"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Mahkamah Tinggi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mahkamah Tinggi. Papar semua catatan

Isnin, 12 Februari 2024

𝗠𝗔𝗛𝗞𝗔𝗠𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗡𝗧𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗛𝗙𝗨𝗭 𝗕𝗔𝗬𝗔𝗥 𝗥𝗠𝟮𝟱𝟬,𝟬𝟬𝟬 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗦𝗔𝗡𝗨𝗦𝗜

 𝗠𝗔𝗛𝗞𝗔𝗠𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗡𝗧𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗛𝗙𝗨𝗭 𝗕𝗔𝗬𝗔𝗥 𝗥𝗠𝟮𝟱𝟬,𝟬𝟬𝟬 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗦𝗔𝗡𝗨𝗦𝗜

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung kenyataan fitnah yang dibuat pada 2020.

Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari membuat keputusan itu selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Muhammad Sanusi selaku plaintif terhadap Mahfuz sebagai defendan.

Mahkamah mendapati Mahfuz melakukan fitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dibuat Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dikatakan adalah untuk kegunaan Menteri Besar.

Mahkamah memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi teladan RM50,000 selain defendan perlu menanggung kos guaman berjumlah RM30,000 yang semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari.

Defendan turut diperintahkan membuat permintaan maaf secara terbuka di akhbar bahasa Melayu dan Inggeris selain turut membuat perkara sama di laman sosial Facebook milik Mahfuz mengikut yang ditetapkan Sanusi dalam tempoh 14 hari.

Mahkamah turut mengekalkan injuksi dimohon Sanusi bagi menghalang Mahfuz, ejen dan penyokongnya mengulangi kenyataan fitnah berkenaan termasuk tidak mengulang siar kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Arik berkata tuduhan Mahfuz bahawa Muhammad Sanusi mengarahkan SADA membeli Toyota Vellfire bagi kegunaan peribadi Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebagai fitnah dan berniat jahat.

"Mahkamah mendapati kenyataan yang dikeluarkan defendan terhadap plaintif melalui Facebook bahawa kenderaan Vellfire yang menggunakan dana SADA adalah untuk kegunaan dan kepentingan peribadi plaintif adalah bersifat fitnah dan dibuat dengan niat jahat terhadap plaintif.

"Defendan sendiri mengakui dalam keterangannya bahawa kenyataan yang dikeluarkan beliau itu adalah berdasarkan satu dokumen kertas kerja yang beliau sendiri telah gagal mengesahkan sumber dan ketulenan sumber tersebut

"Plaintif berjaya membuktikan terdapat kenyataan media pihak SADA dan saksi plaintif mengesahkan bahawa kenderaan Toyota Vellfire dibeli untuk pengurusan tertinggi SADA dan orang-orang yang diberi kebenaran SADA dan bukan untuk kegunaan Menteri Besar Kedah," katanya.

Dalam prosiding berkenaan Muhammad Sanusi diwakili barisan peguam diketuai Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu dan Adam Luqman Amdan, manakala Muhammad Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah mewakili Mahfuz.

Pada Oktober 2020, Muhammad Sanusi dilaporkan memfailkan saman fitnah ke atas beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa pembelian MPV Toyota Vellfire milik SADA itu adalah bagi kegunaannya.

Antara pemimpin berkenaan adalah Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena; bekas ADUN Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh dan dua individu lain.

Muhammad Sanusi menjelaskan, pembelian kenderaan terbabit dibuat Jawatankuasa Perolehan Aset SADA secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.

Sementara itu, Muhammad Faiz ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan secepat mungkin bagi penangguhan hukuman sementara defendan memfailkan rayuan berkenaan.

kredit 

Isnin, 5 September 2022

Zahid Hamidi terima suapan untuk diri sendiri - Pendakwaan

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Sep 5, 2022 5:02 PM

Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima suapan untuk dirinya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Abdul Malik Ayob berkata sumbangan yang diserahkan oleh pegawai Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada Ahmad Zahid adalah secara peribadi dan tidak pernah dibayar ke dalam akaun Umno walaupun bayaran itu dikatakan untuk sumbangan politik.

“Walaupun pihak pembelaan berkata wang itu adalah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya.

“UKSB juga tidak pernah membayar wang itu ke dalam akaun UMNO atau menerima resit daripada pembayaran itu. Tertuduh juga tidak pernah menolak atau menyerahkan wang itu semula apabila wang itu diserahkan kepadanya,” kata Abdul Malik dalam hujahnya di akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata keterangan daripada tiga saksi utama termasuk dua bekas Pengarah UKSB iaitu Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, yang merupakan saksi pendakwaan ke-15, ke-16 dan ke-17 adalah konsisten berhubung penyerahan wang itu kepada Ahmad Zahid.

“Harry Lee dan Wan Quoris Shah bersetuju ketika memberi keterangan bahawa tertuduh tidak pernah menyatakan jumlah wang yang akan disumbangkan, hanya tertuduh menyatakan bahawa sumbangan itu mesti dibuat secara tunai dan dalam mata wang dolar Singapura.

“Mereka juga bersetuju penghantaran wang itu dilakukan di Country Heights, Kajang atau Seri Satria, Putrajaya dan penyerahan dilakukan pada waktu malam selepas 10 malam. Mereka juga dapat menggambarkan kediaman peribadi atau rasmi tertuduh yang penghantaran dilakukan di kediaman itu,” katanya.

Sementara itu, TPR Zander Lim Wai Keong berhujah mengenai aduan pihak pembelaan bahawa pihak pendakwaan telah bertindak secara tidak adil, bias dan melakukan pendakwaan terpilih terhadap tertuduh.

“Persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah sama ada hak tertuduh terhadap perbicaraan yang adil telah dilanggar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata Ahmad Zahid telah diwakili oleh pasukan peguam yang kompeten, diberi peluang menyoal balas saksi pendakwaan dan diberi peluang untuk membela diri semasa kes pendakwaan serta diberi masa yang mencukupi untuk memfailkan hujahan bertulis.

“Tertuduh juga diberi hak untuk mengemukakan pembelaan secara lisan pada penutup kes pendakwaan dan tanpa keraguan, kes ini dibicarakan di hadapan Yang Arif yang merupakan seorang yang adil dan saksama,” katanya.

Zander Lim juga berhujah bahawa tidak ada pelanggaran hak beliau di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pertuduhan yang dihadapi tertuduh tidak bersifat diskriminasi, tertuduh diberikan hak prosedur yang sama untuk pelepasan dan pembelaan sama seperti tertuduh lain dalam perbicaraan jenayah tanpa diskriminasi.

“Tertuduh berhak mengemukakan semua pembelaan termasuk memeriksa saksi-saksi pendakwaan,” tambah beliau.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pendakwaan akan menyambung hujahan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa esok.

- Bernama

Khamis, 16 Jun 2022

'Saya hantar bagasi berisi wang tunai RM3 Juta kepada Ahmad Zahid' - Saksi

 AHMAD Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Faiz Anuar.

AHMAD Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Shah Alam: Bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) David Tan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah menghantar bagasi berisi RM3 juta kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Seri Satria, Putrajaya.

Tan, 47, bagaimanapun tidak ingat bila penghantaran itu dilakukan tetapi ia adalah kali kedua beliau ke kediaman rasmi Ahmad Zahid bersama bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Katanya, beliau telah memasukkan wang itu ke dalam bagasi beroda dan meninggalkannya di ruang tamu.

Ditanya mengenai penghantaran pertamanya, saksi itu berkata: "Saya ke rumah Ahmad Zahid dengan Wan Quoris (bekas Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani).

"Kami ke ruang tamu (rumah Ahmad Zahid), kemudian Wan Quoris mula bercakap mengenai operasi perniagaan dan juga isu politik. Selepas itu, Wan Quoris meminta diri dan keluar dari bilik itu.

"Kemudian saya mengambil sampul (yang berisi wang itu) dan memaklumkan Datuk Seri bahawa ini sampulnya serta meninggalkan ia di atas meja, salam Datuk Seri dan meninggalkan bilik itu," katanya.

Semasa membacakan pernyataan saksinya, Tan berkata, beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyediakan wang tunai untuk dihantar kepada Ahmad Zahid setiap bulan.

"Saya diminta berbuat demikian oleh Harry (Lee). Saya juga beberapa kali terlibat menghantar wang tunai kepada Datuk Seri (Ahmad Zahid). Saya telah membuat catatan untuk menunjukkan penghantaran wang tunai secara bulanan kepada Datuk Seri bermula dari Oktober 2014 hingga Ogos 2018," katanya.

Beliau juga berkata, wang yang digunakan UKSB sebagai bayaran bulanan dan sekali beri tidak diambil daripada akaun syarikat itu sebaliknya ia adalah daripada rakan kongsi perniagaan di Hong Kong.

"UKSB tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung pembayaran itu, justeru itu saya terpaksa meminta rakan kongsi kami untuk membantu.

"Dana dari Hong Kong itu akan disalur ke Malaysia melalui pengurup wang di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada saya secara tunai.

"Selepas menerima wang tunai itu, saya akan menyimpannya di dalam peti keselamatan terlebih dahulu dan apabila tiba masa untuk membuat penghantaran, saya akan mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan memasukkannya ke dalam sampul yang bertutup," katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

-myMetro

Rabu, 18 Mei 2022

UKSB beri wang tunai kepada Ahmad Zahid setiap bulan selama 4 tahun

 Ahmad Zahid (dua, kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Bernama

Ahmad Zahid (dua, kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Bernama

Shah Alam: Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini, bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Harry Lee Vui Khun berkata, bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir tahun 2014 dengan bayaran sebanyak SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

"Bayaran SG$200,000 sebulan bermula pada hujung 2014 dan berterusan sehingga pertengahan 2015. Dalam tempoh itu, kami ada pergi ke rumah beliau (Ahmad Zahid) di Country Heights, Kajang dan dalam perjumpaan itu Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) meminta sumbangan bulanan dinaikkan.

"Selepas berbincang dengan Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, Pengarah UKSB) dan David Tan, kami bersetuju untuk (memberi) SG$300,000 sebulan.

"Kemudian pada 2017, Datuk Seri Zahid meminta untuk berjumpa kami berdua di kediaman peribadinya. Dalam pertemuan itu juga Datuk Seri Zahid meminta bayaran bulan dinaikkan berikutan pilihan raya umum akan diadakan.

"Selepas berbincang dengan Wan Quoris dan David Tan, kami bersetuju untuk menaikkan bayaran bulanan daripada SG$300,000 kepada SG$520,000 sebulan," katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Abdul Malik Ayob pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah.

Saksi pendakwaan ke-15 itu menambah mereka bersetuju dengan jumlah itu selepas Ahmad Zahid memaklumkan bahagian Umno memerlukan bantuan kewangan.

"Dalam perbincangan, kami bersetuju untuk membayar sejumlah RM10,000 bagi setiap bahagian iaitu lebih kurang 100 bahagian Umno dan selepas pengiraan jumlah keseluruhan mencecah SG$520,000 sebulan," katanya.

Saksi pendakwaan ketiga, bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN) Siti Jalilah Abd Manap sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid telah menyambung kontrak UKSB untuk projek VLN walaupun kontrak sedia ada masih berbaki tiga tahun lagi.

Apabila ditanya dalam soalan tambahan oleh DPP Datuk Raja Rozela Raja Toran, bolehkah anda mengingati berapa kali anda menghantar (wang tunai) dari 2014 hingga 2018?

Beliau berkata: "Proses itu 70 peratus dilakukan oleh saya...40 kali dalam tempoh empat tahun."

Raja Rozela: Bolehkah anda ingat dengan siapa anda pergi ke Country Heights, Kajang (rumah Ahmad Zahid) untuk menyerahkan wang itu?

Harry Lee: Dengan Wan Quoris dan David Tan.

Raja Rozela: Dalam kenyataan, anda berkata wang itu diserahkan sendiri oleh anda, anda pergi bersama (Wan Quoris dan David Tan) mengapa anda berbuat demikian?

Harry Lee: Saya tak pasti, dari hari pertama penghantaran sedemikian, saya hanya ikut dari hari pertama, ia adalah pertemuan empat mata (dengan Ahmad Zahid).

Beliau menambah sepanjang 40 kali penghantaran yang dilakukannya, Ahmad Zahid tidak pernah memulangkan wang itu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

-myMetro

Selasa, 22 Februari 2022

Isu Tiga Beradik:Mahkamah perintah anak diserahkan kepada Loh Siew Hong

 GAMBAR hiasan. Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP

GAMBAR hiasan. Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.

"Terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.

"Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus," kata hakim itu.

Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Februari, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.

Loh, 34, kelihatan menangis ketika hakim menyampaikan penghakiman.

Anak Loh, kembar perempuan berumur 14 dan seorang lelaki berumur 10 tahun, ditempatkan di bilik saksi ketika prosiding itu.

Beliau memfailkan permohonan habeas corpus atas alasan walaupun Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ketiga-tiga anaknya itu kepadanya, beliau tidak dapat bertemu mereka kerana bekas suaminya M Nagahswaran menyembunyikan mereka.

Loh mendakwa mendapat tahu anak-anaknya berada dalam kawalan responden pertama (Nazirah dipercayai pendakwah) di Yayasan Hidayah Centre di Bayan Lepas, Pulau Pinang, namun dia (Nazirah) tidak membenarkannya pemohon bertemu dan menjemput anak-anaknya.

Beliau mendakwa anak-anaknya kemudian dipindahkan ke Perlis dan menempatkan mereka di bawah kawalan dua responden.

-myMetro

Rabu, 24 November 2021

Kisah benar: Polis teraniaya, meninggal dalam penjara kerana difitnah merogol.

Gambar hiasan

Sy pernah ada seorang anakguam yang merupakan seorang anggota polis. 

Beliau lantik sy sebagai peguambela untuk kes rayuan beliau kerana beliau telah dituduh bagi kes rogol dan telah kalah kes tersebut. 

Perbicaraan kes dikendalikan oleh peguam lain. 

Ceritanya begini: 

Semasa anakguam sy sedang buat tugas rondaan bersama seorang rakan polis, beliau telah nampak satu kereta Alza parking di tepi jalan di sebuah kawasan perumahan. 

Apabila diperiksa, didapati terdapat sepasang kekasih yang sedang berzina. 

Beliau kemudian tahan mereka selepas meminta mereka pakai semula baju. 

Kejadian pada waktu itu adalah dalam pukul 3 pagi. 

Anakguam sy kemudian membawa pasangan kekasih tersebut ke balai polis menggunakan kereta ronda polis manakala rakan beliau memandu kereta alza. 

Semasa di dalam perjalanan ke balai polis, pasangan kekasih tersebut merayu2 kepada anakguam sy agar tidak melaporkan hal tersebut kerana bimbang akan dibuang dari university, tempat mereka sedang menuntut. 

Sampai di parking kereta di balai polis, pasangan kekasih tersebut masih merayu2. 

Kasihan kepada mereka dan memikirkan masa depan mereka, akhirnya anakguam sy memberi amaran kepada mereka dan menyuruh mereka bertaubat. 

Wanita yang ditahan tersebut (pasangan kekasih lelaki dan wanita, bukan gay atau lesbian) kemudian meminta nombor telefon anakguam sy atas alasan ingin belanja beliau makan pada hari lain kerana ingin berterima kasih atas ihsan memberikan amaran sahaja di atas perbuatan maksiat mereka. 

Keesokkan harinya, wanita tersebut menghubungi anakguam sy dan menyatakan memerlukan bantuannya kerana teman lelaki beliau memukul beliau. 

Wanita tersebut meminta anakguam sy pergi ke kediaman beliau. 

Anakguam sy kemudian pergi berjumpa wanita tersebut. 

Apabila sampai di lokasi, wanita tersebut telah berada di hadapan guard house apartmentnya. 

Wanita tersebut menangis. Jadi anakguam sy menasihati beliau agar pergi membuat laporan polis. Wanita tersebut bersetuju. 

Mereka pergi ke balai polis menaiki kereta anakguan sy.

 Sampai di balai, wanita tersebut terus pergi ke tandas balai polis kerana katanya ingin buang air kecil.

 Setelah beberapa minit kemudian, wanita tersebut keluar dari tandas.

 Wanita tersebut kemudian menyatakan mahu membatalkan niatnya untuk melaporkan perbuatan teman lelakinya. 

Setelah puas dipujuk oleh anakguam sy agar wanita tersebut buat laporan polis, wanita tersebut tetap enggan berbuat demikian. 

Akhirnya, anakguam sy terpaksa akur dan terpaksa menghantar wanita tersebut balik ke rumah. Keesokkan harinya, tiba2 anakguam sy mendapat tahu bahawa wanita tersebut telah membuat laporan polis menyatakan anakguam sy telah merogol wanita tersebut di tandas balai polis. 

Anakguam sy kemudian dituduh bagi kesalahan merogol wanita tersebut. Setelah perbicaraan yang panjang, anakguam sy telah kalah kes. 

Semasa sy mengendalikan rayuan beliau, sy berasa sangat sedih kerana peguam asal tidak pernah mengemukakan laporan perubatan anakguam sy yang mengesahkan bahawa beliau adalah seorang yang mati pucuk. 

Laporan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak hospital 6 bulan sebelum anakguam sy bertemu wanita tersebut.

 Jadi, mustahil ianya suatu rekaan.

 Semasa sy kendalikan rayuan beliau, sy telah menghubungi pihak hospital dan disahkan anakguam sy masih mengidap penyakit tersebut. 

Ketika rayuan, mahkamah memang tidak dapat menerima bukti baru atas alasan ianya mestilah dikemukakan sewaktu perbicaraan oleh peguam asal. 

Dokumen atau bukti baru tidak boleh dikemukakan di peringkat rayuan. 

Sedih bukan. Selain itu juga, disebabkan peguam asal tidak membaca laporan doktor atau laporan perubatan terhadap pemeriksaan yang dijalankan terhadap wanita tersebut, peguam asal telah gagal untuk menyoal saksi2 tentang keadaan wanita tersebut yang berada dalam keadaan haid sewaktu kejadian rogol dikatakan berlaku.

 Malah, jika benar perbuatan rogol berlaku di dalam tandas tersebut, peguam asal sepatutnya menyoal pegawai penyiasat tentang DNA atau darah haid yang mungkin terdapat pada dinding tandas, pintu bahagian atas, mangkuk tandas, lantai tandas etc memandangkan wanita tersebut mengatakan anakguam sy ada memegang kemaluannya dan kemudian memegang pula dinding tandas,mangkuk tandas, pintu tandas dan bahagian atas pintu tandas. (possibilty terdapat kesan DNA tidak boleh ditolak begitu sahaja). 

Wanita tersebut tidak pernah mengatakan anakguam sy ada mencuci tangannya. 

Kalau ikut logik, mesti darah haid melekat pada tangan anakguam sy. 

Banyak lagi point tidak ditumbulkan atau disoal oleh peguam asal terutama sekali kesan koyakan akibat berzina dengan teman lelaki. 

Pembelaan yang dibangkitkan oleh peguam asal hanyalah penafian semata2. 

Disebabkan banyak yang tidak ditumbulkan, maka anakguam sy kalah kes. 

Oleh itu, tidak banyak yang dapat sy lakukan walaupun Hakim Mahkamah Tinggi bersetuju dengan point2 yang cuba sy hujahkan. 

Akan tetapi, Yang Arif mengatakan sepatutnya point2 di atas ditimbulkan oleh peguam asal sewaktu perbicaraan. 

Di peringkat rayuan, semua itu sudah tidak boleh ditimbulkan lagi. 

Sy menceritakan kisah ini adalah untuk menunjukkan bahawa terdapat anggota polis yang dianiaya oleh orang awam. 

Tidak dinafikan ada anggota polis yang memang aniaya orang awam tetapi kisah ini membuktikan sesiapa sahaja boleh dianiaya dan menganiaya. 

Hasil fitnah dan penganiayaan tersebut, anakguam sy telah dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan. 

Paling menyedihkan selepas selesai menjalani beberapa sebatan (tidak dapat menghabiskan 10 sebatan tersebut), beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Penjara Kajang pada tahun 2021. 

Sy menangis teresak2 (walau sy cuba untuk tahan, hati sy jadi hati tisu ketika itu) apabila menerima berita kematian beliau. 

Dalam keadaan teresak2, sy katakan pada adik beliau, “Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman. 

Sy harap wanita yang menganiaya beliau berpuas hati dengan hasil penganiayaan ini.” 

Kepada wanita pemfitnah tersebut, semoga Allah beri kamu hidayah. 

Kepada peguam asal, jadikan ini satu pelajaran agar tidak sewenang2nya mengendalikan kes jika tidak cekap. 

Kepada diri sy, berusaha keraslah untuk menegakkan keadilan walau ramai mengeji. 

Kepada sesiapa yang kenal anggota polis tersebut, doakan kebajikan beliau di sana. 

Biarlah namanya menjadi rahsia kita bersama. 

Kepada arwah F***** Bin F****, semoga rohmu tenang di sana.

 Sekian. . 


Kredit : https://liputanhariantujuh.blogspot.com

Isnin, 22 November 2021

Global Royalty fail saman terhadap Rosmah Mansor


KUALA LUMPUR - Firma barang kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL akan memfailkan semula saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut ganti rugi terhadap 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta yang didakwa masih berada dalam milikan isteri bekas Perdana Menteri itu.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada Isnin.

“Pihak kami telah memfailkan afidavit untuk mengesahkan bahawa setelah pemeriksaan oleh wakil Global Royalty pada 25 Oktober hingga 3 November lepas di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM), hanya satu gelang berlian milik Global Royalty dijumpai daripada 44 barangan kemas yang dituntut oleh Datin Seri Rosmah.

“Sebelum ini, kami telah menarik balik saman sivil yang difailkan terhadap beliau (Rosmah) pada 2019 kerana perlu mengesahkan sekiranya 44 barangan kemas itu berada di BNM atau tidak...jadi, kami akan memfailkan semula saman sivil itu kerana kami percaya 43 barangan kemas tersebut masih ada dalam simpanan beliau,” kata peguam itu.

Gurupatham berkata, berdasarkan memorandum konsainan, Rosmah perlu membayar jumlah harga barangan kemas tersebut sekiranya beliau tidak memulangkannya semula kepada Global Royalty.

Barangan kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018 yang didakwa berkaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Gurupatham berkata, mahkamah telah menetapkan 23 hingga 27 Mei 2022 untuk pendengaran tuntutan pelucuthakan barangan lain yang disita di premis Obyu Holdings termasuk barangan kemas, jam dan beg tangan serta cermin mata.

“Ia juga termasuk seutas gelang berlian bernilai AS$220,000 milik Global Royalty yang ditemui semasa pemeriksaan di BNM,” katanya.

 Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengesahkan tarikh tersebut.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.- Bernama

Jumaat, 12 November 2021

Najib dakwa PM8 cuba pesong sejarah, lupa 1MDB sejarah skandal terbesar dunia

 

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digiring oleh pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dibawa ke mahkamah pada 4 Julai 2018 bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah dan rasuah berkaitan syarikat SRC International.

Datuk Seri Najib Razak tidak mengulas pelbagai kisah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditulis adiknya Datuk Seri Nazir, sebaliknya menuduh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjaja cerita dongeng dan cuba memesongkan sejarah.

Najib tidak menyedari atau buat-buat lupa bahawa penyelewengan dana 1MDB berjumlah berbilion-bilion ringgit, merupakan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia yang melibatkan beliau, dan sejarah itu tidak boleh dipesongkan.

Sejarah juga tidak boleh dipesongkan apabila penyata akaun peribadi bekas Presiden UMNO – juga bekas Perdana Menteri keenam, dalam masa sama bekas Menteri Kewangan dan bekas Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB – menunjukkan angka RM2.973 bilion.

Sebagaimana diberitahu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari lalu bahawa Najib menerima sejumlah wang yang besar, RM2.973 bilion daripada 1MDB dalam akaunnya tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan.

Perkara itu didedahkan pegawai penyiasat pengubahan wang haram Superintendan Foo Wei Min bahawa perpindahan wang dari 1MDB ke akaun Ambank Najib bernombor 9694 dilakukan dalam tiga peringkat, termasuk pergerakan wang dari Good Star membabitkan AS$120 juta (RM369,029,514) dalam lima transaksi antara tahun 2011 dan 2012.

Pergerakan wang dari Aabar sebanyak AS$170 juta (RM523,389,779.96) melalui enam transaksi antara tahun 2011 dan 2012 dan peringkat (ketiga) Tanore sebanyak AS$681 juta (RM2,081,476,926) dipindahkan melalui dua transaksi pada tahun 2013.

Inilah sejarah yang tercatat di mahkamah.

Dalam catatan membalas kenyataan Muhyiddin, hari ini, Najib mendakwa bekas Perdana Menteri kelapan itu cuba memesongkan sejarah dan menjaja cerita dongeng kononnya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan UMNO kerana mempersoalkan isu 1MDB.

Untuk menegakkan dakwaannya, Najib juga memetik keterangan Datuk Seri Muhkriz Mahathir kepada mahkamah bahawa Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah lama merancang menjatuhkannya.

Jika Najib mendakwa keterangan Mukhriz di mahkamah itu sebagai sejarah, maka benarlah hukuman penjara 12 tahun dan denda terhadapnya juga adalah sejarah Malaysia di mana buat pertama kali seorang bekas Perdana Menteri didapati bersalah dan dihukum penjara.

Kini, pendedahan dibuat adiknya sendiri, Nazir, berhubung 1MDB dalam bukunya ‘What’s in the Name’ semakin menarik perhatian bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga pada peringkat global.

Bukan orang lain, tetapi darah dagingnya sendiri, namun Najib sedikit pun tidak mengulas atau membalas kenyataan Nazir, seolah-olah apa yang diceritakan adiknya itu benar belaka.

Antara yang didedahkan Nazir ialah pertemuan dengan Dr Mahathir di London sekitar tahun 2015 yang membincangkan kebimbangannya kemungkinan berbilion-bilion dana 1MDB diseleweng.

Ianya tidak mengejutkan bagaimana Nazir boleh mengetahui kemungkinan penyelewengan dalam 1MDB berlaku kerana beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank sejak 1999 hingga 2014, sedangkan aliran transaksi dalam akaun Najib bermula pada 2011.

Nazir juga mengakui menjejaki 1MDB hampir enam tahun.

Dalam memoir buku berkenaan Nazir mendedahkan, pertemuan itu bukan sesuatu yang mudah untuk beliau dan pemilik The Edge Group, Datuk Tong Kooi Ong, tetapi ia harus dilakukan demi mencari kebenaran berkaitan skandal 1MDB.

Dalam bab bertajuk ‘Eh, We Have a Problem’ beliau memperincikan keraguannya terhadap penubuhan 1MDB serta hubung kait dana itu dengan Najib.

Najib, 68, kini berdepan pelbagai tuduhan jenayah, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama, yang sedang dibicarakan sekarang.

-Agenda Daily

Jumaat, 24 September 2021

Mahkamah tolak permohonan Rosmah batalkan kes hibrid solar

 


Rosmah Mansor gagal dalam permohonannya untuk membatalkan kes rasuahnya berkaitan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah kawasan luar bandar di Sarawak.

Keputusan permohonan isteri Najib Razak itu dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Sebelum ini mahkamah menetapkan 9 Sept lalu untuk tarikh keputusan permohonan berkenaan namun ditangguhkan ke hari ini.

Asas permohonan Rosmah untuk membatalkan perbicaraan rasuahnya bergantung kepada kesahihan surat pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai pegawai pendakwa.

Sri Ram - kini terbabit sebagai peguam persendirian - adalah pendakwa utama dalam perbicaraan rasuah terhadap Rosmah yang diarah mahkamah tinggi membela diri atas pertuduhan tersebut pada 18 Feb lalu.

Dalam prosiding hari ini hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan pelantikan Gopal oleh Tommy Thomas - yang menjadi peguam negara sebelum ini - dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Kata hakim terbabit walaupun Gopal pada mulanya dilantik sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) untuk menangani kes-kes jenayah berkaitan 1MDB ke atas Najib, Thomas kemudian secara lisan memberi kuasa kepada peguam terbabit untuk turut bertindak sama bagi kes Rosmah.

Menurut Mohamed Zaini, dia percaya kebenaran diberi Thomas kepada Gopal untuk bertindak sebagai DPP dalam kes Rosmah dilakukan secara sah mengikut seksyen 376 (3) itu.

Kata hakim itu lagi pelantikan Gopal selanjutnya disokong dua surat yang mengesahkan hal tersebut oleh peguam negara sekarang, Idrus Harun, masing-masing bertarikh 8 Julai tahun lalu dan 21 Mei tahun ini.

"Masalah yang berkaitan adalah apakah pelantikan Sri Ram dapat (dilakukan) secara retrospektif (untuk menjadi DPP dalam kes Rosmah).

"Saya setuju dengan pihak pendakwaan bahawa pendakwa raya mempunyai kuasa di bawah Seksyen 50 Akta Tafsiran, dan berhak membuat pelantikan Sri Ram secara retrospektif," katanya.

Seksyen 50 Akta Tafsiran 1948 (1967) menyatakan mana-mana pihak berkuasa - yang diberi kuasa oleh undang-undang bertulis - untuk melantik seseorang menjalankan apa-apa fungsi, dapat membuat pelantikan tersebut dengan kesan retrospektif.

-Wak Labu Farm

Rabu, 8 September 2021

Hakim tegur anak Zahid komen kes bapanya di media sosial



Hakim Mahkamah Tinggi hari ini memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berlangsung.

Amaran itu dikeluarkan Datuk Collin Lawrence Sequerah setelah Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah telah membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.

“Mahkamah perlu memberi amaran tentang komen seperti itu yang boleh membawa kepada sub-judice. Komen seperti itu tidak boleh dibuat semasa perbicaraan sedang berlangsung,” kata Hakim Sequerah.

Terdahulu, Raja Rozela berkata pihak pendakwaan percaya Nurulhidayah membuat hantaran berhubung isu imuniti semalam di Instagramnya, nurul.zahid.

"Kami percaya penulisnya ialah anak perempuan Ahmad Zahid. Komen ini tidak berasas dan prejudis. Tidak adil bagi pihak pendakwaan kerana kes ini masih berjalan.

“Saya tidak diarahkan supaya memulakan prosiding menghina tetapi memadai memaklumkan orang ramai supaya supaya tidak membuat sebarang komen berhubung prosiding ini," katanya dan menambah bahawa mahkamah perlu melarang penulis (Nurulhidayah) dan orang ramai daripada membuat sebarang komen mengenai kes itu.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid kemudiannya bangun dan memberitahu mahkamah bahawa beliau akan meminta penulis (Nurulhidayah) supaya menarik balik komen tersebut.

"Pertamanya, kami memohon maaf kepada mahkamah. Kami akan meminta penulis supaya memadam hantaran itu jika mahkamah mahu ia dikeluarkan," kata peguam itu.

Semakan Bernama di Instagram Nurulhidayah mendapati beliau telah memadamkan hantaran berkenaan dan memuat naik catatan baharu yang meminta maaf kepada mahkamah mengenai perkara tersebut.

"Saya tidak sepatutnya berkongsi atau komen apa yang berlaku semasa prosiding. Ini tidak akan berlaku lagi," katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kesnya kini di peringkat penghujahan pihak pembelaan di akhir kes pendakwaan.

- Bernama

Selasa, 7 September 2021

Azeez Rahim belum bebas, kenyataan peguam hanya hujahan: SPRM

 

Bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa atas tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah belum membebaskan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan kes berkenaan masih dibicarakan di mahkamah dan kenyataan oleh peguam Abdul Azeez di Mahkamah Rayuan semalam, hanya hujahan terhadap kes rayuan.

“Merujuk kepada kenyataan peguam bela bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa analisis laporan kewangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah, SPRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah.

“Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut,” kata SPRM.

Menurut kenyataan itu, rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

SPRM berkata susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” kata SPRM.

-Agneda Daily

Selasa, 24 Ogos 2021

Doktor pakar diperintah hadir esok perjelas keadaan kesihatan Ahmad Zahid di Mahkamah

 

AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok bagi mendengar penjelasan seorang doktor pakar sebuah hospital swasta berhubung keadaan kesihatan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran ketidakhadirannya pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, hari ini.

Sehubungan itu, sapina dikeluarkan terhadap Pakar Perunding Sakit Intervensi, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Dr. Mohd. Shahir Anuar agar beliau hadir memberi penjelasan berkaitan prosedur yang dijalankan terhadap Ahmad Zahid.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah perlu mengetahui prosedur berkenaan serta tempoh yang diperlukan untuk memastikan tertuduh benar-benar pulih bagi membolehkannya hadir pada prosiding akan datang.

“Mahkamah tidak boleh membenarkan sebarang penangguhan lagi dan akan memanggil doktor berkenaan menjelaskan keadaan kesihatannya serta prosedur yang akan dijalankan,” jelas beliau.

Hakim Collin pada asalnya bercadang untuk mengeluarkan sapina kepada doktor berkenaan dan mengarahkan beliau hadir ke mahkamah pada sebelah petang.

Bagaimanapun, peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan, doktor pakar itu ketika dihubungi sejurus selepas sidang ditangguhkan memberitahu beliau tidak berkelapangan hari ini.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan, Presiden UMNO itu tidak dapat hadir kerana akan menjalani prosedur pada bahagian tulang belakangnya di sebuah hospital swasta.

Menurut peguam bela, Ahmad Zahid mengalami kesakitan akibat terjatuh dan tidak mampu duduk terlalu lama. Beliau dimasukkan ke wad sejak Ahad lalu.

Beliau turut memaklumkan, pihak pembelaan mempunyai empat bahagian penghujahan yang mana salah satunya melibatkan isu-isu perlembagaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, pihaknya dimaklumkan melalui surat berhubung ketidakhadiran Ahmad Zahid pagi ini.

Bagaimanapun jelasnya, surat itu tidak menyatakan bahawa tertuduh bersetuju prosiding penghujahan dijalankan tanpa kehadirannya.

Raja Rozela berkata, jika penghujahan berlangsung tanpa kehadiran Ahmad Zahid, dikhuatiri akan memperlihatkan seolah-olah haknya selaku tertuduh dinafikan.

Beliau turut membayangkan jika perbicaraan diteruskan, mungkin prosiding boleh diakses secara maya demi berlaku adil kepada tertuduh.

Namun Hakim Collin berpendapat, Seksyen 264 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan kehadiran tertuduh perlu bagi mengelak wujud situasi yang membawa kepada perbicaraan yang tidak sah.

Sehubungan itu, beliau berpendapat adalah lebih baik tertuduh hadir bagi membolehkan beliau mengeluarkan arahan kepada peguam jika terdapat sebarang isu berbangkit.

Prosiding selanjutnya ditetapkan pada 6 September ini.

Mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid, 68, yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

-Utusan Online

Khamis, 19 Ogos 2021

Najib tidak hadir perbicaraan buat hakim berang

Datuk Seri Najib Razak. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Seri Najib Razak. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kuala Lumpur: Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak berang dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu gagal hadir pada prosiding perbicaraan pagi ini.

Sebaik perbicaraan kes bermula pada jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Rahmat berkata, Najib bersama 114 Ahli Parlimen dipanggil ke Istana untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi," katanya.

 Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah dilihat berang dan berkata Najib seharusnya menghadirkan diri ke mahkamah terlebih dahulu.

"Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana, namun laporan media menyatakan ia akan dilakukan secara berperingkat.

"Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di Istana Negara kerana kes ini akan diteruskan," katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

Sebaik mahkamah mula bersidang, Rahmat memaklumkan pihaknya tidak dapat memaklumkan waktu spesifik untuk Najib bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Sequerah berkata, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam untuk memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Yang di-Pertuan Agong.

"Kita semua mempunyai tugas yang perlu dijalankan. Sekiranya dipanggil menghadap Agong, beliau harus menghadirkan diri, namun, beliau tidak perlu berada di sana seharian.

"Beliau boleh memberikan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kembali semula ke sini," katanya.

Mahkamah kemudian memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.

Semalam, prosiding perbicaraan pada sesi pagi terpaksa ditangguh bagi membolehkan Najib menghadiri mesyuarat penting di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sequerah bagaimanapun berkata, permohonan penangguhan bagi menghadiri mesyuarat atau sebarang acara dibenarkan namun perbicaraan itu perlu disambung pada sebelah petang.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

-myMetro