"Bila Jutawan Siber Cuba Membeli Kedaulatan: Dari Forest City Ke Honduras, Dan Kini Melarikan Diri Ke Kazakhstan"
Beberapa tahun lalu, pemandangan Forest City pada waktu malam menimbulkan satu perasaan yang sukar diterangkan.
Menara kediaman sudah memenuhi kaki langit, jalan raya terbentang cantik, tetapi banyak jendelanya kekal gelap gelita kerana jumlah manusia yang menghuni kawasan itu tidak setanding dengan kepesatan bangunannya.
Media antarabangsa tanpa belas kasihan melabelkan projek serantau itu sebagai "bandar hantu".
Walaupun kerajaan Malaysia dan Johor bertungkus-lumus menaik taraf kawasan itu menjadi Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sebuah bandar tidak akan hidup hanya kerana konkritnya sudah siap.
Ia memerlukan komuniti manusia yang keluar masuk dan bernafas di dalamnya.
Ketika kerajaan sedang berhempas-pulas mencari pelabur untuk memenuhi ruang tersebut, muncul seorang pelabur teknologi Amerika Syarikat bernama Balaji Srinivasan.
Bekas Ketua Pegawai Teknologi syarikat "Coinbase" ini tidak datang membawa pelan pembinaan kilang. Dia datang membawa sebuah gagasan digital yang dinamakan "Network School".
Pada penghujung tahun 2024, kumpulan pertama seramai kira-kira 150 orang peserta mula berkumpul di Forest City.
Mereka bukan pelajar universiti konvensional, tetapi terdiri daripada jurutera, pekerja jarak jauh, pencipta kandungan dan pengembara digital yang mengamalkan budaya "learn, burn, earn and fun".
Pertemuan ini pada awalnya kelihatan seperti takdir yang sempurna; Forest City ada ruang fizikal yang melambak, manakala Network School ada komuniti elit antarabangsa yang sudi berbelanja.
Kehadiran mereka mula memberi nafas baharu kepada peniaga setempat.
Balaji turut mendabik dada mendakwa komunitinya telah menyuntik pelaburan lebih RM100 juta di Johor.
Cerita ini sepatutnya menjadi sebuah kisah kejayaan pemulihan ekonomi, sehinggalah satu dakwaan liar di media sosial mengubah segalanya dalam masa beberapa hari.
Tular desas-desus mendakwa wujudnya warga Isbiol yang menyelusup masuk ke dalam kem Network School menggunakan pasport negara kedua.
Isu ini amat sensitif memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim tersebut.
Kerajaan bertindak pantas. Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor mengarahkan siasatan bersepadu dijalankan.
Jabatan Imigresen menyerbu dan memeriksa 266 warga asing dari 40 buah negara di komuniti tersebut.
Hasilnya, kesemua mereka disahkan memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tiada sebarang bukti fizikal kewujudan warga Isbiol ditemui.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula mengesahkan premis itu bukanlah sebuah institusi pendidikan berdaftar, sebaliknya hanya ruang kerja bersama (coworking space).
Jika kisahnya terhenti di sini, Balaji memang mempunyai perisai yang kebal untuk berlagak menjadi mangsa keadaan.
Malah, berang dengan serbuan tersebut, Balaji melepaskan satu amaran terbuka.
Dia mengumumkan penangguhan serta-merta perluasan fasilitinya yang kononnya bernilai RM500 juta, sehinggalah organisasinya mendapat "jaminan bertulis" daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa insiden serbuan tidak akan berulang.
Ugutannya jelas; jika Malaysia menolak, organisasinya sedia untuk mengalihkan modal ke negara lain.
Namun, keangkuhan pelabur elit ini akhirnya memakan diri.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mendedahkan satu penipuan operasi yang amat memalukan.
Rupa-rupanya, Network School beroperasi di dua premis; satu mempunyai lesen pejabat yang sah tetapi disalah guna menjadi bilik darjah tanpa kelulusan perancang bandar, manakala sebuah lagi premis beroperasi secara haram seratus peratus tanpa sebarang lesen MBIP!
Papan tanda iklan mereka juga dinaikkan secara haram.
MBIP tidak membuang masa dan terus mengeluarkan notis penutupan.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) turut mencemar duli menyatakan pendirian tegas bahawa Johor tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, walau sehebat mana pun nilai pelaburan yang dijanjikan.
Ternyata, pasport sah di sisi Imigresen tidak menjadikan anda kebal daripada mematuhi undang-undang lesen PBT.
Kalau kedai runcit mak cik di kampung boleh disita kerana beroperasi tanpa lesen, tidak ada sebab mengapa sebuah komuniti jutawan teknologi dunia perlu diberi layanan istimewa.
Untuk memahami mengapa kumpulan pelabur elit ini berani bertindak seolah-olah mereka berada di atas undang-undang tempatan, kita wajib membedah siapa sebenarnya Balaji dan apa ideologi politik yang dibawanya.
Balaji memegang ijazah sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah dalam Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Stanford.
Sebelum mendominasi dunia mata wang kripto, dia adalah pengasas syarikat genetik yang dibeli dengan nilai AS$405.9 juta, dan pernah bergelar rakan kongsi di "Andreessen Horowitz", firma modal teroka paling berkuasa di Silicon Valley.
Tetapi ancaman sebenar Balaji terletak pada gagasan pemikirannya. Dia adalah penulis buku "The Network State: How to Start a New Country".
Melalui buku ini, Balaji mempromosikan kepercayaan ekstrem bahawa masyarakat masa depan tidak lagi perlu bermula dengan sempadan tanah dan bendera tradisional.
Dia mengajar bagaimana sekumpulan elit teknologi boleh berkumpul di alam siber, membina ekonomi digital, mengutip yuran keahlian, dan apabila kekayaan mereka menggunung, mereka akan datang "membeli" atau memajak wilayah fizikal di pelbagai negara dunia ketiga sebelum menuntut pengiktirafan autonomi secara diplomatik.
Dalam erti kata lain, Network School di Forest City ini bukanlah sekadar ruang kerja biasa.
Ia adalah "makmal percubaan" awal untuk menguji sama ada komuniti siber ini mampu membentuk sebuah negara hibrid di atas tanah negara orang lain.
Jika tidak diawasi, impian negara siber ini akan bertukar menjadi kolonialisme korporat moden.
Golongan elit ini bebas bergerak dengan jet peribadi menikmati zon tanpa cukai, manakala rakyat tempatan sekadar menjadi kelas pekerja bawahan atau buruh murah yang terpaksa menanggung kesan kenaikan harga hartanah.
Sebuah negara berdaulat tidak boleh berfungsi seperti syarikat aplikasi yang bebas "membuang" warganegara yang miskin atau kurang bijak.
Benda gila yang cuba dicetuskan di Johor ini bukanlah sekadar angan-angan kosong. Ia sudah pun terjadi dan sedang memusnahkan negara Honduras di Amerika Tengah.
Di Pulau Roatan, Honduras, wujud sebuah projek bernama Prospera.
Ia bermula apabila pentadbiran kerajaan Honduras yang terdesak mencari pelabur asing telah meluluskan akta Zon Pekerjaan dan Pembangunan Ekonomi (ZEDE).
Melalui akta ini, pihak Prospera yang beribu pejabat di Delaware, Amerika Syarikat, telah diberikan kuasa autonomi yang teramat melampau.
Di atas tanah Prospera, mereka bebas menggunakan sistem perundangan sendiri, merangka peraturan cukai komersial, malah menjadi syurga kepada syarikat bioteknologi Barat untuk menjalankan eksperimen klinikal yang belum diluluskan secara sah.
Ia beroperasi ibarat sebuah kerajaan kecil swasta di dalam perut negara Honduras.
Penduduk nelayan miskin di perkampungan bersebelahan hidup dalam ketakutan, bimbang tanah warisan mereka akan ditelan oleh perluasan sempadan entiti korporat ini pada masa hadapan.
Apabila Presiden baharu Honduras, Xiomara Castro naik memegang kuasa dan Mahkamah Agung Honduras membatalkan kerangka undang-undang ZEDE tersebut kerana ia mencabuli perlembagaan kedaulatan negara, pihak pelabur asing Prospera mengamuk sakan.
Mereka pantas mengheret kerajaan Honduras ke tribunal timbang tara antarabangsa (ICSID) di bawah Bank Dunia.
Pihak Prospera dengan angkuh menuntut kerajaan Honduras untuk memulihkan kembali hak autonomi pentadbiran mereka, atau berdepan denda pampasan kewangan sekitar AS$1.63 bilion!
Inilah amaran geopolitik yang paling keras buat negara kita.
Kes Honduras membuktikan bahawa apabila sesebuah kerajaan terlalu terdesak melutut menagih pelaburan asing, garisan pemisah antara "pelabur hartanah" dengan "perampas kedaulatan negara" akan menjadi sangat kabur dan memakan diri.
Menyedari bahawa ketegasan undang-undang Johor tidak boleh digugat dengan ugutan pelaburan "bayangan" bernilai RM500 juta, Balaji akhirnya memilih jalan yang paling sinonim dengan budaya kapitalis; angkat kaki dan lari mencari tuan rumah yang baharu.
Selang beberapa jam sahaja selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengumumkan penutupan operasi Network School di Johor, Balaji bersama Kementerian AI dan Digital Kazakhstan telah mengumumkan sebuah memorandum persefahaman (MoU) untuk membuka kampus baharu Network School di negara Asia Tengah tersebut.
Dari sudut logik operasi, pilihan Balaji ini sangat bertepatan dengan masalah yang dihadapinya. Kazakhstan, walaupun 70 peratus penduduknya beragama Islam, mengamalkan sistem pemerintahan yang sangat sekular.
Paling utama, Kazakhstan mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang amat intim dengan rejim Isbiol sejak awal 1990-an, malah bertindak membekalkan sekitar 20 hingga 25 peratus keperluan minyak mentah kepada rejim tersebut.
Kazakhstan bukanlah anggota perjanjian "Abraham Accords", namun keakraban sedia ada mereka dengan rejim Tololviv sudah cukup untuk menyelesaikan dilema terbesar Balaji.
Di Kazakhstan, dia tidak perlu lagi pening kepala memikirkan isu sekatan imigresen atau sentimen penolakan awam sekiranya ada pemegang pasport Isbiol yang mahu menyertai kampus kayangannya itu.
Cuma perpindahan mengejut ini meninggalkan satu sindiran yang agak ironi.
Mengapa Balaji tidak memilih tanah tumpah darahnya sendiri di India, sebuah negara yang sering dipromosikannya sebagai kondusif dan merupakan penyumbang demografi terbesar kepada komuniti Network School?
Dan yang paling melucukan, pasukannya kini terpaksa memerah otak memikirkan skrip pemasaran yang baharu.
Mereka tidak lagi boleh memancing pelabur teknologi dengan slogan eksotik "sebuah pulau bersebelahan Singapura".
Mungkin kali ini mereka terpaksa menggunakan tarikan keindahan cuaca ekstrem di pergunungan Kazakhstan.
Biar apapun lokasi yang mereka pilih selepas ini, pengajaran buat kita sangat jelas.
Malaysia dan Johor sememangnya amat mengalu-alukan kemasukan syarikat pelabur digital, modal teroka dan jurutera untuk memakmurkan fasiliti tempatan.
Tetapi pelaburan tidak pernah dan tidak akan sesekali diiktiraf sebagai "lesen besar" untuk menekan kerajaan supaya mengabaikan kedaulatan undang-undang perniagaan mahupun imigresen.
Sebelum seorang jutawan mahu bercita-cita membina sebuah "negara masa depan" tanpa sempadan, dia masih perlu membuktikan bahawa dia mampu patuh untuk mendaftar lesen premis majlis perbandaran di atas tanah yang dia sedang pijak.
Bercakap fasal pelabur korporat yang cuba mendominasi dasar sesebuah negara melalui lubang pelaburan ekonomi ini, sebenarnya banyak lagi aturan kehidupan kita yang dikawal oleh tangan ghaib kewangan tanpa kita sedar.
Kalau anda nak faham secara mendalam bagaimana sistem ekonomi dunia dan manipulasi pasaran ini digerakkan di belakang tabir secara senyap, anda wajib membaca naskhah "Undercover Economist" tulisan Tim Harford.
Ia membongkar rahsia besar tentang bagaimana setiap keputusan harian dan dasar sesebuah negara itu sangat dipengaruhi oleh hukum ekonomi kapitalis yang disembunyikan.













