Ahad, 10 Oktober 2021

Sidang Media Khas PM:Pengumuman benar rentas negeri petang ini?

 

Perdana Menteri akan membuat sidang media khas pada jam 3 petang ini.
Perdana Menteri akan membuat sidang media khas pada jam 3 petang ini.

SHAH ALAM - Selepas hampir sembilan bulan atau lebih 270 hari 'dikurung', rakyat Malaysia bakal kembali menikmati satu lagi erti kebebasan apabila kebenaran rentas negeri akan dibenarkan semula.

Lebih 32 juta rakyat Malaysia pasti menanti dengan penuh debar di depan kaca TV atau telefon bimbit masing-masing tepat jam 3 ini untuk menyaksikan sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dengan kadar vaksinasi dewasa di Malaysia cuma berbaki 0.3 peratus untuk mencapai sasaran 90 peratus, ramai yang menjangkakan sidang media khas pada hari Ahad itu ada kaitan dengan kebenaran rentas negeri.

Berdasarkan laman sesawang Covid Now yang dikemaskini, negara mencatat 89.7 peratus dos lengkap suntikan vaksinasi Covid-19 bersamaan dengan 21 juta individu melibatkan populasi dewasa.

Ismail Sabri pada 22 September lalu mengumumkan, rakyat akan dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Sasaran 90 peratus itu dibuat berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan beliau.

Ismail Sabri sebelum itu terlebih dahulu mengumumkan tiada lagi sekatan rentas daerah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 10 September lalu.

-SH Online

0 comments:

Catat Ulasan