JANJI BOHONG DAN PROJEK GAJAH PUTIH DENGAN BEBAN HUTANG KESELURUHAN RM2.86 BILION KERAJAAN PHBN TINGGALKAN UNTUK RAKYAT KEDAH SENGSARA
Kedah merupakan negeri yang kaya dengan sejarah dan budaya, selain menjadi nadi pengeluaran padi negara. Namun, di sebalik kekuatan ini, Kedah turut berdepan dengan kelemahan besar dalam pengurusan ekonomi dan pembangunan ketika diperintah oleh gabungan PHBN. Rakyat Kedah tidak boleh melupakan bagaimana gabungan tersebut meninggalkan legasi penuh kepincangan, janji bohong, projek mega gagal, hutang bertimbun, serta beban kewangan yang kini terpaksa ditanggung oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama rakyat Kedah.
Setelah PN Kedah yang diketuai Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor berjaya sedikit sebanyak selesaikan masalah yang ditinggalkan, timbullah pula irihati dan dengki membara maka dilaungkan oleh PHBN dengan himpunan 'Honggaq' kononnya untuk alihkan perhatian rakyat kepada kejayaan Sanusi di Kedah.
Sejarah tidak dapat dipadam. Apa yang diwarisi oleh kerajaan PN hari ini bukanlah sebuah negeri yang stabil dengan projek-projek bermanfaat, sebaliknya sebuah negeri yang terikat dengan beban hutang lebih RM2.86 bilion. Angka ini hanya berdasarkan projek yang dapat dikira secara rasmi, tidak termasuk janji-janji kosong dan projek mega yang tiada angka didedahkan tetapi meninggalkan kesan besar terhadap imej dan ekonomi negeri. Kebobrokan PHBN telah merosakkan masa depan negeri dengan budaya politik lama yang hanya pandai berjanji tetapi gagal melaksanakan.
Salah satu contoh paling jelas ialah projek Litar Lumba Motosikal yang diumumkan pada 31 Januari 2013. Projek ini asalnya dijanjikan BN dengan kos RM30 juta sebelum dimasukkan dalam manifesto PRU 2013. Malangnya, projek ini tidak pernah bermula. Lebih mengecewakan apabila kerajaan PH kemudian meneruskan projek ini dengan reka bentuk lebih besar bernilai RM73 juta, namun sehingga kini ia tetap terbengkalai. Soalan besar yang masih bergema di kalangan anak muda Kedah ialah mengapa kedua-dua kerajaan, baik BN mahupun PH, gagal menyiapkan sesuatu yang mereka sendiri umumkan dengan penuh bangga?
Apakah tujuan sebenar janji itu, kalau bukan semata-mata untuk membeli undi rakyat? Mengenangkan kebaikan dan manfaat projek ini kepada rakyat maka Dato Seri Sanusi gagahkan untuk teruskan projek walaupun banyak halangan yang ditinggalkan serta cabara kerajaan pusat PHBN yang mahu melihat projek ini gagal.
Begitu juga dengan projek tebatan banjir yang melibatkan aliran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit. Projek yang sudah lebih sedekad dimulakan itu menelan kos RM79.5 juta, tetapi sehingga kini masih tidak siap. Rakyat Kedah, khususnya di kawasan sekitar, terus dihantui banjir kilat saban tahun. Apa maknanya projek tebatan banjir jika setelah berbelanja puluhan juta ringgit pun masalah masih berulang? Inilah bukti nyata bahawa PHBN gagal memahami keutamaan sebenar rakyat.
Tidak cukup dengan kegagalan projek kecil, PHBN juga menjanjikan projek mega bernilai berbilion ringgit. Pada 26 Jun 2019, Kerajaan PH mengumumkan pembinaan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah dengan kos mencecah RM1 bilion. Projek ini kononnya akan mengubah lanskap ekonomi perikanan negeri.
Namun sehingga kini, ia hanya tinggal nama. Begitu juga dengan projek Aman Laut ala ‘Dubai’ yang dilancarkan pada 7 Oktober 2018 dengan keluasan 123.2 ekar dan nilai projek RM1.2 bilion. Hari ini, rakyat hanya mampu tersenyum sinis apabila mendengar projek ala Dubai itu kerana apa yang ada hanyalah janji yang tidak pernah menjadi realiti.
Lebih memilukan ialah apabila projek-projek kecil yang sepatutnya lebih mudah untuk direalisasikan turut gagal. Chalet Muzium Padi di Gunung Keriang yang bernilai jutaan ringgit terbengkalai lebih 15 tahun walaupun pembinaannya sudah dimulakan. Begitu juga dengan kuarters guru di Tajar, Hosba, Hutan Kampung, dan Kubur Panjang yang menelan kos ratusan juta ringgit tetapi kini hanya menjadi bangunan usang yang tidak digunakan.
Apabila ditanya, kerajaan terdahulu tidak pernah memberi jawapan memuaskan mengapa projek sebesar itu dibiarkan terbengkalai. Jika mereka benar-benar ikhlas membela rakyat, mengapa tidak dirancang semula supaya kuarters tersebut dapat dimanfaatkan untuk orang awam, pelajar, atau golongan miskin?
Kegagalan PHBN bukan hanya dalam bentuk projek terbengkalai, malah juga dalam bentuk hutang besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri kini. SADA misalnya, ditinggalkan dengan hutang RM147 juta. Hutang ini terpaksa dilunaskan secara berperingkat oleh kerajaan PN.
Begitu juga dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang meninggalkan hutang cukai kepada LHDN sebanyak RM10 juta, hasil salah urus kewangan ketika era PH. Hutang-hutang ini bukan sahaja membebankan kerajaan, tetapi juga membantutkan usaha PN untuk memberi tumpuan kepada pembangunan baru.
Selain hutang, terdapat juga pampasan besar yang perlu dibayar akibat kegagalan projek PHBN. Contohnya, projek Jerai International Park yang gagal, memaksa kerajaan negeri membayar pampasan sebanyak RM21 juta kepada syarikat swasta.
Satu lagi kes yang disembunyikan melibatkan Yayasan Islam Negeri Kedah, yang diarahkan oleh mahkamah untuk membayar RM11 juta kepada syarikat Long Island akibat kegagalan memindah milik 16 lot tanah di Tandop. Semua ini adalah bukti nyata bahawa kerajaan terdahulu tidak mengurus projek dengan baik dan akhirnya rakyat yang menanggung kerugian.
Kegagalan PHBN juga jelas dalam pengurusan asas kehidupan rakyat. Air terawat misalnya, masih berdepan dengan masalah non-revenue water (NRW) yang mencecah hampir 50%. Punca utamanya ialah paip lama yang tidak pernah diganti sejak puluhan tahun. Akibatnya, hampir separuh bekalan air terawat bocor sebelum sampai ke pengguna. Berbilion ringgit melayang begitu sahaja, tetapi kerajaan terdahulu tidak mengambil langkah serius untuk menyelesaikan masalah ini.
Sektor pertanian, khususnya pesawah, turut menjadi mangsa janji kosong. Pada 11 Jun 2024, kerajaan Madani mengumumkan insentif kepada pesawah berupa RM160 per hektar untuk membajak dan RM50 per hektar untuk menuai. Janji dibuat bahawa bayaran penuh akan diselesaikan sebelum 31 Julai 2025. Namun, apabila masuk 1 Ogos 2025, tiada sebarang bayaran diterima pesawah, apatah lagi penjelasan daripada kerajaan. Inilah wajah sebenar pentadbiran yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak mampu menunaikan.
Lebih memalukan lagi, PHBN turut terlibat dalam projek-projek mega yang tidak pernah wujud. Contohnya, Bandaraya Sains Perubatan Kedah dan Bandaraya Aero Kedah yang diumumkan dalam Sidang DUN hanya tinggal nama. Begitu juga dengan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang kononnya akan mewujudkan industri baru di Kedah, tetapi hari ini tidak ada apa-apa yang boleh ditunjukkan. Semua ini adalah simbol kepada budaya lama politik yang menggunakan projek mega sebagai alat propaganda pilihan raya.
Jika diteliti, apa yang ditinggalkan oleh PHBN kepada kerajaan PN bukan sahaja hutang, tetapi juga imej buruk kepada negeri Kedah. Projek terbengkalai dan janji kosong ini menjadikan pelabur luar hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan negeri untuk melaksanakan sesuatu projek dengan serius. Apabila keyakinan pelabur runtuh, negeri tidak mendapat peluang pekerjaan baru, ekonomi terbantut, dan rakyatlah yang akhirnya menanggung akibatnya.
Sebaliknya, kerajaan PN yang mengambil alih kini berusaha menutup kelemahan lama ini. Projek tebatan banjir di Taman Wira Mergong yang dijanjikan PHBN sejak dulu hanya berjaya direalisasikan selepas PN mengambil alih pentadbiran.
Hutang SADA yang besar juga kini sebahagiannya telah berjaya dilangsaikan. PN tidak menjual mimpi ala Dubai atau bandaraya aero, tetapi memberi tumpuan kepada perkara asas yang menyentuh kehidupan rakyat.
PHBN telah gagal secara menyeluruh dalam pentadbiran Kedah. Mereka meninggalkan hutang lebih RM2.86 bilion, projek gajah putih yang memalukan, janji kosong yang memperdaya rakyat, serta kegagalan asas dalam mengurus air dan pertanian. Legasi ini bukan sahaja menyusahkan kerajaan hari ini, tetapi juga membantutkan pembangunan negeri untuk jangka panjang.
Rakyat Kedah berhak menuntut penjelasan, gantirugi, dan permohonan maaf terbuka daripada PHBN. Kegagalan demi kegagalan yang direkodkan bukanlah sekadar kelemahan pentadbiran, tetapi satu bentuk pengkhianatan kepada mandat rakyat. Jika mereka benar-benar ikhlas, mereka seharusnya mengaku kesilapan, bukannya terus menjual janji palsu.
Kerajaan PN kini mewarisi negeri yang penuh dengan luka kewangan dan projek terbengkalai, namun tetap berusaha memulihkan maruah Kedah. Apa yang berlaku ini adalah pengajaran besar kepada rakyat, bahawa mandat tidak boleh diberikan lagi kepada PHBN.
Kedah memerlukan pentadbiran yang berfokus, berintegriti, dan tidak tunduk kepada budaya politik lama. Hanya dengan itu, negeri ini boleh benar-benar bangkit menjadi sebuah negeri yang dinamik, maju, dan berdaya saing sebagaimana dengan wawasan yang berani dan jauh ke hadapan yang digagaskan oleh Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor iaitu "The Greater Kedah".
Khalid Hamka
Penganalisis Politik
Alor Setar




























