"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab Agama. Papar semua catatan

Selasa, 26 November 2024

Soaljawab Agama:Apakah hukum memakan labi-labi?

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan labi-labi? Ini kerana di sebahagian tempat, daging labi-labi dijadikan sebagai hidangan, bahkan dikatakan juga sangat berkhasiat dan bagus untuk kesihatan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Labi-labi

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan pengenalan ringkas mengenai labi-labi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, labi-labi ialah sejenis kura-kura, dedari, Trionyx cartilagineus.[1] Labi-labi atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai Softshell turtle merupakan sejenis haiwan seperti kura-kura dalam keluarga Trionychidae. Ahli dalam keluarga ini terdapat di Afrika, Asia, Amerika Utara, dan Asia Tenggara.[2]

(Sumber gambar di atas: https://cdn.britannica.com/59/99059-050-BB601706/species-softshell-turtles-Asia-spiny-turtle-North.jpg)

Secara ringkasnya, labi-labi, (famili Trionychidae), mana-mana daripada kira-kira 30 spesies penyu yang dicirikan oleh cengkerang yang pipih. Cengkerang mereka tidak mempunyai skut epidermal (sisik besar) yang biasa ditemui pada kebanyakan penyu, seperti penyu belimbing (Dermochelys coriacea), dan seni bina tulang cengkerang mereka dikurangkan.

Labi-labi mempunyai leher yang panjang dan kepala aerodinamik dengan muncung yang memanjang seperti proboscis, di mana lubang hidung terletak di hujungnya. Mereka sering tersembunyi di dalam lumpur, pasir, dan air cetek. Dengan memanjangkan kepala dan leher supaya muncung melayang di sepanjang permukaan, mereka boleh bernafas dengan cara seperti snorkel. Semua labi-labi adalah karnivor (pemakan daging). Mereka aktif mencari mangsa dan mengejarnya atau menyerang dengan menunggu. Bentuk rata/pipih mungkin kelihatan pelik untuk haiwan yang aktif, tetapi ia kelihatan sangat cekap dari sudut pandangan hidrodinamik. Didorong oleh empat kaki mereka — kedua-dua kaki hadapan dan kaki belakang berselaput yang kuat — labi-labi adalah perenang pantas.

14 genera labi-labi dibahagikan kepada dua kumpulan evolusi: subfamili Cyclanorbinae di selatan Asia, timur laut Afrika, dan sub-Sahara Afrika; dan subfamili Trionychinae di tenggara Amerika Utara, selatan Asia, dan Afrika. Labi-labi Cyclanorbine terdiri daripada dua genus Afrika (Cyclanorbis dan Cycloderma) dan satu genus (Lissemys) labi-labi India (Indian flapshell turtle) dan labi-labi Burma (Burmese flapshell turtle).

Labi-labi Trionychine lebih pelbagai dari segi biologi. Tiga spesies labi-labi Amerika Utara (Apalone) bersaiz sederhana, dan jantan dewasa membesar kira-kira dua pertiga saiz betina. Panjang cengkerang betina dewasa adalah antara 17 cm (7 inci) dalam A. mutica dan A. spinifera hingga 63 cm (25 inci) dalam A. ferox. Labi-labi Trionychine yang terbesar ialah labi-labi bermulut sempit (narrow-headed softshell — Chitra indica) dan labi-labi gergasi Asia (Asian giant softshell — Pelochelys bibroni) di Asia Tenggara; Cengkerang kedua-dua spesies mencapai panjang melebihi 1 meter (3.3 kaki).

Gambar di atas: Labi-labi Burma (Burmese flapshell turtle). (Sumber gambarhttps://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/1/17/Lissemys_scutata_2.jpg/1200px-Lissemys_scutata_2.jpg).

Labi-labi mungkin bertelur sekurang-kurangnya 2 telur, seperti pada labi-labi betina muda genus Lissemys, atau lebih daripada 100 telur, seperti dalam Trionyx triunguis berbadan besar. Tempoh perkembangan embrio berbeza-beza, antara 30 hari hingga hampir 300 hari, bergantung kepada spesies dan persekitaran di dalam sarang. Dengan menggunakan kaki belakangnya, labi-labi menggali sarang di tanah yang rapuh biasanya di kawasan berhampiran air.[3]

Selain itu, labi-labi boleh berada di luar air selama 6 hingga 8 jam sehari tanpa sebarang kesan buruk. Secara umumnya, penyu (labi-labi) boleh keluar dari air selama satu jam untuk setiap empat inci (10 cm) panjang cengkerang. Ini bermakna penyu kecil dengan panjang cengkerang empat inci (10 cm) secara teorinya boleh keluar dari air sehingga empat jam. Walau bagaimanapun, ini hanyalah garis panduan umum, dan di sana terdapat banyak lagi faktor lain yang mesti dipertimbangkan. Banyak faktor mesti dipertimbangkan semasa menentukan berapa lama labi-labi boleh keluar dari air. Jenis penyu, saiz penyu, suhu persekitaran, umur, dan kelembapan; semuanya memainkan peranan dalam menentukan berapa lama penyu boleh bertahan di luar air.

Begitu juga spesies labi-labi yang berbeza boleh kekal terendam untuk tempoh masa yang berbeza. Ada yang boleh berada di dalam air selama beberapa jam, manakala yang lain mesti muncul lebih kerap. Satu faktor yang mempengaruhi berapa lama labi-labi boleh kekal tenggelam di dalam air ialah suhu air. Air yang lebih sejuk akan menyebabkan ia lebih kerap muncul untuk memanaskan badan. Selain itu, jika penyu aktif semasa di dalam air, ia mesti muncul lebih kerap untuk bernafas. Faktor lain yang mempengaruhi berapa lama labi-labi boleh kekal tenggelam ialah saiz paru-parunya. Paru-paru yang lebih besar boleh menampung lebih banyak oksigen, membolehkan ia berada di dalam air lebih lama. Meskipun begitu, secara umumnya, kebanyakan labi-labi boleh kekal terendam selama 30 minit hingga beberapa jam.[4]

Memakan labi-labi

Sebagaimana yang kita ketahui, labi-labi tergolong dalam jenis/spesies kura-kura atau penyu. Para ulama berbeza pendapat berkenaan kehalalan daging labi-labi kepada sekurang-kurangnya dua pendapat.

Pendapat pertama, labi-labi haram dimakan. Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (5/130) bahawa haram menurut mazhab al-Syafi‘i haiwan dua alam iaitu haiwan yang boleh hidup secara berterusan di darat dan di laut jika tidak mempunyai haiwan bandingannya di darat yang boleh dimakan. Mereka telah memberi contoh seperti katak, ketam, ular, nasnas, buaya, dan penyu. Pengharaman jenis dua alam ini adalah berdasarkan apa yang telah disebut oleh al-Rafi‘i dan al-Nawawi dalam al-Raudhah dan sebagaimana hukum asalnya, dan pendapat ini dipegang oleh al-Ramli.

Ini jelas disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini  dan al-Ramli bahawa penyu diharamkan untuk dimakan kerana ia dianggap jijik dan kotor. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/146; Nihayah al-Muhtaj, 8/152). Begitu juga Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari turut menyebutkan bahawa penyu haram dimakan kerana dagingnya dianggap jijik dan kotor.  Demikianlah juga ‘Abd al-Rahman al-Jaziri menyebutkan bahawa diharamkan memakan kura-kura darat atau laut yang dikenali juga sebagai penyu kerana ia mampu hidup di daratan dan lautan. Malah, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa pendapat yang tepat dalam mazhab Syafi‘i, penyu adalah diharamkan untuk dimakan. (Lihat Fath al-Wahhab, 2/235, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/7).

Pendapat kedua, labi-labi halal dimakan. Selain itu, terdapat dalam kalangan ulama yang menghalalkan dagingnya kerana ia termasuk dalam haiwan air. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Mengenai hal ini, Ibn Qudamah jelas menyebutkan dalam kitabnya, binatang buruan laut ialah haiwan yang hidup di dalam air, bertelur dan menetas di dalamnya seperti ikan, penyu, ketam dan seumpamanya. Dinukilkan daripada ‘Ata’ mengenai haiwan yang hidup di daratan seperti penyu dan ketam, maka ia menyerupai burung air — yakni dari segi hukum. Namun, Ibn Qudamah menolak pendapat tersebut dengan menyatakan bahawa penyu dan ketam itu bertelur di dalam air dan menetas di dalamnya, maka ia menyerupai ikan. Adapun burung air pula seperti itik dan seumpamanya merupakan binatang buruan darat berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. (Lihat al-Mughni, 3/316)

Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyatakan, segala haiwan yang hidup di darat yang terdiri daripada haiwan laut (hidupan air) tidak halal (dimakan) tanpa penyembelihan, seperti burung air, penyu, dan anjing laut, kecuali yang tidak mempunyai darah merah seperti ketam kerana sesungguhnya ia halal (dimakan) tanpa penyembelihan. Imam Ahmad berkata: “Ketam tidak mengapa.” Ditanyakan juga kepadanya: “Adakah ia perlu disembelih?” Beliau menjawab: “Tidak.” Ini kerana tujuan penyembelihan adalah untuk mengeluarkan darah daripadanya dan membersihkan dagingnya dengan menghilangkan darah tersebut. Maka, apabila haiwan itu sendiri tidak mempunyai darah merah, maka ia tidak lagi berhajat kepada penyembelihan tersebut. Adapun haiwan yang selainnya, tidak halal (dimakan) kecuali setelah disembelih. Imam Ahmad berkata: “Anjing laut perlu disembelih (bagi menghalalkannya), dan saya tidak melihat adanya masalah dengan penyu (untuk dimakan) jika ia disembelih, dan begitu juga penyu besar (bagi menghalalkannya) perlu disembelih.” (Lihat al-Mughni, tahqiq al-Turki, 13/344).

Tambahan lagi, Mustafa al-Suyuti al-Hanbali juga ada menyebutkan bahawa tidak dihalalkan haiwan yang dapat hidup di dalam air dan juga di daratan seperti anjing laut, burung air, penyu dan ketam kecuali dengan sembelihan. Imam Ahmad berkata:

كَلْبُ الْمَاءِ نَذْبَحُهُ، وَلَا نَرَى بَأْسًا بِالسُّلَحْفَاةِ إذَا ذُبِحَ إلْحَاقًا لِذَلِكَ بِحَيَوَانِ الْبَرِّ؛ كَكَوْنِهِ يَعِيشُ فِيهِ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Anjing laut kami menyembelihnya (sebelum dimakan). Kami juga berpendapat bahawa tidak mengapa memakan penyu jika disembelih (terlebih dahulu) dengan menisbahkan perkara tersebut kepada haiwan darat kerana ia juga dapat hidup di daratan sebagai langkah berhati-hati.” ( Lihat Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha, 6/329.)

Begitu juga al-Buhuti menyebutkan bahawa haiwan air yang dapat juga hidup di daratan seperti anjing laut, burung air, penyu, ketam dan seumpamanya, maka haiwan-haiwan itu tidak halal untuk dimakan melainkan setelah disembelih terlebih dahulu. Selain itu, al-Damiri menukilkan daripada al-Rafi‘i bahawa pendapat yang kuat (rajih) adalah haram untuk dimakan kerana penyu termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik dan kotor, serta memakan ular. Selain daripada itu, dinukilkan daripada Ibn Hazm bahawa beliau berpendapat penyu halal dimakan tidak kira penyu darat mahupun penyu laut. ( Lihat Kassyaf al-Qina‘, 6/204).

Di samping itu, Abu al-Walid al-Baji ada menyatakan, menurutku penyu (yang tinggal di laut) adalah di antara haiwan yang dibolehkan bagi orang yang sedang berihram untuk menangkapnya menurut pendapat Imam Malik bahawa ia boleh dimakan tanpa berhajat kepada sembelihan, dan ia adalah penyu air. Namun, mengikut pendapat Ibn Nafi‘ bahawa ia tidak boleh dimakan tanpa disembelih, maka tidak dibenarkan bagi orang yang sedang berihram untuk menangkapnya (atau memburunya). Adapun penyu darat, dalam kitab al-Mabsut diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa orang yang sedang berihram tidak boleh menangkap/memburu penyu darat. (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 2/247).

Jelas dapat difahami daripada kenyataan al-Baji ini bahawa di sisi Imam Malik penyu, tidak kira penyu air atau penyu darat termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan.

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga setelah menyatakan pendapat dalam mazhab Syafi‘i sebagaimana yang kami telah nukilkannya di atas, beliau kemudiannya telah membetulkan semula pendapatnya dalam kitab al-Majmu‘ bahawa semua haiwan yang tinggal di dalam air secara habitatnya[5] adalah halal bangkainya sekalipun ia boleh untuk hidup di atas daratan melainkan katak. Inilah pendapat yang muktamad di sisi al-Khatib dan Ibn Hajar al-Haitami, dan menambah pada katak — dengan memberi sebab — kerana padanya terdapat racun. Oleh itu, berdasarkan kepada pendapat ini, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu, jika kesemua haiwan ini tinggal di dalam air secara habitatnya, maka halal bangkainya dan tidak diambil kira kemampuannya untuk hidup di atas darat. Akan tetapi jika haiwan itu tinggal di atas daratan secara habitatnya,[6] maka haram bangkainya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33).

Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman kesemua haiwan dua alam yang disebutkan di atas seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain. Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549).

Tambahan lagi, jika dilihat kepada habitat labi-labi itu sendiri, kebanyakan masanya banyak dihabiskan untuk berada di dalam air atau berdekatan dengan kawasan air. Ini kerana berada luar dari kawasan air boleh memberi mudarat kepadanya. Sehubungan dengan itu, ia boleh digolongkan sebagai termasuk dalam jenis haiwan/hidupan air. Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari yang menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566.)

Tambahan pula, labi-labi termasuk dalam jenis haiwan yang tidak disebutkan secara jelas dalam al-Quran mahupun sunnah berkenaan kehalalan mahupun keharamannya. Di sana terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Bahkan al-Mawardi dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir ada menjelaskan berkenaan tiga kelompok haiwan yang terkait dengan hukum halal dan haram, di mana beliau menyatakan, adapun binatang darat ada dua jenis: Jenis yang melata (hidup di tanah) dan jenis yang terbang. Perbahasan dalam bab ini mencakupi binatang halal dan haram yang terbahagi menjadi tiga bahagian. Pertama, binatang yang ketentuan halalnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran atau sunnah (hadith). Kedua, binatang yang ketentuan haramnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran  atau sunnah (hadith). Ketiga, binatang yang ketentuan halal atau haramnya tidak ditentukan oleh nas al-Quran atau sunnah. Dalam hal ini, dua ayat (iaitu ayat 4 surah al-Ma’idah dan ayat 157 surah al-A‘raf) dan hadith Nabi SAW boleh dijadikan sebagai dasar/kayu ukur  dalam menentukan kehalalan atau keharamannya.

Adapun ayat yang dimaksudkan adalah firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah al-Ma’idah: 4)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa dijadikan yang baik-baik itu sebagai halal.

Manakala ayat kedua pula adalah firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa apa yang baik-baik itu dijadikan sebagai halal, manakala apa yang buruk itu dijadikan sebagai haram. Ayat ini lebih umum daripada ayat yang pertama kerana ayat pertama hanya khusus pada penghalalan yang baik-baik, sedangkan ayat ini merangkumi penghalalan yang baik-baik dan pengharaman yang buruk-buruk. Maka Dia menjadikan yang baik itu halal dan yang buruk itu haram. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/132).

Justeru, dapat difahami bahawa standard kehalalan sesuatu makanan atau minuman itu bergantung kepada sama ada ia tayyibat (benda yang baik-baik) ataupun tidak, begitu juga sebaliknya di mana makanan atau minuman itu dikira sebagai haram disebabkan oleh khaba’ith (benda yang buruk).

Demikianlah juga Imam al-Haramain al-Juwaini turut menyebutkan, di antara usul (atau asas) yang dapat dijadikan sebagai rujukan dalam soal penghalalan dan pengharaman sesuatu ialah apa yang dianggap baik dan dianggap buruk. Imam al-Syafi‘i telah menjadikannya sebagai dasar utama dan menetapkannya berdasarkan dengan firman Allah SWT (dalam surah al-Ma’idah ayat 4 yang bermaksud): “Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’” (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 18/210)

Malah, al-Suyuti juga ada menjelaskan berkenaan haiwan yang susah untuk ditentukan statusnya; sama ada ia halal atau haram sebagaimana beliau nyatakan bahawa haiwan yang susah untuk diketahui berkenaan kehalalan atau keharamannya, ada dua pendapat. Pendapat yang kuat di antara dua pendapat itu adalah halal hukumnya seperti mana dikatakan oleh al-Rafi‘i. Manakala al-Mutawalli pula berpendapat, haiwan seperti itu adalah haram untuk dimakan. Namun, Imam al-Nawawi menyelisihi pendapat ini dengan menyatakan, pendapat yang lebih dekat (dengan kebenaran) dan selari dengan pendapat Imam al-Syafi‘i adalah halal. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 60).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbahasan di atas, jelas bahawa labi-labi atau soft-shell turtle termasuk dalam kategori haiwan yang tidak terdapat nas syarak yang jelas mengenai pengharamannya mahupun kehalalannya. Bahkan para ulama berselisih pendapat berkenaan hal tersebut seperti mana yang kami telah nukilkan di atas. Namun, dalam hal ini, kami cenderung kepada pendapat bahawa labi-labi adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan bahawa ia memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya: “Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Walau bagaimanapun, bagi menghalalkannya kami berpendapat, ia hendaklah disembelih seperti mana haiwan-haiwan darat yang lain. Inilah pendapat yang lebih selamat dan dilihat lebih berhati-hati (ihtiyat). Selain itu, pendapat ini juga adalah selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majelis Ulama Indonesia (no. 51 tahun 2019) bahawa bulus (labi-labi) adalah halal dimakan dengan syarat disembelih secara syar‘i.[7]

Apatah lagi, dikatakan bahawa daging labi-labi mempunyai khasiat seperti dapat meningkatkan sistem imun, menurunkan tekanan darah, dan menggalakkan umur panjang. Begitu juga dikatakan ia adalah sumber nutrien yang baik, termasuk protein, kalsium, vitamin A, B1, B2, B6 dan zink.[8] Selain itu, ia dipercayai dapat meningkatkan kolagen kulit. Oleh sebab itu, ia adalah hidangan yang sangat popular untuk wanita yang percaya memakan labi-labi akan mengekalkan penampilan muda mereka.[9] Firman Allah SWT:

 وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi “الطَّيِّبَاتِ” ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan “الْخَبَائِثَ” pula bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83).

Bahkan di sana terdapat kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ النَّافِعَةِ الإِبَاحَةُ وَفِي الْأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal sesuatu yang bermanfaat adalah harus/dibolehkan, manakala (hukum asal) sesuatu yang membahayakan pula adalah haram.” (Lihat Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, hlm. 360).

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia, apakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburu haiwan seperti labi-labi ini kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk mendapatkan dan makan haiwan tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=labi-labi. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Labi-labi. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[3] Lihat https://www.britannica.com/animal/softshell-turtle. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[4] Lihat https://turtleworldinfo.com/how-long-can-softshell-turtles-be-out-of-water/#How_Long_Can_Softshell_Turtles_Be_Out_of_Water. Diakses pada 19 Julai 2024.

[5] Yakni kehidupannya lebih banyak di dalam air.

[6] Yakni kehidupannya lebih banyak di atas daratan.

[7] Lihat https://mui.or.id/baca/fatwa/hukum-mengonsumsi-daging-bulus. Diakses pada 19 Julai 2024.

[8] Lihat https://vovworld.vn/en-US/food-delight/a-menu-with-softshell-turtles-929966.vov. Diakses pada 19 Julai 2024.

[9] Lihat https://www.foodrepublic.com/1388125/steamed-softshell-turtle-no-waste-delicacy-china-vietnam/. Diakses pada 19 Julai 2024.

Sumber

Isnin, 4 Mac 2024

Bolehkah sebut Rabbighfirli sebelum menyebut Amin selepas fatihah ketika solat?

 SEBUT RABBIGHFIRLI SEBELUM AMIN

SOALAN :

Apakah hukumnya menyebut رَبِّ اغْفِرْ لِي selepas selesai membaca surah fatihah sebelum mengucap amin kerana saya ada setengah orang membacanya?

Dan setengah orang membaca dengan lebih panjang yaitu رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ apakah hukumnya?

JAWAPAN :

Pada masalah ini setengah ulamak tidak menyebutnya di dalam kitab-kitab mereka dan sebahagiannya berkata dengan harus menyebutnya.

Berkata fuqahak yang mengharuskan menyebutnya adalah selepas seorang itu membaca surah Al-Fatihah sebelum menyebut amin adalah harus jika dia hendak membaca doa seperti membaca رَبِّ اغْفِرْ لِي yang bermaksud wahai Tuhanku ampunilah bagiku dan kemudian dari dia membaca doa ini barulah dia menyebut perkatan آمِينَ.

Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami menyebut di dalam Kitab At-Tuhfah :

يَنْبَغِي اسْتِثْنَاءُ نَحْوِ رَبِّ اغْفِرْ لِي لِلْخَبَرِ الْحَسَنِ أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عَقِبَ الضَّالِّينَ رَبِّ اغْفِرْ لِي آمِينَ

Artinya : “Sayugia dikecualikan akan ucapan رَبِّ اغْفِرْ لِي kerana hadith yang hasan sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam menyebut selepas selesai membaca الضَّالِّينَ akan bacaan رَبِّ اغْفِرْ لِي kemudian baginda menyebut آمِينَ.

Maksud dikecualikan itu ialah pada masalah seseorang yang telah membaca bacaan yang lain selepas membaca fatihah sebelum menyebut amin maka luputlah tempat disunatkan membaca amin melainkan sebab membaca رَبِّ اغْفِرْ لِي maka masih disunatkan menyebut amin selepasnya. 

Dan jika seorang itu mendoakan lebih dari رَبِّ اغْفِرْ لِي seperti dikatanya رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ maka hukumnya adalah harus.

Berkata Syeikh Ali As-Syubramallisi :

لَوْ زَادَ عَلَى ذَلِكَ وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ لَمْ يَضُرَّ أَيْضًا

Artinya : “Kalau seorang itu menambah atas رَبِّ اغْفِرْ لِي akan lafaz وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ maka ia tidaklah memberi mudarat juga.” (Kitab Hasyiah An-Nihayah)

Dan adalah membaca رَبِّ اغْفِرْ لِي ini hanyalah bagi mereka yang membaca fatihah olih itu jika seorang itu hanya mendengar orang lain membaca yang fatihah maka tiadalah atasnya membaca رَبِّ اغْفِرْ لِي.

Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Hadhrami :

وَقَوْلُ رَبِّ اغْفِرْ لِي مَطْلُوْبٌ مِنَ الْقَارِئِ فَقَطْ فِى السَّكْتَةِ بَيْنَ آخِرِ الْفَاتِحَةِ وَآمِيْنَ

Artinya : “Dan ucapan رَبِّ اغْفِرْ لِي hanya dituntut dari orang yang membaca fatihah sahaja ketika diam antara akhir fatihah dan آمِيْنَ.” (Kitab Bughyah Al-Mustarsyidin)

Kesimpulannya siapa yang membaca rabbighfirli sebelum menyebut amin itu hukumnya adalah dibolehkan kerana sebahagian fuqahak mengharuskannya dan siapa yang tidak menyebutnya maka tidaklah mengapa. 

wallahua’lam 

ustaz azhar idrus

Isnin, 19 Februari 2024

Hukum minum air yang ada bangkai serangga didalamnya

 BANGKAI SERANGGA DALAM AIR

SOALAN :

Adakah air kopi yang ada di dalamnya bangkai semut itu najis dan apakah hukum meminumnya?

JAWAPAN :

Serangga seperti semut dan lalat dan nyamuk adalah binatang yang tidak mempunyai darah yang mengalir. Apabila mati ia di dalam air yang bersih maka bangkainya itu tidak menajiskan air tersebut maka jika jatuh ia ke dalam air minum maka harus meminum air tersebut selepas dibuangkan akan bangkainya ke luar dan jika jatuh ke dalam air mutlak maka harus menggunakan air itu untuk bersuci dan menghilangkan najis.

Berkata Imam Nawawi :

وَأَمَّا الْمَيْتَةُ الَّتِي لَا نَفْسَ لَهَا سَائِلَةً، كَالذُّبَابِ وَغَيْرِهِ. فَهَلْ تُنَجِّسُ الْمَاءَ وَغَيْرَهُ مِنَ الْمَائِعَاتِ إِذَا مَاتَتْ فِيهَا؟ فِيهِ قَوْلَانِ. الْأَظْهَرُ لَا تُنَجِّسُهُ، وَهَذَا فِي حَيَوَانٍ أَجْنَبِيٍّ مِنَ الْمَائِعِ، أَمَّا مَا مَنْشَؤُهُ فِيهِ، فَلَا يُنَجِّسُهُ بِلَا خِلَافٍ

Artinya : “Dan adapun bangkai haiwan yang tiada baginya darah yang mengalir seperti lalat dan lainnya maka adakah ia menajiskan akan air dan lainnya dari segala jenis cecair apabila mati ia didalamnya? Pada masalah ini ada dua pendapat. Bermula pendapat yang lebih zahir tiadalah bangkainya itu menajiskan air. Dan hukum ini adalah pada haiwan yang bukan jenis yang tinggal di dalam air. Adapun haiwan yang tinggal di dalam air maka bangkainya tidak menajiskan akan air dengan tiada khilaf.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

wallahua’lam

ustaz azhar idrus

Rabu, 27 Disember 2023

MENANGIS KETIKA MELALUI NEGERI YANG DILAKNAT ALLAH

 MENANGIS DI NEGERI MUSUH ALLAH


SOALAN :

Saya masih ingat dalam satu ceramah tentang kematian lama dahulu seorang ustaz ada menyebut sunat menangis jika lalu dekat negeri yang dilaknat atau kubur musuh-musuh Allah seperti kubur firaun dan seumpamanya kerana ada hadith yang menyebut demikian.

Mohon penjelasan.

JAWAPAN :

Sungguhnya para ulamak telah menyebutkan siapa yang pergi ke tempat atau negeri musuh-musuh Allah yang telah dibinasakan dengan azab atau kubur mereka atau orang yang pergi berjalan melihat tinggalan-tinggalan istana dan kota mereka mereka disunatkan dia menangis kerana telah sabit dalam hadith-hadith yang sahih Nabi sollallahu alaihi wasallam memerintahkan yang demikian itu.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. beliau telah berkata :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- لأَصْحَابِ الْحِجْرِ: «لاَ تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلاَءِ الْمُعَذَّبِينَ، إِلاَّ أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ

Artinya : “Telah bersabda olih Rasulullah sollallahu alaihi wasallam  tentang Ashabul Hijir : Jangan kamu sekelian pergi ke tempat mereka itu yang sekelian mereka itu diazab melainkan bahawa kamu sekelian menangis kerana takut menimpa akan kamu sekelian seumpama azab yang telah menimpa mereka itu.” (Hadith riwayat Bukhari)

Dan diriwayatkan daripada Salim bin Abdullah dari bapanya r.a. :

أنَّ النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم لَمَّا مَرَّ بالحِجْرِ قَالَ لاَ تَدْخُلُوا مَساكِنَ الَّذِينَ ظلَمُوا إلاَّ أنْ تَكُونُوا باكِينَ أنْ يُصِيبَكُمْ مَا أصَابَهُمْ

Artinya : “Sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam ketika baginda melalui dengan negeri kaum Al-Hijir baginda telah bersabda : Jangan kamu sekelian masuk ke negeri-negeri orang yang zalim mereka itu melainkan dalam keadaan kamu sekelian menangis kerana takut bahawa menimpa akan kamu sekelian azab yang telah menimpa mereka itu.” (Hadith riwayat Bukhari)

Yang dimaksudkan ashabul Hijir itu ialah kaum Tsamud dan negeri Al-Hijir ini ialah negeri kaum Tsamud dan kedudukannya antara Madinah Al-Munawwarah dan Syam.

Adalah kaum Hijir ini mendustakan olih mereka akan Rasul yang diutuskan kepada mereka.

Firman Allah Taala :

ولَقَدْ كَذَّبَ أصْحَابُ الحِجْرِ المُرْسَلِين

Artinya : “Dan sungguhnya Ashabul Hijir telah mendustakan Rasul-Rasul.” (Al-Hijr : 80)

Dan adalah peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersama tentera Islam melalui negeri Al-Hijir pada tahun berlakunya perang Tabuk.

Dan tidaklah tertentu disuruh menangis ini ketika pergi negeri kaum Tsamud sahaja bahkan sekelian tempat atau negeri kaum yang seumpama mereka itu seperti Sodum yaitu negeri kaum Luth di Jordan dan tinggalan kerajaan Firaun di Mesir dan seumpamanya.

Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar :

هذا يتناول مساكن ثمود وغيرهم ممن هو كصفتهم

Artinya : “Perintah menangis dan mengambil iktibar ini mencakupi tempat tinggal kaum Tsamud dan juga selain mereka itu dari orang-orang yang sifatnya seperti mereka.” (Fathul Baari)

Hukum menangis ketika pergi ke negeri atau tempat kediaman atau tanah perkuburan musuh-musuh Allah ini ialah sunat dan hikmahnya supaya bertafakkur memikirkan nasib orang-orang yang kufur dengan Allah dan mendustakan Rasul-Nya kerana menangis itu membawa kepada berfikir olih hati dan mengambil iktibar.

Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar :

ووجه هذه الخشية أن البكاء يبعثه على التفكر والاعتبار، فكأنه امرهم بالتفكر في أحوال توجب البكاء من تقدير الله تعالى على أولئك بالكفر مع تمكينه لهم في الأرض وأمهالهم مدة طويلة، ثم إيقاع نقمة بهم وشدة عذابه

Artinya : “Dan gambaran rasa takut dalam hadith ini bahawasanya menangis itu membangkitkan seseorang atas berfikir dan mengambil iktibar maka seolah-olah Rasulullah menyuruh mereka itu dengan tafakkur pada segala hal yang mewajibkan menangis daripada takdir Allah Taala ke atas kaum tersebut dengan kekufuran mereka itu pada hal Allah memberikan mereka negeri dan tempat tinggal di bumi dan harta benda dalam masa yang panjang kemudian ditimpa kemusnahan ke atas mereka dan bersangatan azab.” (Fathul Baari Syarah Sahih Al-Bukhari)

Berkata Imam ibnu Rajab Al-Hanbali :

هذا الحديث: نص في المنع من الدخول على مواضع العذاب، إلا على أكمل حالات الخشوع والاعتبار، وهو البكاء من خشية الله وخوف عقابه الذي نزل بمن كان في تلك البقعة، وان الدخول على غير هذا الوجه يخشى منه إصابة العذاب الذي أصابهم

Artinya : “Hadith ini adalah nas pada melarang dari pergi ke tempat-tempat azab melainkan dalam keadaan sempurna khusyuk dan mengambil pengajaran. Dan yaitu menangis kerana takutkan Allah dan azab-Nya yang telah turun azab itu atas orang-orang di tempat itu dan sungguhnya pergi dengan tidak menangis dan tidak ada rasa takut kepada azab Allah dibimbangi mengenainya azab yang telah menimpa mereka itu.” (Syarah Sahih Al-Bukhari)

Kesimpulannya disunatkan orang yang lalu atau pergi ke tempat atau negeri kaum yang telah di azab olih Allah bahawa lalu ia atau masuk ia dalam keadaan menangis dan takut dan mengambil iktibar dengan perbuatan kaum tersebut yang telah kufur kepada Allah.

Dan adalah kebanyakkan ulamak memakruhkan sengaja berjalan makan angin atau melancung mengunjungi negeri-negeri kaum yang telah diazab olih Allah ini melainkan kerana keperluan.

Dan jika ada keperluan lalu pada negeri tersebut hendaklah dalam keadaan menangis dan takut dengan azab Allah dan bukannya bergembira bersuka ria seperti yang banyak dikerjakan olih orang awam.

wallahua’lam

ustaz azhar idrus