Majlis Nnamat[1] di Surau Kampung Kubang Kekura dan sekitarnya biasanya diadakan pada malam ke-20 atau malam ke-15 Ramadhan ke atas. Memang meriah sambutannya. Ibu-ibu sibuk di dapur menyediakan juadah untuk Majlis Khatam al-Qur’an yang diadakan setahun sekali di balasoh. Masing-masing bawa lauk-pauk serba sedikit dan saling bertukar juadah.
Zul sudah merancang dengan adik beradiknya. “Kekgi kite bahang[2] lauk Pok Mat, orang kaye Kubang KKure. Jabir[3] ade banyok aku bowok ning.” Suke glekek[4] Mi dan Khairul mendengar idea Zul.
Di perkarangan balasoh, tersedia meja panjang yang memuatkan pelbagai jenis juadah. Nasi Dagang. Nasi Kapit Sambal, Laksa, Ketupat Sotong, Keropok Lekor, Kuih Beronok, Kayu Keramat, Pulut Lepa, Satar, Puteri Mandi, Nekbat, Nganang, Lempeng Nyior, Otak – Otak, Kuih Che Abas Demam, Bepang dan macam-macam lagi.
Malam itu juga Zul, Khairul dan Mi khatam 30 juzuk al-Qur’an. “Ddebor wase.”, bisik Mi pada adik-adiknya. “Aku tengok mung tak dop arroh doh. Mende kecik je ning. Juzuk Amma mung hapal doh, ekpong.” Zul cuba menenangkan abangnya.
Alhamdulillah, Majlis Nnamat bermula hampir masuk waktu Maghrib dan selesai sekitar jam 10 malam dengan solat Tarawih dan solat Witir. Ustaz Mad dari jauh memandang Mi, Zul dan Khairul di hadapan dengan penuh bangga. Bergenang air mata. Memang jarang beliau menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anak. Namun, itulah umumnya sifat seorang ayah. Di sebalik tegas, ada sayang. Apa sahaja sanggup dilakukannya demi kejayaan anak-anak.
********************
“Abangku, dengar-dengar ku berkata. Malam ini kita sambut tujuh likor. Hanyalah tinggal tiga hari saja lagi. Kita akan menyambut Hari Raya…” Lagu A.Ramlie dan Maria Bachok mula berkumandang dari corong radio.
Bagi masyarakat di Pantai Timur, 10 malam terakhir amat dinantikan terutamanya Malam Tujuh Likur iaitu pada 26 atau 27 Ramadhan. Ia diraikan dengan pemasangan ratusan bahkan ribuan pelita di sekeliling kampung. Kubang Kekura “hidup” dengan pelita panjut yang dibentuk dengan berbagai rupa. Saling bbadi[5] pelita panjut manakah yang paling gah. Tidak ada satu detik yang sunyi melainkan langit Kalau Terengganu bergegar dan dipenuhi warna-warni letupan bedil, ngecung keluang, ngecung jarung, ngecung lalat dan sebagainya.
“Ayub! Pasang cepat skek. Jangang wat keje catduh. Aku ajor doh mung kang? Sep kappung kite jangang kaloh dengan Wakaf Che Kapor. Bakpe wat keje supe dok aa’uu stabok?!”, marah Zul kepada Khairul. Batang buluh yang dipacak untuk dipasang pelita panjut agak longgar dan tidak betul-betul masuk ke dalam tanah.
Beliau menggoyangkan satu persatu batang buluh yang terpacak di hadapan rumah mereka. Lagaknya seakan bos yang sedang buat pemeriksaan Quality Assurance & Quality Control! Zul memang teliti orangnya. Apa sahaja kerja yang dibuat, beliau utamakan kesempurnaan dan kepantasan.
“Erk…ok, ok.”, balas Khairul menikus ketakutan. Khairul takut betul kalau abang-abangnya marah. Di rumah, beliaulah antara penyimpan besar rahsia abang-abangnya. “Rahsia” terjun baruh, mmukat, lage ayang, igak ikang sekila, bbaloh dengan sep kappung sebelah dan lain-lain aktiviti yang berisiko mengundang kemarahan Ustaz Mad, dijaga rapi olehnya dengan syarat beliau dibenarkan ikut sekali.
“Siap-siap blake! 10 minit lagi kite gi balasoh mayang tarawih!”, terdengar suara ayah mereka daripada ruang tamu. Biasanya selepas Solat Maghrib, Ustaz Mad akan membaca al-Qur’an dan menyelak surat khabar. Laghi khucuk[6] cucu-cucu Tok Aki Hj Bakar masuk ke dalam rumah apabila mendengar peringatan Ustaz Mad. “Projek Panjut Malam Tujuh Likur” ditinggalkan berterabur di perkarangan rumah.
*********************
Sarah begitu khusyuk mendengar Tok Aki bercerita. Beliau kemudiannya bertanya:
“Tok Aki. Best ke pasang-pasang pelita? Macam tak best je…”
“Awop budok bandor. Dop pahang erti keseronokang sebenor. Jamang dulu, itula aktiviti kami. Pasang panjut pelite ni buleh bine semangak kerjesame, kreativiti. Awop-awop jamang lening tau main Tiktok je.”
“Satu lagi, bab hukum malang tujoh likur ning…”, Tok Aki menyambung kata-katanya. “Ade hok kate ini ikut ajarang Hindu. Tak betul pandangang tu. Tradisi orang Melayu kite cume nok seronok-seronok. Tak dop pecaye ape-ape hok khurafat, syirik.”
Sarah mengangguk-angguk tanda faham.
*********************
“Meri. Kuih mende hok ade? Tok Su aku bowok pisang putor. Kalu ade hok sedak, kite retuh[7] dulu sutir due[8]. Hehe…”, ujar Zul kepada Zamri sambil terintai-intai kotak yang diletakkan di pintu masuk balasoh. Ketika itu, jemaah sedang menunaikan solat Tarawih.
Kotak disediakan oleh pihak balasoh untuk anak kariah meletakkan pelbagai juadah makanan dan kuih-muih yang boleh dimakan bersama selepas Solat Tarawih. Meriah moreh orang Kampung Kubang Kekura. Jika orang kaya, mewahlah juadahnya. Jika orang kebiasaan, tetap lazat hidangannya.
Malam raya adalah malam kemuncak bagi aktiviti Ramadhan di Kampung Kubang Kekura. Orang-orang kampung akan berbondong-bondong memikul beras untuk membayar zakat di sejik[9]. Bayaran zakat menggunakan wang masih nadir pada masa itu. Kewajipan menunaikan zakat pertanian telah disebutkan secara terang dan jelas dalam al-Qur’ān:
Maksudnya: “Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.”[10]
Tanam-tanaman yang cukup nisabnya hendaklah dibayar zakatnya mengikut peratus penghasilan. Kadar peratus pembayarannya bergantung kepada kaedah siraman yang digunakan. Siraman menggunakan air hujan adalah 1/10 x hasil tuaian manakala siraman menggunakan teknologi moden adalah 1/20 x hasil tuaian.
Hasil tuaian yang wajib dikenakan zakat adalah 375 gantang Baghdad bersamaan 937.5 kilogram. Sebagai contoh, hasil tuaian yang menggunakan air hujan bersamaan 1000 gantang. Maka, zakat yang dikenakan adalah 1/10 x 1000 gantang iaitu 100 gantang hasil tuaian.
********************
“Kite nok buke pose ning, sunat makang woh kheme[11] dulu. Se lagi, bang je, bbuke slalu. Itu sunnoh Nabi kite. Nabi sebut:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
“Manusie ni sokmo dalang kebaikang, selame mane mereke ning menyegerekang berbuke. Ndape menyegerekang berbuke hok Nabi sebut ning? Tok bilal bang je di sejik, bbuke slalu. Itu sunnoh.” Begitulah kupasan Ustaz Zakaria, Pegawai Agama Daerah Dungun dalam slot Ramadhan di Terengganu FM.
Zul khusyuk mendengar dan mencatat isi-isi penting. Radio lama jenama Aiwa itulah yang menjadi teman setianya sejak awal Ramadhan. Kalau tak keluar bermain, beliau akan mendengar kuliah-kuliah yang tersedia di Terengganu FM sepanjang Ramadhan.
“Manekale isu mendirikang semayang dalang keadaang makanang doh terhidang, Nabi bersabde:
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
‘Tidok sempurne semayang jike makanang doh terhidang. Tidok juge sempurne semayang mereke yang tahang air kecil dan air besor.’[12]
Dialek ustaz muda lulusan al-Azhar itu tidaklah terlalu pekak beladok[13]. Sedap didengar. Mungkin kerana meraikan pendengar yang pelbagai walaupun masih tak hilang huruf “g” nya.
“Haa…Berdasorkang hadis di atah, kalimoh lā di situ adeloh lā nāfiyah yang menafikan kesempurnaang semayang. Ape maksudnye? Makruh semayang saat makanang terhidang. Makruh semayang dalang keadaan wase nok buang air kecil, air besor. Sebab ape makruh? Hilang khusyuk sebab lapor ceghuk. Itu Imam Nawawi kate.”
Begitulah indahnya Islam. Imam Al-Bukhārī menukilkan sebuah kata-kata dari Abū al-Dardā’ yang mana beliau berkata: “Antara kefahaman beragama seseorang itu adalah dia mendahulukan keperluannya dengan makanan kemudian barulah dia pergi menunaikan solatnya dalam keadaan jantung hatinya kosong (tenang dari gangguan)’’.
Demikian juga Imam Abū Dāwūd meriwayatkan dengan katanya:
وكان ابن عمر يوضع له الطعام ، وتقام الصلاة فلا يأتيها حتى يفرغ ، وإنه يسمع قراءة الإمام
Maksudnya: “Ibn Umar dihidangkan kepadanya makanan, lalu didirikan solat dan beliau tidak solat sehinggalah beliau selesai makan. Dan sesungguhnya beliau mendengar bacaan imam.”
Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Nafi’ beliau berkata:
وكان ابن عمر إذا حضر عشاؤه وسمع الإقامة وقراءة الإمام لم يقم حتى يفرغ
Maksudnya: “Ibn Umar apabila telah terhidang makan malam dan beliau mendengar iqamah serta mendengar bacaan imam, beliau tidak bangun (untuk menunaikan solat) sehinggalah selesai makan.”
Demikian juga terdapat sebuah riwayat yang menceritakan berkenaan dengan Abū Hurayrah dan juga Ibn ʿAbbās raḍiyallāhu ʿanhumā bahawa ketika keduanya sedang menjamah hidangan lalu muazzin hendak iqamat bagi mendirikan solat, maka Ibn Abbās berkata kepadanya:
لا تعجل لئلا نقوم وفي أنفسنا منه شيء
Maksudnya: “Jangan kamu bersegera (untuk iqamat) supaya kita tidak berdiri dalam keadaan dalam diri kita ada memikirkan sedikit tentang makanan tersebut.[14]
Oleh itu, sekiranya juadah berbuka puasa telah dihidangkan, hendaklah juadah berbuka puasa dijamahterlebih dahulu dan kemudian barulah menunaikan solat Maghrib. Hal ini adalah supaya jiwanya akan lebih tenang dan tidak terganggu untuk mendirikan solat Maghrib.
Kaedah berbuka puasa dengan kurma dan air mineral sebagaimana yang dijalankan oleh masjid-masjid di mana sebelum menunaikan solat Maghrib dan menjamah makanan berat selepasnya tidak bercanggah dengan syariat bahkan lebih afdhal kerana mengambil sunnah berbuka puasa segera dan dapat juga menunaikan solat secara berjamaah di awal waktu.
Ini bertepatan dengan kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar:
لأنه يكون قد أخذ من الطعام ما دفع شغل البال به
Maksudnya: “Ini kerana dia telah mengambil dari makanan dengan kadar yang dapat menghalang sibuknya fikiran dirinya dengan makanan tersebut.”
“Hok ngelah skali ambe nok pesang, kalu nok bahang tu, sekodar je. Sebab lepas Maghrib kite nok semayang Isyak. Lepah tu, Tarawih lagi. Jangang biar nafsu jadi raje di bulang yang mulie ning. Wallahu a’lam.” Ustaz Zakaria menutup bicaranya pada petang itu dengan nasihat yang ringkas.
“Zul…Bo bo lah[16] dengar radio. Gi tengok lemang di bowoh tu. Angit nettong[15] kekgi!, kata Hajah Ramlah di dapur.
“Baik Chik!”[17] Zul lantas berlari turun melihat lemang yang sedang dibakar. Meninggalkan radio yang berterusan memutarkan lagu-lagu “wajib” raya nyanyian Saloma, P. Ramlee. Dahlan Zainuddin, Sharifah Aini, Rafeah Buang, Hail Amir, Uji Rashid dan pastinya duet Anuar dan Elina.
____________________
[1] Majlis Khatam al-Qur’ān
[2] Makan dengan cara menyerbu
[3] Plastik
[4] Ketawa berdekah-dekah
[5] Bertanding
[6] Lari pecut
[7] Makan
[8] Sebutir dua
[9] Masjid
[10] Surah al-Anʿām: 14
[11] Kurma
[12] Riwayat Muslim (560)
[13] Terlalu pekat
[14] Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/188)
[15] Hangus / hangit
[16] Sudah-sudahlah
[17] Panggilan ibu untuk masyarakat di Terengganu
Sumber Asal: zulkiflialbakri.com
Artikel Barkaitan:
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura
0 comments:
Catat Ulasan