Lahirnya Pejuang Kemungkaran
=====
1. Semata-mata ingin mempertahankan penganjuran konsert yang membawa elemen LGBT, sebahagian kita sanggup memperlecehkan saudaranya yang menasihatkan mereka tentang perihal agamanya.
2. Lebih malang lagi kalam Mufti juga diambil mudah malah mula mempersenda Rasulullah SAW sendiri. Bahana yang melanda ini melahirkan lebih ramai pejuang kemungkaran yang mirip dengan sikap kaum Nabi Lut. Apabila dinasihatkan tentang kebenaran, mereka mengejek dengan berkata:
إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ
“Sesungguhnya mereka (orang-orang yang menasihat itu) adalah orang-orang yang merasakan diri suci". (Surah al-A’raf: 82)
3. Lalu mereka melaungkan istilah “holier than thou” sebagai justifikasi untuk merendahkan golongan yang menasihatkan tentang kebaikan. Keinginan nafsu untuk mempertahankan kemungkaran menjadikan minda mereka kabur. Sikap ini diolah oleh Sheikh al-Tantawi yang menyebutkan:
وما أعجب العقول عند ما تنتكس، والأخلاق عند ما ترتكس، إنها تستنكف أن يبقى معها الطهور المتعفف عن الفحش
“Alangkah anehnya ketika pemikiran mereka kabur dan akhlak menjadi runtuh, ia membantah untuk bersama kebaikan yang menghindarkan mereka dari perkara keburukan.”
4. Sifat tidak mencegah kemungkaran ini tidak ubah seperti perangai Bani Israel yang dilaknat oleh Allah dalam al-Quran. Allah menyifatkan Bani Israel sebagai bangsa yang dilaknat kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
“Mereka sentiasa tidak mencegah (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” Surah al-Maidah: 79.
5. Malah, sikap orang munafiklah yang menyeru kepada kemungkaran ini. Firman Allah:
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ
Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik. Surah al-Taubah:67.
6. Janganlah kerana ingin mempertahankan perkara kerosakan, kita sanggup memperlecehkan usaha kebaikan yang dilakukan oleh saudara-saudara kita apatah lagi merendahkan Rasulullah SAW.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi