Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat mengesahkan dia kini menetap di Australia dan memberi bayangan untuk tidak kembali semula ke negara ini.
Menerusi perkongsian video ‘live’ di Instagram miliknya, Nur Sajat turut memaklumkan yang segala perniagaannya di negara ini sudah dijual dan akan memulakan perniagaan baharu selepas selesai dikuarantin.
Katanya, dia kini sudah merangka beberapa perancangan buat dirinya untuk kembali membuka perniagaan di sana.
Pada masa yang sama, dia juga merancang membuka perniagaan dan membantu rakyat Malaysia yang ingin bekerja di Australia dengan cara bekerja di bawah perniagaannya nanti.
Malah, ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai kes ‘menyeludup’ dirinya sebelum ini, dia berkata, segala yang terjadi bukanlah seperti yang disangka dan segalanya dalam keadaan baik sahaja.
“Saya juga menghormati kerja Polis Diraja Malaysia yang menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Sajat turut memaklumkan bahawa dirinya kini sudah berpisah dengan negara ini dan pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk tidak kembali lagi.
Ini kerana, dia juga tidak berasa ralat akan hal itu dan cukup teruja untuk memulakan kehidupan yang baru di Australia.
“Kita (dia dan Malaysia) sudah cerai, sudah talak tiga, maaflah kita tak boleh bersatu kembali,” katanya.
Perkara itu dikongsikan menerusi ciapan seorang wartawan yang berpusat di Kuala Lumpur, @amerhadiazmi menyatakan Nur Sajat kini bersyukur kerana dirinya diakui diakui secara sah sebagai wanita di bawah sistem perundangan Australia.
Menerusi perkongsian itu, Nur Sajat ketika ditanya mengenai agamanya berkata, perkara itu adalah masalah peribadi dirinya dan tidak perlu diketahui umum.
“Jika saya masih beragama Islam, saya bersama (agama) Islam saya, anda bersama Islam anda,” katanya.
Terdahulu, keberadaan figura tersebut sebelum ini tidak dapat dikesan selepas dimaklumkan berjaya membawa diri ke Thailand.
Kemudian, dia ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu kerana miliki passport tidak sah.
Namun, Nur Sajat kembali aktif di media sosial susulan memuat naik beberapa Instastory menerusi entri Instagram miliknya. – UTUSAN ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan