"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Sabtu, 31 Julai 2021

Tokyo 2020: Beregu badminton lelaki akhiri kemarau pingat Malaysia di Tokyo

Wooi Yik (kiri) dan Aaron mengatasi beregu Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dalam penentuan gangsa badminton beregu lelaki Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Wooi Yik (kiri) dan Aaron mengatasi beregu Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dalam penentuan gangsa badminton beregu lelaki Olimpik Tokyo. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan pingat pertama kontinjen negara pada temasya Olimpik Tokyo kali ini selepas menewaskan gandingan handalan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 pada penentuan pingat gangsa hari ini.

Pasangan negara itu layak diberi pujian selepas bangkit daripada tewas di set pertama untuk menewaskan lawan mereka yang mempunyai reputasi hebat selaku beregu kedua terbaik dunia.

Gangsa yang dimenangi itu menyelamatkan maruah skuad badminton negara pada edisi kali ini selepas wakil negara yang lain tumbang.

Bermakna skuad badminton negara juga meneruskan tradisi menyumbang pingat untuk kontinjen negara selama empat edisi Olimpik berturut-turut sejak Beijing 2008.

Pencapaian paling terbaik skuad badminton negara adalah memenangi tiga pingat perak lima tahun lalu di Rio 2016 menerusi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei; beregu campuran; Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem.

Pada perlawanan hari ini, Aaron-Wooi Yik pada awalnya dilihat mampu memberikan saingan ke atas lawan mereka namun momentum itu gagal diteruskan sehinggalah tewas 17-21 di set pertama yang berakhir selama 17 minit.

Bagaimanapun mereka mempamerkan kebangkitan dan mula memperkemaskan rentak permainan di set kedua apabila memenangi perlawanan dengan keputusan 21-17 meskipun pada satu ketika ketinggalan.

Tewas kepada gandingan sama pada peringkat Kumpulan D sebelum ini, Aaron-Wooi Yik nyata tidak mahu mengulangi kekalahan itu apabila tenang memimpin saingan di set penentuan sebelum melakar kemenangan mutlak 21-14 pada perlawanan yang berlangsung selama 52 minit itu.

Ia juga adalah kemenangan kedua mereka ke atas Ahsan-Hendra sepanjang sembilan pertemuan selepas kali terakhir menumbangkan lawan mereka itu pada Terbuka China 2019.-myMetro

PM tangguh sidang parlimen Isnin ini kerana 'risiko Covid-19'

 


Sidang khas parlimen yang seharusnya disambung Isnin ini ditangguhkan "ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak".

Perkara itu dimaklumkan melalui surat kepada ahli parlimen yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

"Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan rakyat pada Isnin, 2 Ogos 2021 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

"Pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peratusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," kata surat itu yang dilihat Malaysiakini.

Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat 11 (3) memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk memanggil Parlimen lebih awal jika ada penangguhan, namun tiada disebutkan mengenai kuasa untuk penangguhan.

Namun, ada ketentuan khas yang disebut sebagai Aturan Mesyuarat 100, yang membolehkan Speaker memutuskan perkara yang tidak dirangkumkan secara jelas dalam peraturan sedia ada.

Surat itu juga menyatakan bahawa penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19," kata surat itu.

 Sebanyak 11 kes Covid-19 telah dikesan di Parlimen pada hari Khamis.

Namun, pembantu Speaker Dewan Negara Rais Yatim menyatakan bahawa Dewan Negara akan mengeluarkan kenyataan bahawa sejak itu sejak itu terdapat lebih banyak kes yang dikesan.

Penangguhan terbaru ini hadir ketika kerajaan pusat dilihat berselisih dengan pihak Istana Negara berhubung pembatalan ordinan darurat.

Pada hari Khamis, Yang di Pertuan Agong memberi teguran terhadap kerajaan, menuduh menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa ordinan darurat telah dibatalkan.

Agong bagaimanapun berkata baginda tidak pernah memberi perkenan kepada pembatalan itu dan menyatakan rasa dukacita kerana ia tidak dibentang dan dibahas di parlimen.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mendakwa keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan menyorot bahawa Agong mesti mengikuti nasihat kabinet.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menuduh kerajaan menggunakan Covid-19 sebagai helah untuk menghalang prosiding -mKini

Belum sebulan dilantik TPM, Ismail Sabri bakal dilantik PM interim?

 

Difahamkan, Muhyiddin sebelum ini dinasihati untuk tidak meletak jawatan, susulan kontroversi pembatalan ordinan darurat tanpa perkenan Istana Negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikatakan mempunyai sokongan kuat, termasuk daripada kalangan ahli kabinet untuk dilantik sebagai perdana menteri interim (sementara,) menurut sumber.

Menurut sumber berkenaan, rundingan mengenai perkara itu sedang berjalan di peringkat kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ismail ‘nampaknya’ memperolehi sokongan agak kukuh menggantikan Muhyiddin Yassin, untuk dicalonkan sebagai perdana menteri interim, kata sumber itu.

Majoriti dalam kabinet bersetuju atas pekara ini dalam rundingan setakat ini,” tambahnya.

Adalah difahamkan, Muhyiddin sebelum ini dinasihati untuk tidak meletak jawatan oleh anggota kabinetnya, susulan kontroversi pembatalan ordinan darurat tanpa perkenan Istana Negara.

Bagaimanapun pendirian muktamad Ahli Parlimen Pagoh itu terhadap nasihat berkenaan tidak diketahui.

Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri awal bulan ini.

Hari ini, spekulasi bertebaran Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memperolehi perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun jurucakap Istana dan PKR menafikannya.-FMT

Perhimpunan Protes Di KL:Wajarkah diadakan ketika Covid19 sedang menular sekarang?

 Ratusan penunjuk perasaan berpakaian serba hitam berkumpul di Ibu Kota pagi tadi bagi menyertai himpunan mendesak seluruh menteri kabinet meletak jawatan.

Bagi Admin perhimpunan ini tidak sewajarnya diadakan di saat kita masih berperang hebat dengan musuh yang tak nampak. Ya benar.. memang la ni ramai yang marahkan kerajaan atas apa yang sedang berlaku hari ini tapi ia bukan cara yang betul untuk menyuarakan bantahan atau ketidakpuashatian..

Orang kita jangan sesekali cuba buat perangai macam ni. Mohon pihak berkuasa ambil tindakan tegas terhadap penganjur dan para peserta yang sertai himpunan haram ini. 

Foto : Media Sosial




















Tokyo 2020: Olimpian Australia baiki kayak guna kondom, menang emas dan gangsa

 Tokyo 2020: Olimpian Australia baiki kayak guna kondom, menang emas dan gangsa

Atlet kayak Australia, Jess Fox, mendedahkan dia telah membaiki alat kelengkapannya pada saat akhir menjelang aksi final Sukan Olimpik Tokyo, mengggunakan kondom untuk menutup kerosakan pada kanunya.
Fox, yang memenangi pingat gangsa dalam final slalom K-1 wanita Selasa lalu, mendedahkan kondom merupakan salah satu faktor dia berjaya minggu ini menerusi video yang dimuatnaik di Instagram di mana menunjukkan profilaksis digunakan sebagai sebahagian daripada proses pembaikan kayaknya.
"Sudah pasti anda tidak pernah tahu kondom boleh digunakan untuk membaiki kayak," katanya.
"Sangat tegang dan kuat. Ia memberikan penamilan yang lebih licin."
Semalam, Fox berjaya menamatkan saingan C-1 slalom dan menambah satu lagi pingat emas buat Australia.
-AstroAwani

Kronologi : Rekod DAP dan PKR derhaka kepada YDPA, Raja² dan Istana.

2013: Dalam satu rakaman video, penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin menyatakan institusi beraja akan terkubur menjelang 2030 dan bahawa Malaysia akan menjadi negara repulik. Antara kandungan video terbabit adalah perancangan agar rakyat mula menyamakan panggilan ‘Sultan’ dengan ‘setan’. 

2 September 2014: Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor terus berlanjutan berikutan titah Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar sekurang-kurangnya dua nama dipersembahkan untuk jawatan itu tidak diendahkan oleh PKR & DAP.

8 September 2014: Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita terhadap DAP dan PKR yang ingkar dan gagal mengemukakan lebih dua nama calon Menteri Besar seperti yang dititahkan. Setiausaha Sulit baginda menyifatkan tindakan dua parti itu sebagai biadab kepada Institusi Raja dan satu perbuatan derhaka terhadap titah baginda Tuanku.

10 September 2014: Wan Ji Wan Hussin dilaporkan ditahan di bawah Akta Hasutan kerana menghina Institusi Raja. Penahanan beliau dikutuk Pemuda PKR.

28 September 2017: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melantik Wan Ji Wan Hussin sebagai pegawai penerangan dengan tanggungjawab menjelaskan dasar Islam negeri itu. Wan Ji sebelum ini dikenali dengan video yang memaparkannya menjelaskan rancangan menghapuskan sistem beraja di Malaysia. 

6 Mac 2018: Lim Kit Siang memperlekeh dan menghina titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Beliau menyifatkan titah baginda sebagai ucapan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

9 Julai 2019: Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dihukum penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor.

19 Mei 2020: Pemimpin DAP dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar disifatkan menghina Institusi Diraja apabila melabelkan Sidang Parlimen sebagai ‘sampah’. 

4 Ogos 2020: Pemimpin DAP dan ADUN Tras, Chow Yu Hui mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan. Ketetapan tersebut dibuat selari dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah yang mahu memartabatkan penggunaan tulisan jawi dalam negeri ini.

21 Oktober 2020: Pemimpin DAP dan ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu menulis hantaran Facebook berbaur hasutan agar rakyat menentang sistem beraja seperti yang sedang berlaku di Thailand ketika itu.

24 April 2021: Pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Charles Santiago menulis hantaran Facebook bersolidariti dengan artis, Fahmi Reza yang ditahan kerana menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah. 

Mei 2021: Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan dan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam satu video secara langsung.

25 Mei 2021: Pemimpin PKR dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi menulis hantaran Twitter berbunyi, “Qu'ils mangent de la brioche” (biarkan mereka makan kek) untuk mempersenda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah. Ayat tersebut sinonim dengan Revolusi Perancis yang menggulingkan sistem beraja Perancis pada 1789.

Like & Follow FB: #AaPP #NasirSeligi

https://www.facebook.com/MindaSeligi/

LATIFAH OMAR DIGILIS LANCANG KUNING, ISTERI DOLLAH SERAWAK YANG TUMPAH DARAH

 LATIFAH OMAR DIGILIS LANCANG KUNING,ISTERI DOLLAH SERAWAK YANG TUMPAH DARAH

Seniman Dollah Serawak, ayah kepada Siput Serawak, bukan saja seorang pelakon berkarekter, malah, beliau juga seorang pawang yang banyak mengubati orang dari berbagai jenis penyakit, sambil menjual minyak pengasih, pemanis, penyeri muka dan minyak untuk tersalah urat. Antara pelanggannya adalah bintang filem, penyanyi dan pemuzik. 

" Beginilah caranya saya menyara hidup tiga beranak dan untuk membayar sewa flat, " ujar Dollah yang tinggal di flat dua bilik di kawasan Toa Payoh, Singapura.

Nama sebenarnya ialah Mohamad bin Haji Sulaiman, lahir di Sungai Ara, Pulau Pinang. Selepas ibunya meninggal, ayah telah membawa Dollah pulang ke Yunnan, China ketika usia baru 10 tahun. Selepas dua tahun di Yunnan, Dollah dibawa ke Hongkong selama dua tahun, dan kemudian turun ke Singapura di mana beliau belajar menjadi tukang emas. Selepas itu, beliau dibawa ke Sarawak untuk mencari pengalaman baru. Di situlah Dollah buat bermacam2 pekerjaan - mandor tuba, pelayan restoran, office boy, penghantar surat, pemandu bas, warden penjara, penjaga pam minyak, dan akhir sekali menjadi pelakon dalam bangsawan. Sewaktu di Sarawak, Dollah dijadikan anak angkat kepada Tengku Syed Idrus, seorang kerani di Pejabat Tanah. Dari situlah Dollah belajar ilmu perubatan tradisional sehingga beliau fasih berbahasa Iban. Tengku Syed Idrus yang beri nama DOLLAH SERAWAK kerana mengikut pada Tengku, nama asalnya terlalu lembut dan SERAWAK adalah sempena nama negeri itu. 

" Apabila saya bermain bangsawan, nama DOLLAH SERAWAK lah saya gunakan sampai ke hari ini. Saya telah menubuhkan kumpulan bangsawan dan kami jelajah seluruh Malaya dan Singapura. Kemudian saya dipelawa untuk berlakon sebagai extra dalam filem NASIB pada tahun 1949, diikuti dengan NILAM dan RACHUN DUNIA, semuanya terbitan Shaw Brothers. Selepas itu, saya pindah ke Keris Films dan berlakon dalam filem BERBAHGIA DI-SINGAPURA. "

Filem LANCHANG KUNING arahan M. Amin merupakan filem lakonan Dollah yang ke 46. Itulah satu2nya filem yang tidak dapat dilupakan kerana sesuatu kejadian yang menimpa isterinya yang ke empat iaitu Aishah Ismail, yang juga bekerja sebagai jurusolek dengan Cathay Keris. 

" Dalam filem itu, Latifah Omar digilis oleh bahtera  lancang. Isteri saya pula meninggal dunia di Hospital Kandang Kerbau kerana tumpahan darah, " ujarnya, sambil mengesat airmata yang mula membasah pipi. Kejadian itu berlaku bertepatan dengan masa beliau berlakon dalam filem tersebut. Namun, beliau tidak mahu menyifatkan kematian isterinya itu ada kaitan dengan babak ngeri dalam LANCHANG KUNING, kerana secara kebetulan, sebelum shooting babak Latifah Omar digilis lancang itu, satu istiadat menyemah telah dilakukan bagi menghindari dari sebarang malapetaka ketika lancang menggilis perut Telani (Latifah Omar) yang sedang berbadan dua. Penyemahan itu diselenggarakan oleh Dollah Serawak, dengan menyembelih seekor ayam putih, serta menjamu bubur putih-merah kepada sekelian yang ada di situ.

Gambar atas kiri: Dollah Serawak bersama isteri ke empatnya, Aishah Ismail yang meninggal akibat tumpahan darah pada waktu sama dengan Telani digilis lancang.

Gambar atas kanan: istiadat menyemah dan menyembelih ayam putih yang dilakukan oleh Dollah Serawak, sambil diperhatikan oleh Noordin Ahmad (berdiri kanan) dan Haji Arshad (berdiri kiri).

Gambar bawah:  babak Telani ( berbadan dua) yang akan digilis oleh lancang kuning. 

fonzz

30.7.2021

Jumaat, 30 Julai 2021

MINAH YEM - THE SHIRLEY TEMPLE OF MALAYA

 MINAH YEM - THE SHIRLEY TEMPLE OF MALAYA

Beliau dilahirkan pada tahun 1916 dan bermula karier seninya di pentas bangsawan bersama Grand Nooran Opera pimipinan seniman Ibrahim Jaafar atau Yem. Di situlah mereka bertemu dan mendirikan rumahtangga. Semasa di pentas bangsawan, Minah diberi gelaran The Shirley Temple of Malaya. 

Dari bangsawan, Minah melangkah ke dunia perfileman dengan filem pertamanya BULOH PERINDU pada tahun 1953. Memandangkan usia Minah sudah menjangkau 37 tahun pada permulaan karier filemnya, beliau hanya memegang peranan pelakon pembantu sahaja seperti dayang, mak bidan, penari, pelawak dan nenek kebayan. 

Minah Yem juga merupakan salah seorang pelakon yang pernah berlakon untuk 4 buah studio iaitu Keris Films, Shaw Brothers, Cathay Keris dan Studio Merdeka.

Antara watak lakonan Minah Yem yang telah mencuit hati penonton ialah sebagai jiran yang bergaduh dengan suaminya Nyong dalam filem BUJANG LAPOK , dan sebagai salah seorang dayang tua dalam LAXAMANA DO RE MI.

Anak beliau adalah seniwati Norsiah Yem, ibu kepada Aidie Ali dan Ebby Saifulllah. Seorang lagi anak Minah Yem iaitu Abu Bakar Yem pernah muncul dalam filem YATIM MUSTAFFA.

Minah Yem meninggal dunia pada tahun 1988 , selang sehari dengan kematian pelawak A K Jailani.

Semoga rohnya Minah Yem dicucuri rahmat Allah swt.

fonzz

28.7.2021

Pemuda Tak Sangka, Rezeki Nikah Dua Janda Muda Serentak

LAZIMNYA upacara akad nikah melibatkan antara pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Namun begitu, istimewa buat seorang pemuda, Korik Akbar apabila menikahi dua wanita pada majlis yang sama.

Ketika ditemui Korik berusia 20 tahun memaklumkan bahawa tidak pernah mempunyai perancangan untuk menikahi dua wanita sekali gus.

“Tidak pernah ada perancangan, tapi ini adalah jodoh,” katanya yang berasal dari Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.

Bertambah menarik, kedua-dua isteri lelaki tersebut berstatus janda muda.

Menurut Korik, sekitar tahun 2011 dia menjalinkan hubungan bersama Khusnul Hotimah berusia 20 tahun.

Lima tahun kemudian berkenalan pula dengan Yun Nitanuri, 21, selepas wanita itu bercerai.

Kecewa dengan Korik yang dikatakan ‘curang’, maka Khusnul memutuskan hubungan lalu mengahwini calon pilihan ibu bapanya.

Pun begitu, baru-baru ini menyedari Korik bakal menikahi Yun, Khusnul hadir ke majlis lengkap dalam persalinan pengantin dan minta dimadukan.

“Pengantin perempuan kedua (Khusnul) dipercayai telah diceraikan selepas suaminya diambil orang lain.

“Lalu apabila mendengar mantan kekasihnya bakal berkahwin, dia datang dan minta untuk dinikahi juga.

“Saya hanya mampu menggelengkan kepala dengan situasi ini. Entah apa mahu jadi dengan masyarakat kita.

“Namun, pernikahan diteruskan kerana mendapat persetujuan daripada semua pihak,” kata Ketua Pejabat Pemberdayaan Wanita, Perlindungan Anak, Kawalan Penduduk dan Perancangan Keluarga (DP3AP2KB) Lombok Tengah, Mulyardi Yunus.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu bertemu untuk pertama kalinya di rumah Korik dan bersedia berpoligami.

Sumber: Suara.com, Kompas

Rasuah: Ikan busuk dari kepala

Kajian SPRM terhadap persepsi masyarakat tahun lalu menunjukkan orang ramai percaya hampir 80 peratus pegawai dan anggota penguat kuasa PBT di negara ini mengamalkan rasuah, sedangkan mereka yang terlibat sama ada memberi atau menerima sekitar 20 peratus sahaja.

BERITA penahanan dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu adalah sesuatu yang mengejutkan.

Selama ini disangkakan hanya anggota penguat kuasa dan pegawai berpangkat rendah yang terlibat kes rasuah, rupa-rupanya orang No. 1 pihak berkuasa tempatan turut ada yang terpalit.

Dalam kes terbaharu di Selangor itu, kedua-dua bekas YDP majlis perbandaran itu masih bertugas sebagai pegawai daerah.

Mereka tidak bersalah selagi belum diputuskan oleh mahkamah. Turut ditahan ialah seorang kontraktor dan seorang juruukur bahan.

Sebenarnya pandangan orang ramai terhadap rasuah melibatkan dewan bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah sudah buruk walaupun hakikatnya tidaklah seteruk itu.

Kajian SPRM terhadap persepsi masyarakat tahun lalu menunjukkan orang ramai percaya hampir 80 peratus pegawai dan anggota penguat kuasa PBT di negara ini mengamalkan rasuah, sedangkan mereka yang terlibat sama ada memberi atau menerima sekitar 20 peratus sahaja.

Seperti kata pepatah lama, ikan busuk dari kepala. Kalau kepala sudah busuk, ia dengan mudah merebak ke bahagian badan dan ekor.

Begitulah juga kalau ketua sudah rosak integritinya, bagaimana pula anak-anak buahnya yang lain?

Penahanan bekas YDP itu merupakan tanda kesungguhan SPRM untuk membersihkan PBT dan agensi kerajaan daripada kartel rasuah.

Menurut sumber SPRM, individu terbabit dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang merupakan sindiket kartel projek bagi membolot projek-projek bernilai puluhan juta ringgit di empat daerah di Selangor sejak 2012.

Difahamkan, dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah sahaja, kontraktor terlibat memperoleh pelbagai projek dianggarkan bernilai RM20 juta.

Modus operandinya ialah menggunakan kira-kira 70 syarikat bagi membolot projek-projek tersebut termasuk 16 syarikat milik keluarga dan selebihnya merupakan kroni atau proksi.

Bekas YDP terbabit dikatakan menerima lima peratus daripada nilai projek di samping pelbagai kemewahan lain termasuk ubah suai rumah dan percutian ke luar negara.

Tangkapan di Selangor itu adalah pembongkaran kedua SPRM berhubung kartel projek kerajaan.

April lalu, SPRM berjaya melumpuhkan satu sindiket kartel projek yang memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara. Nilai projek berkenaan RM3.6 bilion.

Sindiket itu sudah beroperasi sejak 2014 dengan menggunakan lebih 150 syarikat untuk memasuki tender di kementerian dan agensi terbabit.

Sesetengah pegawai tinggi kerajaan ini ada yang bergelar Datuk dan Datuk Seri. Maka, amaran Sultan Selangor untuk menarik balik kurniaan darjah dan bintang kebesaran negeri daripada individu yang didapati bersalah dalam rasuah adalah tepat dan wajar dicontohi negeri-negeri lain.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan “rasuah boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara.”

Amalan rasuah menyebabkan ada pemaju dan kontraktor sengaja mengurangkan kos pembinaan bagi memaksimumkan keuntungan.

Akibatnya ada pemaju yang menggunakan bahan bermutu rendah yang tidak menepati piawaian ditetapkan, tidak mematuhi syarat kelulusan majlis tempatan atau melantik pekerja tidak berpengalaman.

Kalau sekadar membina tandas awam atau projek jalan kampung, mungkin cepat rosak sahaja. Bayangkan jika melibatkan bangunan besar seperti hospital dan kondominium, pasti nyawa jadi taruhan.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

-SH Online

Cara Memohon Bantuan Khas RM 5000 Pengurusan Kematian Akibat Covid 19

 


Untuk sesiapa yang kehilangan ahli keluarga disebabkan COVID-19, boleh dapatkan bantuan one-off RM5000 daripada NADMA ni ya.

Boleh gunakan wang ini untuk tujuan menguruskan kematian & support keluarga buat beberapa ketika. Cara untuk mohon :

1. Download borang permohonan daripada link dibawah: kliksini.my/z2SRH 2. Sediakan dokumen berikut: a) Salinan sijil kematian b) Salinan IC yang meninggal dunia c) Salinan IC pemohon d) Salinan penyata bank pemohon

3. Lengkapkan borang yang dah download (rujuk no.1) 4. Bawa borang & dokumen ke hospital yang memaklumkan kematian si mati untuk dapatkan pengesahan. 5. Boleh hantar permohonan yg lengkap melalui pos/emel/whatsapp (ke alamat dibawah).

Alamat (untuk pos): Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, Aras 7, Blok D5, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62502, Putrajaya. (u.p: Sekretariat KWABBN)


Tidak ada wang ringgit yang mampu menggantikan kehilangan insan yang tersayang. Tetapi moga-moga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yg kalian hadapi. Amiin.

Covid19: 16 pekerja jadi korban virus tetapi kilang beroperasi seperti biasa.

 Gambar kenangan Nancy Endi bersama suaminya, Hani Sha'ari.

Gambar kenangan Nancy Endi bersama suaminya, Hani Sha'ari.

Johor Bahru: "Mereka mungkin tidak mengerti nilai nyawa 16 mangsa termasuk arwah suami saya yang terkorban akibat jangkitan Covid-19 kerana mereka tidak mengharungi detik yang kami lalui ini," kata Nancy Endi, 41.

Nancy berkata, suaminya, Hani Sha'ari, 43, adalah mangsa ke-16 terkorban akibat jangkitan Covid-19 ketika bekerja sebagai ketua juruteknik di sebuah syarikat elektronik di Tanjung Agas, Muar di sini.

Menurutnya, suami yang disahkan positif Covid-19 pada 13 Julai lalu dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, 16 Julai sebelum dipindahkan ke sebuah hospital di Melaka pada 19 Julai lalu.

Katanya, pada 19 Julai lalu, dia dan dua anak berusia 4 dan 12 tahun turut disahkan positif Covid-19 manakala dua lagi anaknya didapati negatif.

"Kali terakhir kami bertemu dengan arwah suami adalah sebelum dibawa ke MITC manakala ketika saya dan anak mula dikuarantin di MITC pada 20 Julai lalu, suami sudah dirujuk ke hospital kerana keadaannya tidak stabil.

"Ada ketikanya, dia mampu ketawa ketika berkomunikasi menerusi telefon, malah dia juga pernah juga tercungap-cungap ketika berbual kerana dakwa sesak nafas," katanya.

Nancy berkata, kali terakhir berbual dengan suami pada tengah hari 26 Julai lalu dan bercadang membuat panggilan video pada waktu malam hari berkenaan bagi mengubati rindu terhadap teman hidupnya.

Bagaimanapun, katanya, pada jam 10 malam pada 26 Julai lalu dia menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan suami terpaksa ditidurkan.

Katanya, dia hanya mampu berdoa setiap hari supaya suami diberi kesembuhan.

"Bagaimanapun, Allah lebih menyayanginya. Pada awal pagi hari ini iaitu pada jam 5.40 pagi, saya menerima khabar berkaitan pemergian suami.

"Arwah suami seorang yang penyayang dan suka bermanja dengan saya, saya tidak sangka tiba-tiba dia sudah dijemput Ilahi serta pesanan terakhirnya adalah supaya saya menjaga anak dan solat.

"Yang paling saya terkilan, saya tidak mampu melihat dan memeluk jenazahnya buat kali terakhir serta jenazah akan dikebumikan jam 8.30 malam ini (semalam) di tanah perkuburan di Melaka.

"Arwah suami dari Bukit Gambir dan sekurang-kurangnya adik-beradik serta anak sulung kami dibenarkan hadir ke majlis pengebumian," katanya.

Nancy bercadang menyaman majikan suami yang tidak menutup operasi kilang walaupun terdapat kes jangkitan Covid-19 di premis berkenaan.

"Bukan seorang atau dua, sudah 16 orang meninggal dunia dan adalah majikan fikir pampasan dapat menggantikan nyawa yang terkorban termasuk suami yang sudah bekerja selama 23 tahun.

"Saya dari Indonesia tiada pengalaman bekerja dan buntu memikirkan nasib anak kerana semua masih bersekolah dan mereka juga dalam tekanan kerana kehilangan insan kesayangan yang tiada pengganti.

"Doktor juga menyatakan darah saya masih ada kuman dan saya kuatkan semangat demi anak," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau) Johor, Mohd Ridhwan Othman berkata, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan sesuai sebelum bencana menimpa kumpulan pekerja kilang berkenaan semakin buruk.

"Kami menggesa kementerian berkaitan mengambil kira nasib pekerja dan keluarga masing-masing.

"Kami bukan meminta kilang itu ditutup 14 tahun sebaliknya 14 hari demi keselamatan ramai.

"Setakat ini, masih tiada tindakan terhadap pemilik dan pengusaha kilang berkenaan oleh pihak berkuasa, ia seharusnya ditutup bagi memberi ruang kepada siasatan dan proses sanitasi," katanya.-myMetro

CUEPACS tolak cadangan pinda Akta Pencen 1980

 Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. - Foto fail NSTP

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak cadangan Akta Pencen 1980 dipinda bagi membolehkan pelantikan kakitangan awam ke jawatan tetap dengan pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya bimbang pindaan akta itu akan memberi kesan kepada semua penjawat awam tidak lagi dibenarkan memilih skim tetap sama ada pencen atau caruman KWSP.

"CUEPACS sedikit khuatir dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa pasukan petugas khas dianggotai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) akan melihat keperluan untuk meminda Akta Pencen 1980.

"Ini bagi membolehkan pegawai perubatan kontrak diserap ke jawatan tetap dengan pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Sedangkan perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980 yang memberi pilihan kepada penjawat awam (sama ada memilih skim pencen atau KWSP)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Dr Noor Hisham dalam satu hantaran di Facebook berharap keperluan untuk meminda Akta Pencen 1980 dilihat demi kebajikan pegawai perubatan dan petugas kesihatan kontrak.

Beliau turut meletakkan harapan tinggi, langkah itu dapat dibentangkan di Parlimen, sekali gus memperoleh sokongan demi kebajikan pegawai kontrak.

Adnan berkata, sebarang pindaan ke atas Akta Pencen 1980 sepatutnya tidak mengurangkan apa-apa faedah yang diterima oleh penjawat awam atau pesara kerajaan ketika ini.

"CUEPACS menentang sepenuhnya apa-apa pindaan ke atas Akta Pencen 1980 yang bersifat mengurangkan lagi manfaat atau faedah yang diterima oleh penjawat awam.

"Apatah lagi buat masa ini tiada sebarang jaminan daripada kerajaan apakah pindaan akta ini tidak memberi kesan kepada penjawat awam yang lain atau ia hanya membabitkan penjawat awam di sektor kesihatan sahaja," katanya.

Beliau juga berkata, CUEPACS menyambut baik usaha sedang dilaksanakan kerajaan dan KKM bagi membela nasib petugas kesihatan termasuk doktor yang masih berstatus kontrak, bagaimanapun ia seharusnya turut mengambil kira kebajikan penjawat awam lain.

"CUEPACS meminta kerajaan dan pihak yang terbabit dalam menentukan masa depan petugas dalam sektor kesihatan menimbang semula keputusan untuk meminda akta ini dengan sebaik-baiknya.

"Pertimbangan ini harus dibuat dengan sewajarnya supaya tidak tersilap membuat keputusan terutama dalam isu pelantikan tetap tanpa pencen.

"Kami tidak mahu apabila perkara ini dipersetujui kelak, akan wujudnya perkara berbangkit seperti membuat perbandingan dengan penjawat awam yang berstatus berpencen," katanya.

Adnan berkata, bagi penjawat awam dalam sektor kesihatan terutama doktor, mungkin sesuai untuk dilaksanakan skim KWSP kerana mereka mempunyai peluang yang besar untuk keluar daripada sektor kerjaan dan bertugas di sektor swasta dengan tawaran gaji lebih lumayan.

"Dalam hal ini bukan hanya kebajikan sesetengah pekerja sahaja harus diperjuangkan kerana lebih ramai penjawat awam lain berhak mendapat perhatian sama," katanya.

-BH Online

Khamis, 29 Julai 2021

Unik: 'Nama penuh saya Badjie Xatieqoutieqc Ibadallah'

 NAMA unik Badjie Xatieqoutieqc tular selepas rakannya berkongsi gambar lesen memandunya. FOTO ihsan Badjie Xatieqoutieqc Ibadallah

NAMA unik Badjie Xatieqoutieqc tular selepas rakannya berkongsi gambar lesen memandunya. FOTO ihsan Badjie Xatieqoutieqc Ibadallah

Kuala Lumpur: "Memang sukar membesar dengan nama ini kerana kerap diejek namun lama-kelamaan saya belajar menerima dan menyukainya," kata Badjie Xatieqoutieqc Ibadallah.

Nama unik gadis berusia 28 tahun ini tular di Twitter selepas rakannya berkongsi ciapan berserta gambar lesen memandu yang memaparkan namanya itu.

Menerusi perkongsian itu, rakannya mengakui terkejut apabila mendapat tahu nama sebenarnya itu kerana sebelum ini hanya memanggilnya dengan nama 'Belle' dan mengandaikan nama penuhnya ialah Nabila.

Turut dikongsikan, videonya menyebut nama 'Badjie Xatieqoutieqc' dengan betul.

Berkongsi lanjut, Badjie Xatieqoutieqc yang juga bekas pramugari Malaysia Airlines Bhd berkata, selain namanya sukar disebut, rata-rata yang mengetahui namanya juga sering mempersoalkan asal-usul nama itu.

Katanya, idea sepenuhnya datang daripada bapanya, Ibadallah Kandar, 62, yang turut menamakan tujuh adik-beradiknya dengan nama bermula 'Badjie X...'.

Mereka tujuh beradik diberi nama Badjie Xietaqieullah, Badjie Xbietaquauallah, Badjie Xatieqieullah, Badjie Xatieqoutieqc (dirinya), Badjie Xaebcourieyiean, Badjie Xieslammillatiena dan Badjie Xwattaquoallah.

"Nama 'Badjie' adalah gabungan nama kedua orang tua saya sebagai menggantikan nama 'Raden' yang dulunya diwarisi turun temurun daripada nenek moyang kami (Jawa Sunda).

"Memang kedengaran pelik, tapi itulah pendirian bapa saya yang mempunyai cita rasa unik dalam memilih nama anak-anaknya agar lain daripada yang lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, nama tujuh adik-beradiknya jika dibaca dengan betul sebenarnya membawa maksud bertakwa kepada Allah.

"Bapa adalah seorang jurutera yang suka berfikir di luar kotak dalam suatu hal.

"Dalam soal nama kami ini, bapa seolah-olah menggunakan 'kod rahsia' dalam menyuruh kami adik-beradik agar sentiasa bertakwa kepada-Nya," katanya.

Anak keempat dari tujuh beradik itu berkata, dia lebih suka orang lain memanggilnya dengan nama 'Belle'.

"Panggil saja saya Belle kerana ia juga membawa maksud yang baik. Kalau ikutkan saya nak orang panggil Xatieqoutieqc tapi akan jadi susah.

"Jadi, cukuplah Belle supaya mereka doakan saya yang baik-baik, saya pun tak buat orang susah nak panggil saya," katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Bercerita lanjut, Badjie Xatieqoutieqc berkata, dia kini menjadi anggota sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam, Selangor.

"Selepas enam bulan bercuti disebabkan kontrak ditamatkan, saya memilih untuk menjadi sukarelawan di sini.

"Kerja sukarelawan sudah menjadi minat saya kerana pernah aktif menyertainya ketika belajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dulu," katanya.-myMetro

Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri berkaitan kenyataan dari istana negara

 

MERUJUK kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini, Kerajaan ingin menjunjung kasih di atas titah penghargaan yang dizahirkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Kerajaan kerana telah melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula pada 26 Julai 2021.

Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Berdasarkan titah pandangan ini, Kerajaan telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021. Sebagai persediaan Mesyuarat Khas Parlimen ini, Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021 telah mengadakan perbincangan yang teliti dan mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut:

Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong;

Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021; dan

Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Susulan ketetapan-ketetapan ini, Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai 2021 telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara. Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

Pada 23 Julai 2021, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.

Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 40 (1) memperuntukkan:
Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan:
Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Susulan itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021, telah menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.

Pemakluman oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021. Oleh itu, Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai 2021 pukul 12.00 tengahari untuk menjelaskan kedudukannya.

Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.
Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

Di samping itu, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.
Oleh sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan. Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan insyaAllah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
29 JULAI 2021 – HARAKAHDAILY 29/7/2021