KUALA LUMPUR: Remaja berusia 19 tahun, Asif Suhaimi mencipta kejutan menewaskan calon 'senior' apabila diumumkan pemenang kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.
Mula mengumpan peminat apabila muncul dalam Drama Spontan di YouTube disusuli filem bajet rendah, Mael Totey The Movie arahan sepupu, Syahmi Sazli yang mencetuskan fenomena pada era pandemik COVID-19, Asif mencuit hati dengan gelagat bersahaja dan dialek Kelantan.
Asif yang mengalami autisme, menewaskan artis nama besar iaitu Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce yang bersaing dalam kategori sama.
"Terima kasih kepada peminat dan penyokong yang tidak lokek mengundi saya. Terima kasih juga kepada keluarga dan sanak-saudara... Semualah. Kalian terbaik!.
"Saya gembira terima anugerah ini. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan kejayaan ini," katanya yang ditemani sepupunya, Syahmi pada Malam Kemuncak ABPBH 34.
Ditanya apakah kemenangan itu akan mengubah sikapnya, Asif menafikan perkara itu.
"Sama sahaja... Tiada yang berubah. Saya masih Asif yang dahulu. Kejayaan ini menjadikan saya lebih bersemangat berkongsi kelebihan yang ada di sebalik kekurangan diri.
"Saya tidak akan lupakan jasa dan kebaikan Syahmi yang membuka jalan selama ini," katanya yang akan memulakan penggambaran filem baharu, 35 MM arahan Syahmi, tidak lama lagi.
Filem Mael Totey The Movie meraih kutipan RM6.4 juta dalam tempoh 24 hari tayangan di platform Astro First.
Filem yang mula ditayangkan pada 22 Oktober tahun lalu itu dilaporkan memecah dominasi rekod filem Polis Evo dan Hantu Kak Limah sebagai filem terlaris untuk tayangan platform itu.
Pembikinan filem berkenaan juga menarik perhatian kerana kos menghasilkannya hanya kira-kira RM400,000 yang dibiayai Syahmi sendiri.
-BH Online