Ali Kopi, tukang bancuh kopi di kedai makan di Kangar sejak 40 tahun lalu akhirnya diberikan notis tiga bulan oleh majikan yang akan menamatkan perkhidmatannya kerana PKP.
Bayangkan perasaannya, selepas empat dekad mengabdikan diri sebagai pembancuh kopi!
Hanya itu kemahirannya, tiba-tiba diberikan notis tiga bulan sebelum dia hilang segalanya.
Selama 40 tahun itu juga, gaji bulanannya paling tinggi pernah dapat adalah RM1,500 sahaja.
Malang terus merobek hati Ali apabila gajinya juga diturunkan kepada RM1,000 sahaja gara-gara pertukaran pemilik kedai makan yang dia bekerja.
Untuk pendapatan sebegitu, Ali bekerja sehingga 12 jam sehari.
Tetapi ayah kepada empat cahaya mata itu tidak menyalahkan takdir, sebaliknya sebaik sahaja ditamatkan perkhidmatan, dia membuka warung dinamakan ALI KOPI di Kampung Kechor, Kangar.
Berbekalkan kemahiran yang ada, Ali mengambil keputusan membuka kedai miliknya sendiri di perkarangan rumahnya dengan menjual air bancuh, semestinya kopi dan roti bakar telur gedik.
Pelangi indah yang diberikan sang Pencipta buat Ali terus memberikan tapak lebih kukuh apabila dia turut menyewakan beberapa lot gerai untuk bersama-sama memeriahkan kedainya dengan pelbagai menu.
Sebelah pagi ada nasi lemak, kemudiannya goreng-gorengan dan juga makanan berasaskan sup.
Menariknya juga, warung Ali Kopi ini turut menjadi tempat persinggahan buat peminat sukan basikal. Ini membuatkan Ali menyediakan tempat parking basikal bagi memudahkan pelanggan kumpulan ini.
Inilah dikatakan rezeki warga emas yang usianya menginjak senja itu, walaupun warungnya terletak kira-kira 1km ke dalam kampung, tetapi rezekinya tidak putus, ada sahaja pengunjung.
Semasa perbualan kami, satu perkara yang Ali amat terharu, "saya tak dapat buka kedai macam ini kalau Tuanku Raja Muda Perlis tak bantu, baginda lah yang bantu beli bumbung dan beberapa kelengkapan bagi saya mulakan perniagaan ini.
Malahan baginda sendiri pernah datang minum kopi di kedai saya".
Bersungguh-sungguh Ali menunjukkan kepada saya gambar kunjungan Tuanku Raja Muda Perlis ke warungnya itu.
Ali Kopi beroperasi jam 7 pagi hingga 9 malam dan tutup pada hari Isnin sahaja.
Semoga rezeki Pak Ali terus melimpah ruah, jom support.
Kredit: Fb Mohd Fazli Zainul Abidin
0 comments:
Catat Ulasan