Selasa, 19 Oktober 2021

Arak Timah: Kontroversi di sebalik nama, imej ‘kopiah’ Kapten Speedy

 

Timah, wiski buatan Malaysia, menerima kecaman disebabkan nama dan imej pada labelnya.

PETALING JAYA: Wiski buatan Malaysia yang memenangi anugerah antarabangsa tahun lalu menerima kecaman beberapa hari selepas ia dilancarkan di peringkat antarabangsa dalam acara dalam talian.

Nama Timah, menjadi sasaran kecaman di media sosial kerana dikatakan merupakan kependekan bagi Fatimah, nama anak Nabi Muhammad.

Imej pada labelnya yang menunjukkan seorang pentadbir dan ketua polis era penjajah, Tristram Speedy atau lebih dikenali sebagai Kapten Speedy, turut dibantah.

Komen di media sosial mendorong Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pembuatannya dihentikan dengan berkata, penggunaan nama Timah, yang juga merujuk kepada sejenis bijih galian, bersifat menghina umat Islam.

Pendapat itu turut disokong Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Salim mencadangkan nama arak itu ditukar kepada “Kapten Speedy”, manakala Idris berkata, beliau sudah membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengkritik mendakwa imej Kapten Speedy pada label arak itu, yang dipaparkan sebagai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala, seolah-olah seorang lelaki Islam alim yang memakai kopiah.

Berikut adalah fakta berkait “kontroversi” ini:

Wiski buatan Malaysia

Wiski Timah, yang dihasilkan oleh Winepak Corporation berpangkalan di Puchong, mengandungi 40% alkohol, seperti kebanyakan spirit lain seperti gin dan vodka.

Ia dijual dengan harga RM190 sebotol di perniagaan runcit terpilih dan dalam talian.

Penghargaan antarabangsa

Timah dianugerahkan pingat perak pada dua pertandingan antarabangsa yang diadakan di San Francisco Ogos tahun lalu, dan pingat emas pada satu pertandingan lain tahun ini.

Nama sebagai lambang hormat

Menurut pembuatnya, nama Timah diberikan sebagai penghormatan kepada peranan dimainkan bijih galian itu dalam pembangunan negara, di mana Tanah Melayu sebelum ini menjadi pengeluar bijih timah terbesar dunia.

Kapten Speedy berperanan campur tangan dalam perang yang tercetus antara geng di Larut, di mana terletaknya antara lombong timah terawal.

Pengkritik nama berkenaan berkata, “Timah” adalah kependekan lazim bagi “Fatimah”, iaitu nama kepada puteri Rasulullah. Bagaimanapun, tiada sebarang rujukan kepada perkara ini dalam laman web arak Timah.

Kapten Speedy dalam sejarah negara

Tristam Speedy, seorang penjelajah dan pengembara, adalah superintenden polis pertama di Pulau Pinang pada 1871. Dua tahun selepas itu, beliau dijemput oleh Menteri Perak, Ngah Ibrahim, untuk membantu meredakan perang geng di Larut berkenaan hasil timah dan kemudian dilantik sebagai Penolong Residen (pentadbir penjajah).

Menurut pembuat arak Timah, Kapten Speedy adalah individu yang memperkenalkan budaya wiski kepada masyarakat Tanah Melayu.

Imej pada label

Imej Kapten Speedy yang diletakkan pada label botol arak Timah, yang mungkin diambil pada 1868, menunjukkan beliau memakai pakaian bangsawan Ethiopia. Ketika itu, beliau ditugaskan oleh maharaja Ethiopia untuk melatih angkatan tenteranya, dan kemudian menjadi penjaga anak maharaja.

Kontroversi tercetus

CAP mendakwa, “Timah” adalah kependekan bagi nama puteri Rasulullah, Fatimah, dan menggunakan nama itu bagi minuman beralkohol, yang diharamkan dalam Islam, menyinggung perasaan orang Islam.

Persatuan itu berkata, imej Kapten Speedy yang berjanggut menyerupai orang Islam alim, dan penutup kepala dipakai Speedy menyerupai kopiah.

Reaksi di media sosial

Ramai pengguna Facebook menunjukkan reaksi positif terhadap arak Timah, dengan beberapa individu berkata, mereka tiada masalah dengan namanya.

Ada juga yang berkata, pengkritik Timah tiada pengetahuan mengenai sejarah dan penjelasan mereka mengenai nama arak berkenaan tidak masuk akal.

Arak Sahip

Mengikuti jejak CAP, ahli kriminologi, Shamsher Singh Thind menyarankan agar brandi Sahip buatan Malaysia turut diharamkan kerana namanya mirip istilah “sahib” yang digunakan masyarakat Sikh sebagai panggilan hormat bagi guru. Di India, istilah itu turut digunakan membawa maksud “tuan”.

Masyarakat Sikh tidak minum arak, dan kata Shamsher, semua minuman keras patut diharamkan.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan