"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Presiden AS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Presiden AS. Papar semua catatan

Selasa, 21 Oktober 2025

Sidang Kemuncak ASEAN:Trump sah hadir 26 Oktober ni

 


Trump sahkan dia akan mai Malaysia pada 26 Oktober, sebelum pergi Jepun 27 Oktober dan Korea 29 Oktober.

Kalau tak cancel last minit, Trump akan jadi presiden Amerika ke-3 yang jejak kaki ke Malaysia selepas Lyndon Johnson (1966) dan Barack Obama (2014 dan 2015).

Agak luar biasa sebenarnya presiden Amerika cuma pernah lawat Malaysia 3 kali. Sikit sangat kalau banding dengan Filipina (10 kali), Indonesia (9 kali), Vietnam (9 kali), Thailand (7 kali) dan Singapura (5 kali).

Padahal Amerika dah iktiraf Malaya/Malaysia sejak 31 Ogos 1957 lagi.

Lawatan Trump kali ni pun berbeza dengan lawatan Johnson atau Obama. Diorang datang untuk tujuan lawatan negara (state visit), menghadap Agong, dan diberi istiadat penuh sebagai tetamu kehormatan negara.

Johnson siap lawat FELDA Labu Jaya, dan kampung tu dinamakan LBJ sempena nama singkatan dia (Lyndon Baines Johnson).

Obama pula datang sekali sebagai tetamu negara (2014), siap berucap kat Universiti Malaya. Sekali lagi dia datang sebagai tetamu ASEAN (2015), masa Malaysia jadi tuan rumah ASEAN.

Dan Trump kali ni datang sebagai tetamu ASEAN.

Sejak zaman Obama, tuan rumah ASEAN memang akan jemput Amerika ke sidang kemuncak ASEAN.

Apa kena-mengena Amerika yang jauh gila tu nak datang ASEAN?

Sebab boleh.

Pada tahun 2009, Amerika bawah Obama buat satu langkah luar biasa: menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN, atau TAC (Treaty of Amity and Cooperation).

Perjanjian ni penting sebab siapa-siapa yang nak join mesyuarat diterajui ASEAN macam Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit, EAS), kena sign perjanjian ni dulu sebagai tanda dia mahu diikat dengan "cara ASEAN" (ASEAN Way).

Lebih kurang macam "masuk kandang kambing mengembek". Lepas sign TAC ni tak boleh langsi lagi. Kau join ASEAN sebagai rakan dialog yang duduk sama tinggi, diri sama rendah dengan rakan-rakan ASEAN lain.

China sign TAC pada 2003, kemudian join Sidang Kemuncak Asia Timur bersama-sama Jepun, Korea, India, Australia dan New Zealand.

Sebelum 2009, Amerika tak ambil port pun pasal ASEAN ni.

Orang Amerika ni, jangan kata ASEAN, NATO tu ada negara apa pun majoriti diorang tak tahu.

Menteri Pertahanan (atau acah-acah Menteri Perang) Amerika sekarang, Pete Hegseth, kantoi tak kenal ASEAN tu apa. Tu level menteri tau.

Tapi Obama lain. Dia ni empat tahun duduk Jakarta. Cara dia lihat dunia pun lain.

Zaman Bush (2001–2009), dia sibuk perang kat Timur Tengah. Tapi bila Obama naik je, dia terus "Pivot to Asia".

Maksudnya, Amerika mengalih arah (pivot) strategiknya dari Timur Tengah ke Asia. 60% tumpuan diplomasi dan ketenteraan Amerika akan diberi kepada Asia.

Sebab kebangkitan China. Amerika tak boleh duduk diam biar China kuasai ASEAN.

Negara ASEAN pun mengalu-alukan kedatangan Amerika. Bukan sebab semua nak jadi barua Ziyonis, tapi sebab hanya Amerika yang mampu jadi pengimbang kepada China.

Adakah ASEAN benci China? Bukan.

China penting sebagai rakan ekonomi. Kita rilek je minum Chagee, Mixue, Luckin semua tu.

Tapi hukum kuasa: kalau satu kuasa besar tak ada pesaing, dia akan jadi "hegemon" yang dominasi satu rantau dan paksakan kehendak dia.

Dan benda ni boleh nampak dalam isu Laut China Selatan.

Sebelum 2010-an, China agak berhemah dalam isu Laut China Selatan. Dia tuntut, tapi dia bincang.

Tapi lepas 2010-an, dia makin langsi. Main langgar je sempadan yang dituntut negara ASEAN: Vietnam, Filipina, dan juga Malaysia.

Sebab China tahu negara ASEAN ni bergantung kepadanya dari segi ekonomi. Kalau dia "buli" pun, negara ni tak berani berbunyi atau putuskan hubungan.

Dan dia lebih kuat di rantau ni. Negara-negara dekat macam Jepun dan Australia pun bukan lawan China.

Jadi negara ASEAN pun memandang ke Amerika sebagai pengimbang China.

Bila China buat samseng di Laut China Selatan, Amerika akan berbunyi, kadang-kala beraksi dengan hantar kapal dia untuk show power.

Semua ni hanya berlaku bila Amerika lihat ASEAN tu penting dan beri komitmen kepadanya. Dan TAC menjadi simbol komitmen Amerika terhadap ASEAN.

Dua tahun selepas tandatangan TAC, Amerika join Sidang Kemuncak Asia Timur ASEAN buat pertama kali pada tahun 2011.

Lepas 2011, hampir setiap tahun Obama tak pernah miss ASEAN.

Lepas Obama, Trump pun join Sidang Kemuncak ASEAN tahun 2017. Tapi lepas tu dia dah malas. 2018, 2019 dan 2020 tak join.

Biden tak join 2021 sebab negara masih serabut dengan COVID. Pastu dia join 2022. Tahun 2023 dan 2024 pulak tak join, mungkin sebab tak larat.

Jadi di pihak pemimpin ASEAN, sebenarnya agak gelisah. Nampak macam Amerika kembali ke jalan lama, makin tak ambil berat pasal ASEAN.

Dan kalau benda ni berterusan, akan wujud "kekosongan kuasa" (power vacuum) yang boleh diambil kesempatan oleh China.

Lebih-lebih lagi dengan kembalinya Trump, pemimpin ASEAN risau dia hanya pentingkan Amerika, dah tak nak fikir pasal masa depan ASEAN.

Dasar perang dagang Trump pun dah buat negara ASEAN makin bergantung kepada China. Kalau dari segi diplomasi pun Amerika makin berjauhan, memang ASEAN ni boleh jadi blok China sudah.

Jadi kedatangan Trump ke ASEAN sebenarnya sangat penting: sebagai jaminan komitmen berterusan Amerika terhadap ASEAN.

Dan sebagai tuan rumah ASEAN, tak ada sebab Malaysia nak membelakangi kehendak dan kepentingan ASEAN secara keseluruhan.

Benar, Trump sebagai pemudah cara kezaliman Isiel memang sangat tak dialu-alukan, dan tak cocok dengan pendirian Malaysia yang membela keadilan Falisteen.

Tapi tanpa kehadiran Trump, ASEAN 2025 sebenarnya kurang seri, malah mungkin akan diingati sebagai titik permulaan ASEAN kehilangan relevannya.

Itulah dilema antara prinsip dan pragmatisme yang selalu dihadapi pemimpin dalam soal hubungan antarabangsa.

Dan kepentingan negara pun ada banyak dimensi. Kadang kau kena kutuk Amerika. Kadang kau kena berbaik dengan Amerika. 

Bukan hipokrit. Tapi itulah hakikat politik antarabangsa.

Dan sebenarnya bukan Trump je yang dijemput. Xi (China), Putin (Rusia) pun dijemput. Manakala Modi (India), Lula (Brazil) dan Ramaphosa (Afrika Selatan) pula confirm datang.

So nampak, sebenarnya agenda ASEAN kali ni ialah untuk menghimpunkan Amerika dan BRICS sama-sama, untuk tonjolkan ASEAN sebagai penghubung antara blok di era multipolar.

Cuma Xi tak datang, dah penat kot nak kena datang banyak kali. Putin pulak tak confirm, tapi nampak gaya macam tak nak datang.

Sayang sebenarnya. Kalau tak ASEAN 2025 pasti mencipta sejarah luar biasa.

Sekarang Trump dapat semua spot light. Dan ASEAN pun terpaksa bagi dia spot light demi kepentingan lebih besar.

Jadi kesimpulannya, nak faham hubungan antarabangsa ni kena faham dulu gambaran besar (big picture) politik dunia.

Macam mana nak faham gambaran besar politik dunia?

Dapatkan dan baca buku ADIKUASA. Boleh dapatkan kat kedai buku, atau klik link kat komen. (tulis panjang-panjang ni nak promo buku je sebenarnya)

Source 

Isnin, 21 April 2025

TRUMP TEMBAK KAKI SENDIRI: TARIF 125% BUAT AMERIKA GELABAH

 TRUMP TEMBAK KAKI SENDIRI: TARIF 125% BUAT AMERIKA GELABAH

Dalam keghairahan nak ‘ajar’ China, pentadbiran Trump akhirnya memakan diri sendiri. Terbaru, dalam usaha mengetatkan kawalan ke atas bahan strategik, Amerika Syarikat mengenakan tarif sehingga 125% terhadap beberapa kategori bahan mineral kritikal — termasuk produk berkaitan unsur nadir bumi. Tapi langkah ini mula menunjukkan kesan pelik: sabotaj ekonomi sendiri.

Satu-satunya lombong nadir bumi besar di Amerika, MP Materials di Mojave Desert, kini berdepan dilema pelik. Berdasarkan laporan kewangan mereka, kos melombong nadir bumi di Amerika sekitar $4,400 satu tan. Namun disebabkan kekurangan fasiliti pemprosesan dalam negara, bahan mentah ini terpaksa dihantar ke China untuk diproses — menambah lagi kos.

Dengan tarif baru ini, bahan yang diproses kemudian dihantar balik ke AS boleh melonjak harga mencecah lebih $10,000 satu tan. Ini adalah mimpi ngeri dalam dunia perniagaan. Apabila bahan sama boleh diperoleh dari negara lain dengan harga lebih murah, syarikat-syarikat teknologi Amerika sendiri terpaksa cari alternatif — bukan lagi sokong produk tempatan.

Ironinya, langkah ‘America First’ ini sebenarnya membunuh peluang industri domestik untuk berkembang. MP Materials misalnya, kini terpaksa menahan sebahagian besar hasil kerana tidak mampu bersaing tanpa fasiliti pemprosesan sendiri. Sedangkan untuk membina kilang pemprosesan baru, kos dan masa yang diperlukan bukan sedikit.

Dalam masa sama, China pula mengambil langkah balas dengan mengenakan sekatan eksport terhadap bahan strategik penting seperti gallium dan germanium — bahan asas untuk cip semikonduktor, bateri EV, dan sistem pertahanan moden. Ini menggandakan lagi tekanan ke atas industri Amerika.

Kalau nak gambarkan situasi ini, bayangkan seperti petani yang tanam padi, tapi terpaksa hantar beras ke kilang negara lain — dan bila nak beli balik, kena bayar cukai mahal. Siapa yang rugi? Tentulah petani itu sendiri.

Penganalisis menggambarkan ini sebagai “bila emosi politik mengalahkan logik ekonomi”. Dalam dunia sebenar, tarif berlebihan menaikkan kos, menakutkan pelabur, dan akhirnya pengguna biasa juga yang terpaksa membayar harga lebih mahal.

Pada skala global, kegagalan AS mengurus nadir bumi ini membuka ruang kepada negara lain — termasuk China, Malaysia, dan Australia — untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam rantaian bekalan bahan kritikal dunia.

Jika perang tarif diteruskan tanpa pelan strategik jangka panjang, bukan sahaja ekonomi AS yang tergugat, bahkan kredibiliti mereka sebagai kuasa industri moden juga akan merudum.

MasyaAllah, beginilah bila politik mendahului akal. Dalam dunia penuh cabaran ini, negara yang berjaya bukan sekadar kuat bersuara, tetapi yang mampu membaca masa depan, merancang dengan bijak, dan bertindak dengan tenang.

___

Source 

Jumaat, 18 April 2025

PM SINGAPURA SERU ASEAN BUKA 100% TARIF: IMPIAN BESAR, RISIKO LEBIH BESAR UNTUK MALAYSIA?

 LAWRENCE WONG SERU ASEAN BUKA 100% TARIF: IMPIAN BESAR, RISIKO LEBIH BESAR UNTUK MALAYSIA?

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, tampil dengan cadangan berani — membuang semua tarif perdagangan antara negara ASEAN, hingga menjadi benar-benar "zero tariff". Bagi Wong, ini bukan sahaja soal ekonomi. Ini soal survival, soal memperkukuhkan kekuatan rantau Asia Tenggara dalam menghadapi tekanan luaran, khususnya daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Seruan ini datang ketika dunia sedang bergegar dengan perang tarif yang dilancarkan oleh Donald Trump. Dengan tarif agresif terhadap produk dari Asia, Wong melihat peluang emas: kalau ASEAN bersatu, lancarkan perdagangan bebas dalam kalangan sendiri, kita boleh membina benteng ekonomi sendiri — tak perlu tunduk pada tekanan Washington.

Dari kaca mata Singapura, idea ini memang masuk akal. Negara kecil ini hidup dan bernafas melalui perdagangan. Tiada hasil bumi besar, tiada sumber asli yang melimpah. Semua kekuatan datang dari perdagangan terbuka, perkapalan, dan perkhidmatan. Maka, lagi bebas lalu lintas dagangan, lagi untunglah Singapura.

Tetapi bagi Malaysia, ia bukanlah sekadar soal buka sempadan dan terus kaya. Sektor makanan, tekstil, automotif — semuanya masih bergantung kepada perlindungan dasar tarif untuk bertahan. Jika kita setuju dengan "zero tariff" tanpa strategi jangka panjang, produk murah dari Vietnam, Thailand, bahkan Kemboja boleh membanjiri pasar kita. Kilang-kilang kecil di Johor, Selangor, Kedah — mungkin bergelut atau tutup terus.

Persoalannya, adakah kita cukup bersedia? Adakah sektor-sektor ini sudah cukup kompetitif untuk bertarung tanpa pelindung di pentas terbuka? Atau kita hanya akan menjadi pasaran pengguna — tempat lambakan produk luar yang akhirnya menghancurkan industri dalam negeri kita sendiri?

Lawrence Wong turut menekankan kepentingan projek ASEAN Power Grid — satu usaha menyambung grid tenaga rentas negara. Dalam dunia di mana tenaga bersih dan keselamatan tenaga semakin kritikal, idea ini memang cerdik. Bayangkan lebihan elektrik dari solar farm Malaysia boleh dijual terus ke Singapura atau Thailand. Sumber tenaga hijau mengalir merentas sempadan tanpa sekatan, dan setiap negara dapat manfaat ekonomi dan keselamatan bekalan.

Tetapi di sini juga wujud cabaran. Infrastruktur mahal. Keselarasan polisi setiap negara rumit. Tambahan pula, soal siapa kawal apa, siapa bayar berapa — semua ini boleh jadi batu penghalang besar kalau tak diurus dengan bijak dan adil.

Sementara itu, tekanan dari luar tetap meningkat. Dengan Trump memperkenalkan tarif setinggi 245% untuk produk tertentu dari China, dan melebarkan kempen proteksionisme, ASEAN memang tiada pilihan kecuali memperkukuhkan dirinya. Tetapi pengukuhan bukan semata-mata dengan membuang tarif. Ia perlu datang bersama strategi sokongan — pelaburan dalam R&D, peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan dasar pro-perusahaan tempatan.

Dari satu sudut, seruan Lawrence Wong ialah peluang untuk ASEAN menjadi lebih matang, lebih kuat dan lebih berdikari. Tapi dari satu sudut lain, jika kita tersilap langkah, kita hanya akan membuka pagar luas-luas untuk dibanjiri tanpa persiapan.

Bagi Malaysia, langkah paling bijak adalah pendekatan berhati-hati. Kita boleh menyokong integrasi ekonomi ASEAN, tetapi dalam masa sama, memperjuangkan tempoh peralihan, perlindungan tertentu untuk industri strategik, dan perjanjian yang fleksibel — bukan sekadar tandatangan kosong atas kertas.

MasyaAllah, dunia ini bergerak dengan laju — dan hanya yang bersedia dengan ilmu, hikmah, dan perancangan bijaksana akan mampu terus berdiri dalam ribut perubahan yang sedang melanda.

---

Source 

Rabu, 9 April 2025

TRUMP: "NEGARA-NEGARA INI SANGGUP KISSING MY ASS DEMI PERJANJIAN PERDAGANGAN"

 TRUMP: "NEGARA-NEGARA INI SANGGUP KISSING MY ASS DEMI PERJANJIAN PERDAGANGAN"

Donald Trump sekali lagi menggemparkan dunia dengan kenyataan yang bukan sahaja berlagak, tetapi juga memperlihatkan cara beliau memandang dunia — penuh sindiran dan keangkuhan. Dalam satu ucapan di majlis makan malam National Republican Congressional Committee, Trump mendakwa bahawa negara-negara asing kini "berlutut" kepadanya untuk mencapai perjanjian perdagangan. Dengan penuh keyakinan, beliau berkata: “Saya beritahu anda, negara-negara ini menelefon kita, ‘kissing my ass’. Mereka terdesak untuk membuat perjanjian. ‘Tolong, tolong, Tuan, buat perjanjian. Saya akan lakukan apa sahaja. Saya akan lakukan apa sahaja, Tuan.’”

Kenyataan itu dibuat selepas Trump memperkenalkan siri tarif baharu terhadap negara-negara pesaing ekonomi utama, termasuk China. Langkah ini, menurutnya, adalah sebahagian daripada strategi untuk mengembalikan kekayaan Amerika yang didakwa telah "dicuri" oleh negara luar melalui perdagangan yang tidak seimbang. Dalam gaya khasnya yang suka membesar-besarkan kejayaan sendiri, Trump menggambarkan dunia kini tunduk di bawah tekanannya — seolah-olah beliau satu-satunya pemimpin yang tahu cara untuk menundukkan musuh.

Namun, ramai pemerhati politik melihat kenyataan itu sebagai retorik politik yang keterlaluan, lebih kepada persembahan untuk memuaskan hati penyokongnya. Gaya bahasa Trump yang kasar dan tidak berlapik memang sudah sinonim dengannya, tetapi kali ini, ucapan tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan diplomat dan penggubal dasar luar. Apatah lagi apabila kenyataan ini disiarkan secara terbuka dan dilaporkan media arus perdana di Amerika, menjadikannya bukan lagi sekadar lawak pentas, tetapi satu mesej rasmi dari seorang Presiden kepada dunia.

Apa yang lebih ‘wow’ adalah betapa Trump menggunakan imej dirinya sebagai simbol kuasa mutlak — bukan melalui hujah atau angka ekonomi, tetapi melalui gambaran bahawa pemimpin negara lain tunduk dan memohon belas kasihan daripadanya. Dalam sejarah politik moden, jarang ada pemimpin yang bercakap dengan nada sebegitu terbuka, malah memperlekeh negara-negara lain seolah-olah beliau sedang mengendalikan sebuah rancangan hiburan, bukan urusan dasar antarabangsa.

Kenyataan ini juga memperlihatkan sisi penting dalam strategi politik Trump — mencipta naratif bahawa beliau adalah satu-satunya individu yang boleh ‘menjinakkan’ dunia. Bagi beliau, kelembutan diplomatik adalah kelemahan. Beliau lebih suka bermain dengan tekanan, ugutan, dan penghinaan. Dan dalam pentas politik domestik Amerika, gaya seperti ini memang berkesan dalam meraih sorakan dan undi.

Namun, dalam dunia sebenar yang penuh dengan hubungan dagang yang saling bergantung, pendekatan seperti ini bukan sahaja berisiko, tetapi juga boleh merosakkan jaringan kerjasama antarabangsa. Negara-negara yang kononnya “mengemis” untuk membuat perjanjian, sebenarnya mempunyai kepentingan strategik sendiri yang kompleks. Tidak ada negara yang benar-benar mahu tunduk secara mutlak, apatah lagi dengan cara yang menghina maruah mereka sebagai sebuah bangsa berdaulat.

Apa yang menyedihkan adalah bagaimana bahasa seperti ini dijadikan norma. Bila pemimpin paling berkuasa dalam dunia hari ini bercakap seperti samseng pasar, ia bukan sekadar isu adab — ia memberi isyarat kepada seluruh dunia bahawa politik antarabangsa kini bergerak ke arah yang lebih kasar, kurang beradab, dan penuh dengan ego peribadi. Dan jika dunia mula meniru gaya ini, masa depan hubungan antarabangsa bakal dipenuhi lebih banyak konflik, lebih banyak keangkuhan, dan kurang ruang untuk persefahaman.

MasyaAllah, betapa jauhnya dunia hari ini daripada sifat hormat dan bijaksana yang sepatutnya dimiliki seorang pemimpin. Dalam tangan manusia yang diberi kuasa, bahasa boleh jadi senjata — sama ada untuk menyatukan, atau untuk menghina. Semoga kita sebagai rakyat yang memerhati, sentiasa belajar memilih pemimpin bukan kerana suara kuatnya, tetapi kerana hikmah yang dibawanya. Dunia perlukan kekuatan, ya — tapi bukan kekuatan untuk merendahkan, sebaliknya kekuatan untuk membina.

Source 

Ahad, 12 Januari 2025

Kebakaran Los Angeles:Keceluparan Manusia dan Kuasa Allah

 Keceluparan Manusia dan Kuasa Allah

1. Ketika memberikan ancaman kepada P dalam isu tawanan, Presiden Amerika dengan angkuhnya memberikan amaran kepada P bahawa “all hell will break out” sekiranya pihak P tidak bekerjasama. Tidak lama selepas itu, kita dikejutkan dengan berita “hell” yang lebih menakutkan yang melanda Los Angeles. 

2. Menurut BBC, sehingga kini, seramai 155000 diarahkan keluar dari kawasan penempatan mereka manakala 160,000 berisiko sama. Jumlah kemusnahan di Los Angeles dianggarkan sekitar 150 bilion dolar, jauh lebih besar dari jumlah untuk membangunkan semula P yang dianggarkan sekitar 18 bilion seperti yang dinyatakan oleh pihak World Bank. 

3.  Sebahagian pengulas melihat keceluparan Trump memberikan amaran bala kepada orang lain ini memakan diri. Ada yang melihat bahawa api yang marak dan angin yang bertiup itu sebagai bala tentera Allah yang tidak terlihat. Firman Allah:

وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ ۚ وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ

dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan ingatlah, neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.” (Surah al-Muddathir)

4. al-Quran mengajak manusia merenungi fenomena kejadian yang berlaku disekeliling mereka. Dalam al-Quran, Allah mendidik Muslim agar menjadikan sesuatu musibah yang berlaku itu sebagai ruang untuk kembali kepada Allah. Firman Allah: 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ فَأَخَذْنَاهُمْ بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ * فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ

Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul kepada umat yang dahulu, maka Kami uji mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). Maka alangkah baiknya andai mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras.

5. Menurut al-Imam Ibn al-Qayyim, segala musibah adalah ruang dan masa untuk hamba itu bermuhasabah. Kata beliau:

فالله يبتلي عبده ليسمع تضرعه ودعاءه والشكوى إليه

Maka Allah menguji hambaNya untuk mendengar tunduk dan patuhnya hamba itu kepada Tuhannya, agar mereka berdoa dan mengadu kepada Allah.”

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

https://telegram.me/drahmadsanusiazmi