEP.
Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata syarikat tempatan ini berjaya menghantar permohonan produk arak tersebut dilihat mula mendaftarkan nama dan memohon kelulusan pada 6 Ogos 2019 iaitu ketika negara masih lagi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan diluluskan.
Menurut beliau hal ini adalah satu petanda buruk kepada kerajaan Malaysia dimana seharusnya sewaktu proses dari awal permohonan tersebut ketika di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan perlu ditolak kerana sememangnya nama tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan tidak seharusnya berlaku dan mendatangkan provokasi terutamanya kepada umat Islam negara ini.
“Wanita UMNO merasakan ini adalah secara terang-terangan untuk menyerang umat Islam dan Melayu, kerana tanpa segan silu menggunakan nama mirip wanita orang Melayu iaitu nama singkatan kepada Fatimah yang juga mirip kepada nama anak Rasulullah S.A.W iaitu Saidatina Fatimah Ar-Zahrah.
“Ditambah pula syarikat tersebut menghina Melayu dan Islam dengan memaparkan label botol arak dengan seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah pada botol minuman dipercayai adalah Kapten Tristram Speedy yang juga Kapten Polis di Larut, Perak pada 1870-an yang pernah bertindak kejam terhadap orang Melayu dan Islam pada ketika itu.
“Kontroversi ini perlu dihentikan segera dengan menolak dan membatalkan kelulusan yang telah diberikan kerana kita akui bahawa syarikat arak tempatan ini cuba mencari peluang untuk menghina Melayu dan Islam. Kita wajib tentang dengan perbuatan mereka ini cuba memecahbelahkan kaum di negara kita,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Katanya lagi Kerajaan perlu segera melakukan siasatan latar belakang serta ketekunan wajar (due diligence) terhadap syarikat berkenaan dan mengambil langkah tegas dengan menutup syarikat pengeluar minuman keras itu seberapa segera.
“Wanita UMNO juga bertegas agar pihak penguatkuasaan dan pemantauan KPDNHEP juga perlu diperkemaskan supaya insiden seperti ‘arak Timah’ tidak berulang dan menjejaskan perpaduan kaum dan jika dibiarkan berleluasa, dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada masyarakat, khususnya anak muda,” tambahnya.- UMNO Online
0 comments:
Catat Ulasan