CHE NORMA menunjukkan produk Belacan Madu Enterprise. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
HANYA bermodalkan RM200 kira-kira 21 tahun lalu, Belacan Madu Enterprise di Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis kini menjadi antara pengusaha belacan yang terkenal di negeri ini.
Pemilik Belacan Madu Enterprise, Che Norma Chek Saleh,34, mewarisi perniagaan tersebut daripada ibunya, Che Saudah Hamzah, 61.
Katanya, ibunya mula membuat perniagaan belacan secara kecil-kecilan pada tahun 2000 di rumah mereka.
Ujarnya, pada masa itu, kuantiti belacan yang mampu dikeluarkan adalah sekitar 70 sehingga 80 kilogram sehari dan semakin hari permintaan semakin meningkat.
Kata ibu kepada tiga orang anak itu, kini, mereka mampu menjual antara 500 hingga 600 kilogram belacan sehari dan jumlah tersebut boleh mencapai sehingga 800 kilogram apabila mendapat tempahan khas daripada para pelanggan.
“Para pelanggan kami bukan sahaja dari negeri ini, malah ada yang datang dari negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor serta mereka yang menempah khas dan dijual melalui pos.
“Permintaan terhadap belacan keluaran kami sangat baik kerana mereka sudah merasa kelainan dan kami menggunakan udang geragau ataupun di sini dipanggil ‘udang seroi’ yang segar untuk menghasilkan belacan yang terbaik.
“Kini pendapatan kasar bulanan kami boleh mencapai antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan dengan hanya menjual belacan sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Che Norma, antara cabaran yang terpaksa dihadapi adalah untuk memperkenalkan jenama Belacan Madu itu kepada orang ramai seterusnya mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
Katanya, usaha tersebut berhasil apabila mereka kini juga mempunyai pelanggan tetap.
Dalam pada itu, Che Norma yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu klinik dan sudah lima tahun mengambil alih perniagaan keluarga tersebut memberitahu, penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan peniagaan mereka.
“Ini kerana, banyak pelanggan dari luar negeri Perlis tidak dapat datang untuk membeli kerana larangan rentas negeri akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bagaimanapun, keadaan kini semakin stabil dan biasanya semua belacan yang dihasilkan pada hari tersebut boleh dihabiskan pada hari yang sama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Che Norma berkata, perusahan yang mempunyai 14 pekerja itu juga bercadang untuk memperkembang lagi perniagaan pada masa depan serta membaik pulih premis pembuatan belacan supaya lebih luas dan selesa.
“Belacan kami dijual pada harga RM1 bagi 100 gram, RM2 (200 gram), RM5 (500 gram) dan RM10 (sekilogram),” katanya. – UTUSAN ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan