"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label DUN Melaka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DUN Melaka. Papar semua catatan

Jumaat, 26 November 2021

Pasca PRN Melaka: Dua muka lama, lapan muka baharu barisi Exco Melaka

 

SULAIMAN Md. Ali ketika sidang akhbar khas pengumuman barisan Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP

MELAKA: Dua muka lama dan lapan muka baharu membarisi senarai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dibentuk selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu memegang portfolio Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Dua muka lama ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang memegang jawatan lamanya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan manakala ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman bertukar portfolio kepada Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri.

Mengetuai lapan muka baharu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dengan mempengerusikan Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan manakala ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan pula dengan portfolio Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.

Turut tersenarai ADUN Telok Mas yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani; ADUN Gadek, VP. Shanmugam memegang Jawatankuasa Pembangunan Belia,  Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin dengan portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Kebajikan.

Tiga lagi muka baharu ialah ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menjawat portfolio Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah yang sebelum ini disandang Rahmad; ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi manakala ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem memegang portfolio Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna

Sulaiman berkata, barisan Exco yang dibentuk adalah yang terbaik untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Mereka mampu menggalas tanggungjawab dan merealisasikan aku janji dan manifesto Kestabilan Demi Kemakmuran yang ditawarkan untuk rakyat di negeri ini selepas BN menang dalam PRN,” katanya ketika sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Rabu, 13 Oktober 2021

Krisis Melaka: Tular surat kelulusan korek pasir pemimpin UMNO pula?

Surat berkaitan kelulusan mengorek pasir yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tular di media sosial.

Selepas tular klip audio yang mendakwa perbualan antara bekas EXCO Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob, kini tular pula surat yang didakwa dikeluarkan pejabat Ketua Menteri Melaka berkaitan permohonan mengorek pasir.

Surat yang bertarikh 27 September 2021 itu merupakan kelulusan daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka kepada sebuah syarikat enterprise berpejabat di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.

Sumber memaklumkan kepada Agenda Daily bahawa pemimpin utama UMNO Melaka yang menjadi punca kemelut politik terbaharu turut mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Individu tersebut didakwa menjadi punca rasa tidak puas hati empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai Idris sebelum ini yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

 Surat itu adalah berkaitan permohonan untuk mendapatkan permit mengeluarkan bahan batuan (pasir sungai) sebanyak 21,000 metrik tan (12,000 meter padu) di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran di Mukim Gadek, Alor Gajah, untuk tujuan jualan.

Menurut kandungan surat itu, mesyuarat Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka (JKBB) Bil 7/2021 yang bersidang pada 3 September 2021 telah bersetuju meluluskan permohonan itu

Antara lain syarikat itu dikenakan syarat:

  • Jumlah kuantiti: 21,000 metrik tan;
  • Tempoh: 6 bulan;
  • Kadar royalti: RM3 semetrik tan;
  • Bayaran royalti: RM63,000 (RM3 x 21 metrik tan);
  • Wang cagaran: RM12,600 (RM63,000 x 20%);
  • Bayaran kupon (doket): RM2,400 (48 buku x RM50); dan
  • Jumlah bayaran: RM78,000

Sebelum ini, Idris ketika mempertahankan tindakan menarik sokongan sehingga kerajaan UMNO Melaka tumbang turut membangkitkan isu berkaitan pasir dan royalti di negeri itu.

Media memetik Idris sebagai berkata:

“Kalau UMNO ini terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan itu tangan kanan dan kiri disuapkan ke mulut sambil mata menjeling lagi ke makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka ini.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak daripada tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, semuanya berlaku dengan jelas.”

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertemu dengan Idris dan merakam percakapannya. Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan pertemuan selama dua jam dengan Idris tetapi tiada dokumen dirampas.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman audio yang dikatakan mirip suara Idris dan Perdana Menteri berbual mengenai krisis politik di Melaka.

Dalam klip audio berdurasi lebih 7 minit itu kedua-duanya menggunakan kata ganti diri ‘aku’ dan ‘engkau’, selain nama Rauf turut disebut.

-Agenda Daily

Isnin, 11 Oktober 2021

Calon BEBAS Di PRN Melaka Akan Dibayar RM100,000?

MELAKA: Satu gerakan sedang dijalankan pihak tertentu untuk mencari individu profesional termasuk daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertanding atas tiket calon Bebas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiap calon itu dikatakan dijanjikan habuan sebanyak RM100,000 jika bersetuju bertanding dan diletakkan di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gerakan itu yang sedang bergiat aktif itu sekadar menghubungi calon-calon yang telah dikenal pasti berpotensi dan ada pengaruh menerusi telefon bimbit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia menerima panggilan telefon daripada nombor telefon bimbit tidak dikenali dua hari lalu.

Menurutnya, lelaki berkenaan bertanyakan sama ada berminat atau tidak untuk bertanding atas tiket calon Bebas pada PRN nanti.

“Saya terkejut sebab lelaki itu tahu serba-serbi butiran tentang diri saya, pekerjaan dan kerjaya sebelum ini. Pada mulanya saya terdiam seketika apabila dia meminta persetujuan saya untuk bertanding atas tiket Bebas.

“Lebih mengejutkan saya ditawarkan bayaran sebanyak RM100,000 jika bersetuju. Saya cakap dengan dia secara berseloroh, bayaran RM100,000 sangat rendah. Kalau jadi calon, saya terpaksa berhenti kerja dan jika sekiranya kalah macam mana saya nak cari rezeki,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan memberitahu jika bersetuju, dia diletakkan bertanding di DUN Ayer Keroh.
“Saya tidak memberikan sebarang jawapan sehingga hari ini,” katanya lagi.

Jelas Ahmad, gerakan mencari calon Bebas itu nampak seperti ingin pecah undi memandangkan dia tinggal di Lorong Pandan tetapi disuruh bertanding di Ayer Keroh.

Secara logik tambahnya, jika bertanding untuk menang, sudah pasti dia akan diletakkan bertanding di kawasan yang berdekatan tempat tinggalnya dan masyarakat sekeliling mengenalinya.

“Ini tidak, duduk di tempat lain disuruhnya bertanding di kawasan lain. Nampak sangat gerakan ini sekadar nak pecah undi semata-mata,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Sabtu, 9 Oktober 2021

DUN Melaka:Semua orang UMNO tahu Speaker orang Zahid, tak berani tegur

 

Tiada siapa berani menyanggah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kerana dia orang Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dianggap sebagai ‘singa’ turut dilabel sebagai orang kuat ‘Zahid’ di kalangan pemimpin UMNO yang merujuk kepada kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ab Rauf yang juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri bertindak membubarkan DUN selepas empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga kehilangan majoriti.

Beberapa sumber dalaman parti memberitahu Agenda Daily, Ab Rauf digeruni dan ditakuti pemimpin UMNO negeri itu kerana mempunyai hubungan rapat dengan Zahid, malah mempunyai pengaruh yang berkuasa kerana status orang ‘Zahid’ yang dipegangnya.

“Siapa berani dengan Rauf, semua orang UMNO tahu hubungan rapat dia dengan Zahid… Malah, di kalangan orang UMNO di Melaka sudah mengetahui perkara tersebut sejak sekian lama,” kata sumber UMNO itu.

Tindakan pembubaran DUN oleh Ab Rauf memberi implikasi besar kepada krisis politik di Melaka kerana ia mengakibatkan satu pilihan raya negeri (PRN) perlu dijalankan untuk memilih kerajaan baharu.

Tindakan tersebut amat berani kerana walaupun krisis politik negara melanda baru-baru ini di peringkat pusat, mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertindak sehingga ke tahap untuk membubarkan Dewan Rakyat kerana tidak mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Muhyiddin yang ditekan oleh kumpulan diketuai Zahid mengambil pendekatan untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengambil kira situasi krisis kesihatan yang sedang melanda negara.

Bagaimanapun, tindakan Ab Rauf tersebut seolah-olah tidak memikirkan kesan kepada rakyat di Melaka yang terjejas punca pendapatan serta kehidupan seharian akibat Covid-19.

Reaksi orang ramai khususnya di Melaka amat kecewa dengan satu lagi krisis politik yang berlaku, malah ia dikecam hebat kerana tidak sensitif dengan kesusahan rakyat dihadapi ketika ini.

Beberapa pemerhati politik juga menyifatkan tindakan pembubaran DUN tersebut sebagai tidak wajar pada ketika penularan Covid-19 semakin reda dan jika diteruskan juga PRN, dibimbangi episod sama di Sabah bakal berulang.

Berhubung keputusan Ab Rauf membubarkan DUN, sumber memberitahu mustahil tindakan drastik tersebut tidak dikaji terlebih dahulu oleh pemimpin atasan UMNO tanpa memikirkan kesannya.

“Mustahil Rauf tidak merujuk dahulu kepada Zahid, beliau boleh menghubungi Presiden dahulu untuk bertanyakan pandangan sama ada wajar atau tidak membuat keputusan tersebut.

“Hubungan rapatnya dengan Zahid, tidak bolehkah beliau rujuk kepada Zahid… Ini yang menjadi persoalan, kini UMNO pula dalam dilema kerana sudah takut dengan tindak balas rakyat terhadap keputusan tersebut,” kata sumber lagi.

Untuk rekod, Zahid pada awalnya berkata tidak kisah sekiranya kerajaan UMNO di Melaka tumbang dan memberi laluan kepada PRN dijalankan untuk rakyat memilih kerajaan baharu.

Namun, nadanya bertukar dan seakan-akan memberi isyarat tidak merelakan PRN diadakan pada ketika rakyat masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Terdahulu, bekas KM Datuk Seri Idris Haron berkata, ada ‘dua singa di atas gunung’ yang menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Sulaiman menjadi kelam-kabut.

Idris mendakwa, Sulaiman tidak mampu membuat keputusan mengenai perkara penting dalam pentadbiran kerana terpaksa tunduk kepada kata putus Speaker DUN, Ab Rauf.

Melepaskan rasa tidak puas hatinya, Idris berkata tindakan Ab Rauf memegang jawatan Speaker DUN tidak sepatutnya berlaku kerana sesiapa yang mempunyai kepentingan politik tidak seharusnya mentadbir DUN.

Untuk rekod Ab Rauf adalah bekas Setiausaha Kerja UMNO Malaysia dan bukan wakil rakyat mewakili mana-mana kawasan Parlimen atau DUN di Melaka.

“Ini menyebabkan persidangan DUN Melaka tidak dapat dijalankan dengan baik kerana Speaker tidak dapat mentadbir dengan baik,” kata Idris mengkritik Ab Rauf baru-baru ini.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang mengetuai kumpulan empat ADUN yang menjadi punca kepada kekalutan politik di Melaka sehingga tumbangnya kerajaan negeri dipimpin UMNO.

-Agenda Daily

Jumaat, 8 Oktober 2021

Sesi 'perkenalan' Anwar dengan empat bekas Adun Melaka

  ANWAR (dua dari kiri) ketika pertemuan dengan empat bekas Adun dan Adly di Melaka, baru-baru ini. FOTO tular.

ANWAR (dua dari kiri) ketika pertemuan dengan empat bekas Adun dan Adly di Melaka, baru-baru ini. FOTO tular.

Melaka: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengesahkan pernah bertemu dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Ia susulan sekeping gambar tular di media sosial menunjukkan beliau bersama tiga lagi bekas Adun yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Isnin lalu.

Mereka adalah Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Turut hadir pada pertemuan dipercayai diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, di sini, dua hari lalu itu ialah Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

"Itu pertemuan biasa PH, memperkenalkan empat Adun yang sudah merubah kerajaan. (Kami) minum malam, itu saja.

"Pertemuan itu tidak membincangkan hal mengenai tawaran menyertai PKR, tetapi lebih kepada sesi perkenalan dan berbicara hal ehwal politik semasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pada perjumpaan itu, Anwar menasihatkan semua empat Adun berkenaan supaya kekal bersabar dan menyerahkan segalanya kepada mahkamah.

Katanya, Ketua Pembangkang itu menyatakan perjuangan yang dilakukan itu lebih kepada usaha menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran selain memperjuangkan keadilan sejagat.

"Saya memang pegang kepada prinsip itu, bahkan semasa dalam Umno dulu pun saya berpegang kepada prinsip kesaksamaan sejagat.

"Prinsip itu sama, cuma mungkin kaedah metadologi itu lain sikit. Semasa dalam Umno pun, saya perjuangkan kesaksamaan sejagat," katanya.

Semalam, Idris mendedahkan pernah dihubungi dua presiden parti dalam gabungan PH selepas beliau bersama tiga Adun lain menarik sokongan terhadap Sulaiman.

-myMetro

Khamis, 7 Oktober 2021

Tarik sokongan:Noor Effandi gugur keahlian sebagai ahli Bersatu

 ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. FOTO  SYAFEEQ AHMAD

ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Kuala Lumpur: Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad gugur secara serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Biro Politik Bersatu membuat ketetapan bahawa Noor Effandi gugur keahliannya secara serta-merta susulan tindakannya menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka.

Menurutnya, ketetapan itu akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan datang.

"Biro Politik Bersatu bermesyuarat pada hari ini untuk membincangkan perkembangan politik terkini di Melaka.

"Biro Politik Bersatu melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan empat Adun Melaka yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka ketika rakyat sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hamzah berkata, Biro Politik Bersatu berpendapat kemelut politik itu berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu.

Beliau berkata, ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara pada ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan.

Menurutnya, Biro Politik Bersatu berpendirian bahawa kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

-myMetro

Rabu, 6 Oktober 2021

Bubar DUN Melaka: Ali Rustam dapat nasihat salah - PH


Pakatan Harapan (PH) berpendapat keputusan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat berdasarkan nasihat yang salah.

PH berkata apabila empat Adun menarik sokongan terhadap Sulaiman Md Ali pada Isnin lalu, ketua menteri itu telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati Ali Rustam berdasarkan perlembagaan negeri.

"Pakatan Harapan mengambil pendirian bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Dato’ Sri Utama Dr Ali Rustam, telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah dari seorang Ketua Menteri yang telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.

"TYT sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu dengan 15 Adun iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan," kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.

 PH berkata tindakan Ali Rustam melanggar duluan (precedent) di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari) untuk membubarkan Dun tidak diterima setelah hilang majoriti.

"Malah ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN," katanya.

Majlis Presiden PH turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka itu telah membuka laluan untuk pilihan raya negeri diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat ketika pandemik Covid-19 belum lagi terkawal sepenuhnya.

Pada 4 Okt lalu bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, bersama tiga Adun lain membatalkan sokongan mereka kepada Sulaiman sebagai ketua menteri. 

Tindakan itu menyebabkan Adun Lendu itu kehilangan majoriti di DUN Melaka.

Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Ia mengulangi insiden bagaimana Adly dijatuhkan daripada jawatannya sebagai ketua menteri pada 2 Mac tahun lalu dengan tindakan beberapa Adun kerajaan berpaling tadah.

-Malaysiakini

Selasa, 5 Oktober 2021

Dua lagi ADUN Melaka dijangka tarik sokongan -Idris Harun

 

Idris Harun

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Undang, Datuk Seri Idris Harun mendedahkan dua lagi ADUN dijangka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama ADUN terbabit kerana masih dalam perbincangan.

“Kita dapat bayangkan akan ada dua lagi ADUN yang mungkin akan bersama kita, tapi ini masih lagi di peringkat perbincangan,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Hilir di sini, pada Selasa.

Menurutnya, satu pertemuan bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi menyatakan pandangan bagaimana kerajaan negeri akan diurus tadbir selepas ini.

Ujarnya, mereka bersetuju mencadangkan dua wakil iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga ketua pembangkang, Adly Zahari dan beliau selaku empat ADUN yang sudah hilang kepercayaan terhadap Sulaiman.

“Memandangkan Ketua Menteri meletakkan jawatan, seramai 11 ADUN PH dan kami berempat bersetuju secara kolektif di bawah perkara 72(1) dan 82(a) Perlembagaan negeri untuk melantik dan mencalonkan seorang ADUN yang mempunyai kepercayaan dalam kalangan 15 ADUN ini untuk dilantik sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Pada Isnin, Idris bersama tiga lagi ADUN iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) menamatkan teka-teki krisis politik Melaka selepas mendakwa hilang kepercayaan dengan kepimpinan Sulaiman.

-SH Online

Zahid sahkan UMNO pecat dua ADUN tarik sokongan di Melaka

ADUN UMNO Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan ADUN UMNO Pantai Kundor, menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka daripada parti itu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

 Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dipecat kerana tindakan menarik sokongan sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri Melaka diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Pemecatan itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membidas tindakan kedua-dua ADUN tersebut kerana menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri, ia selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

“Bagi ADUN UMNO yang khianat kerajaan BN Melaka, saya harap mereka bersedia untuk terima tindakan dari parti bagi terima surat pemecatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dua ADUN UMNO tersebut, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bersama dua lagi ADUN.

Dua lagi ADUN itu ialah Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam menerima cadangan agar DUN Melaka dibubarkan hari ini.

-Agenda Daily

TYT Mohd Ali Rustam setuju DUN Melaka dibubarkan

 GAMBAR hiasan. DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri. FOTO Bernama

GAMBAR hiasan. DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri. FOTO Bernama

Ayer Keroh: Kemelut politik Melaka berakhir apabila Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh, ketika mengumumkan perkara itu berkata, proklamasi Pembubaran DUN Ke-14 akan diwartakan hari ini.

"Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, sudah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober," katanya.

Cadangan pembubaran DUN dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pagi semalam.

-myMetro