"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label MB Kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MB Kedah. Papar semua catatan

Ahad, 20 Ogos 2023

The Untold Story -MB Sanusi:Tunggul Nan Sebatang....

 Mengenang Mak yang terlantar di Hospital Sik sejak empat hari lalu. Semoga Mak cepat sembuh. 


Tunggul Nan Sebatang....

Asap dan reba

Asap yang berkepul-kepul berbunga awal tadi mula berkurang, api yang mula marak dalam timbunan reba kayu, ranting dan rumput menolaknya laju menjulang ke udara. Asap bewarna puteh bagai kepulan awan di langit tadi sudah kehitaman dan mula menghilang, diganti pucuk api menjulang merah menyala. Panas bahangnya mencucuk kulit muka dan batang betis setiap kali didekati untuk mencampak sampah dan rumput yang bergulung dirodok mata cangkul di tangan Mak.

Tanah sekangkang kera di tepi kongsi apek itu harus dicerahkan. Itulah rancangan Mak. "Jom tulong aku merong (memugar) petang ni... Kita kena tanam ubi kita sendiri jugak, tak cukup belanja kalu dok harap upah korek lubang, cabut upok (rumput) di kebun Ah Neow ja, nak buleh brapa duik!" Kata Mak. "Nak jual ni (nanti) tak payah dah, kita cabut, longgok, bale (biar) Ah Neow suruh koli dia wak nek lori. Kita tupang ubi dia".

Aku mula bayangkan lori Bedford kepala merah itu mengerang, tayarnya setinggi aku, dindingnya hijau, asap berkepul hitam dari ekzosnya yang bergedik gedik, bila Ah Bu menekan minyak. Ah Bu yang berdada merah bersinglet perang tu akan kaut ubi dalam raga cam, dan melemparnya masuk lori. Selonggok lepas selonggok, mak akan dapat duit.

Sebelum petang menjadi senja

"Hakok (angkut) cepat sikit, satgi malam gelap, nak menarah tak napak" Mak bergegas. Aku dan Ajik mengutip segala sisa kayu reba dan rumput berlari ke unggun yang sedang menyala...Prakkkk! Praaap..prap..prap..api meratah rumput basah.... Lepas Ajik buang aku pulak, kemudian berlari mengambil lagi.

Hari sudah petang, sekejap lagi senja akan menjelma. Mak berhenti menarah dan mengangkat dahan-dahan besar yang tak mampu kami angkat. Braummp! Mak mencampak kayu, bunga api berduyun-duyun seperti berebut menjulang ke udara. Waaahhh! Kami gembira sambil berlari mengekori mak.

Mak! bila Pak nak kelek Mak? Aku saja menduga. " Tak thu laaaa.... Nanti buleh duik, dia kelek la tuu"...

"Shi! Pa (cuba) mu denga molek-molek. Adik teriak ka apa tuu". Kata Mak. Pijah dan Siti ditinggalkan di rumah sedang nyenyak tidur, lebih kurang 30 meter dari situ. Adi terkodek kodek berjalan sendirian mengutip daun kapal terbang di bawah pokok cempedak depan kongsi apek. Rebah kemudian bangun.

Tusukan Tunggul Berdarah

"Buat cepat la, satgi adik jaga (bangun), dan dema teriak satgi payah, tadi lagi makan susu tuu". Mak munuju ke unggun reba dengan segumpal rumput dan dahan kayu di tangan, aku melihat Ajik memulas tunggul dari banir yang reput. Tajam dan panjang.

Mak tunduk membongkok sambil menyorong sisa kayu di tepi masuk ke tengah unggun. "Mu tengok ni aku nak lepa (lempar) masuk dalam api". Kata Ajik. Phiuuuu! Tunggul tajam itu berpusing-pusing di udara, menuju unggun api. Aah! Mak! Jagaaa! Aku menjerit... Allah! Maaakkk! ....

Chakk! Tunggul sial itu tepat tertusuk di ubun-ubun Mak, lalu jatuh di kaki... !! Ya Allah Ya Rabbi! Aduuuh laaa! Mak mengerang sakit lalu terduduk.

Hari kian senja, suasana hening, aku terpaku terkedu. Ajik tergamam, ternganga. Aku berlari mendapatkan Mak yang sedang menekup ubun-ubun dengan kedua belah tangannya yang dipenuhi tanah dan abu. Darah membuak dari celah jari Mak, meleleh hingga ke siku dan mencurah di wajahnya yang basah berkerut dijamah kesakitan.

Rambut hadapan kepala mak berjurai merah dan basah. Aduuhh! Aduh laaa...aduuuuh! Mak menangis. Mak! Mak! Jom balik Mak! Jom balik! Kita cari ubat! Suara aku tersekat-sekat. Anak yang tenggelam punca. Aku memegang tangan di kepala Mak. Tanganku basah dengan darah. Kepanasan api dan matahari petang, dengan peluh yang menyimbah seluruh tubuh Mak membuatkan darah melonjak memancut keluar.

Mak menggagahi diri bangun terketar ketar, matanya masih terpejam dalam kerutan wajah seribu garis. Bibirnya menggeletar. Dia membuka mata dan mula melangkah. Ajik meluru ke depan menyeret Adi. Cangkul, reba dan api kami tinggalkan tak peduli lagi. Mak sedang menahan lelehan darah yang tak berhenti.

Cari kopi dengan gula..lekaih! Mak berjuntai di jemoran. Aku meluru mencari tin gula dan botol kopi. Nah mak! "Ambik piring, kaco (gaul) dulu gula dengan kopi dalam piring, banyak sikit tak pa. Lekas laa, sakit ni. Aduuuh laaa!! Wuuuu!! Suara Mak tersekat sekat, air mata, darah dan air hidung mengalir serentak. Tak siapa peduli lagi. Kopi dan gula yang sudah rapat ke dasar tin dan botol aku selok dan raut dengan hujung jari-jemari, aku gumpal menjadi secekak.

Campuran gula dan kopi aku genggam untuk ditekup di kepala Mak. Aku nampak torehan tunggul itu membelah kulit kepala Mak hingga ke dalam, merahnya pekat hitam, darah masih membuak . Ajik mengoyak kain batik buruk, membalut luka sambil menangis, terhimpit rasa bersalah teramat sangat. Mak mengesat darah di muka, dahinya cekang berkerut dibirai rambut. Setiap celah garisan berkerut itu merah berdarah. Kain buruk melilit membungkus kepala hingga ke dagunya.

Demikianlah secebis kisah hidup yang dijalani, untuk mencari apa yang tidak dimiliki. 

Matahari kian beransur menggamit malam, aku masih terduduk di jemoran, gula kopi dan darah masih bersisa di celah kuku yang hitam. Ajik sedang membimbit timba di kedua belah tangannya mengangkut air dari telaga. Seliparnya mengiramakan bunyi cangkerik setiap kali dia melangkah. Dia sudah mandi membawa Adi dan Siti.

Demikianlah dugaan yang datang menimpa. Pak masih di Singapura, mengganyang tubuh sasa di celah timbunan batu bata untuk memintal nasib keluarga. Tiada siapa peduli, tiada siapa bertanya, tiada orang tampil berkongsi duka. Mungkin masing-masing sarat mengendong beban bersabung nyawa. Esoknya Pak Cik Mustafa berkunjung membelek-belek luka di kepala kakaknya. Hidup diterus juga.

Ya Allah! Ya Rahman! Ya Rahim! Tuhan sekelian alam yang Maha Pengasih Maha Penyayang... Sejahterakanlah kehidupan Mak dan Pak, limpahkan mereka dengan kebahagiaan di dunia, dan di syurga nanti. Sesungguhnya Ya Allah, jasa dan pengorbanan mereka berdua tiada taranya, menjamah duka mengharung derita, melunaskan amanahMu ke atas mereka .

Anugerahkan hari tua mereka dengan kebahagian, kesihatan tubuh badan dan ketenangan jiwa. Tambahkan kegembiraan di hati mereka berdua, jauhi mereka dari duka dan lara. Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani kami saat kami kecil, waktu kami merengek meminta itu dan ini. Rahmatilah mereka berdua, berkatilah mereka Ya Allah..Ameen! Ya Rabbal A' lamiin...


Muhammad Sanusi Md Nor

20 Januari 2013.

Kg Sungai Pau

Sik, Kedah

The Untold Story:"SM Derma: Tuan rumah berhati mulia."

 


Oleh:Muhammad Sanusi Md Nor

Masih dalam mood result SPM dan sekolah. Saya menulis artikel ini pada tahun 2011, sebagai rakaman perjalanan hidup. Sebagai penghargaan kepada insan-insan yang banyak berjasa, saya kongsikan semula tulisan ini agar adik-adik yang baru menamatkan zaman persekolahan dapat menoleh sekali sekala menghargai institusi yang menjadikan kita seorang manusia...

"SM Derma: Tuan rumah berhati mulia."

Hari Pertama Dengan Doa dan Harapan Mak

Hari pertama aku ke SM Derma, keazamanku tinggi mengunung. Mak yang datang kemarin, menanti aku di rumah Kak Ndun, aku rasa dia berdebar-debar juga, mana tau aku tak jadi mengaji juga di sekolah baru. 

Pagi-pagi lagi aku menumpang Kak Ndun dan Abang Radzi, dengan uniform baru yang mak bawa sendiri dari kampung. "Tak dak orang lain nak hata, pakat keja belaka", katanya. 

Maka Mak sendirilah bersusah payah bertukar bas dari Sungai Pau Ke Kangar, setelah aku menunggu 4 hari. " Dua kali aku gi tengok, cina tukang jahit Sayang tu kata tak dan siap. Tadi aku gi ambik, baru siap, aku terus mari sini." Mak bercerita sambil bersila berkain batik, berbaju kurung yang di pakai ke Kangar seorang diri. 

Mak lantas membuka zip beg kain bajunya untuk mengeluarkan uniform sekolahku. Tiada bajunya sendiri dalam beg itu, rupanya Mak datang sehelai sepinggang.

Waktu menghulurkan bungkusan itulah aku menatap wajahnya yang terpancar sejuta harapan seorang ibu, raut mukanya, sinar matanya, getar bibir dan suaranya, dua tangannya yang mengampu bungkusan itu bagai persembahan sebuah persalinan buat si anak. 

Segumpal hatinya bagaikan berbisik - " Dengarlah rintihan hati Mak wahai anak, walau mak tidak berbicara dengan suara, kerana Mak tak pandai menyusun kata untuk merayu agar kamu mengasihani aku, mengasihani Pak dan adik-adik, memberi harga kepada titik peluh dan pengorbanan, mulut dan perut kami yang sering kelaparan, tapi hati kami akan kenyang dengan kejayaan, kami semua bergantung harap kepadamu." Bacaan suara hati Mak itu aku simpan selama 20 tahun, hingga coretan ini ku tulis malam ini.

Demikianlah jawapan Mak andai ditanya padanya esok, lusa atau bila-bila pun. Benarnya bacaanku ini aku sudah tahu pada tahun 2005, waktu seorang rakan yang prihatin dengan sekolah Pasti, Maliki Md Daud, pada satu malam bercerita tentang Mak dan Pak yang baru dia kenali, dalam pelat Kelantannya.... "Mok mu royat ke aku, masa mu buleh masuk U, dio raso mace terlepah hute sejutoo..."

Cikgu Puan Dariah Saad adalah Pengetua SM Derma, sewaktu aku diterima menyertai warganya pada April 1992. Aku bermalam beberapa kali di rumahnya, Lorong Hj Choh, Jalan Kaki Bukit. Anaknya sekelas dengan aku. Cikgu Rosli yang glamour di kalangan pelajar dengan panggilan Mat Black sebagai Penolong Kanan, PK HEM ialah Pn Temu.

Guru- guru dan Teman

Guru-guru tingkatan enam ramah mesra, melayani murid yang paling dewasa. Tingkatan 6 sudah dipanggil pra-u, enam kritis dan enam kreatif, dan satu kelas 6 sains. 

Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam SPM belum dipanggil ke IPT, Matrik, Politeknik atau UTM (UITM), di siilah aku sempat bertemu semula sahabat lama, Amir Rizal Halip (Allayarham) sama-sama bekas budak Mat Jiwa. Rumahnya di Jelempok, sekampung dengan Akmaluddin Omar (Pak Ndak) dan Redzuan Che Rahim (Che Wan). Dia kemudian ke pelantar minyak Petronas.

Aku diterima seadanya oleh semua pelajar asal SM Derma dan yang baru masuk seperti Azad Jasmi, anak Pengetua, ayahnya Pak Cik Jasmi mengajar di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra. Mereka ahli dalam bab kereta dan sukan lumba. 

Azad beberapa kali buat drift di U turn dengan Ford Escort merah talaan perlumbaan bikinan ayahnya. Aku memaut apa yang ada, sambil kaki menekan lantai. Pak Cik Jasmi pernah berseloroh "Sanusi, rumah ni memang banyak kereta, tapi kalau himpun semua 6-7 biji kereta ni, nak beli Iswara sebiji pun tak lepaih!"

Pak Ya (Sodikin Ali), Che Own (Madzerul), Pak Wan (Wan Sulaiman), Rashidi, Nyet (Shuqizam), Russlan, Norzean, Saparudin (Pudin), Kamal (orang Bakar Bata, Alor Setar), Johaidi (Koi), Julian Ragavan, Glen Hutchins (New Zealand), Shingo Hinoh (Jepun) dan ramai yang lain.

Guru-guru

Derma mengembangkan semua bakat dan kebolehan. Cikgu Hindun (Kak Ndun) mengajar sejarah, Ustazah Fitriyah mengajar Sejarah Islam, Cikgu Yusoff mengajar Pengajian Am1, Cikgu Shariff mengajar Pengajian Am kertas 2, Cikgu Husni dan Cikgu Mokhtar, Cikgu Jamaliah (BM), Cikgu Aziz (Geografi), Cikgu Hj Omar (Ekonomi) dan ramai lagi guru-guru yang menjadi ayah dan ibu. Pn Dariah bertukar sebagai Pengtua Sekolah Tunku Kursiah, Seremban, dan Pak Wan Pengetua dari Sekolah Syed Putra (Sains Perlis) menggantikannya. 

Pak Wan berkereta Mini Cooper. Dia kemudian berhenti dan menjadi 'orang besar' Istana Perak. Cikgu Shahrim hensem orangnya, kumisnya boleh meluluhkan jiwa wanita. Dia belajar di universiti yang sama dengan Cikgu Syed Yusoff (Mat Jiwa) di Kanada. Dia khabarnya berkahwin dengan student Derma juga (pelajar tingkatan 5 masa kami di tingkatan 6 atas).

Cikgu Shariff asalnya orang Kedah juga, dia selalu masuk ke kelas mencapai kapur dan membuat garisan bengkang bengkok dari atas ke bawah di tengah- tengah papan hitam. Kadang-kadang sepanjang kelas dua period itu, hanya garisan itu saja yang ada di papan hitam. 

Satu hari, sebelum dia sampai, aku terlebih dulu membuat garisan kegemarannya di papan hitam. Apabila dia masuk, mencapai kapur, mengangkat tangan ke atas, dia terkejut! Lalu berpaling ke balakang, memandang aku dan tersenyum lama. Aku pun senyum juga, kemudian kami sekelas ketawa.

Cikgu Norizan Bakar (jurulatih bolasepak kebangsaan dan beberapa pasukan negeri) dan Cikgu Azizul adalah guru sukan Derma. Seorang lagi guru sukan yang pernah berkursus kejurulatihan di Hungary ialah Cikgu Jasni. Aku berbaik dengan semua guru yang mengajar kelas aku atau tidak.

Cikgu Hjh Sapor, selalu mempelawa aku menyicah mempelam di bilik guru. Wataknya bagai seorang ibu, anak daranya Nashrah ( kalau tak tersalah nama) memang lawa, tingkatan tiga. Azad berkenan, tapi takut mencuba. Adiknya Razif, bermain tenis. Aku pernah menemani Azad ke rumahnya di kuaters pegawai kanan kerajaan, suami Cikgu Safor pegawai tinggi di Unit Perancang Ekonomi Perlis. Anaknya yang comel itu ke Australia selepas SPM. Azad terlepas juga.

Cemerlang gemilang di Derma

Guru-guru dan kawan tidak mengorek tentang sejarah lama, tidak bertanya tentang luka nestapa, tidak menyiasat miskin atau kaya, mereka menerima seadanya seorang murid, seorang kawan. Aku bagai memasuki alam baru yang bewarna warni, sejuk dan harmoni. Aku dapat nama baru, direka oleh Che Wan - Ochee- macam nama perempuan, cabuk betoi Che Wan, mungkin mencari 'geng' satu spesis namanya.

Nasyid Tilawah dan Masuk TV

Kebetulan, tahun 1992, Pertandingan Tilawah Al- Quran Peringkat Kebangsaan diadakan di Perlis. Beberapa pelajar SM Derma dibuat screen test untuk pasukan nasyid yang akan membuat persembahan masa waktu rehat di majlis itu. Aku salah seorang daripada mereka, dan kami beri 3 pasang baju melayu siap bersampin. Itulah sampin pertama aku, dan kami masuk TV. Aku bertemu wajah dan menerima tunjuk ajar dengan pencipta lagu Allahu Akbar!, Allahu Akbar!, Allah Allahu Akbar! (lagu wajib majlis tilawah) pada tahun itu.

Forum Remaja Peringkat Kebangsaan.

Kepercayaan pertama sekolah baru itu, memberiku ruang mencuba sebagai panel forum remaja. Aku mewakili Negeri Perlis sebanyak dua kali, ke peringkat Kebangsaan. Ahli pasukan yang lain ialah Sharifah Norazwan (Pah - Pengerusi), Azad Jasmi, Norabisah dan Binwani. Aku menusik Binwani sampai menangis masa pertandingan peringkat Kebangsaan di Sarawak, tahun 1993. Aku membawa $60 ke Sarawak, pemberian Kak Ndun. Itulah kali pertama naik kapal terbang seumur hidup. [Aku menaiki kapal terbang kali kedua 15 tahun kemudian]. Pah baik hati, dia tahu aku tak ada duit, dia membelikan aku dua biji pasu Sarawak berharga hampir $90, aku hadiahkan pasu itu kepada Kak Ndun. Pada tahun sebelumnya kami bertanding Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ragbi - Johan MSSPs

Aku mengetuai pasukan ragbi sekolah, menjuarai kejohanan ragbi MSSPs 1992. Perlis tiada peruntukan untuk kami ke MSSM di Kuching. Pak Ya (Sodikin) yang bawa aku ke padang untuk mencuba. Aku melepas geram terpendam di Mat Jiwa. Aku pernah main untuk Mat Jiwa, tapi ramai 'star' di sana, aku hanya dapat tengok dari tepi padang saja, aku tak ada boot masa itu. " 

"Dejjay barua ni! hang buat koro Ochee nooo... hang pandai main ragbi rupanya.. awat tak habaq awai-awai. Caihh hang! esok hang turun lain, hang kena main wakil sekolah". Kata Pak Ya. Aku pinjam boot Abang Radzi, sampai hancur gara-gara ragbi.

Aku membuat touch dalam semua perlawanan, dan mencipta rekod pribadi membuat semua touch dan conversion dalam final dengan Syed Putra. Conversion terakhir hanya sekaki dari garisan tepi dan aku mengambil jarak hampir ke tengah. Masukk! Menang 27-0.

Takraw- Kesempatan Terakhir Bersama Amir Rizal Alip

Seperti di SM Sik, aku main takraw juga di Derma, satu regu dengan Asmadi (killer) dan Mizi Kola (feeder). Dapat pingat juga, Naib Johan berpasukan. Ada seorang budak tingkatan satu yang bagus servisnya main untuk bawah 18, kami panggil dia Non 'sinar', kerana dahinya luas. 

Amir Rizal yang masuk Mat Jiwa dulu atas tiket takraw, juga main untuk regu pertama sebagai tekong, Wazir (killer) dan Che Own ( Feeder). Amir Rizal maut dalam kemalangan beberapa tahun kemudian, meninggalkan seorang anak dan isterinya, orang Terengganu. Al-Fatihah. Sahabatku dua sekolah.

Olahraga- cedera tapi berjaya juga.

Dalam olahraga pun aku cemerlang juga. Wakili sekolah acara 400, 4x 400, rejam lembing dan lompat jauh. Masa hari terakhir latihan pusat kontinjen sekolah ke MSSPs, aku mencuba lompat tinggi, Rashidi yang kurus nipis melidi mewakili sekolah. Ketinggian yang dilepas setara aku saja, lalu kami saling bersaing. Akhirnya aku melepasi 1.75m, melepasi ketinggianku 1.68m , malangnya landing atas padang. Tulang dayung pecah, membenjol.

Sesaat lepas jatuh itu aku tak dapat bernafas, hanya menggapai-gapai dalam senak dan sesak, tercekik, rasanya seperti mau mati. Lama aku terdiam atas rumput, mata terbeliak cuba menyedut nafas yang bagai tersumbat di tekak. Nafas tak mampu disedut maupun dilepas. 

Aku diusung ke bawah pokok dewan makan asrama, membongkok mengepam dan kawan-kawan menepuk belakang. Lama kemudian, nafas datang semula, belakang sebelah kanan ada benjolan. Tangan tak dapat diangkat, aku tahu aku sudah cedera.

Malam itu Cikgu Azizul (Pak Jon) mengurut dan memicit benjolan itu depan biliknya di asrama, aku meraung kesakitan. " Esok hang pi hospital x-ray tengok jadi apa. Kalau tak ok, hang tak buleh rejam lembing la dah". Esoknya aku jumpa pakar tulang, Dr Hj Husni di Hospital Besar Kangar, keputusan x-ray memang mengecewakan. 

Bahagian tengah tulang Scapula pecah sampai ke bawah. "Scapula awak cracked. Awak kena rehat, tak boleh buat kerja berat. Nampak ni?" dia menunjukkan imej x- ray di lampu tepi mejanya.

Malam itu Pak Jon bertanya." Doktor kata apa Sanusi?" 

"Scapula saya retak, terbelah di tengah...bahasa sainsnya 'scapula crack pek' apa tak tau". Aku melawak. 

"Boleh lawan dak esok"? Pak Jon tanya. 

"Boleh, saya nak try juga laa cikgu".

Esok, di Sekolah Syed Hassan, kejohanan MSSPs bermula, aku berlari saringan 2 acara 400 meter, dapat nombor satu dengan masa 56 saat. ( Rabia Salam atlet wanita negara mencatatkan 52 saat untuk acara itu...hahahaha..). Aku masuk final. 

Aku tertinggal di no 5 di acara akhir. Aku hanya mampu swing sebelah tangan.

Lompat jauh dan merejam lembing hari kedua. Hari ini aku baru menyesal mencuba lompat tinggi tempoh hari. Aku membuka anduh berjalan ke lapangan tempat merejam lembing. Aku hanya mampu membuat satu rejaman, dari 6 cubaan yang peruntukan, mencatatkan 46 meter saja. 

Sewaktu memenangi emas di sekolah, aku membuat 56 meter, memecahkan rekod MSSPs (52 meter). Malangnya cikgu yang mengendalikan acara itu memberikan kami lembing kelas 2, 500 gram, sedangkan kelas 1 sepatutnya 650 gram. Rekod itu dibatalkan dan aku diminta mencuba secara solo sekali lagi keesokannya. Di bawah kendalian Cikgu Aisyah, guru sukan bertauliah, tanpa warm-up, tanpa mood pertandingan, hanya 3 kali cubaan dengan berat lembing bertambah 150 gram, aku hanya mencatat 51 meter - hanya memecahkan rekod sekolah (46 meter).

Lepas satu rejaman yang menyakitkan itu, Aku kembali ke kontinjen sekolah menyapu minyak angin. Keputusannya tetap membanggakan, aku dapat pingat perak.

Lompat jauh memerlukan ayunan tangan yang sistematik menggapai 'angin' selain kayuhan kaki sewaktu berlari dan melonjak. Dengan anduh mengikat tangan kanan, aku melompat juga tiga kali dari 6 percubaan. Lompatan ke tiga aku hilang imbangan, terguling pacak kepala terbalik kuang. Aku menang pingat gangsa.

[Dengan kebolehan acara merejam, melompat dan berlari, aku mengambil acara decathlon (10 disiplin sukan) di kejohanan sukan USM, 4 tahun berturut-turut. Aku menang 2 perak dan 2 emas. Lepas USM, aku tidak bersukan lagi, berat badanku melonjak 30 kilogram gara-gara berhenti olahraga]

Amat banyak yang diberikan SM Derma dan guru-gurunya kepada aku. Di sinilah aku menemui semula diriku dan persekitaran yang membolehkan aku bernafas dan menyusun langkah. Selain akademik, ko-kurikulum dan sukan, aku juga menemui fesyen remaja dan cinta.

Kenakalan tak mungkin hilang semua. Ada juga kisahnya yang terakam, tapi tidak menjadi ukuran guru-guru untuk memberi layanan dan hukuman yang tak sepadan. Tiada ungkapan yang menyinggung sejarah dan keluarga di kampung, tiada hukuman berkali-kali, tidak menjadi sasaran untuk mengukur guru disiplin melaksanakan tugasnya atau tidak.

Satu hari terjumpa Cikgu Suaidi (SM Sik) di stesen bas Kangar. Lama bercerita bersembang, sebelum berpisah dia menepuk bahu aku..." Tak sangka hang boleh 'menjadi' sampai tara nii...kalau hang macam ni lah masa di SM Sik, semua cikgu akan sayang kat hang... kalaulah depa tau..." Dia pun naik bas ke kampungnya di Arau.

Sumber:Fb Muhammad Sanusi MD Nor

Isnin, 23 Mei 2022

TMJ cabar Sanusi dedah individu digelarnya `tokong'

 Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers.

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan nama individu yang beliau gelar sebagai 'tokong' dalam bola sepak Malaysia.

Menerusi satu ciapan pada akaun Twitter miliknya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut meminta Menteri Besar Kedah itu menyatakan semua dakwaan yang dimaksudkan dengan menyertakan bukti dan fakta.

"Dia cakap pasal siapa? Sebut nama. Ceritakan segala-galanya. Ini cakap main sembur, badut Mc Donald pun boleh. Cerita semua, keluarkan bukti dan fakta. Setiap kali tenggelam terus buat cerita sensasi nak naikkan rating. Typical Politician," tulis TMJ.

Muhammad Sanusi sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa ada individu yang mengawal bola sepak Malaysia, namun tidak mendedahkan nama individu berkenaan.

Malah, ada yang mendakwa isu berkenaan turut menjadi punca JDT memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad yang dipinjamkan kepada pasukan Kedah Darul Aman FC untuk kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan.

Dalam perkembangan lain, TMJ dalam kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Facebook rasmi kelab JDT iaitu JOHOR Southern Tigers, semalam menjelaskan beliau sudah menyatakan masalah yang dihadapi bola sepak tanah air sejak 2013.

Katanya, apa yang diperkatakan itu memang berlaku dan kejayaan yang dicapai skuad Harimau Selatan ketika ini menjadi ikutan pasukan lain.

"Dari 2013 semua benda saya katakan berkenaan dengan pencapaian JDT dan masalah bola sepak tanah air, pemain-pemain, kemudahan dan pembangunan bola sepak semua dipertikaikan oleh orang-orang yang tiada pencapaian dalam industri bola sepak. Tetapi pada hari ini, semua yang saya cakap berlaku dan diikuti," katanya.

-BH Online

Rabu, 18 Mei 2022

“Bawa Banner Besar ‘Fair Play’, Tetapi Ada Tokong” – Sanusi Turut Pertikai Masa Tambahan 10 Minit Perlawanan Liga M


Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada hari ini mempertikaikan tambahan masa kecederaan selama 10 minit yang diberikan pengadil membabitkan perlawanan antara Negeri Sembilan dan JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada.

Menurut Sanusi masa kecederaan selama 10 minit itu adalah antara perkara yang jarang berlaku di dalam bola sepak.

Beliau berkata demikian untuk mengingatkan semua pihak agar tidak mewujudkan ‘tokong’ dalam kancah bola sepak tanah air.

Kedah Darul Aman

“Bola sepak ini bukan untuk individu [tertentu] dan tak boleh ada ‘tokong’ dalam sukan ini sampai semua nak pergi sembah dia dulu.

“Jangan ada tokong dalam bola sepak sebab bola sepak ini sukan untuk semua orang. Sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis ‘fair play‘ tetapi ada tokong.

“Semua nak kena tanya dia dulu. Mampuih [mampus] lagu [macam] tu. Nak main macam mana,”  katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada hari ini.

Sanusi kemudiannya memberikan contoh terdekat kepada perumpamaannya itu adalah ketika perlawanan membabitkan Negeri Sembilan dan JDT pada 11 Mei lalu.

“Contoh berlaku satu kejadian luar biasa dalam kancah bola sepak apabila pengadil perlawanan memberikan tambahan masa 10 minit pada babak kedua perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan sebelum ini,” tambahnya lagi.

Sebagai ahli gabungan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), kita nak perkara menggelikan hati begini ditangani segera.

Saya rasa main bola masa tambahan paling panjang pun tujuh minit dan itu pun kalau berlaku patah kaki contohnya yang memerlukan pemain diusung keluar.

Dalam perlawanan itu patah jari pun tidak ada tetapi masa tambahan sampai 10 minit. Ini sesuatu yang ‘very rare’.

“Jangan sampai saya bercakap pula. Apa yang saya katakan ini baru permulaan dan kalau keluar semua sekali, habis.

“Saya sedang kumpulkan lagi apa benda yang patut dicakap. Saya cakap untuk kebaikan bola sepak dan kalau betul nak tingkatkan mutu bola sepak negara, perkara ‘rare’ begini perlu dilihat dengan mata terbuka,” katanya lagi.

created by inCollage

Dalam perlawanan di antara Negeri Sembilan menentang JDT pada 11 Mei lalu, perlawanan seakan-akan berakhir tanpa sebarang jaringan sehingga sepakan terakhir Fernando Forestieri yang dihasilkan pada minit ke-100 perlawanan.

Gol tunggal perlawanan itu memberi kekalahan pertama kepada Negeri Sembilan pada musim ini, dan mengekalkan rekod 100% kemenangan kepada JDT untuk membenarkan pasukan dari selatan tanah air itu terus menggungguli saingan Liga Super Malaysia (MSL) setakat ini.

Rabu, 29 Disember 2021

Kedah lantik peguam urus tuntutan bayaran air – Sanusi

 

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menziarahi rumah seorang mangsa banjir ketika hadir program khidmat masyarakat di Kampung Batu 20, Sungai Lui, Selangor. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

HULU LANGAT: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, pi­haknya sudah melantik pasukan peguam untuk menguruskan tuntutan bayaran bekalan air mentah Sungai Muda.

Tuntutan tersebut melibatkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menampung kos pemuliharaan kawasan tadahan air negeri itu.

Untuk itu jelasnya, Kedah menyerahkan kepada mahkamah berhubung tuntutan berkenaan.

Beliau memberitahu, meski­pun Kerajaan negeri Pulau Pinang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah memberitahu bahawa negeri itu bertegas tidak akan membayar caj tersebut, namun pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat ketetapan.

“Kita sudah lantik pasukan peguam untuk uruskan perkara itu, lihat semula isu-isu perjanjian, isu-isu sejarah, isu undang-undang berkaitan dengan Akta Industri Bekalan Air 2006 kerana air mentah ini jadi hak negeri.

“Jadi kita biarkan peguam buat kerja mereka dulu kerana banyak dokumen yang perlu diteliti.

“Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) di sidang DUN dah beritahu tidak akan membayar caj, jadi kita lihat apa kata mahkamah, biar mahkamah tentukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Program Khidmat Masyarakat bersama Menteri Besar Kedah di Kampung Batu 20, Sungai Lui di sini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Namun, Pulau Pinang bertegas tidak akan membayarnya.

Kepada Pulau Pinang, Muhammad Sanusi membuat penegasan berikut: “Kita harap mereka bayar”.

-Utusan Online

Khamis, 23 September 2021

Bukti RM13 juta dipindah ke luar negara diserah kepada SPRM

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

 Dokumen dan slip yang didakwa bahan bukti berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dikatakan dipindahkan ke akaun di luar negara sudah diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu disahkan Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap yang berkata pihaknya sedang meneliti bukti tersebut sebelum mengambil tindakan susulan. Ia diperoleh selepas pegawai SPRM menemui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

“Sebelum ini kita hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media sosial dan sumber luar sebelum SPRM berkunjung ke Pejabat Menteri Besar pagi semalam. Beliau memberi kerjasama yang baik.

“Kita sudah dapatkan beberapa dokumen penting berkaitan untuk penelitian awal, namun belum ada siasatan rasmi dibuat,” katanya dipetik laporan sebuah portal.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan MB Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

Bagaimanapun, Mukhriz pula meminta Muhammad Sanusi membuat laporan polis dan kepada pihak SPRM berhubung dakwaan itu.

Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.

-Agenda Daily

Rabu, 22 September 2021

Tuduhan pindah RM13 juta ke Kanada: Beri kenyataan rasmi, tak perlu lontar dakyah, Mukhriz beritahu Sanusi

 

Mukhriz Mahathir berkata beliau menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai pemindahan wang RM13 juta ketika era pentadbirannya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa wujud rekod pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah sebanyak RM13 juta ke akaun bank luar negara adalah amat berat.

Bekas Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Mukhriz Mahathir, menyifatkan itu kali pertama beliau mendengar dakwaan sedemikian.

Mukhriz berkata, kenyataan dikeluarkan Sanusi dianggap dakwaan sangat serius.

“Kita berharap boleh dapat kenyataan rasmi. Tidak perlulah melontar dakyah atau tohmahan begitu saja, seolah-olah langgar lari. Ini kali pertama saya dengar perkara itu apabila wartawan membangkitkan soalan berkaitan perkara itu.

“Saya juga tidak tahu tentang satu isu lagi yang turut dibangkitkan dan menanti kenyataan rasmi berhubung kedua-dua dakwaan tersebut sebelum membuat kenyataan lanjut,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Petang tadi, Sanusi mendedahkan terdapat rekod membuktikan berlaku pemindahan wang milik MBI Kedah sebanyak RM13 juta dimasukkan ke akaun bank yang berpangkalan di Kanada.

Sanusi yang juga ADUN Jeneri berkata, transaksi itu berlaku ketika Mukhriz menerajui kerajaan negeri sebelum ini.-FMT

Johari tegur sikap Menteri Besar Kedah

 MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP

MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP

Alor Setar: Sikap Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang dikatakan kerap memberi kenyataan mencetuskan kontroversi mendapat perhatian ketika sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, hari ini.

Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun) ketika sesi perbahasan, meminta Muhammad Sanusi (Pas-Jeneri) mengawal dirinya ketika membuat kenyataan terbuka kerana beliau turut membawa imej negeri dan rakyat Kedah secara keseluruhan.

"Ini bukan isu peribadi dan Jeneri adalah kawan saya yang menjadi pemimpin kepada rakyat Kedah. Cuma Jeneri perlu kawal perasaan apabila buat kenyataan agar ia menjadi perangsang, motivasi dan harapan supaya kami dapat bersandar kepada Jeneri.

"Saya ke Parlimen dan orang bertanya mengapa kenyataan Menteri Besar Kedah teruk. Saya rasa cukup sayu kerana tahu Jeneri orang yang baik, jadi saya minta rakan lain bantu sama kerana imej Jeneri melambangkan kita semua," katanya ketika perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah.

Kenyataan Johari itu turut disokong Yeo Keng Chuan (PH-Kulim) yang menganggap, Kedah kebelakangan ini berhadapan beberapa isu buruk sedangkan kepemimpinan negeri harus menunjukkan contoh baik.

"Kerana itu saya mahu menghadiahkan dua buku berkaitan pentadbiran kerajaan kepada Menteri Besar, harap beliau mendapat ilham supaya kita sama-sama tunjukkan contoh baik kepada anak cucu akan datang," katanya ketika mencelah sesi perbahasan itu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi pada sidang medianya, menganggap teguran dibuat Johari dan Yeo adalah semata-mata persepsi sahaja dan beliau tidak perlu mengulasnya secara lanjut.

Menurutnya, ada ketika beliau hanya bergurau bersama rakan media, tetapi diambil terlalu serius oleh pihak terbabit sehingga mencetuskan isu lain.

-myMetro