"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 31 Disember 2021

Syak wujud aktiviti pembalakan di Lata Jarum,Raub

 

TANGKAP layar laluan sebesar lebih raya yang dibuka di Hutan Simpan Hulu Dong, Lata Jarum, Raub, Pahang. — Facebook

TULAR di media sosial berhubung rakaman seorang wanita yang mempersoalkan terdapat beberapa jentera berat di kawasan Hutan Lipur Lata Jarum, Raub, Pahang baru-baru ini.

Malahan, berdasarkan video berdurasi 2 minit 20 saat itu turut menunjukkan terhadap laluan sebesar lebuh raya yang dibuka ke dalam kawasan Hutam Simpan Hulu Dong.

Hutan Simpan Hulu Dong merupakan tempat pemuliharaan Rafflesia atau bunga pakma di Pahang kerana taburannya yang tinggi dan menjadi tumpuan para penyelidik.

"Sepanjang saya di sini, saya tidak pernah melihat air Sungai Dong sekeruh seperti warna teh tarik.

"Walau hujan lebat macam mana sekali pun, airnya akan bertukar menjadi hitam dan kemudian kembali jernih.

"Minta Jabatan Perhutanan Pahang memberi penjelasan berhubung perkara ini," katanya.

RAKAMAN berhubung aktiviti pembalakan yang disyaki berlaku di Lata Jarum, Raub, Pahang. — Facebook

Isu pembalakan di Pahang terus menjadi perbualan hangat rakyat Malaysia apabila tular foto dan rakaman dron himpunan balak yang dihanyutkan susulan banjir di kawasan Karak.

Malahan, tular juga foto keadaan semasa Tasik Chini yang dijadikan kawasan pembalakan sehingga menjejaskan 'keindahan' alam semula jadi di situ. — Majoriti

“Dah sembuh, tak perlulah nampak nazak sangat” -Bonda Rozita selar tindakan Aliff Syukri

 PETALING JAYA: Ibu kepada usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri, Bonda Rozita Ibrahim tampil menyelar semula tindakan anak kesayangannya itu yang disifatkan sebagai ‘raja tular’.

Menurut Rozita, tahap kesihatan Aliff yang kini semakin baik namun seolah menunjukkan keadaan dirinya kini semakin teruk akibat jangkitan virus Covid-19, seperti yang dimaklumkan menerusi entri Instagram miliknya, sebelum ini.

“Kau memang raja viral kan! Memang Kri (nama panggilan Aliff) Covid-19 tahap tiga, tetapi sudah sembuh! Rasa sini mak hempuk kau Kri, masa berkongsi tangan itu memang disleksia tidak faham bahasa. Mak geram dengan kau Kri!

“Mak sound Ida (Datin Seri Shahida), Kri mak membuat panggilan, hantar pesanan tidak jawab. Semalam mak dah tegur ish itu, faham-fahamlah. Ini mak tegur secara terus, biar kau rasa.

“Nak sangat kan! Tular… mari mak kecam kau pula. Perkongsian minta maaf kepada netizen. Habis dekat mak tak nak minta maaf?” dedahnya di Instagram.

Mengulas lanjut, ibunya juga menasihati anak lelakinya itu agar berfikir dahulu sebelum sebelum memuat naik di media sosial.

“Kau jangan poyo sangat Syukri. Kau tidak ada kerja di sana, tangan gatal menaip bagai nak rak! Hadis dan doa mana Kri copy (salin).

“Selepas itu yang menjadi mangsa netizen mak, Ida serta keluarga yang tinggal ini! Kau jangan mencari fasal. Mak serang Kri di sana! Kau jangan ya.

“Sejak balik memang Kri sakit dan sekarang sudah sihat kan. Duduk di sana seorang jangan buat orang risau. Sudah sembuh pun tidak perlulah nampak sangat nazak,” ujarnya.

Menjengah di ruangan komen, Aliff tampil memberi reaksi berhubung coretan panjang ibunya itu.

“Sampai hati mak cakap macam itu. Mak tidak kesian dengan kita ke? Hati saya terluka awak,” tulisnya di komen.

Sebelum ini, Aliff memaklumkan dirinya disahkan positif Covid-19 tahap tiga dan sedang menerima rawatan lanjut kerana virus berkenaan sudah memberi kesan kepada sistem pernafasannya.

-Utusan Online

'Terasa berat kepercayaan diletakkan pada saya' - Abang Viva

 AZWAN bersama ibu, Norbibah Hashim, 66, dan bapanya, Omar Pilus, 73, serta dua anak saudara. FOTO Nuraliawati Sabri

AZWAN bersama ibu, Norbibah Hashim, 66, dan bapanya, Omar Pilus, 73, serta dua anak saudara. FOTO Nuraliawati Sabri

Alor Gajah: "Andai kata dapat diundurkan masa, saya tidak mahu jadi seperti sekarang ini kerana amanah dan kepercayaan diberikan orang ramai terlalu tinggi, saya khuatir tidak mampu membawanya." Itu kata Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva.

Menurut Azwan, 29, niatnya sepanjang 10 hari turun membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang bukan untuk meminta balasan mahupun penghargaan sebaliknya dilakukan atas dasar ikhlas ingin membantu mereka yang ditimpa musibah.

Katanya anak bongsu daripada tiga beradik itu, keputusan pergi membantu mangsa banjir dibuat secara spontan dan selepas meminta izin daripada orang tuanya, dia terus bertolak dari Melaka ke Puchong.

"Apabila terbaca ramai mangsa banjir terkandas, terus terdetik kenapa saya yang mempunyai bot tidak turun membantu menyelamatkan nyawa dan daripada situ saya membuat keputusan pergi membantu apa yang termampu.

"Perancangan awalnya saya ke Puchong hanya untuk sehari saja tetapi apabila melihat keadaan yang teruk saya kemudian ubah fikiran untuk terus menyambung misi menyelamat serta membantu lebih ramai lagi dan Alhamdulillah urusan cuti turut dipermudahkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Pengkalan Indah, di sini.

Menurutnya, sumbangan daripada bot kecilnya tidaklah seberapa berbanding dengan individu lain yang turun sama membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

AZWAN bersama kereta yang dibawa dalam misi menyelamat mangsa banjir. FOTO Nuraliawati Sabri
AZWAN bersama kereta yang dibawa dalam misi menyelamat mangsa banjir. FOTO Nuraliawati Sabri

"Kalau difikirkan sumbangan saya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan orang lain. Ada yang saya kenal sanggup datang dari Pulau Pinang dan sewa lori untuk membawa bot nelayan bagi membantu mangsa banjir.

"Sepanjang misi ini walaupun kami 'team rescue' tidak saling mengenali tetapi kami semua saling bekerjasama dan membantu menyelamatkan mereka yang terkandas," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu jentera berat berkata, pengalaman sepanjang misi menyelamat mangsa banjir adalah sesuatu yang amat berharga dan meninggalkan kesan mendalam buat dirinya kerana tidak pernah terfikir akan berdepan situasi getir seperti itu.

"Sebenarnya saya tidak ingat berapa ramai mangsa yang saya selamatkan tetapi apa yang amat menyedihkan ketika menyelamatkan bayi baru lahir dan ibunya yang berada di bumbung, mujurlah mereka selamat. Apa yang membuatkan hati tersentuh apabila mendengar jeritan meminta tolong ketika memasuki kawasan banjir.

"Kerja menyelamat juga agak mencabar dan menyentuh emosi apabila kami perlu 'pisahkan' ahli keluarga kerana situasi ketika itu perlu dahulukan warga emas dan kanak-kanak. Ketika itu saya terfikir kalaulah situasi itu berlaku kepada keluarga sendiri," katanya.

Azwan berkata, sepanjang misi menyelamatkan itu dia hanya berehat dan tidur setengah atau sejam saja kerana masa dihabiskan membawa keluar seberapa ramai mangsa yang terperangkap.

"Boleh dikatakan masa seharian dihabiskan di atas bot saja kerana apa yang difikirkan untuk membawa mereka yang terkandas ke tempat selamat kerana ketika itu mereka sudah terputus bekalan makanan dan berlindung di bumbung.

"Selepas ini, andai kata situasi sama berlaku lagi InsyaAllah saya akan bergerak sama seperti ini kerana orang ramai sudah memberikan kepercayaan dan amanah untuk saya," katanya.-myMetro

Wibawa politik Ismail Sabri kuyup dek banjir?

 


Oleh :Bakar Suar

Banjir yang melanda negara minggu lalu bukan sahaja mewariskan beribu tan sampah sarap yang mampu menularkan pelbagai penyakit malah ia boleh menjerumuskan negara ke dalam krisis politik yang melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap pemerintah.

Natijah awal musibah berkenaan ialah agak ramainya bilangan kematian yang berlaku meskipun ancaman banjir ini diramalkan mungkin berulang dan berlarutan sehingga Ahad depan.

Umum tahu bahawa kerajaan hari ini menghadapi masalah defisit kepercayaan yang agak membimbangkan berikutan perkembangan politik yang tidak stabil. Kerajaan sudah bertukar ganti tiga kali sejak PRU pada Mei 2018.

Dililit ancaman pandemik Covid-19 yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara sejak dua tahun lalu, adalah jelas rakyat mendambakan sebuah kerajaan berwawasan, tangkas, dan jujur untuk memimpin Malaysia keluar dari kemelut ini.

Bagaimanapun pendekatan dan caragaya kerajaan menguruskan musibah banjir kali ini agak lesu meskipun banjir boleh dikatakan berlaku hampir saban musim tengkujuh.

Kerajaan mempunyai pelbagai agensi dibiayai wang rakyat untuk membuat culaan keadaan cuaca namun maklumat yang dikumpulkan tidak dimanfaatkan dengan bijak.

Yang dikesalkan, baru empat bulan berkhidmat, ramai ahli Kabinet sudah mula letih dan perlukan rehat dan mahu bercuti. Semua permohonan diluluskan oleh Perdana Menteri.

Perubahan cuaca tidak pernah cuti. Amaran cuaca buruk tahun ini telah dimaklumkan kepada semua peringkat jentera pentadbiran negara. Namun apabila hujan lebat bermula ada Menteri terus bercuti.

Mungkin mereka benar-benar lelah setelah berjuang berhabis-habisan kerana mahu menukar atau mempertahankan kerajaan ikut selera mereka sejak dua tahun lepas.

Apabila banjir berlaku kali ini pentadbiran kerajaan seolah-olah bungkam.

Sayugia diingat Mei lalu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, menyenaraikan tujuh menteri yang tidak berfungsi. Enam daripada mereka mewakili Bersatu.

Salah seorang daripada mereka ialah Latiff Ahmad yang memegang portfolio Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang dikatakan gagal menggalakkan rakyat luar bandar menjayakan kempen vaksinasi negara.

Kini beliau Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut bertanggungjawab ke atas Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA).

Kali ini apabila Nadma dipertikaikan lembab menggerakkan usaha membantu rakyat terkesan banjir beliau dengan yakin mengatakan:

“Saya boleh letak jawatan. NADMA boleh dibubar. Tetapi apakah solusinya?”.

Beliau menegaskan jika NADMA hendak menguruskan bencana di semua peringkat ia memerlukan kos yang tinggi.

Rakyat tersinggung kerana Menteri berkenaan seolah-olah mengatakan jika NADMA membela nasib mereka daripada bencana banjir ia akan merugikan negara.

Tiada tindakan diambil oleh Perdana Menteri Ismail Sabri ke atas Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri itu.

Rakyat memerhati wibawa Ismail. Apakah beliau tidak ingat sentimen yang cuba dibawa oleh Razlan terhadap pemimpin-pemimpin Bersatu?

Razlan juga membariskan beberapa Menteri Bersatu yang tidak berfungsi – Zuraida Kamaruddin, Azmin Ali, Rina Harun, Hamzah Zainudin, dan Radzi Jidin.

Apakah kebarangkaliannya, Bersatu kini tidak akan mengambil kesempatan menuding jari betapa Menteri-menteri Umno termasuk Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob juga seakan tidak berfungsi dalam isu mentadbir negara ketika banjir?

Tidak sampai sebulan lalu Ismail menganugerahkan ahli-ahli Kabinetnya pencapaian 90% daripada sasaran prestasi memimpin kementerian masing-masing.

Namun kini beliau terpaksa mengarahkan Menteri-menteri membatalkan cuti mereka walaupun beliau sendiri meluluskan cuti mereka.

Mengapakah Ismail kelihatan gugup menguruskan musibah banjir? Beliau bingkas menuding jari pada projek Lebuh Raya Lembah Kelang Timur (EKVE) sebagai salah satu punca banjir.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati pembinaan lebuh raya itu menyebabkan longkang terkambus dan mengganggu sistem saliran air.

“Banjir ini bukan saja disebabkan oleh air hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.

“Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program gotong-royong pembersihan kawasan terjejas banjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua.

Hulu Langat antara kawasan terjejas teruk akibat banjir yang melanda negara, minggu lalu.

Sejak pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri, Ismail cuba menonjolkan imej seorang pemimpin yang tenang dan berwawasan,

Namun dalam kes banjir kali ini, beliau nampak gopoh dan cuba membuat kesimpulan tanpa siasatan penuh dan terperinci.

Walhal beliau sendiri mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mencari punca banjir besar berlaku dan mengkaji bagaimana menguruskan musibah jika berulang.

Apakah Ismail bimbang impian Keluarga Malaysianya akan hanyut bersama banjir yang melanda negara minggu lalu?

Bolehkah kegopohannya itu dibaca sebagai satu reaksi kepada kecaman beberapa pihak kononnya pentadbirannya lembab memberi bantuan pada mangsa banjir?

Berikutan itu, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib, mencadangkan supaya rakyat mengemukakan saman terhadap Ismail kerana kelewatan bantuan itu seolah mempunyai niat jahat.

Banyak iktibar yang wajib dipelajari oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, yang diberi kepercayaan mengisi kerusi panas Perdana Menteri, daripada musibah banjir.

Meskipun beliau memulakan tugasnya dengan tenang, bersangka baik, berhati-hati seikhlas mungkin kira-kira tidak sampai empat bulan lalu, banjir nampaknya menuntut ketegasan dan keberanian luar biasa daripadanya.

Sayangnya rakyat tidak melihat Ismail dan Kabinetnya menyahut tuntutan itu.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Panas! Shafie dedah punca Peter keluar Warisan

Panas! Shafie dedah punca Peter keluar Warisan

 Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Shafie Apdal menyifatkan keputusan Adun Melalap, Peter Anthony yang meninggalkan parti itu, semalam, sebagai bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, tindakan Peter sudah dijangkakan tetapi kesal kerana hasratnya untuk menubuhkan parti tempatan pelbagai kaum bakal memecah-belahkan perpaduan rakyat di Sabah.

“Saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Keputusan Peter untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan memecah-belahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, naib presiden Warisan itu mendakwa tindakannya adalah demi memperjuangkan hak serta nasib rakyat Sabah, selepas dia melihat parti Warisan telah jauh tersasar dalam perjuangan itu apabila ia melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Kata bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu, rakyat Sabah ini perlukan satu parti yang betul-betul memperjuangkan hak orang Sabah.

Menurut laporan Malaysiakini, pengumuman itu dibuatnya kira-kira dua minggu selepas Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mengarahkannya membela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Bagaimanpun, Peter pada sidang media semalam juga menolak dakwaan kononnya tindakannya keluar parti adalah disebabkan kes mahkamah berkenaan tetapi menegaskan keputusannya adalah kerana suara dari akar umbi rakyat Sabah.

Mengulas lanjut, Shafie menyifatkan hasrat Peter untuk menubuhkan parti baru tempatan pelbagai kaum bercanggah dengan tindakannya ingin menyertai kerajaan negeri yang terdiri daripada parti nasional.

“Dalam sidang media, Peter berkata sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai GRS yang terdiri daripada parti nasional dan parti tempatan.

“Alasan untuk keluar parti kerana Warisan tersasar dari perjuangan asal hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar,” kata Shafie.

Presiden Warisan itu juga melahirkan kekesalannya dengan tindakan Adun Limbahau, Juil Nuatim, yang meninggalkan parti itu semalam bersama Peter.

“Tindakan Juil Nuatim juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, Peter mempertahankan kerusi DUN Melalap setelah memperoleh 5,694 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar yang memperoleh hanya 3,526 undi.

Dia menang atas tiket Warisan dengan majoriti 1,719 undi dalam saingan enam penjuru.

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan kini hanya memiliki 18 kerusi di DUN Sabah, apabila sebelum ini tiga Adun yang terdiri daripada Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Yusof Yacob (Sindumin) dan Mohammadin Ketapi (Segama) juga Ahli Parlimen Lahad Datu, bertindak keluar parti, manakala Manis Muka Mohd Darah (Bugaya) meninggal dunia tahun lalu.-wrlr

Khamis, 30 Disember 2021

Banjir Besar: Apa sebenarnya berlaku pada 18 Disember?'

 Tinjauan dari udara bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam pada 19 Disember lalu. - NSTP/Asyraf Hamzah

Tinjauan dari udara bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam pada 19 Disember lalu. - NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Segala yang ada di dalam rumah setingkat itu bersalut lumpur - peralatan elektrik dan elektronik, perkakas rumah dan perabot, malah pakaian juga bergumpal selut.

Televisyen skrin rata 42 inci yang sebelum ini menjadi sumber maklumat dan hiburan Derismawa Arisno bersama dua teman serumah, dijadikan alas duduk wanita itu yang berehat sekejap bagi menghilangkan lelah membersihkan rumah sewanya yang ditenggelami air selama seminggu bermula 18 Disember lalu.

"Bila balik (dari kerja), air sudah sampai paras betis. Cuma dapat selamatkan baju, yang lain semua ditinggalkan. Memang panik sangat," katanya membuka cerita kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Banting, Selangor.

Kampung itu yang didiami golongan berpendapatan sederhana, kebanyakannya bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara kawasan yang paling teruk terjejas banjir pada 18 Disember lalu.

Menurut penduduk yang ditemui Bernama, petempatan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu amat jarang dilanda banjir, justeru mereka tertanya-tanya bagaimana bencana seburuk itu boleh berlaku dan mengapa tiada amaran dikeluarkan.

Pertanyaan serupa turut bermain di fikiran Raynugadewi Subramanian atau Raynu yang menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam - 44 kilometer di utara Kampung Tengah.

Tidak seperti Kampung Tengah, Taman Sri Muda mudah dilanda banjir apabila hujan lebat, namun Raynu berkata, bah besar pada hari itu membuatkan dia benar-benar tergamam kerana selama ini banjir kilat yang berlaku tidak seteruk itu.

Wanita itu berkata, pada pagi hari berkenaan, dia perasan air naik agak pantas berbanding kebiasaan, menyebabkan dia dan ibunya keluar mengalihkan kereta untuk diletakkan di kawasan lebih tinggi.

"Agak sukar untuk memandu dalam keadaan itu, namun syukurlah kami selamat sampai di kawasan tinggi.

"Kami kemudian tunggu air surut dengan harapan dapat berjalan balik ke rumah, namun kami mendapati paras air semakin tinggi," katanya melalui WhatsApp kepada Bernama.

Melihat rumah mereka semakin ditenggelami air, Raynu dan ibunya tidak ada pilihan melainkan menuju ke tempat selamat, meninggalkan segala milik mereka termasuk kucing peliharaan di rumah. (Kucing mereka selamat, ditemukan tiga hari kemudian).

Beliau berkata, apabila kembali ke rumah pada 23 Disember lalu, semua barangan di tingkat bawah rumah sudah musnah, manakala kawasan kejiranannya pula ibarat 'medan perang.'

Setakat 27 Disember lalu, pihak berkuasa mengesahkan 25 orang termasuk dua sukarelawan terkorban dalam bencana itu di Selangor, manakala puluhan ribu lagi terpaksa dipindahkan.

Ratusan penduduk dilaporkan terperangkap di atas bumbung atau tingkat atas kediaman mereka tanpa makanan dan elektrik selama lebih sehari.

Ironinya, Selangor dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negeri paling bersedia untuk menghadapi bencana di Malaysia, kata pakar kesiapsiagaan, Dr Khamarrul Azahari Razak.

Justeru, apakah yang sebenarnya berlaku?

"Apa yang berlaku (pada 18 Disember lalu) adalah impak perubahan iklim dan akibat cuaca ekstrem pada hari berkenaan. Perlu diingat, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran, dan… (perubahan cuaca) berlaku sekelip mata," katanya.

Katanya, pakar termasuk beliau, menumpukan perhatian pada negeri di timur laut, menjangkakan hujan turun di sana seperti kebiasaan, namun yang berlaku ialah sistem cuaca bergerak ke barat daya, iaitu Lembah Klang.

Pihak berkuasa menuding jari pada jumlah taburan hujan - lebih 300 milimeter (mm) dalam sehari, iaitu jumlah purata sebulan - yang diburukkan lagi dengan air pasang besar, kawasan rendah, air sungai penuh dan daratan terlebih tepu.

Gabungan faktor itu tidak mampu ditampung oleh langkah-langkah tebatan banjir yang dilaksanakan.

Sekalipun saintis iklim dan pakar tempatan telah menjangkakan lebih banyak hujan dan banjir di rantau ini pada masa depan, termasuk di kawasan yang lazimnya tidak banjir, bencana 18 Disember lalu itu memeranjatkan ramai pakar.

"Jujur saya katakan, selama lebih 30 tahun saya berkhidmat, saya tidak pernah melihat banjir seteruk itu di Kuala Langat mahupun Shah Alam," kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali melalui WhatsApp kepada Bernama.

Walaupun penduduk sudah terbiasa dengan kejadian banjir di kawasan rendah di Lembah Klang, khususnya di kawasan berdekatan sungai, tidak ramai yang menyangka kawasan terbabit masih ditenggelami air selepas berhari-hari hujan berhenti.

Antara keadaan pada hari ke-4 banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Osman Adnan
Antara keadaan pada hari ke-4 banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Osman Adnan

Di Kampung Tengah, air hanya surut selepas seminggu, manakala di Taman Sri Muda, pihak berkuasa terpaksa menggunakan pam untuk menyedut keluar air, membolehkan penduduk kembali ke rumah mereka lima hari kemudian.

Pakar sungai dan saliran, Dr Kalithasan Kailasam dari Global Environment Centre (GEC), berkata ketika monsun yang bermakna sungai dan empangan dipenuhi air, menyukarkan lagi banjir untuk surut, malah mungkin kembali memasuki rumah.

"Keadaan itu disebabkan aliran balik," jelasnya.

Sementara itu pada 27 Disember lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata berdasarkan jumlah hujan pada 18 dan 19 Disember lalu yang dua kali ganda jumlah taburan hujan purata bagi Disember, sebarang projek tadahan air pada masa akan datang perlu berkemampuan menampung 300 hingga 400mm air pada bila-bila masa.

Susulan bencana berkenaan, masyarakat kini ingin tahu langkah-langkah yang diambil bagi memastikan bah besar di Lembah Klang itu tidak berulang.

Mitigasi banjir mempunyai dua bahagian, iaitu struktur dan bukan struktur.

Pakar berkata, dengan menambah baik langkah tebatan banjir struktur seperti meningkatkan jumlah dan kapasiti kolam tadahan, empangan, tetambak serta lencongan, ia akan membantu Lembah Klang dan Malaysia amnya mendepani ancaman perubahan iklim.

Bagi penyelesaian bukan struktur pula, pakar dan masyarakat berkata, kerajaan negeri serta Persekutuan harus menambah baik tindak balas dan pengurusan bencana masing-masing.

Raynu memaklumkan setahu beliau, jiran serta rakannya yang terperangkap dalam banjir di Taman Sri Muda diselamatkan oleh sukarelawan, bukan pihak berkuasa.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku atau setidak-tidaknya diuruskan dengan lebih baik oleh pihak berkuasa. Bagi saya, perkara ini merupakan satu kegagalan yang besar pihak berkuasa," katanya.

Laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana dan Pusat Kesiapsiagaan Bencana Asia pada 2020 mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Malaysia, menyifatkan sistem pengurusan bencana negara yang secara berpusat atau dari atas ke bawah itu sebagai tidak cekap dan ketinggalan zaman.

"Tidak dapat dielakkan ketiadaan fleksibiliti (dalam sistem pengurusan bencana dari atas ke bawah) menjadikan sistem itu tidak berguna apabila berdepan cabaran abad ke-21, di mana maklumat dari bawah ke atas memainkan peranan penting dengan revolusi media sosial dan kesedaran dalam kalangan orang awam akan memberi impak terhadap reputasi dan nama baik kerajaan," menurut laporan itu.

Dr Khamarrul yang juga Exco MERCY Malaysia, mengesyorkan pelaksanaan sistem terpencar dan menambah, sistem pengurusan bencana yang berkesan bermakna membabitkan semua pihak berkuasa tempatan dan negeri.

"Jika anda memperkukuh kerajaan tempatan - kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan - anda sebenarnya menambah baik keseluruhan jentera dalam pengurusan bencana, berbanding dengan hanya bergantung pada NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara)," katanya.

NADMA ditubuhkan pada 2015. Pada 5 Oktober lalu, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Aminuddin Hassim, dilaporkan berkata agensi itu sedang menggubal dasar pengurangan risiko. Beliau bagaimanapun tidak memberi maklum balas apabila ditanya berkenaan perkembangan dasar itu.

Pendekatan dari bawah ke atas juga harus membabitkan orang awam.

Kalithasan yang juga Pengurus Penjagaan Sungai bagi GEC, berharap kejadian banjir itu akan menyedarkan orang ramai, kerana mereka mempunyai peranan penting dalam mengurus dan mempersiapkan persediaan menghadapi bencana.

"Kita harus berpandu kepada model perubahan iklim 2021 yang tidak boleh diduga. Kita berdepan kemungkinan banjir boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa, tidak seperti musim monsun sebelum ini, iaitu bah pada Disember hanya berlaku di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Pakar berkata, perubahan bukan struktur lain yang boleh diambil ialah melarang pembangunan di kawasan dataran banjir, memastikan pembangunan lestari dan memperkukuh perundangan serta memperketat syarat pembangunan.

Nor Hisham yang juga bekas Ketua Pengarah Pengairan dan Saliran, berkata dataran banjir tidak harus dibangunkan.

"Di sesetengah kawasan, dulu kenapa buat?" soal beliau.

Namun jika ada keperluan untuk dibangunkan, pakar berkata, syarat yang ditetapkan harus mengambil kira kesan perubahan iklim seperti jumlah taburan hujan yang lebih tinggi dan kejadian cuaca melampau.

Aktiviti penebangan hutan juga perlu dikenakan sekatan lebih ketat, dan pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dalam soal peraturan serta tidak meluluskan sebarang pembangunan yang gagal memenuhi syarat.

Pakar pengurusan alam sekitar, Prof Madya Dr Mohd Khairul Amri Kamaruddin dari Universiti Sultan Zainal Abidin bagaimanapun berkata tidak perlu dihentikan terus pembangunan, sebaliknya pastikan aktiviti itu dijalankan secara bersama dengan usaha pemuliharaan.

"Kita jaga. Kita buat sebagai ekopelancongan yang mana kita boleh bangunkan balik (hutan), boleh kembalikan duit ekopelancongan itu tadi kepada ekonomi masyarakat setempat dan sebagainya," katanya.

Nor Hisham yang bersetuju dengan saranan itu berkata, apa juga pembangunan yang dilakukan, pastikan projek tidak mengganggu proses kitaran hidrologi atau proses semula jadi sungai.

"Usaha menggemblengkan pembangunan dan alam semula jadi, di mana sistem semula jadi tidak diganggu dan pada masa sama komuniti manusia juga boleh berkembang, mesti dilaksanakan.

"Kaedah ini amat penting bagi masa depan sesebuah negara yang menerima banyak hujan seperti negara kita ini," katanya. – BERNAMA

Upah RM30,000 larikan Long Tiger untuk lolos ke negara jiran

 

ANGGOTA polis mengawal ketat pergerakan Long Tiger (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak semalam.

JOHOR BAHRU – Penjenayah paling dikehendaki berketurunan Rohingya, Long Tiger dikatakan memberi upah yang lumayan kepada tiga individu sebagai balasan membantunya untuk melo­loskan diri ke negara jiran sama ada Indonesia atau Thailand.

Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dikatakan menawarkan upah antara RM20,000 hingga RM30,000 untuk membawanya ke utara tanah air melalui jalan darat dengan menaiki kereta.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat jumlah sebenar upah yang diberikan itu.

Difahamkan, Long Tiger me­ngarahkan mereka menggunakan jalan dalam dan bukannya lebuh raya untuk mengelakkan dirinya dikesan lebih awal.

Sebaik meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak dekat sini pada 15 Disember lalu, dia telah bertemu beberapa individu bagi mencari bantuan membawanya ke lokasi selamat sebelum menjadikan rumah kenalannya di Kuala Ketil, Sungai Petani Kedah untuk bersembunyi.

Rumah itu didiami seorang lelaki berpewatakan wanita. Pihak berkuasa dikatakan telah berjaya mengesan kedudukan Long Tiger beberapa hari sebelum menahannya.

TIGA lagi individu termasuk seorang lelaki berperwatakan wanita yang bersekongkol melindungi Long Tiger turut dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman semalam.

Ketika operasi, Long Tiger cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung, namun tergelincir dan jatuh di lantai dapur rumah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rumah itu dijadikan transit sebelum suspek menunggu masa sesuai untuk menyusup ke negara jiran.

Katanya, polis yang menerima maklumat kemudian telah me­lakukan serbuan dan menahannya pada pukul 3.15 petang kelmarin iaitu 13 hari selepas dia meloloskan diri.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun di Kuala Ketil. Dia berkenalan dengan Long Tiger melalui Facebook sejak tahun lalu.

“Di rumah itu, Long Tiger merancang untuk melarikan diri sama ada ke Indonesia atau Thailand,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

AYOB KHAN (kiri) pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan Long Tiger diberkas selepas 13 hari dia meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak dekat sini dalam satu operasi khas.

Dia ditahan untuk dibicarakan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan iaitu peme­rasan. Dia juga disiasat di atas beberapa jenayah lain terma­suk rogol.

Menurut Ayob Khan, hasil soal siasat, polis telah menahan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun dalam operasi antara pukul 7.25 malam hingga 3 pagi semalam di Yong Peng, Batu Pahat.

“Mereka membantu Long Tiger dengan memotong gari selain membeli kad sim sebelum Long Tiger lari ke Kedah,” katanya.

Ujar Ayob Khan, terdapat individu yang membantu Long Tiger sama ada membeli kad sim, potong gari dan bawa pergi dari Tangkak, Batu Pahat dan utara.

Terdapat kemungkinan mereka menggunakan jalan dalam dan bukannya lebuh raya untuk mengelak daripada dikesan.

Terdahulu, keempat-empat mereka termasuk Long Tiger dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak untuk mendapatkan perintah reman selama empat hari sehingga 1 Januari depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bagi siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan iaitu lari dari tahanan, manakala tiga individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama iaitu melindungi tahanan lolos.

Baru-baru ini, polis menahan sepasang suami isteri berusia 41 dan 43 tahun disyaki rakan subahat kepada Long Tiger di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long ­Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil. -K! ONLINE

Kepala air di Lata Berangin, beberapa kampung dilanda banjir

 Kejadian kepala air di Lata Berangin, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

Kejadian kepala air di Lata Berangin, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

KOTA BHARU: Fenomena kepala air di Lata Berangin, dekat Kuala Krai, menyebabkan beberapa kampung berhampiran dilanda banjir, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-rafee Parsimin, berkata kejadian berlaku susulan hujan lebat serta air dari sungai di daerah Gua Musang dan Terengganu mengalir ke lokasi berkenaan.

Beliau berkata, pertembungan itu menyebabkan arus air di kawasan terbabit menjadi sangat deras dan dikategorikan sebagai kepala air yang kecil berikutan tiada membawa bersama kayu atau balak.

"Kejadian berkenaan menyebabkan beberapa kampung di lokasi berkenaan, iaitu Lata Berangin dan Mengkebang, dinaiki air.

"Namun setakat ini, penduduk terbabit tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana hanya berlaku banjir kecil.

"Bagaimanapun jika hujan berterusan, ada kemungkinan kampung di kawasan rendah akan dinaiki air. Pihak kami sentiasa membuat pemantauan dan akan memindahkan mangsa dengan segera jika kediaman mereka dinaiki air," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau sekali gus menasihati penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah, termasuk meletakkan dokumen penting dan barang berharga di tempat yang selamat.

Terdahulu, rakaman video kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi itu turut tular dalam media sosial.-BH Online

Kelah merah RM3,100 rezeki pasca banjir

 Abd Hadi  Sulaiman menunjukkan  ikan kelah merah yang ditangkapnya. FOTO ihsan pembaca

Abd Hadi Sulaiman menunjukkan ikan kelah merah yang ditangkapnya. FOTO ihsan pembaca

Lipis: Kata orang-orang tua, rezeki tidak tersalah alamat. Hal ini dialami oleh nelayan Sungai Tanum di Kampung Chegar Perah, dekat sini, Abd Hadi Sulaiman, 47, apabila memperoleh ikan kelah merah atau nama saintifiknya, Tor putitora, satu-satunya spesies liar di sungai yang paling mahal di pasaran.

Abd Hadi berkata, banjir yang melanda kampung tersebut bulan ini membawa tuah di sebalik menanggung kesusahan susulan Sungai Tanum melimpah masuk ke rumah.

Katanya, kesempatan air sungai surut dua hari lalu, dia memasang jaring sambil berharap pada tuah untuk memperoleh ikan liar.

Beliau berkata jika dapat ikan sungai liar, dapatlah dia berjual untuk menampung pendapatan bagi mencongak perbelanjaan selepas banjir.

"Semalam pada 6.30 patang, saya turun memasang jaring di sungai Tanum berdekatan rumah sambil berdoa serta mengharap ada rezeki ikan liar terperangkap dalam jaring ini.

"Apabila turun ke sungai ini pada 7 pagi tadi untuk melihat jaring yang dipasang ternampak jaring bergoyang dengan kuat seolah-olah seekor ikan besar tersangkut di samping menggelepar sehingga air berkocak di permukaan sungai," katanya.

Menurut Abd Hadi nyata sekali Allah SWT memakbulkan permintaannya apabila ditarik sahaja jaring ke atas ternampak ikan kelah merah bersaiz besar yang tidak pernah ditangkap sejak dia bekerja sebagai nelayan Sungai Tanum, 20 tahun lalu.

"Saya menarik jaring perlahan-lahan ke atas bot gentian kaca bimbang sekiranya rezeki ikan kelah ini yang kuat menggelepar ini terlepas ke sungai semula.

"Apabila sudah naik ke darat dan dibawa pulang ke rumah, saya terus menimbang ikan ini seberat 12.4 kilogram menyebabkan saya terpegun seketika sambil membayangkan jumlah pendapatan hari ini," katanya.

Katanya ikan kelah merah memang sukar diperolehi kerana berada di hulu sungai dan mungkin ia dihanyutkan arus deras ke sini.

Abd Hadi berkata, dia memperoleh rezeki dianggarkan bernilai RM3,100 berasaskan harga sekilogram ikan kelah merah di pasaran hari ini iaitu RM250 sekilogram.

"Oleh kerana saya sangat perlukan wang selepas musibah banjir untuk perbelanjaan peralatan rumah yang rosak, keperluan dapur dan persiapan persekolahan tahun depan, ikan ini dijual terus kepada pengusaha restoran di bandar Kuala Lipis dengan nilai tersebut.

"Saya bersyukur memperoleh rezeki ini dan bercadang untuk memasang jaring ini semula di tempat yang sama pada petang ini sambil berharap ada lagi ikan kelah merah atau spesies liar lain tersangkut pada jaring untuk juadah keluarga pula," katanya.-myMetro

Jawatan Kosong: Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM)


 Permohonan adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi jawatan di Institut Kefahaman Islam Malaysia sebuah Syarikat Awam Berhad menurut jaminan (Company Limited by Guarantee) seperti berikut:

Pembantu Tadbir (Percetakan) Gred N19

1. (a) Jawatan:Pembantu Tadbir (Percetakan) Gred N19 (1 kekosongan)
(b)Kumpulan:Pelaksana
(c)Taraf Jawatan:

 

Kontrak satu (1) tahun sehingga maksimum tiga (3) tahun sebelum dipertimbangkan ke jawatan Tetap tertakluk kepada prestasi dan syarat-syarat yang ditetapkan.
2.Jadual Gaji:

 

Gaji Minimum : RM1,488.00
Gaji Maksimum : RM4,230.00
Kenaikan Gaji Tahunan : RM100.00
3.Elaun
(a)Khas:RM115.00
(b)Perumahan:RM300.00
(c)Bantuan Sara Hidup:RM350.00
4.Syarat Lantikan:

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Calon-calon bagi lantikan hendaklah memiliki kelayakan dan pengalaman seperti berikut:

(a) Warganegara Malaysia;

(b) Berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan;

(c) Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) atau atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh IKIM;

(d) Mempunyai pengalaman kerja tidak kurang daripada 2 tahun di dalam bidang pentadbiran pejabat di sektor awam atau swasta;

(e) Keutamaan akan diberikan kepada calon-calon yang mempunyai kemahiran dalam membuat reka letak buku, penggunaan software ‘Adobe Photoshop’, ‘Illustrator’ dan ‘Indesign’.

(f) Kepujian Bahasa Malaysia (sekurang-kurangnya Gred C termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya.

(g) Calon telah lengkap menerima 2 dos vaksin Covid-19.

5.Antara Bidang Tugas & Tanggungjawab Utama:

 

 

 

 

 

 

 

 

a) Membuat reka bentuk kulit buku dan reka letak buku.

b) Membantu Ketua Penerbit menguruskan pengeluaran spesifikasi buku.

c) Membantu Ketua Penerbit memastikan kerja-kerja dilakukan oleh pereka (designer) dan pencetak luar adalah memuaskan dan menepati spesifikasi yang dikehendaki.

d) Membantu Ketua Penerbit membuat penetapan harga buku.

e) Membantu Ketua Penerbit memastikan bahan terbitan IKIM adalah berkualiti, menarik dan boleh dibaca.

f) Membantu Ketua Penerbit dalam urusan permohonan International Standard Book Number (ISBN) dan Cataloguing in Publication (CIP) dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

g) Membantu Ketua Penerbit dalam urusan dokumentasi dan perkeranian serta kerja-kerja berkaitan pentadbiran pejabat.

6.Cara Memohon:

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(a) Calon-calon yang berminat dipelawa mengemukakan surat permohonan, keterangan peribadi dan latar belakang kerjaya diri yang lengkap (resume/curriculum vitae) mengenai kelayakan dan pengalaman, salinan sijil-sijil akademik dan transkrip, kad pengenalan, sijil kelahiran, slip gaji terakhir, nombor telefon untuk dihubungi dan sekeping gambar berukuran passport (tidak dikembalikan) kepada:

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
2, Langgak Tunku
Off Jalan Tuanku Abdul Halim
50480 KUALA LUMPUR
(u.p.: Unit Modal Insan)
Tel: 03-62046374 

(b) Salinan  sijil-sijil akademik dan transkrip, kad pengenalan, sijil kelahiran, slip gaji terakhir hendaklah disahkan terlebih dahulu.

(c) Sila nyatakan nama jawatan yang dipohon di penjuru kiri sampul surat.

(d) Permohonan hendaklah sampai ke IKIM sebelum atau selewat-lewatnya pada 10 Januari 2022.

(e) Permohonan yang tidak dilengkapi dengan dokumen-dokumen yang diperlukan tidak akan diproses.

Calon-calon yang melepasi tapisan dan terpilih sahaja akan dipanggil temu duga. Permohonan calon dikira GAGAL sekiranya tidak menerima sebarang maklum balas daripada IKIM tiga (3) bulan dari tarikh iklan ditutup.

Klik untuk iklan lengkap