"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Ahli Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ahli Politik. Papar semua catatan

Jumaat, 6 Februari 2026

"Adakah YB beriman?"-Siti Zailah tegur Nga Kor Ming guna perkataan Alhamdulillah dan syukur ketika berucap

 TEGURAN YB DATO' ZAILAH WAJAR

Dalam Islam, setiap ucapan zikir itu adalah lambang kebesaran dan keagungan Allah SWT. Ia adalah suatu kalimat yang sangat dimuliakan dalam agama Islam.

Teguran YB Dato' Hajjah Zailah terhadap YB Menteri KPKT, Nga Kor Ming adalah wajar dan berasas. Ia bukanlah melarang secara mutlak penggunaan kalimah tersebut, tetapi bimbang ia sekadar digunakan untuk tipu daya dan boleh mengelirukan umat Islam.

Nga Kor Ming menggunakan kalimah "Alhamdulillah", sujud syukur dan sebagainya atas nilaian apa sedangkan beliau sendiri tidak beriman kepada Allah SWT. Itu asas yang dibangkitkan. Adakah dia sedar makna sebenar di sebalik apa yang diungkapkan? 

Lafaz Alhamdulillah yg dirujuk itu, Allah SWT yang mana? Adakah Allah yg Esa atau Allah yang ada sekutu? 

Malah, sebelum ini beliau juga menggunakan istilah taubat dan solat hajat yang ditujukan kepada umat Islam.

Tindakan YB Kaklah itu bukan disebabkan faktor emosi. Mana-mana umat Islam yang mendengar ucapan Nga Kor Ming pada hari tersebut pun akan merasai perkara yang sama, seolah-olah kalimat yang agung di sisi umat Islam itu sedang dipermainkan. Ia bukan suatu bentuk lafaz yang membesarkan Allah SWT.

Kepada siapa puji-pujian yang terkandung dalam lafaz Alhamdulillah tersebut?

Kepada siapa sujud syukur itu dipersembahkan? 

Nga Kor Ming nampaknya tidak pernah serik dan menggunakannya tanpa batasan. 

Penggunaan kalimah-kalimah yang terkandung dalam syariat termasuklah dalam konteks menterjemah ayat Al-Quran secara sewenang-wenangnya serta tidak memahami makna di sebalik apa yang diungkapkan adalah suatu bentuk penghinaan terhadap agama Islam. 

Ini adalah pendirian Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 3 Disember 2010.

Begitupun Jawatankuasa Fatwa tidak melarang secara mutlak penggunaan kalimah tersebut kepada bukan Islam, namun ia mesti dilakukan secara tertib dan tidak bersifat boleh membawa kepada penyalahgunaan kalimah tersebut secara sewenang-wenangnya.

Oleh itu, Nga Kor Ming tidak perlulah asyik melanggar batasan yang ada. Lafaz itu adalah hak eksklusif umat Islam. 

Untuk kamu agamamu, untuk kami agama kami.

Source 

Isnin, 19 Januari 2026

PARTI POLITIK TIDAK BOLEH GUNA ISLAM PANDANGAN SS Datuk MUFTI YANG TERSASAR

 PARTI POLITIK TIDAK BOLEH GUNA ISLAM

PANDANGAN SS Datuk MUFTI YANG TERSASAR

Sekali Serban Dililit. 205

27  Rajab 1446 | 17 Jan 2025

Oleh : Nasrudin bin Hassan

https://m.facebook.com/serbandililit

Mutakhir ini timbul kembali kenyataan yang saya sifatkan sebagai kenyataan berulang atau kenyataan yang DIKITAR SEMULA, bahawa penggunaan Islam oleh parti politik hendaklah dilarang.

Lebih malang apabila kenyataan itu dikitar semula oleh seorang yang berjawat MUFTI. Sedang kenyataan sebegini lahir daripada KEKELIRUAN ASAS dalam memahami hubungan Islam dengan KUASA, POLITIK dan PERJUANGAN.

Bagaimana seorang yang bertaraf MUFTI mencadangkan agar PARTI POLITIK TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN ISLAM sehingga meminta agar diadakan satu enakmen yang melarang pengunaannya oleh parti politik.

Satu pandangan dan cadangan yang sangat DANGKAL. Sama dangkalnya jika saya berpandangan agar MUFTI juga tidak boleh gunakan Islam dan perlu ada satu enakmen yang melarang mufti menggunakan Islam dalam ucapannya mahupun fatwanya .

Daripada Abu Ḥāzim, beliau berkata: Aku telah duduk bersama Abu Hurairah selama lima tahun, lalu aku mendengarnya meriwayatkan daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُرُ

قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟

قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ، وَأَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

“Adalah Bani Israil urusan siasah (politik) mereka diurus tadbir oleh para Anbiya’. Setiap kali seorang nabi wafat maka digantikan selepasnya oleh nabi yang lain. Dan sesungguhnya tidak ada nabi selepasku dan akan ada para khalifah, lalu mereka akan menjadi ramai.”

Para sahabat bertanya: “Apa yang engkau perintahkan kepada kami?”

Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah bai‘ah kepada yang pertama kemudian yang pertama dan berikanlah kepada mereka hak-hak mereka kerana sesungguhnya Allah akan menyoal mereka tentang AMANAH KEPIMPINAN yang telah diserahkan kepada mereka.”

Riwayat Imam Al Bukhari (3455) dan Muslim (1842)

KONDISI ISLAM YANG PERLU DIFAHAMI

PERTAMA : ISLAM BUKAN AGAMA PERIBADI DAN STATIK

Islam bukan agama peribadi atau bersifat ritual sekadar upacara ibadah yang menghubungkan manusia dengan tuhan seperti solat, puasa, haji dan zakat semata-mata, bahkan Islam adalah agama risalah yang WAJIB DIPERJUANGKAN sebagai MANHAJ KEHIDUPAN dan WAJIB DITEGAKKAN dalam seluruh aspek kehidupan termasuk PEMERINTAHAN dan POLITIK.

Jika sebuah parti yang memperjuangkan Islam seperti PAS,

menggunakan Islam sebagai ASAS, SUMBER dan AGENDA PERJUANGAN, maka ia adalah suatu KEWAJIPAN, bukan kesalahan.

Lihat objektif PENUBUHAN dan PERJUANGAN PAS sebagai sebuah gerakan Islam adalah bertolak dari dua tujuan utama : (sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 5)

a) MEMPERJUANGKAN wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah swt.

b) MEMPERTAHANKAN kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Justeru dimana salahnya PAS menggunakan agama bagi maksud memperjuangkan Islam di bumi bertuah ini. Pastinya yang ditegah oleh syarak ialah PENYALAHGUNAAN AGAMA, seperti :

 • Menggunakan Islam untuk menjustifikasi kebatilan

 • Menyelewengkan nas dan hukum

 • Mengkhianati maqasid syariah

KEDUA: ISLAM ITU AGAMA YANG WAJIB DITEGAKKAN

Firman Allah SWT

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

Dan hendaklah engkau menghukum di antara mereka dengan apa yang Allah turunkan, dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka.

Surah al-Mā’idah : 49

Ayat ini bukan nas ibadah peribadi, tetapi ayat yang berkait dengan pemerintahan dan siasah (politik). Apakah parti politik tidak boleh membaca ayat ini ? 

Apakah parti politik tidak boleh menggunakan ayat ini untuk mengajak masyarakat dalam siri kempennya agar masyarakat sokong perjuangannya untuk menegakkan hukum Allah dan mendaulatkannya ?

Bagaimana hendak laksanakan undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT di dalam Al Quran jika sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam tidak boleh menggunakan Islam bagi mendapatkan sultah (kuasa pemerintahan) ?

Sedang Allah SWT perintah supaya undang-undang atau hukum hakam itu dilaksanakan.

Saya ambil satu contoh undang-undang dalam Islam yang termaktub di dalam Al Quran (Surah an Nur : Ayat 2). Berkait hukuman sebat ke atas pelaku zina.

Pelaksanaan Islam ini sangat komprehensif. Bermula dengan mewujudkan sebuah negara BERDAULAT agar ada authoriti menggubal undang-undang dan meluluskan pelaksanaannya.

Kemudian perlu menubuhkan INSTITUSI PENDIDIKAN bagi mendidik dan mengasuh masyarakat bahawa zina itu salah dan haram hukumnya, jika masih melakukan zina, lalu ditangkap, didakwa dan dibicara, sabit kesalahan maka dijatuhkan hukuman.

Kemudian perlu ada INSTITUSI PENGUATKUASAAN seperti polis, Jabatan agama dan lainnya untuk urusan menangkap dan menahan pesalah atau pelaku jenayah.

Seterusnya perlu ada PENDAKWARAYA untuk urusan pendakwaan, perlu ada JABATAN GUAMAN untuk tujuan perbicaraan kes, perlu ada MAHKAMAH sebagai proses perbicaraan, perlu ada HAKIM yang mengendali dan mendengar lalu memutuskan kes yang dibicara. Jika sabit kesalahan, dijatuhkan hukuman maka perlu ada PELAKSANA HUKUM termasuklah perlu ada JABATAN PENJARA jika pesalah dijatuhkan hukuman takzir seperti penjara.

Kesemuanya itu perlu kepada POLITIK. Malah untuk memastikan semuanya menepati Islam, maka parti politik yang memperjuangkan Islam seperti PAS, mesti perjuangkan ISLAM bagi memastikan kesemuanya itu dapat dilaksanakan sesuai tuntutan Al Quran dan As Sunnah.

SS Mufti jangan buat NAKAL untuk menafikan perkara ini.  Memastikan hukum Islam ini dapat dilaksanakan, ia tidak dapat tidak mesti melalui JALUR SIASAH (politik).

Pelaksanaan undang-undang perlu melalui kuasa politik. Kerajaan yang memerintah bertanggungjawab gubal undang-undang. Sedang kerajaan itu dibentuk melalui kemenangan parti politik dalam pilihanraya.

Firman Allah SWT

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ

(Iaitu) orang-orang yang jika Kami beri mereka kekuasaan di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Surah al-Ḥajj : Ayat 41

Ayat ini mengenai Kekuasaan (tamkīn) yang dikaitkan secara langsung dengan pelaksanaan Islam dan syariatnya.

KETIGA: POLITIK ADALAH WASILAH MENEGAKKAN AGAMA

Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazālī رحمه الله (w. 505H) menyebut di dalam Ihya’ ‘Ulumiddin (Kitaabul ‘ilmi).

 الدِّينُ أَسَاسٌ، وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أَسَاسَ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعُ

Agama itu asas, dan kekuasaan itu penjaganya. Apa yang tiada asas akan runtuh, dan apa yang tiada penjaga akan hilang.

Justeru itu, SS Mufti kena faham bahawa memisahkan agama daripada kuasa bermakna membiarkan agama runtuh. Sementara kuasa itu dihasilkan melalui jalur politik dengan penglibatan parti politik yang ditubuh.

Kalau ada mufti yang tidak menerima pandangan Hujjatul Islam Imam Al Ghazali Rhm. saya bawakan pandangan Syeikhul Islam Imam Ahmad Ibn Taimiyah Al Harraani Rhm (w. 728H) dalam kitab As Siyaasah As Syar’iyyah Fi Islaahi Ar Raa’ii wa Ar Ra’iyyah (muka surat 161)

يَجِبُ أَنْ يُعْلَمَ أَنَّ وِلَايَةَ أَمْرِ النَّاسِ مِنْ أَعْظَمِ وَاجِبَاتِ الدِّينِ، بَلْ لَا قِيَامَ لِلدِّينِ إِلَّا بِهَا

Wajib diketahui bahawa mentadbir (siasah-politik) urusan  manusia adalah antara kewajipan agama yang paling besar bahkan agama tidak akan tegak melainkan dengannya.

Maksudnya SS Mufti itu kena faham bahawa POLITIK adalah sebahagian daripada kewajipan agama dan parti politik itu adalah platform, medium atau wasilah untuk memperjuangkan agama dan melaksanakannya.

KEEMPAT: SALAH FAHAM “GUNA AGAMA” VS “PENYALAHGUNAAN AGAMA”

Al-Qur’an Mengharamkan Penyalahgunaan Agama

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu campur-adukkan kebenaran dengan kebatilan, dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran sedang kamu mengetahuinya.

Surah al-Baqarah : 42

Inilah larangan sebenar, menyalahgunakan agama untuk menutup kebatilan.

كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Sangat besar kemurkaan di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.

Surah aṣ-Ṣaff : 3

Ini juga bentuk penyalahgunaan agama apabila bercakap atas nama Islam tanpa amanah. Cakap banyak, sembang kencang tapi dia sendiri “harey” tak buat apa.

KELIMA: PARTI YANG MEMPERJUANGKAN ISLAM SELAYAKNYA MENGGUNAKAN ISLAM

Jika sesebuah parti:

 • Berteraskan Islam

 • Menjadikan al-Qur’an dan Sunnah sebagai sumber

 • Berjuang untuk menegakkan dan mendaulatkan syariah

Maka melarangnya “menggunakan Islam” sama seperti melarang Islam ditegakkan olehnya.

Asy Syahid Imam Ḥasan al-Bannā Rhm

نَحْنُ نَعْتَقِدُ أَنَّ أَحْكَامَ الْإِسْلَامِ وَتَعَالِيمَهُ شَامِلَةٌ لِشُؤُونِ النَّاسِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Kami berpegang bahawa hukum-hakam Islam dan ajarannya merangkumi seluruh urusan manusia di dunia dan akhirat.

Majmū‘at Rasā’il al-Imām al-Bannā, hlm. 85

Asy Syahid Sayyid Quṭb Rhm

إِنَّ الْإِسْلَامَ لَا يَقْبَلُ التَّجْزِئَةَ، وَلَا يَرْضَىٰ أَنْ يُحْبَسَ فِي الْمَسَاجِدِ

Sesungguhnya Islam tidak menerima pemisahan, dan tidak reda untuk dikurung di dalam masjid semata-mata.

Fī Ẓilāl al-Qur’ān, Muqaddimah

KEENAM: PENYALAHGUNAAN AGAMA TETAP HARAM KE ATAS SEMUA

Secara prinsipnya, parti politik tidak boleh menyalahgunakan agama. Bahkan mufti, alim ulama dan pendakwah juga tidak kebal daripada larangan ini. Semua tertakluk kepada al-Qur’an dan Sunnah

مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Riwayat Imam al-Tirmizi (2950) ~ Hasan Sahih

Sesiapa yang berkata tentang al-Qur’an tanpa ilmu, maka bersedialah menempati tempat duduknya di neraka.

FAHAMILAH 

 1. Islam wajib ditegakkan, bukan sekadar diamalkan secara individu

 2. Politik ialah wasilah syar‘iyyah untuk menegakkan agama

 3. Menggunakan Islam untuk memperjuangkan Islam adalah kewajipan

 4. Yang haram ialah penyalahgunaan agama, bukan penggunaannya

 5. Larangan mesti ditujukan kepada penyelewengan, bukan kepada Islam itu sendiri

Jika Islam dilarang daripada politik, maka siapakah yang akan menjaga agama daripada ditindas oleh kuasa?

Sekian.

Source 

Selasa, 9 September 2025

Berhentilah berebut jadi Perdana Menteri.Fokus kepada keadilan dan kemakmuran negara demi rakyat

 Wahai Bersatu!

Berhentilah berebut jadi Perdana Menteri

Fokus kepada keadilan dan kemakmuran negara demi rakyat

Oleh :Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Sebagai Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), saya bersetuju dengan pandangan Presiden MN, Annuar Musa, dan MB Kedah, Sanusi Md Nor, supaya agenda siapa jadi PM tidak terlalu difokuskan, jika PN berjaya memerintah. Jika mahu juga diketengahkan siapa yang akan menjadi PM, berbincanglah dalam kalangan pimpinan PN, baharu betul, bukan dengan menonjolkan seorang sahaja, seolah-olah orang lain tidak layak.

Wal hal, ramai yang layak, cuma malu alah untuk bercakap. Maklumlah, perkara macam ini sensitif. Siapa kita untuk tentukan siapa yang paling layak jadi PM. Cermin diri dahulu, kita ni kuat ke tidak? Atau sekadar menumpang kekuatan orang (parti lain). 

Kenalah ada rasa malu sedikit. Kena ada rasa izzah, kemuliaan dalam berpolitik. Baharu orang boleh hormat. Kalau belum ada apa-apa sudah nakkan jawatan, nampak sangat kita terdesak. Persoalannya, kita hebat sangatkah?

Pada hemat saya, ramai dalam kalangan parti PAS dan PPBM (Bersatu) yang berwibawa menjadi PM. Kenapa hanya fokus seorang sahaja untuk jawatan tertinggi itu? Ini belum menang lagi, bila dah menang esok, pasti Bersatu mahu lebih jawatan daripada PAS, sedangkan siapakah atau parti manakah yang mendapat lebih banyak kerusi? 

Sebenarnya, Bersatu mahu apa dalam berpolitik? Mahu menegakkan keadilan hidup bernegara atau mahu merebut jawatan? Nampanya, DNA UMNO masih bersarang dalam perut Bersatu. Kuasa untuk tiket jadi kaya (dahulu). UMNO pun sudah berubah sekarang, mula cakna masalah rakyat. Takkan nak jadi teruk daripada UMNO. 

Jika beginilah cara pemimpin Bersatu berfikir, tak payah mimpilah untuk memimpin kerajaan. Pasti lebih ramai yang akan melompat apabila kuasa ditawarkan. Enam lompatan pemimpin Bersatu sebelum ini, sudah jelas menunjukkan bahawa pemimpin Bersatu ini gilakan kuasa. 

Jadilah macam PAS, paling penting menang dahulu. Siapa akan menjadi PM, kemudianlah bincang. Ramai sahaja orang dalam PAS dan Bersatu boleh jadi PM. Muhyiddin, juga Presiden PAS, sudah berumur. Saya yakin mereka pun sedar diri. Lagipun Muhyiddin dah pernah jadi PM. Takkan nak jadi macam Tun Mahathir. Tun M lainlah, usia dia panjang. 

Muhyiddin berbeza sedikit. Saya tidak nampak beliau akan sepanjang umur Tun M, melihat kepada keadaannya sekarang. Kesihatannya tidak mengizinkan. Tengok muka pun dah tahu. Sepatutnya Muhyiddin, berterus teranglah. Berehatlah, jaga kesihatan. 

Lagipun Muhyiddin ada kes, ditakdirkan kesnya lekat ketika menjadi PM, kena cari PM baharu pulak nanti. Takkan negara kita asyik bertukar PM. Sampai bila orang luar nak percaya dan melabur? 

Berbeza dengan Thailand, walaupun PM negara itu sering bertukar ganti, tetapi ia tidak menakutkan negara lain untuk melabur, kerana mereka tahu, Thailand tetap akan stabil. Almaklumlah, jawatan PM di sana tidak mutlak. Mahkamat (Hakim) boleh tentukan sama ada dia berhak atau tidak menjadi PM. Bukan macam kita, PM korup pun sampai mati boleh jadi PM. Kalaulah sistem kita macam Thailand, rasanya bukan sepuluh PM kita, tetapi sudah berpuluh-puluh. 

Jadi, sudah sampai masanya kita ikut demokrasi macam Thailand, mahkamah ada kuasa untuk melucutkan seseorang PM jika terbukti PM tersebut salah guna kuasa dan ternyata tidak layak, berpihak kepada musuh.   

Nasihat ikhlas saya kepada Bersatu, adakah jawatan menjadi begitu penting kepada parti ini jika PN jika menang pilihan raya nanti? Jagalah hati parti lain sama, yang lebih banyak kerusi, sudah tentu lebih kuat daripada Bersatu. Adanya Bersatu hari ini, maaf cakap, kerana ada PAS. Jentera PAS jauh lebih kuat memenangkan calon (wakil rakyat) Bersatu. Ini fakta. Tanpa PAS, Bersatu sudah lama terkubur. Bukan saya cakap, semua orang cakap. 

Dalam hal ini, saya suka pendekatan, Isham Jalil. Rasional dan berpijak di bumi nyata. 

Hari ini, siapa yang lebih layak menjadi PM, bukanlah agenda utama. Paling penting negara ini mesti diselamatkan daripada dibolot dan dikongkong oleh ultra kiasu. Ternyata, sejak PH memerintah, yang berkuasa adalah ultra kiasu. PKR terpaksa tunduk kepada ultra kiasu, untuk terus berkuasa. Sebab itu, kita lihat yang berhak tidak dapat haknya, yang tidak berhak, dapat lebih-lebih hak. Contoh, Sekolah Persendirian Cina, yang ditatang seperti minyak yang penuh.  

Kepada pemimpin PKR, saya tidak fikir PN akan beriya-iya untuk ‘menjatuhkan’ PH, jika kamu benar-benar dapat menjaga negara ini dengan baik, selain pembangunan ekonomi, sudah tentu perkara berkaitan dengan Islam, Melayu dan bumiputera mesti dijaga, begitu juga hak bangsa lain. Masalahnya, parti ultra kiasu dilihat seolah-olah membolot kuasa pemerintahan itu. Itu yang menyebabkan PN (PAS) dan rakyat geram (marah).

Sepanjang pengamatan terhadap PAS, kuasa, jawatan PM dan menteri, bukanlah penting sangat kepada mereka. Tetapi jangan ambil kesempatan. Mentang-mentang PAS kata kuasa atau jawatan tidak, maka Bersatu nak bolot semua. Tak boleh macam itu dalam berpolitik. Jangan tamak, jangan ada sifat nampak diri kita sahaja yang hebat. Orang lain tidak. 

PAS pulak janganlah terlalu malu alah.  Cukup-cukuplah saya selalu dengar cakap-cakap, kuasa atau jawatan PM (menteri), bukanlah perkara utama dalam PAS. Tak jadi PM pun tak pe? Tak boleh cakap macam tu selalu, nanti orang pandang rendah…

Sedangkan, dalam PAS banyak kekuatan, agamawan? Professional? Macam-macam ada. Janganlah terlalu merendah diri. Apa yang kurang?

Sebab itu, saya tidak mahu komen banyak pasal PAS seperti penganalisis sampah di luar sana. Contoh, bila tidak ada pertandingan dalam jawatan tertinggi PAS, penganalisis sampah itu kata, PAS ini dah tepu. Tepu kepala bapak kau? Kamu, penganalisis bodoh yang tidak faham budaya politik PAS. Sebelum kamu mahu komen pasal PAS tepu atau tidak? Baca dahulu apa  maksud budaya politik, khusus budaya politik dalam PAS. Ini tidak, makna budaya politik pun dia tidak tahu, sedap sahaja komen. Bukankah nampak bodoh?

Kepada penganalisis politik murahan ini, baliklah semula, belajar asas ilmu politik. Apa itu politik, bermula daripada konsep city state yang dibincangkan oleh Plato, Hobbes, Rousseau, dan lain-lain. Begitu juga dengan politik Islam, sebagaimana yang dibincangkan oleh al-Mawardi, Ibn Taimiyyah, al-Ghazali dan lain-lain. Jangan pakai sedap cakap sahaja, tepu atau tak tepu. Dalam Bahasa mudah, sediakan gelanggang, mari kita berdebat. Mudah cerita. Jangan jadi penganalisis politik cari makan. Macam lalang, kita kena ada pendirian. Baru orang lain hormat.

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

9 September 2025

Sabtu, 11 Januari 2025

Perang Adendum: Zaid Ibrahim kecam Azalina buat laporan polis terhadap KJ

 


Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengkritik penggantinya Azalina Othman Said berhubung laporan polis yang dibIbruat terhadap Khairy Jamaluddin berkaitan kenyataan mengenai kontroversi addendum diraja.

“Kenapa buat laporan polis? Tiada apa-apa dalam kenyataan Khairy yang dianggap sebagai kesalahan.

“Ramai orang berkongsi pandangan itu. Saya yakin dia memberikan pendapat itu dengan niat baik. Dia adalah rakyat yang bertanggungjawab dan berhak memberikan pendapat tentang perkara tersebut. Kebebasan bersuara, ok,” katanya pada satu hantaran media sosial.

Zaid mengulas setiausaha politik Azalina Suraya Yaacob yang membuat laporan terhadap bekas menteri kesihatan itu.

Suraya menjelaskan tindakan itu diambil berdasarkan artikel dalam portal berita yang melaporkan Khairy mendakwa Azalina "berkomplot" menyembunyikan titah addendum yang berkaitan dengan tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Menyifatkan tuduhan itu tidak berasas, Suraya berkata: “Perkataan berkenaan juga membayangkan bahawa Azalina secara sedar telah membantu, menyokong atau membenarkan perbuatan menyalahi undang-undang berlaku.”

“Tambahan lagi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dalam satu kenyataan pada Jumaat turut mengesahkan bahawa Azalina bukannya Ahli Lembaga Pengampunan mahu pun terlibat dalam apa-apa urusan pentadbiran berkaitan pengampunan mana-mana banduan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Suraya menggesa polis menyiasat Khairy atas dakwaan fitnah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Zaid tidak setuju berkata jika Azalina merasakan kenyataan itu mencemarkan reputasinya, dia boleh menyaman Khairy atas tuduhan fitnah.

“Tidak perlu bersikap terlalu keras dan melibatkan polis terhadap bekas menteri yang telah menunjukkan sikap yang berhemah dalam mengulas tentang cara menteri mengendalikan addendum.

“Untuk kepentingan awam, konspirasi memerlukan lebih daripada seorang menteri untuk terlibat dalam penyorokan atau sembunyikan secara terang-terangan,” tambahnya. 

Dalam podcast Keluar Sekejap, Khairy yang dipecat Umno pada Jan 2023, menuduh Azalina yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) terlibat dalam menyorokkan titah addendum.

"Surat kepada peguam negara (AG), tak mungkin AG tak maklum kepada… menteri undang-undang," tambah Khairy lagi.

Hos bersama program itu, Shahril Hamdan berkata Azalina memberitahu Dewan Rakyat peguam negara tidak melaporkan perkara tersebut kepadanya.

Pun begitu, Khairy membalas dengan sinis, “saya rasa rakyat Malaysia tidak dilahirkan semalam.”

"Kamu, sebagai menteri undang-undang, ada hubungan dengan AG (peguam negara). Mungkin secara teknikal, boleh mengatakan AG hanya melaporkan kepada atau terus memaklumkan perdana menteri.

"Tetapi seperti mana yang saya tahu sebagai seorang bekas seorang menteri of course the AG has a relationship ataupun profesional relationship," kata bekas ketua Pemuda Umno itu lagi

Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memohon semakan kehakiman untuk menguatkuasakan titah bekas Yang di-Pertuan Agong, memerintahkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Istana Pahang turut mengesahkan kewujudan addendum diraja itu selepas afidavit yang difailkan oleh anak Najib, Nizar, pada 5 Disember.

Titah adendum itu mengurangkan hukuman penjara 12 tahun ke enam tahun dan pengurangan denda RM210 juta menjadi RM50 juta terhadap Najib.

Bekas perdana menteri itu disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Source 

Selasa, 10 Disember 2024

IDEALISME KJ VS UMNO MASA KINI

 IDEALISME KJ VS UMNO MASA KINI

1. Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh bahawa dia adalah bukti 'menyertai Umno bukan menjadi Pak Turut' sebenarnya dilihat dengan penuh sinis oleh pemerhati politik dan rakyat. Setakat ini, Akmal telah gagal mempertahankan kes rayuan kalimah Allah, gagal menghalang pembatalan Enakmen Syariah, tunduk kepada pelbagai tekanan dalam isu stokin KK Mart,  terpaksa minta maaf kepada pemimpin Pan berkaitan isu lantikan politik dan dilihat terpaksa mengalah dalam kes Teresa Kok dan apabila tidak menonjol semasa kempen PRK DUN Mahkota.

2. Kenyataan KJ pula yang menyatakan 'syarat' tidak akan mengorbankan idealisme dan kononnya mempunyai impian melihat Umno menjadi lebih baik pula nampak janggal dan pelik, lebih-lebih pada ketika ini, iaitu pada ketika faktor kerosakan Umno masih ada dan kekal di dalam Umno, iaitu:

i. PERTAMANYA, Zahid Hamidi, seorang OKT dengan 47 pertuduhan prima facie kes rasuah salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah, yang dikaitkan dengan skandal kapal ghaib LCS, yang telah berbohong kepada Ahli-ahli Umno mengenai kerjasamanya dengan Anwar dan Dap, serta mengkhianati dasar Umno, No Anwar, No Dap dan mengkhianati undi pengundi-pengundi Umno dan BN.

ii. KEDUANYA, kerjasama Umno dengan Anwar Ibrahim, PM10 yang merupakan seorang bekas banduan jenayah bagi kes yang teruk dan memalukan, dan yang masih ada kes serangan seksual ke atas seorang lelaki, merupakan PM yang gagal dan memimpin pula sebuah kerajaan KETIMBANG yang gagal dengan Gred D, F dan negatif 10, dan 

iii. KETIGA, Umno juga tidak akan mampu meneruskan perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air selagi masih bekerjasama dengan parti Dap dan golongan liberal, sekular, evangelis dan pluralis dalam Pakatan Harapan. 

3. Adalah amat janggal apabila KJ yang menentang Zahid kerana isu integriti Zahid boleh pula tanpa perasaan malu dan serba salah menerima kembali Zahid yang diketahui mempunyai 47 pertuduhan prima facie kes rasuah tapi dilepaskan dengan DNAA, dikaitkan juga dengan skandal kapal ghaib LCS, yang diketahui sanggup bersumpah dengan nama Allah untuk menipu ahli Umno mengenai kerjasamanya dengan Anwar dan Dap, dan yang telah bersubahat membentuk kerajaan yang ada hari ini dengan cara penipuan, menipu YDPA dan menipu rakyat dan dengan mengkhianati undi pengundi Umno dan BN.

4. Juga amat sukar memahami bagaimana KJ tanpa perasaan malu dan serba salah boleh menerima dan mengangkat seorang bekas banduan penjenayah jenayah yang sangat teruk dan menjijikkan, dan yang masih ada kes serangan seksual ke atas seorang lelaki menjadi PM. PM ini pula bukan PM yang sehebat PM-PM sebelum ini, tetapi lebih dikenali kerana kegagalan menunaikan janji-janjinya, termasuk janji reformasi dan kegagalan mentadbir negara ini sehingga diberi gred yang teruk oleh banyak pihak.

5. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Umno sekarang sudah bukan seperti Umno yang dahulu. Umno yang dahulu sudah tiada, yang ada hanya Umdap. Perjuangannya juga sudah berbeza, bukan lagi demi Islam dan ummah, Agama Bangsa dan Tanah Air. Sebaliknya perjuangan Umdap hari ni lebih kepada demi Zahid, demi tengkuk dan demi perut masing-masing, dan antara perjuangannya juga adalah untuk mensucikan Anwar, Dap dan Pakatan Harapan.

6. Adakah KJ sanggup menjadi seperti Lokman Adam, Puad Zarkashi dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain? Dalam hal ini, nampaknya Shahril Hamdan lebih teguh dan konsisten pendiriannya berbanding KJ.

7. Pandangan saya, demi integriti dan maruah diri KJ, jangan terkait kerosakan Zahid dan Anwar, lupakan sahaja nostalgia silam. Bina jalan baru.

Source 


Selasa, 15 Oktober 2024

Adik Zahid Hamidi serah borang sertai PAS kepada Hj Hadi

 freemalaysiatoday.com

FMT Reporters
-15 Oct 2024, 08:35 PM

Tidak dapat dipastikan sama ada Abdul Hakim Hamidi pernah menganggotai mana-mana parti termasuk Umno sebelum memohon menyertai PAS.
Abdul Hakim Hamidi menyerahkan borang pendaftaran keahlian kepada Hadi Awang di Pejabat Agung PAS Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA: Abdul Hakim Hamidi, adik kepada Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini memohon menyertai PAS yang borang keahliannya diserahkan kepada Presiden Hadi Awang.

Perkembangan itu diumumkan Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki yang juga Yang Dipertua PAS Bagan Datuk menerusi Facebook.

Semoga dengan kehadiran beliau dapat mengukuhkan lagi hubungan pimpinan Umno yang cintakan perpaduan yang berlandaskan Islam, katanya.

Dalam video disertakan dalam hantaran itu menunjukkan borang keahlian PAS Hakim diterima oleh Hadi di Pejabat Agung PAS Pusat.

Tidak dapat dipastikan sama ada Hakim pernah menganggotai mana-mana parti termasuk Umno sebelum memohon menyertai PAS.

-Wak Labu Farm 

Khamis, 22 Ogos 2024

'Level kita dua pertiga' - Akmal mahu Umno jadi parti dominan

 malaysiakini.com

Shakira Buang, Zarrah Morden & Haspaizi Zain & Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 22, 2024 12:04 PM

PAU 2024 | Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh tidak mahu parti Melayu itu selesa dengan situasi semasa dengan sekadar menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.

Sebaliknya, Akmal berkata Umno perlu kembali menjadi dominan dalam landskap politik tanah air seperti di era kegemilangan sebagai parti Melayu terbesar negara ini.

“Perasaan kita sama juga dengan perasaan akar umbi, kita tak mahu Umno ini terus selesa dengan situasi semasa dengan menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

“Umno perlu menjadi parti dominan dalam negara hari ini, angka 26 kita perlu tingkatkan menjadi dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Ini barulah level Umno,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Akmal, bagi mencapai hasrat itu, sayap yang diterajuinya memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden, Ahmad Zahid Hamidi untuk merangka strategi terbaik.
“Pemuda Umno komited dan yakin sepenuhnya kepada presiden untuk meningkatkan jumlah 26 kerusi kepada dua per tiga majoriti

“Umno ini bukan parti pelengkap dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai level Umno,untuk kembali dominan dalam politik tanah air ini. Ini janji Pemuda Umno,’ katanya.

‘Jangan sentuh 3R’

Sementara itu, Akmal juga turut mengulangi pendirian yang Pemuda Umno akan menentang sesiapa sahaja termasuk rakan dalam kerajaan perpaduan jika mereka menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

“Tahun lepas saya dah pesan, tahun ini saya ulang lagi, saya ulang pesanan serupa, kami Pemuda Umno boleh kawan dengan sesiapa sahaja.

“Tetapi kalau sentuh agama, bangsa dan raja, kami akan bangkit lawan tentang kamu habis-habisan,” katanya.

Turut hadir mendengar ucapan dasar itu ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Akmal dalam pada itu turut mengambil kesempatan menzahirkan kesediaan Pemuda Umno untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi selepas Umno mendapat kemenangan di Nenggiri.

“Pemuda Umno sedia sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi untuk DUN Mahkota.

“Nenggiri sudah berjaya. Jika diberi tanggungjawab sekali lagi Pemuda sedia galas di DUN Mahkota,” katanya.

Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang PRK Nenggiri dengan majoriti 3,372 undi sekali gus menawan semula kerusi itu.

-Wak Labu Farm 

Rabu, 14 Ogos 2024

PRK NENGGIRI:MAINAN KOTOR UMNO KEMBALI KE ZAMAN DULU

 MAINAN KOTOR UMNO KEMBALI KE ZAMAN DULU

Nampak "clean" di media sosial yang menjadi strategi kempen UMNO di Nenggiri tidaklah menjadikan mereka benar-benar "behave". Dalam diam menyebarkan cetakan "risalah memburukkan Kerajaan PAS" dan mengedarkan kepada pelajar-pelajar di sebuah sekolah dalam Nenggiri melalui guru-guru untuk dibawa balik kepada ibu bapa menjadi santapan fitnah hari ini.





Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Permainan kotor sebegini adalah taktik kuno dan terdesak. Ia menunjukkan UMNO semakin dihimpit ketakutan dan menggunakan cara fitnah dalam kempen di saat-saat akhir. Apa lagi melalui edaran risalah yang tidak bertanggungjawab melalui budak-budak sekolah.

Edaran risalah sebegini bukan kerja anak jantan. Tidak beretika dan salah guna kuasa melibatkan sekolah dan pelajar. Namun gamaknya mereka lupa, sekalipun hanya pelajar sekolah, mereka bukan lagi budak-budak. Pelajar hari ini telah terbuka dengan data yang boleh ditekan di hujung jari, apa lagi rakyat Nenggiri.

Petang ini satu laporan polis dibuat oleh Pemuda PAS Kelantan melibatkan kempen berunsur fitnah yang sedang bertebaran di Nenggiri dalam apa jua bentuk. Walau bagaimana pun saya percaya rakyat Nenggiri tidak bodoh untuk percaya dengan kempen fitnah sebegini. 

Demo tidok kenal bare boh!

Salam hormat

Mohamad Kamal Mohamed

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

9 Safar 1446H / 14 Ogos 2024M

Sumber

Ahad, 28 Julai 2024

Isu Arak:Jangan semarak api kebencian, pemimpin Gerakan tegur Fadhli

 Wendy Subramaniam berkata amalan terima sumbangan luar termasuk syarikat arak kepada sekolah telah lama dipraktikkan, bukan untuk promosi alkohol.

Ketua Penerangan Gerakan Wendy Subramaniam berkata percanggahan pendapat antara komponen PN mengenai isu derma syarikat arak perlu dibincang dalaman bukan kritik secara terbuka.

PETALING JAYA: Gerakan tetap berpegang pada pendiriannya supaya kerajaan melonggarkan garis panduan dan membenarkan sekolah Cina bebas menerima sumbangan dari mana-mana pihak termasuk syarikat arak, di sebalik kritikan rakannya PAS.

Ketua Penerangan Wendy Subramaniam berkata percanggahan pendapat antara parti dalam PN mengenai isu itu perlu dibincang secara dalaman di antara pimpinan tertinggi gabungan.

Bukannya bercakap di luar dengan lantang, katanya kepada FMT, merujuk kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang kecewa dengan pendirian Gerakan itu, sambil membayangkan tidak mustahil ikatan politik mereka boleh putus pada PRU16.

“Dia (Fadhli) sudah salah faham. Anda tak boleh buat kesimpulan hanya dengan satu ‘headline’ (tajuk berita) saja, kita sokong bukan sebab nak promosi alkohol di sekolah tetapi sumber dana itu.

Kalau SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) tak terima sumbangan dari luar, mana cukup, dan amalan ini sudah lama dilaksanakan. (Dana dari syarikat luar) Bukan isu baru, katanya.

Semalam, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.

Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntukkan dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.

Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Wendy meminta mana-mana pemimpin PN tidak seharusnya menggunakan isu itu untuk menyemarakkan api kebencian atau merosakkan hubungan antara parti dalam PN.

Kita kena bijak tangani perbezaan ini dan tidak membiarkan orang luar campur tangan, tegasnya.

-Wak Labu Farm 

Sabtu, 27 Julai 2024

Isu arak di institusi pendidikan: Maszlee juga menempelak Guan Eng

 Ia mengenai Pendidikan dan Kesihatan!

Saya amat kesal membaca kenyataan YB Lim Guan Eng menempelak dan memperlekeh YBM Pendidikan, Pn Fadlina Siddik berhubung isu promosi syarikat arak di dalam acara melibatkan sekolah.

Apa yang dilakukan oleh YBM Pendidikan adalah selari dengan keputusan kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling KPM sedia ada dan semangat MADANI yang dibawa oleh kerajaan perpaduan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di dalam acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka kotak Pandora untuk membenarkan industri tidak sihat lain untuk dipromosikan di dalam ranah pendidikan seperti industri tembakau, industri Vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam.

YB LGE tidak perlu melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah dari sudut politik, agama mahupun perkauman. Ianya berkaitan isu kesihatan, isu kesejahteraan hidup dan juga sivik. 

Berhubung dengan penglibatan YBTM Raj Munni Sabu aka Aiman Atirah dalam acara mempromosikan syarikat arak di dalam acara sekolah baru-baru ini pula, ianya adalah insiden yang memalukan dan menjatuhkan imej parti Amanah yang beliau wakili dan juga rakyat parlimen Sepang yang telah memilih beliau. Islam rahmah yang dibawa oleh parti Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah. 

Sewajarnya jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai ahli parlimen secara terhormat dan juga meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Amanah. Ia akan menjadi pengajaran kepada MP Amanah yang lain agar lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar.

Dr Maszlee Malik

Mantan Menteri Pendidikan

Credit 

Jumaat, 26 Julai 2024

Lim Guan Eng ingatkan Fadhlina bukan 'menteri pendidikan PAS'

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 26, 2024 5:27 PM

“Komen Fadhlina sebelum ini mengenai acara kutipan dana pendidikan Cina agak keras. Saya harap dia akan mempertimbangkan semula pendiriannya itu.

"Beliau bukan menteri pendidikan PAS; beliau mewakili Pakatan Harapan, kerajaan perpaduan dan seluruh negara," kata Lim, yang juga Adun Ayer Itam pada sidang media di pusat khidmatnya hari ini.

Menurut Nanyang Siang Pau, Lim turut menyoal Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh mengapa dia mencampuri isu yang tidak ada kena-mengena dengan masyarakat Melayu dan Islam, kerana ia melibatkan masyarakat Cina.
Kata Lim, DAP mempunyai pendirian yang jelas dalam perkara bahawa usaha mengumpul dana untuk pendidikan Cina tidak boleh diganggu gugat. Pendirian ini jelasnya telah dibangkitkan dalam kabinet dan jemaah menteri sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Pendidikan.

Kementerian Pendidikan Makaysia (KPM) hari ini berkata kerajaan mengekalkan garis panduan sedia ada untuk kutipan dana sekolah yang termasuk larangan sebarang pameran dan promosi minuman beralkohol di premis sekolah.

Bagaimanapun kerajaan juga bersetuju untuk mempertimbangkan membenarkan sekolah vernakular terus menerima sumbangan melalui lembaga pentadbiran sekolah, seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kabinet menegaskan bahawa penganjuran sebarang aktiviti melibatkan mana-mana jenama minuman beralkohol tidak boleh melibatkan mana-mana pelajar Islam,” kata kementerian itu.

Lim menjelaskan sejak 1994, Tiger Beer telah mengumpul RM413 juta melalui persembahan amal untuk pendidikan Cina manakala Carlsberg telah mengumpulkan RM568 juta sejak 1987, memberi manfaat kepada 684 sekolah Cina. Jumlah keseluruhan yang diperoleh ialah RM981 juta, hampir RM1 bilion.

“Jika bukan kerana usaha mengumpul dana ini, adakah sekolah rendah Cina akan menjadi seperti hari ini,” soal bekas ketua menteri Pulau Pinang.

Lim juga bertanya adakah PAS dan Pemuda Umno bersedia untuk menampung kekurangan dana sekiranya kaedah mengumpul dana melalui persembahan amal untuk sekolah rendah Cina dihentikan.

[Baca berita asal]

-Wak Labu Farm 

Ahad, 21 Julai 2024

PRK Nenggiri:Akur Bersatu tanding, Pemuda PAS Gua Musang kerah jentera 100% di Nenggiri

 freemalaysiatoday.com

Faiz Zainudin
20 Jul 2024, 07:31 PM

Ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Habidin Hanipa berkata, cadangan agar partinya bertanding hanya permintaan, bukan paksaan.
Ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Habidin Hanipa berkata, pihaknya tetap akan menggerakkan jentera pilihan rayanya 100%, walaupun belum tahu siapa calon Bersatu yang akan mewakili PN. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemuda PAS Gua Musang akan memberikan komitmen penuh memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada PRK Nenggiri, walaupun terdahulu mahu parti itu bertanding mewakili gabungan itu.

Akur dengan keputusan Bersatu mempertahankan kerusi itu, Ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Habidin Hanipa berkata, cadangan agar partinya diberi laluan bertanding bersifat permintaan, bukannya paksaan.

“Setakat ini kita akur sahaja keputusan pucuk pimpinan, sama ada letak calon Bersatu atau PAS, asalkan daripada PN.

“Cadangan kita sebelum ini supaya calon PAS dipertimbangkan sekadar permintaan sahaja.

Pemuda PAS tetap akan menggerakkan jentera kita 100%, walaupun belum tahu siapa calon, katanya kepada FMT.

Sementara itu, apabila diminta mengulas sama ada tindakan Barisan Nasional (BN) mencalonkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang dikatakan anak tempatan, mampu memberi saingan kepada PN, Mohd Habidin berkata, pencalonan ketua Pemuda Umno Gua Musang itu sudah dijangka.

Beliau menjelaskan, Mohd Azmawi bukanlah anak kelahiran DUN itu sebaliknya sekadar menantu kepada penduduk Nenggiri dan mengundi di DUN Galas sebelum ini.

Habidin yakin, PN yang akan bertanding menggunakan lambang PAS akan berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut, memandangkan parti itu masih mendapat sokongan penduduk.

Setakat ini, kita lihat pengundi kita tak berganjak lagi, tetap beri sokongan. (Malah) kita sasar untuk tambah jumlah undi, berkat usaha kerja keras kita, katanya.

Sebelum ini, Mohd Habidin mencadangkan agar calon PAS diketengahkan mewakili PN pada PRK Nenggiri, mengambil kira 90% jentera pilihan raya daripada parti terbabit.

Cadangan sama turut disuarakan Ketua PAS Gua Musang Azman Ahmad atas kebimbangan episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun mengesahkan kerusi DUN Nenggiri akan ditandingi Bersatu pada PRK 17 Ogos depan.

-Wak Labu Farm 

Ahad, 14 Julai 2024

Isu Lompat Parti: ‘Anda tak keseorangan’, Pemuda MCA pertahan Akmal

 Ketua Penerangan Neow Choo Seong berkata ketua Pemuda Umno itu melakukan tindakan yang tepat dalam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.


Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, pertahan tindakan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, mempersoalkan keputusan speaker Dewan Rakyat berkenaan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

PETALING JAYA
Pemuda MCA mempertahankan tindakan lantang rakannya dari Umno, Dr Akmal Saleh, yang mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu berpaling tadah untuk menyokong kerajaan.

Ketua Penerangan Neow Choo Seong berkata ketua Pemuda Umno itu melakukan tindakan yang tepat dalam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.

‘Dr Akmal, you are not alone (anda tidak keseorangan)’, anda buat sesuatu yang betul. Kita pemimpin muda harus berani dan terus bersuara demi rakyat,
 kata Neow kepada FMT.

Kalau perkara ini dihalalkan, maka siapa-siapa sahaja boleh lompat ke sana dan ke sini… nanti wujudlah macam-macam langkah dan yang sengsara pastinya rakyat.

 Beliau mengulas teguran pemimpin muda Pakatan Harapan (PH) termasuk ketua Pemuda PKR dan Amanah iaitu Adam Adli dan Hasbie Muda, yang meminta Akmal menghormati keputusan speaker dalam menentukan nasib bekas enam Ahli Parlimen Bersatu.

Adam berkata Akmal gagal memahami isu secara mendalam manakala Hasbie mempertahankan tindakan speaker dengan menyatakan Johari mempunyai kuasa membuat keputusan mengekalkan kedudukan enam wakil rakyat terbabit.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Akmal sebelum ini menyifatkan akta antilompat parti diluluskan di Parlimen dua tahun lalu sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah tidak hilang kerusi.

Beliau juga mahu hak rakyat yang tidak mahu wujud lagi ‘katak politik’ dihormati.

Mengulas lanjut, Neow secara peribadi berpandangan mana-mana wakil rakyat yang mengkhianati mandat rakyat perlu mengosongkan kerusi masing-masing dengan bermaruah.

“Kalau tidak isu lompat parti atau katak politik ini akan terus menghantui sistem demokrasi negara.

Biarlah rakyat buat keputusan sekali lagi, kalau bukan hari ini saya pasti rakyat akan menghukum anda di pilihan raya akan datang,

 katanya.-FMT