ALOR SETAR: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penduduk di negeri ini yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa sehingga menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di Perlis ketika ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya memandang serius isu itu dan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
"Kita akan siasat dan semak individu yang dipercayai merentas negeri tanpa kebenaran dan didapati positif COVID-19 di Perlis.
"Jika ada penduduk negeri ini yang didapati rentas negeri ke Perlis tanpa kebenaran dan menyebabkan jangkitan virus itu di sana (Perlis), polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk kompaun," katanya ketika dihubungi hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan lorong tikus yang dikenal pasti digunakan penduduk Kedah untuk menyeberang masuk ke Perlis.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata kes jangkitan harian COVID-19 di Perlis didapati melonjak ke paras tertinggi akibat aktiviti rentas negeri secara haram.
Katanya, sebanyak 200 kes COVID-19 dilaporkan di Perlis semalam, dipercayai akibat aktiviti rentas negeri secara haram dilakukan penduduk tempatan dari Kedah.
-BH Online
0 comments:
Catat Ulasan