KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebak sebaik menyentuh isu kemiskinan ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara hari ini.
Nada Perdana Menteri dapat didengari berubah serta-merta selain raut wajahnya kelihatan sedikit sugul ketika mula memasuki Fokus Kelima: Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan RMK-12.
Ucapannya turut terhenti beberapa saat sebaik menceritakan bahawa isu kemiskinan sangat dekat di hatinya kerana beliau dilahirkan dan membesar daripada keluarga penoreh getah.
Biarpun dalam nada sebak, Perdana Menteri yang meneruskan ucapannya berkata, beliau amat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.
Katanya, pandemik COVID-19 yang melanda meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga dalam kemiskinan.
"Kerajaan komited membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan rakyat. Pendekatan keseluruhan negara akan digunakan dalam menangani isu kemiskinan.
"Unit Kemiskinan akan ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri melalui penyusunan semula fungsi dan perjawatan untuk menyelaras segala hal ehwal kemiskinan, termasuk pengurusan data yang lebih bersepadu.
"Melalui usaha ini, saya yakin sasaran untuk membasmi kemiskinan tegar dapat dicapai pada tahun 2025," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan