Khamis, 21 Oktober 2021

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 18 - Pengalaman Pertama Sekelas Dengan Orang Arab

 


Daripada Jeddah, mereka menaiki kapal terbang menuju ke Madinah dengan hati yang penuh gembira. Bumi barakah yang sebelum ini hanya dibaca dari kitab-kitab, ditonton dari kaca televisyen, didengar dari Tokki, nenek dan saudara mara yang pernah ke sana menunaikan haji dan umrah. 55 minit perjalanan di udara, tidak ada apa-apa yang menarik kerana selain awan putih, hanya padang pasir yang kelihatan. Bagi mengisi kelapangan, Zul kembali membuka kitabnya yang membicarakan tentang tujuh tokoh ulama’ fiqh dari Madinah (al-fuqaha’ al-sab’ah).

Kota Madinah menjadi impian para penuntut ilmu di seluruh penjuru negeri untuk meneguk kemanisan mutiara-mutiara nabawi. Dengan panduan para Sahabat Nabi SAW, lahir barisan ulama’ masyhur yang dikenali dengan gelaran al-fuqaha’ al-sab’ah. Mereka adalah Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Urwah bin Az-Zubair bin Al-’Awwam, Sulaiman bin Yasar, Al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Abu Bakr bin ‘Abd al-Rahman, Kharijah bin Zaid, ‘Ubaidullah bin Abdillah bin ‘Utbah bin Mas’ud.

Disebutkan dalam sebuah syair yang masyhur,

إِذَا قِيْلَ مَنْ فِي الْعِلْمِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ * رِوَايَتُهُمْ لَيْسَتْ عَنِ الْعِـلْمِ خَارِجَةْ

Jika dikatakan siapa [yang keluasan] ilmunya [seperti] tujuh lautan * Riwayat mereka tidak keluar dari ilmu

فَقُلْ هُمْ عُبَيْدُ اللهِ عُرْوَةٌ قَاسِـمٌ * سَعِيْدٌ أَبُوْبَكْرٍ سُلَيْـمَانُ خَـارِجَةْ

Maka katakanlah mereka itu adalah ‘Ubaidullah, Urwah, Qasim * Sa’id, Abu Bakr, Sulaiman, [dan] Kharijah.

Bumi Madinah juga menyaksikan kelahiran tokoh besar pengasas mazhab Malik iaitu Imam Malik bin Anas.  Imam Malik dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah sempat hidup di zaman pemerintahan al-Walid bin ‘Abd al-Malik pada era Umayyah dan meninggal dunia pada sekitar umur 90 tahun semasa pemerintahan Harun al-Rasyid pada era ‘Abbasiyah. Disebutkan dalam satu riwayat, Imam Malik pernah bertemu dengan seorang pemuda. Beliau bertanya kepada pemuda tersebut akan namanya, maka dijawab pemuda itu, “Muhammad.” Imam Malik pun berkata “Wahai Muhammad! Bertakwalah kepada Allah, jauhi maksiat, kelak kau akan menjadi orang besar.” Pemuda itulah yang kita kenali kemudiannya sebagai Imam al-Syafie. Melalui anak-anak muridnya, Mazhab Maliki berkembang ke serata dunia seperti Mesir, Sepanyol, Tunisia, Maghribi dan sebahagian Afrika. [1] Ramai lagi tokoh-tokoh ulama’ yang agung, lahir daripada bumi Madinah seperti Imam al-Zuhri, Rabi’ah al-Ra’yi dan lain-lain.

Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad bin ‘Abdulaziz, Madinah agak kecil berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jedah. Dari jauh, sudah kelihatan sepanduk Ahlan wa Sahlan ila Jami’ah al-Islamiyyah bi al-Madinah al-Munawwarah (Selamat Datang ke Universiti Madinah). Mereka disambut urusetia yang lengkap berjubah putih dengan syimagh dikepala berwarna merah putih. Semuanya mengukir senyuman dan mengucapkan tahniah kepada para pelajar baharu. Mereka menaiki bas yang disediakan universiti, menuju ke kampus yang jaraknya hampir 40 minit darippada lapangan terbang. Di dalam bas, Zul mendapat perkhabaran daripada Rudaini bahawa ada seorang lagi pelajar daripada Terengganu iaitu Affandi turut mendapat tawaran ke Universiti Islam Madinah cuma disebabkan ada sedikit masalah visa, kemungkinan beliau akan sampai sedikit lewat berbanding yang lain.

********************

“Bakpe enta suke’ang ning?” tanya Zul kepada Shohor Bani. Terkinja-kinja Shohor Bani di depan Zul dan Zaini. Ada sesuatu nak disampaikan cuma mungkin tak terluah kerana terlalu gembira. “Alhamdulillah. Kite tige orang lulus! Ana tengok doh keputusang di papang kenyataang sakni.”, kata Shohor Bani sambil memegang tangan kedua-dua saing­nya. “Allahuakbar…!”, Zul meraup tangan ke wajahnya. Alhamdulillah, kejayaan pertama mereka di Universiti Islam Madinah adalah lulus untuk masuk terus ke kuliah tanpa perlu melalui Syu’bah Ta’lim al-Lughah li Ghayr al-‘Arab (Seksyen Pendidikan Bahasa untuk Bukan Arab). Kejayaan ini tidak lain tidak bukan adalah berkat doa para guru, ibu bapa dan sudah pasti kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab semenjak di SMASZA Ladang sehinggalah di Thanawi SMAASZA Batu Burok.

Bangunan Kedekanan Kemasukan dan Pendaftaran

Bagi bukan penutur jati Bahasa Arab atau bangsa bukan Arab yang tidak melepasi temuduga bagi penentuan aras kemahiran Bahasa Arab, Syu’bah Ta’lim al-Lughah li Ghayr al-‘Arab yang ditubuhkan pada tahun 1967 hasil resolusi Majlis Penasihat Tertinggi Universiti Islam Madinah pada tahun 1964, adalah tempat di mana mereka perlu menghadiri kelas pemantapan Bahasa Arab bagi persediaan untuk memasuki kuliah. Di sini, para pelajar akan ditempatkan dalam tahap yang berbeza mengikut keputusan temuduga, dan diajar oleh pakar Bahasa Arab antaranya Syeikh Dr. V. Abdul Rahim, Syeikh Dr. ‘Abdullah bin Ahmad Qadiri dan Syeikh ‘Abdul Hadi bin ‘Umar Fallatah.

Dr. V Abdur Rahim, ulama kelahiran India yang terkenal dengan buku Durus al-Lughah al-Arabiyyah

Tanpa berlengah, mereka terus mendaftar untuk masuk ke kuliah di  bangunan ‘Imadah al-Qabul wa al-Tasjil (Kedekanan Kemasukan dan Pendaftaran). “Ni, Shohor. Kite memang kacip molek[2] tapi dalam bab ilmu ni dop buleh ikut-ikut. Kite pilih ape hok kite minat. Ni langkoh pertame untuk mase depang kite. Ana pilih Kuliah Syariah.” Zul mengambil borang Kuliah Syariah dan mengisinya. Zaini dan Shohor Bani pula mengambil borang Kuliah Dakwah dan Usuluddin.

“Enta wase seriau dop nok masuk kelah dengang sep-sep Arab nanti?”, tanya Zaini kepada Zul dan Shohor Bani. “Dakpe, insya-Allah. Kite kang biase doh dengang Ustak ‘Utuwwah, Ustak Wahdan, Ustak Taha, Ustak Sa’id al-Qasabi di SMAASZA. Aku wase’ang[3] same je.”, Zul memberikan pandangan.

*********************

“Weh, ana wase nok masuk Syu’bah Lughah lah. Dop sekong[4] ana belajor dengan sep Arab ning. Sep ye bbaloh dengan syeikh, macam nok perang doh. Kite di SMAASZA nok wi pendapat ke ustak pung beradong.[5] Syeikh bincang bab taharah[6] je pung. Nasib ye dop angkat kerusi, meje.  Sep ye cakak keluor Qur’an, Hadith, qaul[7] ulama’. Jauh beze nok banding dengang pidato Bahase Arab di SMAASZA. Ana dok aa’uu stabok mende ye cakak. Kite belajor fushah di Malaysia. Sep ye ade sleng[8] Najdi, Hijazi, Khaliji. Memang agah[9] la. Ana hok perati ning, basoh jeruk peluh. Dop berani nok masuk capur.”, kata Zaini pada satu petang, meluahkan kerisauannya. Shawarma yang dimakannya, kelihatan masih banyak berbaki. Mungkin tidak berselera. Rupa-rupanya, kerisauan yang sama juga dikongsikan oleh Zul dan Shohor Bani. Kalau di kampung semasa kecil, bolehlah mereka nak agah dengan perang bedil colok, woh getoh, ikang sekila yang paling cantik, jaguh lage ayang, tapi bila berdepan dengan bangsa Arab ni jangan dibuat main. Budak-budak pun dah main dengan unta!

“Ape kate kite gi juppe[10] Arab hok jage kemasukan, pendaftaran ning. Kite mohon untuk masuk pusat bahase. Bior lah belajor mubtada’ khabar smula dari bbaloh dengang sep Arab ning.”, Zul memberi cadangan kepada Zaini dan Shohor Bani. Kedua-duanya bersetuju dan bergerak meninggalkan kantin.

“Assalamualaikum. Err…kami, nak…”, Shohor Bani baru hendak memulakan pertanyaannya dalam Bahasa Arab. Pegawai di kaunter pertanyaan mengangkat kening dengan berkata, “Eish tibgha???”[11]. “Kasornya mung. Kalu mung sapa Tranung, siap ah mung. Nasib baik mung dop pahang aku cakak mende…”, kata Shohor Bani mengomel sendirian dalam loghat Terengganu.  Zul dan Zaini suke glekek[12] di belakang Shohor Bani.

Shohor menerangkan hasrat mereka dengan baik untuk memohon pertukaran daripada kuliah ke pusat bahasa. Pegawai tersebut menyemak dokumen Zul, Shohor Bani dan Zaini sambil menikmati syai bi al-na’na’[13] Beliau kemudiannya mundar-mandir ke meja-meja rakan sekerjanya yang lain dan bertanyakan sesuatu.“Ek eleh…enjeknye[14]. Ye dop sibuk pung tapi wak lolok[15] sibuk!”, getus Shohor Bani dengan marah. Masih belum berpuas hati dengan cara pegawai tersebut menyambut mereka.

Beliau kemudiannya menuju ke kaunter pertanyaan dan berkata, “Kamu bertiga dari Malaysia? SMAASZA? Tak perlu masuk Pusat Bahasa. Kamu sudah mahir Bahasa Arab. Boleh keluar sekarang.”. Zul, Zaini dan Shohor Bani ditinggalkan terkulat-kulat di kaunter pertanyaan. Nampaknya, terpaksalah mereka menghadap kerenah pelajar-pelajar Arab walaupun masih belum dapat membiasakan diri.

____________________

[1] Saya ada menulis sebuah buku tentang Imam Malik dan Imam Syafie secara khusus, jua himpunan kisah Imam Empat Mazhab yang dikumpulkan dalam sebuah buku. Boleh dapatkan di FB Pustaka Cahaya Kasturi

[2] Sahabat baik

[3] Berasa

[4] Tidak serasi

[5] Sopan santun, beradab

[6] Bab bersuci dalam fiqh

[7] Pandangan

[8] Dialek

[9] Sombong

[10] Bertemu

[11] Apa yang kamu nak?

[12] Ketawa terbahak-bahak

[13] Teh o dan daun mint.

[14] Mengadanya

[15] Olok-olok

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

 Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 11- Cerita Budak Kubang Kekura di depan Syeikhul Azhar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 12: Al-Arqam dan Nadamurni

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 13: Belajar dan Mengajar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 14- Jemaah Tabligh

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 15 - “Demonstrasi Aman” di SMAASZA

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 16 - Temuduga Universiti Islam Madinah

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 17- SZB- JED

0 comments:

Catat Ulasan