"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan

Ahad, 14 Mei 2023

SEMUA ORANG MELAYU KENA TANYA ANWAR IBRAHIM KENAPA TIDAK SAMAN BILA DITUDUH ‘MELIWAT’ DAN AMALKAN ‘SEKS SONGSANG.’

Saya amat hairan dan sangsi dengan sikap Anwar Ibrahim yang dari dulu sehingga kini tidak mahu menyaman atau mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang menuduh beliau sebagai ‘peliwat’ serta ‘homoseksual.’

Berita mengenai tuduhan-tuduhan meliwat dari pelbagai pihak termasuk mangsa-mangsa liwat oleh Anwar Ibrahim tular ke seluruh dunia.

Berita-berita ini amat mengaibkan Anwar Ibrahim tetapi malangnya beliau tidak pernah berani mengambil tindakan undang-undang terhadap kalangan yang menuduh beliau sebagai peliwat serta berzina dengan pelacur-pelacur dari China dan sebagainya.

Bila Anwar Ibrahim kini menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia terus memfitnah kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad ‘kayakan’ anak-anak beliau ketika menjadi pemimpin nombor satu negara dahulu; mantan Perdana Menteri dua kali ini terus menyaman serta mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar Ibrahim.

‘Berani kerana benar dan takut kerana salah.’

Pada tahun 1998 Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia tidak mahu mempercayai bahawa Anwar Ibrahim berperangai tidak senonoh sedemikian rupa.

Bila saya terbitkan ‘Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM’ yang ditulis oleh sahabat Allahyarham Khalid Jafri; Perdana Menteri pada waktu itu telah menyuruh salah seorang daripada pegawai pengiring beliau untuk mencari serta membawa saya ke kediaman rasmi Seri Perdana lama yang terletak berhampiran dengan bangunan Parlimen Malaysia.

Saya masih ingat ketika disoal-siasat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad serta dimarahi sepanjang perbualan dengan beliau pada waktu itu kerana menuduh saya memfitnah Anwar Ibrahim.

Pada realitinya, Tun Dr Mahathir Mohamad di kala itu tidak mahu mempercayai langsung bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang ‘peliwat’ dan mengamalkan ‘seks songsang.’

Imej ‘warak’ Anwar Ibrahim terlalu kuat pada waktu itu kerana senantiasa memperalatkan agama bagi menutup kemungkarannya.

Namun, bersyukur kehadrat Allah swt kerana apabila pihak PDRM dari pasukan Bukit Aman membuat penyiasatan ke atas buku ‘50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM’ akhirnya terdapat bahan bukti sepertimana yang didakwa oleh semua pihak mengenai sifat luar tabi’e Anwar Ibrahim itu berserta dengan pelbagai salahlaku.

Pada tahun 1998, saya lihat Tun Dr Mahathir Mohamad mulai yakin dengan perangai ‘luar tabi’e’ serta segala salah laku Anwar Ibrahim apabila pihak PDRM berjaya mengumpulkan pelbagai bahan-bahan bukti hasil dari siasatan secara komprehensif ke atas ‘Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM.’

Tetapi pada hari ini Anwar Ibrahim adalah seorang Perdana Menteri Malaysia (PMX) yang mempunyai ‘seribu satu kekuasaan.’

Sebagai seorang Perdana Menteri kini Anwar Ibrahim harus mengambil satu pendirian yang berani serta tegas untuk membersihkan namanya dari dikaitkan dengan amalan ‘meliwat’ dan ‘seks songsang’ jika beliau masih menuduh kononnya terpenjara sebanyak dua kali atas konspirasi fitnah terhadapnya.

Dalam sosial media pada hari ini masih ramai yang mewar-warkan mengenai pelbagai salah laku ‘songsang’ Anwar Ibrahim.

Hari ini Anwar Ibrahim bukan lagi ‘kutu haprak’ tetapi sekarang beliau adalah seorang ketua negara Malaysia.

Tuduhan ‘meliwat’ dan ‘seks luar tabi’e’ merupakan satu tuduhan yang amat berat bukan saja dari perspektif undang-undang duniawi tetapi juga dari sudut pendekatan agama.

Sepertimana Anwar Ibrahim mengecam serta memfitnah orang lain secara tidak berasas dan mangsa yang difitnah seperti Tun Dr Mahathir Mohamad berani mengambil tidakan undang-undang saman fitnah terhadap Perdana Menteri Malaysia (PMX) pada hari ini maka sesungguhnya, Anwar Ibrahim juga mesti mengambil contoh yang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad berani menyaman PMX demi kebenaran.

Malangnya, pada hari ini Anwar Ibrahim tidak berani langsung mengambil sebarang bentuk tindakan undang-undang ke atas sesiapa saja yang menuduh beliau sebagai ‘peliwat.’ 

Situasi ini amat menghairankan keseluruhan rakyat dan orang-orang melayu yang beragama Islam di tanahair kita.

Pendirian saya amat konsisten dari dulu sehingga kini tidak boleh terima Anwar Ibrahim sebagai tokoh pemimpin utama kita.

Mana mungkin seseorang yang Nabi Muhammad saw tidak ‘mengaku umat’ diangkat sebagai ‘khalifah utama’ untuk memimpin ummah.

Sesiapa yang terlibat melantik Anwar Ibrahim sebagai ‘khalifah utama’ kita untuk memimpin ummah bakal berjawab dengan Allah swt di Padang Masyhar kelak.

Atas dasar ini juga apabila Anwar Ibrahim dilantik semula sebagai Presiden parti KEADILAN dan Pengerusi PH; saya meletakkan jawatan sebagai Penyelaras Parlimen Jasin seterusnya isytihar untuk keluar dari parti AMANAH yang bernaung kuat di bawah PH.

Secara jujur dan ikhlas, saya tidak akan bernaung di bawah seorang pemimpin yang ‘sewel’ dan ‘gila’ seperti itu.

Ini bukan isu politik tetapi ianya adalah persoalan aqidah agama. 

Namun, ini adalah ujian kepada keseluruhan orang-orang melayu dan umat Islam di negara kita kerana terpaksa menghadapi ‘ujian’ dari Allah swt kemungkinan besar buat sementara waktu saja. Ameen.

Mungkin Allah swt yang Maha Mengetahui lagi Maha Esa mahu menunjukkan kepada kita semua akan siapa itu Anwar Ibrahim yang sebenarnya?

Yakinilah, Allah swt tidak pernah memungkiri janji dan akhirnya kebenaran pasti timbul.

Anwar Ibrahim mampu memperbodohkan dan menipu ummah ‘kadang kala’ namun percayalah beliau tidak akan mampu membohongi Allah swt.

Mana-mana pemimpin hipokrit, munafiq dan fasiq di atas muka bumi ini harus ditentang secara bermatian demi perjuangan untuk menegakkan kebenaran.

LAWAN TETAP LAWAN!

Yang Ikhlas,

KHAIRUDDIN ABU HASSAN

13 Mei 2023

Ahad, 11 September 2022

Haruan makan anak: Mental perosak darah daging sendiri

 DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP

DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pendedahan remaja yang menjadi mangsa 'haruan makan anak' atau sumbang mahram.

Mengapa perkara ini masih berlaku sedangkan pemangsa sepatutnya menjadi pelindung, dan bukannya bertindak umpama 'haiwan liar'.

Apa yang boleh ibu bapa, keluarga atau masyarakat lakukan untuk mencegah perkara ini daripa berlaku terhadap anak-anak kita.

Ikuti wawancara Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) PROF MADYA DR SHAZLI EZZAT GHAZALI bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.

Haruan makan anak atau sumbang mahram, mengapa ia berlaku sedangkan masyarakat kita berpegang kuat kepada akidah, nilai diri dan keluarga?

Fenomena haruan makan anak atau sumbang mahram berlaku disebabkan kurangnya nilai moral dan agama yang dibentuk dalam diri oleh institusi keluarga. Kepincangan dan kekeliruan yang berlaku dalam institusi keluarga akan menggalakkan berlakunya gangguan pemikiran, emosi serta pembawakan tingkah laku.

Ia menyebabkan perbuatan yang hina ini tidak dapat dinilai dengan baik oleh masyarakat yang terlibat walaupun negara kita berpegang teguh kepada akidah, nilai diri dan keluarga.

Realitinya perbuatan sumbang mahram ini mudah berlaku disebabkan 'keterpaksarelaan' disebabkan oleh individu yang terlibat dikenali rapat oleh mangsa dan hilang pertimbangan untuk menentukan halal haram sesuatu perhubungan didorong oleh nafsu yang membuak-buak.

Dalam psikologi, keinginan seksual adalah keinginan asas yang ada pada manusia dan ia disamakan dengan makan, minum dan tempat tinggal.

Bila kita lapar kita perlukan makanan, bila dahaga kita perlukan minuman dan bila hujan perlukan tempat perteduhan.

Manakala seks pula, jika telah mula terlibat maka ia akan berinteraksi sama dengan makan dan minum, di mana apabila berkeinginan ia akan cuba mendapatkannya.

Jika ia rosak maka manusia akan hilang pertimbangan untuk berfikir secara rasional dan mereka akan memenuhkan keinginan mereka secara primitif dan ini akan merosakkan institusi kemanusiaan itu sendiri.

Bila membicarakan kenapa kejadian ini berlaku sudah tentu ia terfokus pada puncanya antaranya terdedah pada bahan seksual pada peringkat awal, diikuti pernah mencuba dan terlibat dengan aktiviti seks, faktor ketagihah seksual serta yang paling utama kurangnya iman untuk membenteng kejadian sumbang mahram ini.

Terdapat pelbagai sebab mengapa perbuatan ini berlaku dan dalam konteks psikologi adalah disebabkan oleh faktor pembelajaran hasil pendedahan dalam sosial media, kepesongan persepsi, pemberontakan alam tidak dan separa sedar disebabkan pengambilan bahan terlarang seperti dadah dan alkohol serta tahap spiritualisasi yang rendah.

Apa yang menjadikan golongan haruan makan anak/sumbang mahram ini begitu 'berselera' dengan darah daging sendiri?

Rendah nilai moral dan iman merupakan penyebab golongan haruan makan anak begitu berselera memamah darah daging sendiri.

Menyalahgunakan kuasa sebagai datuk, bapa, ibu, abang dan sebagainya mudah untuk mencapai hasrat seksual dengan mangsa yang berada rapat dengannya serta kemampuan mengawal mangsa disebabkan 'kerapuhan diri' mangsa dengan menurut saja kehendak pemangsa disebabkan faktor dominasi ini.

Bila mangsa akur sahaja perlakuan seksual dilakukan ke atas dirinya maka pemangsa akan jadi makin menyeronokkan dan 'berselera'.

Ini kerana, keinginan seksual mudah didapati disebabkan ada hubungan kekeluargaan.

Sesuatu yang haram itu, bila dilakukan maka kenikmatan akan dirasai dan ia akan berulang-ulang dan sukar dibendung kerana akan menyebabkan ketagihan seksual terutama pada pemangsa.

Pemangsa bila bila berkehendakkan seks dengan mudah ia boleh dapat dalam lingkungan ahli keluarga mereka.

Bagi kita, ia merupakan tingkah laku kotor, tetapi bagi keluarga yang terlibat ia bukanlah dosa tetapi keperluan dalam institusi keluarga itu.

Ia menjadi normalisasi dan sukar diubah.

Kepencongan pemikiran dan tingkah laku inilah yang akan membawa kemudaratan dalam institusi kekeluargaan jika ia tidak dibendung.

Berdasarkan kajian Dr, apa yang menjadi faktor utama perbuatan keji ini?

Berdasarkan kajian, didapati faktor spiritualiti dan kerapuhan iman merupakan faktor utama perbuatan keji ini berlaku secara berleluasa.

Jika perkara ini tidak tertanam dalam jiwa, pemikiran dan emosi kita, sudah tentu perbuatan ini tidak melalui proses penilaian yang terbaik.

Ini adalah kerana manusia tidak dapat membuat penilaian sama ada perbuatan itu halal atau haram.

Jika perbuatan itu dinilai sebagai haram maka ia perlu dielakkan. Namun sebaliknya berlaku.

Kerapuhan iman ini juga membawa kepada berlakunya kekuasaan dari segi nafsu dan selalunya nafsu adalah berteraskan kepada kenikmatan, keghairahan, keseronokan melampau dan sifatnya perlu dipuaskan dengan segera.

Jika ia gagal dipuaskan dengan segera maka ia akan mengalami konflik diri yang tinggi sehingga kadang-kadang kita boleh bertingkah laku di bawah aras kemanusiaan iaitu bertingkahlaku seperti haiwan. Mereka hilang sifat malu, tidak rasa bersalah, seronok, kepuasan optimum dan yang paling merisaukan mereka akan menjadi ganas, pemarah, pembuli, pendera serta penjenayah jika keinginan mereka tidak dipenuhi.

Dalam perspektif psikoanalisis, dalam kehidupan kita ada tiga alam iaitu alam sedar, alam separa sedar dan alam tindak sedar.

Kita boleh umpamakan kehidupan ini sebagai seketul ais dalam lautan di mana hanya bahagian yang timbul itu bahagian sedar dan di bawah permukaan laut itu adalah tidak sedar.

Dalam alam separa sedar dan tidak sedar inilah perlu dijaga dengan baik jika tidak dijaga ia akan menyebabkan berlakunya kelangsungan tingkah laku kerana sifatnya yang agresif serta berpaksikan kepada keghairahan dan keseronokan semata-mata.

Elakkan daripada nafsu ini menjadi dominan dengan mengawalnya melalui ilmu agama, cahaya nur dari didikan ibu bapa dan ahli keluarga.

Mangsa trauma sepanjang hayat jika identiti sebagai mangsa terdedah termasuk dihina masyarakat atau keluarga./B>

Mangsa sumbang mahram melalui peristiwa yang sangat dahsyat dalam kehidupan mereka.

Sudah pasti mereka trauma dan mengalami gangguan dari segi pemikiran, emosi dan tingkah laku.

Antara simptom yang dialami oleh mangsa ada gangguan pemikiran ke atas peristiwa yang berulang-ulang bermain di fikiran mereka menyebabkan mereka rasa takut, kotor, bimbang, fobia, hilang keyakinan diri, rasa bersalah yang ekstrem, cepat dan mudah marah, murung serta hilang nikmat hidup.

Ini menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap persekitaran mereka, takutkan hubungan intim, terlibat dalam tingkah laku yang merosakkan diri sendiri termasuk mengambil dadah, terlibat dalam masalah sosial, mengalami masalah pemakanan serta masalah personaliti.

Sesuatu yang pasti jika mangsa tidak dapat sokongan daripada masyarakat untuk berdaya tindak dengan baik mangsa akan menghadapi masalah penyakit mental seperti Posttraumatic Stress Disorder (PTSD) dan kecelaruan personaliti dan seterusnya boleh menyumbangkan kepada masalah bunuh diri serta membunuh.

Oleh itu, golongan ini memerlukan sokongan yang bersifat holistik dari pakar-pakar psikiatri, psikologis dan juga kaunselor untuk menjalani terapi-terapi yang spesifik bagi menaikkan semangat untuk hidup, mengatasi masalah trauma dan psikologi, membetulkan pemikiran, beremosi secara positif dan bertingkah laku secara positif serta memupuk kasih sayang dalam diri mangsa untuk kembali menjalani kehidupan sebaiknya.

Bagaimana pula dengan hukuman terhadap pesalah? Masih relevan, perlu ditambah baik atau dikeraskan lagi?

Hukuman terhadap pesalah adalah relevan dan ditambah baik dengan memasukkan nilai-nilai agama, kefahaman tentang iman dan pemurnian tingkah laku positif.

Jika mereka tidak berubah lagi hukuman penjara harus dipanjangkan sehinggalah elemen ini diterapkan menjadi cara dan tabiat hidup mereka.

Manusia akan berubah jika ada iman dan amal.

Oleh itu sistem penilaian ini perlu ditambahbaik bagi memastikan pesalah ini insaf dan tidak mengulangi perbuatan mereka.

Bagaimana mahu menjadikan anak-anak kita berada dalam lingkungan situasi selamat walaupun bersama keluarga sendiri"

Anak-anak ini golongan yang sangat rapuh. Oleh itu institusi masyarakat perlu lebih proaktif dalam menjalankan kempen kepada mereka yang berada di peringkat seawal prasekolah hinggalah ke alam persekolahan.

Golongan ibu juga seharusnya berperanan aktif menjaga anak-anak mereka tidak kiralah lelaki dan perempuan.

Didik untuk jaga bahagian-bahagian sensitif, cara berpakaian dalam khalayak keluarga sendiri.

-myMetro 

Khamis, 24 Februari 2022

Era baharu politik sukarkan parti menang majoriti dua pertiga

 Pengundi kini bijak memilih pemimpin yang  mereka inginkan untuk mewakili suara rakyat. - Foto hiasan

Pengundi kini bijak memilih pemimpin yang mereka inginkan untuk mewakili suara rakyat. - Foto hiasan

Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai pada 13 September 2021 antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan adalah langkah baik, satu langkah musyawarah merentas parti, berbincang untuk kepentingan awam, rakyat serta negara.

MoU berkenaan yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH itu merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.

Tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Walaupun begitu, pada akhirnya rakyat juga akan membuat keputusan melalui peti undi. Kehendak rakyat wajib dihormati dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), banyak pihak berpendapat tidak akan ada perikatan parti politik atau satu politik mampu menang majoriti mudah seperti dulu.

Ia membawa maksud tiada pihak akan menang secara bersendirian namun ini bukan sesuatu yang buruk dan bukan juga sesuatu yang membawa kepada ketidakstabilan.

Mungkin itu satu norma baharu yang kita perlu pelajari dan terima dengan hati terbuka, kerana apabila tidak ada satu parti mempunyai majoriti yang cukup, mereka tidak boleh memerintah sendiri.

Ini bermakna mereka parti yang menang tadi akan berunding, berbincang, berkompromi dan mencari persefahaman yang terbaik untuk cuba membentuk kerajaan.

Perkara ini tidak semestinya buruk. Ia buruk hanya apabila ada wakil rakyat melompat ke sana sini. Akan tetapi bila Akta Anti-Lompat Parti diluluskan di Parlimen nanti, masalah ini dijangka selesai.

Apabila tidak ada satu parti mendominasi kerusi majoriti maka itu sesuatu yang bagus kerana pemimpinnya akan berusaha untuk berkompromi dengan parti lain.

Jika sesuatu parti mendapat majoriti dua pertiga, dibimbangi ia akan kurang peka kepada suara rakyat, malah kadang-kadang bongkak dengan mandat besar itu.

Bagaimanapun, dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak yang lalu, disebabkan kelemahan parti pembangkang, parti kerajaan menang lebih dua pertiga kerusi. Ia perlu dihormati kerana itu keputusan pengundi.

Kita perlu menghormati pilihan pengundi yang mungkin sudah jemu dengan politiking berlebihan tetapi kecenderungan begini tidak semestinya akan berterusan di negeri lain atau di peringkat nasional.

Namun, dalam sesetengah amalan demokrasi ada peruntukan jika rakyat tidak senang dengan wakil rakyat, mereka berhak meminta wakil rakyat 'turun' dengan membuat petisyen dan sebagainya.

Apa lagi dalam suasana pilihan raya sekarang ini, yang mana tidak membenarkan berkempen seperti biasa, maka orang ramai mula menggunakan bermacam-macam cara untuk berpolitik terutama menerusi media sosial.

Perkara baharu ini yang membangkitkan semangat mahu didengar rakyat sekarang dan sebagai sesuatu yang baik tetapi malangnya 'kerajaan lama' melihat ini sebagai satu cabaran kepada mereka.

Setakat ini sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, dapat dilihat beliau tidak banyak politiking dan ini sesuatu yang baik kerana menunjukkan pemimpin dan rakyat fokus kepada kerja mereka.

MoU antara pemimpin PH dan kerajaan adalah suatu langkah baik kerana ia menunjukkan ahli politik sanggup bekerjasama untuk rakyat.

Dalam PRU-15 kelak, kita tidak pasti apakah akan ada parti politik mendapat mandat untuk memerintah secara sendirian tetapi ketiadaan mandat kukuh bukan sesuatu yang buruk.

Ini kerana mereka akhirnya terpaksa bekerjasama selepas PRU untuk membentuk pakatan selepas proses tawar-menawar yang baik untuk semua pihak.

Pemimpin yang tidak mempunyai kuasa authoritarian akan disukai rakyat. Demokrasi kita akan sihat apabila rakyat sedar kuasa yang mereka ada. Rakyat adalah 'kerajaan' yang sebenarnya, bukan Perdana Menteri, Ketua Menteri atau menteri.

Penulis adalah Penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu (TSEJRC) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

-BH Online

Rabu, 16 Februari 2022

Trauma terkandas lapan jam di Langkawi

 

PENGALAMAN terkandas berjam-jam di Langkawi membuatkan pelancong serik untuk kembali bercuti di pulau peranginan itu. GAMBAR HIASAN

PULAU Langkawi sememang­nya menjadi lokasi pelancongan dalam negara yang menjadi antara pilihan utama rakyat negara ini untuk bercuti sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Namun, di sebalik keindahan dan tawaran keseronokan bercuti yang menggamit pelancong untuk berkunjung ke pulau itu, ramai yang kecewa kerana per­khidmatan operasi feri dari Terminal Feri Kuala Perlis di Perlis ke Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi kerap tergendala.

Ia berikutan masalah air cetek dan berselut di alur pelayaran terutama sekitar kawasan terminal feri di Kuala Perlis yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian terbaharu pada 2 Februari lalu, seramai 423 penumpang feri terkandas hampir lapan jam selepas pengangkutan itu rosak dan memerlukan masa untuk dibaiki seterusnya tidak dapat berlayar kerana air telah surut di Kuala Perlis.

Tidak dapat dibayangkan perasaan penumpang terutama yang membawa anak kecil sambil membawa troli dipenuhi bara­ngan terpaksa bersesak bersama 400 penumpang lain di terminal feri di Kuah.

Rentetan insiden itu, Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengarahkan kerja-kerja pengerukan kecemasan dilakukan segera bagi mendalamkan alur pelayaran cetek.

Namun begitu, langkah mendalamkan kawasan terminal feri dan alur pelayaran feri di Kuala Perlis hanya memberi kesan sementara kerana lokasi sama akan kembali cetek dan berselut dalam masa kurang setahun.

Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan perjalanan feri dari Kuala Perlis mengikut keadaan air laut.

“Penumpang mungkin terpaksa menunggu selama lapan jam jika feri terlewat daripada ja­dual ditetapkan. Justeru, kita sentiasa mengingatkan penumpang untuk datang awal agar masalah kelewatan feri keluar dari jeti dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, masalah operasi feri disebabkan isu air cetek itu memberi kesan buruk kepada Langkawi sebagai lokasi pelancongan bertaraf dunia.

Pengangkutan feri masih menjadi pilihan ramai kerana kos lebih murah berbanding menaiki kapal terbang. Kebanyakan pelancong juga memilih untuk menaiki feri dari Kuala Perlis kerana tempoh masa perjalanan lebih singkat iaitu kira-kira sejam berbanding hampir dua jam dari Terminal Feri Kuala Kedah di Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainuddin Kadir berkata, insiden penumpang terkandas selama hampir lapan jam itu tidak boleh di­terima kerana ia bukan sahaja menyusahkan pelancong, malah menjejaskan nama Langkawi.

“Kerja-kerja pengerukan perlu dilakukan cepat dan berkesan bagi membolehkan operasi feri kembali lancar,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Nor Azam Karap pula mencadangkan pembinaan struktur tambahan iaitu jambatan pejalan kaki dari terminal utama ke tengah muara sungai dengan kemudahan pontun terapung.

“Kawasan di tengah muara Sungai Perlis masih dalam dan tak mengganggu pergerakan keluar masuk bot di muara sungai.

“Pembinaan struktur tambahan itu lebih praktikal berban­ding membina jeti feri penum­pang di kawasan lain,” katanya.

Sehubungan itu, pelaksanaan jangka panjang kepada masalah yang semakin memburuk sejak lima tahun lalu itu perlu dilaksanakan segera demi keselesaan dan keselamatan penumpang.

-Kosmo

Jumaat, 31 Disember 2021

Wibawa politik Ismail Sabri kuyup dek banjir?

 


Oleh :Bakar Suar

Banjir yang melanda negara minggu lalu bukan sahaja mewariskan beribu tan sampah sarap yang mampu menularkan pelbagai penyakit malah ia boleh menjerumuskan negara ke dalam krisis politik yang melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap pemerintah.

Natijah awal musibah berkenaan ialah agak ramainya bilangan kematian yang berlaku meskipun ancaman banjir ini diramalkan mungkin berulang dan berlarutan sehingga Ahad depan.

Umum tahu bahawa kerajaan hari ini menghadapi masalah defisit kepercayaan yang agak membimbangkan berikutan perkembangan politik yang tidak stabil. Kerajaan sudah bertukar ganti tiga kali sejak PRU pada Mei 2018.

Dililit ancaman pandemik Covid-19 yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara sejak dua tahun lalu, adalah jelas rakyat mendambakan sebuah kerajaan berwawasan, tangkas, dan jujur untuk memimpin Malaysia keluar dari kemelut ini.

Bagaimanapun pendekatan dan caragaya kerajaan menguruskan musibah banjir kali ini agak lesu meskipun banjir boleh dikatakan berlaku hampir saban musim tengkujuh.

Kerajaan mempunyai pelbagai agensi dibiayai wang rakyat untuk membuat culaan keadaan cuaca namun maklumat yang dikumpulkan tidak dimanfaatkan dengan bijak.

Yang dikesalkan, baru empat bulan berkhidmat, ramai ahli Kabinet sudah mula letih dan perlukan rehat dan mahu bercuti. Semua permohonan diluluskan oleh Perdana Menteri.

Perubahan cuaca tidak pernah cuti. Amaran cuaca buruk tahun ini telah dimaklumkan kepada semua peringkat jentera pentadbiran negara. Namun apabila hujan lebat bermula ada Menteri terus bercuti.

Mungkin mereka benar-benar lelah setelah berjuang berhabis-habisan kerana mahu menukar atau mempertahankan kerajaan ikut selera mereka sejak dua tahun lepas.

Apabila banjir berlaku kali ini pentadbiran kerajaan seolah-olah bungkam.

Sayugia diingat Mei lalu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, menyenaraikan tujuh menteri yang tidak berfungsi. Enam daripada mereka mewakili Bersatu.

Salah seorang daripada mereka ialah Latiff Ahmad yang memegang portfolio Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang dikatakan gagal menggalakkan rakyat luar bandar menjayakan kempen vaksinasi negara.

Kini beliau Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut bertanggungjawab ke atas Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA).

Kali ini apabila Nadma dipertikaikan lembab menggerakkan usaha membantu rakyat terkesan banjir beliau dengan yakin mengatakan:

“Saya boleh letak jawatan. NADMA boleh dibubar. Tetapi apakah solusinya?”.

Beliau menegaskan jika NADMA hendak menguruskan bencana di semua peringkat ia memerlukan kos yang tinggi.

Rakyat tersinggung kerana Menteri berkenaan seolah-olah mengatakan jika NADMA membela nasib mereka daripada bencana banjir ia akan merugikan negara.

Tiada tindakan diambil oleh Perdana Menteri Ismail Sabri ke atas Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri itu.

Rakyat memerhati wibawa Ismail. Apakah beliau tidak ingat sentimen yang cuba dibawa oleh Razlan terhadap pemimpin-pemimpin Bersatu?

Razlan juga membariskan beberapa Menteri Bersatu yang tidak berfungsi – Zuraida Kamaruddin, Azmin Ali, Rina Harun, Hamzah Zainudin, dan Radzi Jidin.

Apakah kebarangkaliannya, Bersatu kini tidak akan mengambil kesempatan menuding jari betapa Menteri-menteri Umno termasuk Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob juga seakan tidak berfungsi dalam isu mentadbir negara ketika banjir?

Tidak sampai sebulan lalu Ismail menganugerahkan ahli-ahli Kabinetnya pencapaian 90% daripada sasaran prestasi memimpin kementerian masing-masing.

Namun kini beliau terpaksa mengarahkan Menteri-menteri membatalkan cuti mereka walaupun beliau sendiri meluluskan cuti mereka.

Mengapakah Ismail kelihatan gugup menguruskan musibah banjir? Beliau bingkas menuding jari pada projek Lebuh Raya Lembah Kelang Timur (EKVE) sebagai salah satu punca banjir.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati pembinaan lebuh raya itu menyebabkan longkang terkambus dan mengganggu sistem saliran air.

“Banjir ini bukan saja disebabkan oleh air hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.

“Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program gotong-royong pembersihan kawasan terjejas banjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua.

Hulu Langat antara kawasan terjejas teruk akibat banjir yang melanda negara, minggu lalu.

Sejak pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri, Ismail cuba menonjolkan imej seorang pemimpin yang tenang dan berwawasan,

Namun dalam kes banjir kali ini, beliau nampak gopoh dan cuba membuat kesimpulan tanpa siasatan penuh dan terperinci.

Walhal beliau sendiri mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mencari punca banjir besar berlaku dan mengkaji bagaimana menguruskan musibah jika berulang.

Apakah Ismail bimbang impian Keluarga Malaysianya akan hanyut bersama banjir yang melanda negara minggu lalu?

Bolehkah kegopohannya itu dibaca sebagai satu reaksi kepada kecaman beberapa pihak kononnya pentadbirannya lembab memberi bantuan pada mangsa banjir?

Berikutan itu, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib, mencadangkan supaya rakyat mengemukakan saman terhadap Ismail kerana kelewatan bantuan itu seolah mempunyai niat jahat.

Banyak iktibar yang wajib dipelajari oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, yang diberi kepercayaan mengisi kerusi panas Perdana Menteri, daripada musibah banjir.

Meskipun beliau memulakan tugasnya dengan tenang, bersangka baik, berhati-hati seikhlas mungkin kira-kira tidak sampai empat bulan lalu, banjir nampaknya menuntut ketegasan dan keberanian luar biasa daripadanya.

Sayangnya rakyat tidak melihat Ismail dan Kabinetnya menyahut tuntutan itu.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Khamis, 30 Disember 2021

Banjir Besar: Apa sebenarnya berlaku pada 18 Disember?'

 Tinjauan dari udara bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam pada 19 Disember lalu. - NSTP/Asyraf Hamzah

Tinjauan dari udara bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam pada 19 Disember lalu. - NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Segala yang ada di dalam rumah setingkat itu bersalut lumpur - peralatan elektrik dan elektronik, perkakas rumah dan perabot, malah pakaian juga bergumpal selut.

Televisyen skrin rata 42 inci yang sebelum ini menjadi sumber maklumat dan hiburan Derismawa Arisno bersama dua teman serumah, dijadikan alas duduk wanita itu yang berehat sekejap bagi menghilangkan lelah membersihkan rumah sewanya yang ditenggelami air selama seminggu bermula 18 Disember lalu.

"Bila balik (dari kerja), air sudah sampai paras betis. Cuma dapat selamatkan baju, yang lain semua ditinggalkan. Memang panik sangat," katanya membuka cerita kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Banting, Selangor.

Kampung itu yang didiami golongan berpendapatan sederhana, kebanyakannya bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara kawasan yang paling teruk terjejas banjir pada 18 Disember lalu.

Menurut penduduk yang ditemui Bernama, petempatan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu amat jarang dilanda banjir, justeru mereka tertanya-tanya bagaimana bencana seburuk itu boleh berlaku dan mengapa tiada amaran dikeluarkan.

Pertanyaan serupa turut bermain di fikiran Raynugadewi Subramanian atau Raynu yang menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam - 44 kilometer di utara Kampung Tengah.

Tidak seperti Kampung Tengah, Taman Sri Muda mudah dilanda banjir apabila hujan lebat, namun Raynu berkata, bah besar pada hari itu membuatkan dia benar-benar tergamam kerana selama ini banjir kilat yang berlaku tidak seteruk itu.

Wanita itu berkata, pada pagi hari berkenaan, dia perasan air naik agak pantas berbanding kebiasaan, menyebabkan dia dan ibunya keluar mengalihkan kereta untuk diletakkan di kawasan lebih tinggi.

"Agak sukar untuk memandu dalam keadaan itu, namun syukurlah kami selamat sampai di kawasan tinggi.

"Kami kemudian tunggu air surut dengan harapan dapat berjalan balik ke rumah, namun kami mendapati paras air semakin tinggi," katanya melalui WhatsApp kepada Bernama.

Melihat rumah mereka semakin ditenggelami air, Raynu dan ibunya tidak ada pilihan melainkan menuju ke tempat selamat, meninggalkan segala milik mereka termasuk kucing peliharaan di rumah. (Kucing mereka selamat, ditemukan tiga hari kemudian).

Beliau berkata, apabila kembali ke rumah pada 23 Disember lalu, semua barangan di tingkat bawah rumah sudah musnah, manakala kawasan kejiranannya pula ibarat 'medan perang.'

Setakat 27 Disember lalu, pihak berkuasa mengesahkan 25 orang termasuk dua sukarelawan terkorban dalam bencana itu di Selangor, manakala puluhan ribu lagi terpaksa dipindahkan.

Ratusan penduduk dilaporkan terperangkap di atas bumbung atau tingkat atas kediaman mereka tanpa makanan dan elektrik selama lebih sehari.

Ironinya, Selangor dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negeri paling bersedia untuk menghadapi bencana di Malaysia, kata pakar kesiapsiagaan, Dr Khamarrul Azahari Razak.

Justeru, apakah yang sebenarnya berlaku?

"Apa yang berlaku (pada 18 Disember lalu) adalah impak perubahan iklim dan akibat cuaca ekstrem pada hari berkenaan. Perlu diingat, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran, dan… (perubahan cuaca) berlaku sekelip mata," katanya.

Katanya, pakar termasuk beliau, menumpukan perhatian pada negeri di timur laut, menjangkakan hujan turun di sana seperti kebiasaan, namun yang berlaku ialah sistem cuaca bergerak ke barat daya, iaitu Lembah Klang.

Pihak berkuasa menuding jari pada jumlah taburan hujan - lebih 300 milimeter (mm) dalam sehari, iaitu jumlah purata sebulan - yang diburukkan lagi dengan air pasang besar, kawasan rendah, air sungai penuh dan daratan terlebih tepu.

Gabungan faktor itu tidak mampu ditampung oleh langkah-langkah tebatan banjir yang dilaksanakan.

Sekalipun saintis iklim dan pakar tempatan telah menjangkakan lebih banyak hujan dan banjir di rantau ini pada masa depan, termasuk di kawasan yang lazimnya tidak banjir, bencana 18 Disember lalu itu memeranjatkan ramai pakar.

"Jujur saya katakan, selama lebih 30 tahun saya berkhidmat, saya tidak pernah melihat banjir seteruk itu di Kuala Langat mahupun Shah Alam," kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali melalui WhatsApp kepada Bernama.

Walaupun penduduk sudah terbiasa dengan kejadian banjir di kawasan rendah di Lembah Klang, khususnya di kawasan berdekatan sungai, tidak ramai yang menyangka kawasan terbabit masih ditenggelami air selepas berhari-hari hujan berhenti.

Antara keadaan pada hari ke-4 banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Osman Adnan
Antara keadaan pada hari ke-4 banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Osman Adnan

Di Kampung Tengah, air hanya surut selepas seminggu, manakala di Taman Sri Muda, pihak berkuasa terpaksa menggunakan pam untuk menyedut keluar air, membolehkan penduduk kembali ke rumah mereka lima hari kemudian.

Pakar sungai dan saliran, Dr Kalithasan Kailasam dari Global Environment Centre (GEC), berkata ketika monsun yang bermakna sungai dan empangan dipenuhi air, menyukarkan lagi banjir untuk surut, malah mungkin kembali memasuki rumah.

"Keadaan itu disebabkan aliran balik," jelasnya.

Sementara itu pada 27 Disember lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata berdasarkan jumlah hujan pada 18 dan 19 Disember lalu yang dua kali ganda jumlah taburan hujan purata bagi Disember, sebarang projek tadahan air pada masa akan datang perlu berkemampuan menampung 300 hingga 400mm air pada bila-bila masa.

Susulan bencana berkenaan, masyarakat kini ingin tahu langkah-langkah yang diambil bagi memastikan bah besar di Lembah Klang itu tidak berulang.

Mitigasi banjir mempunyai dua bahagian, iaitu struktur dan bukan struktur.

Pakar berkata, dengan menambah baik langkah tebatan banjir struktur seperti meningkatkan jumlah dan kapasiti kolam tadahan, empangan, tetambak serta lencongan, ia akan membantu Lembah Klang dan Malaysia amnya mendepani ancaman perubahan iklim.

Bagi penyelesaian bukan struktur pula, pakar dan masyarakat berkata, kerajaan negeri serta Persekutuan harus menambah baik tindak balas dan pengurusan bencana masing-masing.

Raynu memaklumkan setahu beliau, jiran serta rakannya yang terperangkap dalam banjir di Taman Sri Muda diselamatkan oleh sukarelawan, bukan pihak berkuasa.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku atau setidak-tidaknya diuruskan dengan lebih baik oleh pihak berkuasa. Bagi saya, perkara ini merupakan satu kegagalan yang besar pihak berkuasa," katanya.

Laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana dan Pusat Kesiapsiagaan Bencana Asia pada 2020 mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Malaysia, menyifatkan sistem pengurusan bencana negara yang secara berpusat atau dari atas ke bawah itu sebagai tidak cekap dan ketinggalan zaman.

"Tidak dapat dielakkan ketiadaan fleksibiliti (dalam sistem pengurusan bencana dari atas ke bawah) menjadikan sistem itu tidak berguna apabila berdepan cabaran abad ke-21, di mana maklumat dari bawah ke atas memainkan peranan penting dengan revolusi media sosial dan kesedaran dalam kalangan orang awam akan memberi impak terhadap reputasi dan nama baik kerajaan," menurut laporan itu.

Dr Khamarrul yang juga Exco MERCY Malaysia, mengesyorkan pelaksanaan sistem terpencar dan menambah, sistem pengurusan bencana yang berkesan bermakna membabitkan semua pihak berkuasa tempatan dan negeri.

"Jika anda memperkukuh kerajaan tempatan - kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan - anda sebenarnya menambah baik keseluruhan jentera dalam pengurusan bencana, berbanding dengan hanya bergantung pada NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara)," katanya.

NADMA ditubuhkan pada 2015. Pada 5 Oktober lalu, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Aminuddin Hassim, dilaporkan berkata agensi itu sedang menggubal dasar pengurangan risiko. Beliau bagaimanapun tidak memberi maklum balas apabila ditanya berkenaan perkembangan dasar itu.

Pendekatan dari bawah ke atas juga harus membabitkan orang awam.

Kalithasan yang juga Pengurus Penjagaan Sungai bagi GEC, berharap kejadian banjir itu akan menyedarkan orang ramai, kerana mereka mempunyai peranan penting dalam mengurus dan mempersiapkan persediaan menghadapi bencana.

"Kita harus berpandu kepada model perubahan iklim 2021 yang tidak boleh diduga. Kita berdepan kemungkinan banjir boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa, tidak seperti musim monsun sebelum ini, iaitu bah pada Disember hanya berlaku di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Pakar berkata, perubahan bukan struktur lain yang boleh diambil ialah melarang pembangunan di kawasan dataran banjir, memastikan pembangunan lestari dan memperkukuh perundangan serta memperketat syarat pembangunan.

Nor Hisham yang juga bekas Ketua Pengarah Pengairan dan Saliran, berkata dataran banjir tidak harus dibangunkan.

"Di sesetengah kawasan, dulu kenapa buat?" soal beliau.

Namun jika ada keperluan untuk dibangunkan, pakar berkata, syarat yang ditetapkan harus mengambil kira kesan perubahan iklim seperti jumlah taburan hujan yang lebih tinggi dan kejadian cuaca melampau.

Aktiviti penebangan hutan juga perlu dikenakan sekatan lebih ketat, dan pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dalam soal peraturan serta tidak meluluskan sebarang pembangunan yang gagal memenuhi syarat.

Pakar pengurusan alam sekitar, Prof Madya Dr Mohd Khairul Amri Kamaruddin dari Universiti Sultan Zainal Abidin bagaimanapun berkata tidak perlu dihentikan terus pembangunan, sebaliknya pastikan aktiviti itu dijalankan secara bersama dengan usaha pemuliharaan.

"Kita jaga. Kita buat sebagai ekopelancongan yang mana kita boleh bangunkan balik (hutan), boleh kembalikan duit ekopelancongan itu tadi kepada ekonomi masyarakat setempat dan sebagainya," katanya.

Nor Hisham yang bersetuju dengan saranan itu berkata, apa juga pembangunan yang dilakukan, pastikan projek tidak mengganggu proses kitaran hidrologi atau proses semula jadi sungai.

"Usaha menggemblengkan pembangunan dan alam semula jadi, di mana sistem semula jadi tidak diganggu dan pada masa sama komuniti manusia juga boleh berkembang, mesti dilaksanakan.

"Kaedah ini amat penting bagi masa depan sesebuah negara yang menerima banyak hujan seperti negara kita ini," katanya. – BERNAMA

Ahad, 5 September 2021

Ivermectin & jangkitan Covid-19

 

RAMAI menyokong penggunaan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 dan beranggapan ia wajar digunakan sepanjang pandemik ini.

Bahkan, ada yang mendakwa, menjadi kesalahan jenayah apabila tidak menggunakan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19.

Satu lagi kenyataan agak baharu dengan menyatakan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang meluluskan ubat-ubatan tidak perlu menggunakan percubaan terkawal secara rawak (RCT).

Ini bermakna perawat sudah boleh menggunakan Ivermectin hanya berdasarkan bukti kukuh (substantial evidence).

Pegawai Perubatan Klinik Assalam Bangi Dr Mohd Syihabuddin Mohd berkata, berkaitan garis panduan FDA, memang terdapat garis panduan berkenaan bukti yang kukuh.

Menurutnya, pertama, garis panduan ini adalah untuk kegunaan industri sejak 1960-an dikeluarkan oleh kongres di Amerika Syarikat dan terdapat perubahan demi perubahan sepanjang tempoh itu hingga kini.

"Kemudian, ia dikumpul dalam satu dokumen dinamakan 'Demonstrating Substantial Evidence of Effectiveness for Human Drug and Biological Products Guidance for Industry'.

"Saya mendapat maklumat daripada satu webinar dan mendapati ada salah guna dalam garis panduan FDA ini.

"Kononnya, ada dakwaan mengatakan bahawa FDA tidak memerlukan satu kajian berkualiti iaitu RCT dalam garis panduan ini. Adakah dakwaan itu betul?" katanya.

Menurut Dr Mohd Syihabuddin, Seksyen 2 dan 3 garis panduan FDA ini ada menggariskan dengan jelas, satu bentuk kajian mempunyai 'randomization', 'blinding', analisis terperinci dan sebagainya yang ia membawa maksud sebuah kajian mewakili RCT.

"Pada pendapat saya, menuduh FDA tidak memerlukan RCT dalam sesuatu penyiasatan ubat adalah satu dakwaan yang tidak berasas," katanya.

STRUKTUR kimia Avermectin.
STRUKTUR kimia Avermectin.

Dr Mohd Syihabuddin berkata, golongan yang menggunakan garis panduan FDA ini merujuk kepada Seksyen 4B bahagian tiga, ia ada menyatakan mengenai 'compelling evidence' apabila berlaku keadaan kita bertemu dengan hanya satu kajian yang mengatakan Ivermectin berkesan dalam rawatan Covid-19.

"Apabila meneliti secara lebih menyeluruh, apa yang saya faham ialah golongan menyokong Ivermectin mahu merujuk penggunaan ubat ini daripada sudut pencegahan jangkitan Covid-19 dan merujuk kepada kajian Shouman.

"Saya ada menghubungi pakar perubatan yang mengetuai kajian dimaksudkan mereka, dari Universiti Zagazig, Mesir, Prof Waheed Shouman, untuk bertanyakan mengenai kajian RCT dilakukannya," katanya.

Menurut Dr Mohd Syihabuddin, subjek kajian itu adalah kontak rapat kepada pesakit indeks (pesakit Covid-19) yang disahkan dengan ujian 'Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction' (RT-PCR).

Kata beliau, dalam kalangan kontak rapat ini, ada yang mengambil Ivermectin dan sebaliknya.

MASIH ada mempercayai Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19.
MASIH ada mempercayai Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19.

"Kajian itu pula untuk melihat, adakah ubat berkenaan boleh mengelakkan gejala Covid atau sebaliknya, sebagai membawa maksud adakah Ivermectin boleh mencegah jangkitan Covid-19.

"Waheed turut melakukan imbasan tomografi beresolusi tinggi (HRCT) pada paru-paru dan mendapati Ivermectin berkesan merawat pesakit Covid-19," katanya.

Dr Mohd Syihabuddin berkata, bagaimanapun, terdapat masalah dengan kajian dilakukan Waheed.

Kata Dr Mohd Syihabuddin, pertama kajian itu tidak menggunakan ujian RT-PCR.

Ada orang berhujah mengatakan RT-PCR hanyalah 'Emergency Use Authorization' (EUA) dan bukan standard yang tepat.

"Ujian RT-PCR mempunyai ketepatan sehingga 99 peratus apabila ujian ini dilakukan tiga kali berbanding HRCT iaitu 87 peratus.

"Berdasarkan sebuah kajian kultur virus, daripada 83 sampel kajian, didapati ketepatan RT-PCR adalah 100 peratus," katanya.

Menurut Dr Mohd Syihabuddin, pihak berkaitan tidak boleh merujuk Shouman sebagai satu-satunya kajian pencegahan Covid-19 menggunakan Ivermectin dengan merujuk Seksyen 4b(3) apabila berjumpa hanya satu kajian yang kukuh.

Katanya, ini kerana terdapat satu kajian lain di Singapura yang menggunakan Ivermectin dalam sudut pencegahan membabitkan lebih 3,000 pekerja asing dalam sebuah asrama 40 tingkat.

"Dalam kajian ini, empat jenis ubat dikaji iaitu 'hydroxychloroquine', vitamin C, 'povidone iodine throat spray' dan Ivermectin. Dapatan kajian mendapati Ivermectin tidak berkesan.

IVERMECTIN sesuai untuk haiwan dijangkiti parasit.
IVERMECTIN sesuai untuk haiwan dijangkiti parasit.

"Kenyataan mengatakan bahawa jika menurut FDA, maka boleh digunakan sesuatu rawatan itu berdasarkan bukti kukuh hanya boleh diguna pakai jika tiada bukti yang bertembung.

"Hasil kajian Univesiti Zagazig bertembung dengan hasil kajian dari Singapura yang menunjukkan Ivermectin tidak berkesan sebagai pencegahan jangkitan Covid-19," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry berkata, asal usul Ivermectin pada awalnya ditemui dalam pencarian antibiotik baharu sebagai bahan untuk penggalak pertumbuhan haiwan ternakan dan kesesuaian sama ada bahan kimia baharu ini boleh menjadi antibiotik umum atau tidak.

Jelasnya, sebenarnya, penyelidikan awal dijalankan di Jepun dan ia adalah molekul atau bahan kimia ubat paling awal ditemui di negara matahari terbit itu.

"Penyelidik menjumpai satu jenis kulat (streptomyces avermitilis) yang hanya diperoleh di tanah Jepun dan ia menghasilkan satu bahan boleh bertindak terhadap mikro organisme lain.

"Pembangunan molekul itu diteruskan melalui kerjasama 'Tokyo Kitasato Institute' dengan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat. Hasil kajian ini menemui molekul pertama iaitu Avermectin," katanya.

Beliau berkata, Prof Satoshi Omura dari Kitasato Institute yang menjumpai molekul Avermectin mendapati, walaupun molekul ubat ini hampir serupa dengan antibiotik seperti eritromisin atau antifungal, tidak dapat menunjukkan kesan Avermectin sebagai antibakteria serta antifungal.

"Ini mungkin punca utama mengapa Ivermectin tidak pernah didaftarkan sebagai antibiotik.

"Oleh itu, penggunaan Ivermectin ini lebih tertumpu sebagai antiparasit dan apabila diuji, memang inilah fungsi utama Ivermectin," katanya.

Dr Mohd Makmor berkata, Ivermectin diperkenalkan sebagai produk kesihatan haiwan pada 1981 kerana ia sangat berkesan untuk pelbagai infestasi parasit seperti cacing gelang, cacing peparu dan kutu.

"Kemudian, pada pertengahan 1970-an, penyakit tropika terabai menjadi agenda kepada komuniti perubatan antarabangsa.

"Contoh penyakit tropika terabai ialah masalah kecacingan filariasis. Pada masa itu, tidak ada syarikat farmaseutikal yang berminat mencari ubat untuk masalah ini kerana tidak ramai mengalaminya.

"Jika Ivermectin digunakan membabitkan penyakit ini, ia mungkin tidak memberi sebarang keuntungan kepada industri farmaseutikal," katanya.

Beliau berkata, kajian terhadap Ivermectin mula giat dilakukan pada 1978 terhadap kuda yang dijangkiti sejenis cacing dan terbukti ia sangat berkesan.

-myMetro

Rabu, 18 Ogos 2021

Jom kenali siapa Taliban di Afghanistan


Selepas 20 tahun, Taliban kembali menguasai Afghanistan dengan menawan Kabul. Presiden Ashraf Ghani meletak jawatan dan melarikan diri. 

Benda ini dah dijangka apabila Joe Biden mengumumkan pengunduran tentera US pada Mei lepas.

Persoalannya, kenapa Taliban ini kental sangat?

Sebabnya, Taliban tak pernah dihapuskan daripada Afghanistan. Malah ia disokong sebahagian besar masyarakat Afghanistan.

Nak faham fenomena Taliban, kena faham demografi Afghanistan.

Afghanistan adalah negara berbilang kaum. Kaum terbesar iaitu Pashtun mewakili 42% populasi, diikuti oleh Tajik (27%), Hazara (9%), Uzbek (9%), Turkmen (3%) dan lain-lain.

Di Pakistan pun ada ramai Pashtun (15% populasi). Macam Malala Yousafzai tu adalah Pashtun. PM Pakistan sekarang, Imran Khan juga seorang Pashtun. 

Pashtun boleh dibahagikan kepada 5 kabilah ("tribal confederation") utama iaitu Ghilzai, Durrani, Karlanri, Sarbani dan Gharghashti. Di bawah setiap kabilah ni ada banyak suku. Macam Ashraf Ghani tu dari suku Ahmadzai bawah Ghilzai. Pemimpin Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar dari suku Popalzai bawah Durrani.

Pashtun memegang tampuk politik sejak penubuhan negara Afghanistan. Suku Abdali (nama lama Durrani) mengasaskan Dinasti Durrani, kemudian digantikan oleh Dinasti Barakzai. Raja Barakzai terakhir, Zahir Shah digulingkan oleh sepupunya Daoud Khan pada tahun 1973.

Daoud Khan mendirikan Republik Afghanistan. Tak lama kemudian, dia digulingkan dan dibunuh oleh komunis pada 1978. Komunis kemudian bergaduh sesama sendiri, memberi Soviet (Rusia) peluang untuk memasuki Afghanistan pada tahun 1979.

Kaum-kaum di Afghanistan masing-masing menubuhkan militia dan melancarkan jihad menentang Soviet. Kebanyakan Pashtun berjuang di bawah kumpulan bernama Hezb-i Islami, Tajik bawah Jamiat-e Islami. Hazara, Uzbek, Turkmen pun masing-masing ada kumpulan sendiri. Walaupun semua dikenali sebagai "mujahideen", bukan semua sehaluan.

Selepas Soviet berundur daripada Afghanistan pada 1989, golongan mujahideen ini meneruskan perang terhadap kerajaan komunis. Kerajaan komunis tumbang pada 1992, digantikan dengan Negara Islam Afghanistan. Burhanuddin Rabbani (seorang Tajik) daripada Jamiat-e Islami menjadi presiden, menimbulkan ketidakpuashatian Pashtun terutamanya Gulbuddin Hekmatyar dari Hezb-i Islami. Perang saudara meletus.

Kegagalan Hekmatyar untuk merampas kuasa menyebabkan Pashtun mengalih sokongan kepada kumpulan Taliban yang diasaskan oleh Mullah Omar. Ahli kumpulan Taliban kebanyakannya adalah lepasan sekolah Darul Uloom Haqqania di Pakistan yang mengikut aliran Deobandi ("Taliban" bermaksud murid) yang sangat strict dalam tafsiran dan amalan agama (Barat panggil "fundamentalist").

Orang Pashtun luar bandar yang lebih konservatif tertarik dengan Taliban, terutamanya Ghilzai yang merupakan kabilah terbesar. Antara "sumbangan" Taliban ialah pembersihan amalan "bacha bazi" (budak lelaki dijadikan penari dan hamba nafsu golongan warlord). 

Dengan itu, Taliban dengan pantas menawan 90% wilayah Afghanistan dan menawan Kabul pada 1996. Ada juga yang melihat sokongan Pakistan sebagai faktor kejayaan Taliban.

Cuma bagi kaum bukan Pashtun, Taliban terlampau konservatif. Wanita dilarang bersekolah dan bersosial. Muzik dan hiburan juga diharamkan. Taliban juga memusuhi Hazara yang berhaluan Syiah dan melakukan pembantaian besar-besaran ke atas Hazara.

Jadi Tajik, Hazara dan Uzbek menubuhkan kerajaan "Northern Alliance" di utara, disokong oleh Pashtun bandar yang lebih liberal dan progresif (kebanyakannya dari kabilah Durrani, macam Hamid Karzai). Kerajaan Northern Alliance ini diiktiraf oleh majoriti negara.  Taliban hanya diiktiraf 3 negara iaitu Pakistan, Saudi dan UAE.

Pada 2001, US menyerang Taliban atas alasan melindungi Al-Qaeda (Osama kenal Mullah Omar semasa jihad melawan Soviet). Selepas Taliban jatuh, Northern Alliance mendirikan kerajaan di Kabul. Hamid Karzai menjadi presiden pertama "Afghanistan Baharu". Mullah Omar dan saki-baki Taliban melarikan diri dan berlindung di kawasan Pashtun di sempadan Afghanistan-Pakistan, tunggu masa untuk bangkit balik.

Pashtun tidak begitu senang dengan kerajaan baharu. Walaupun Hamid Karzai adalah Pashtun, jawatan naib presiden pertama dan kedua dipegang Tajik dan Hazara. Banyak reform berkaitan hak wanita dianggap bertentangan dengan nilai Pashtun, apatah lagi ia dilakukan oleh kerajaan yang didirikan oleh penceroboh luar. Jadi kerajaan Karzai tidak mempunyai keabsahan di mata kebanyakan Pashtun.

Jadi bermula 2006, Taliban kembali aktif (media panggil "neo-Taliban"). Ancaman neo-Taliban membuat Obama decide untuk menamatkan Perang Iraq seawal 2011 dan fokus untuk memerangi Taliban dan Al-Qaeda.

Mula-mula strategi Obama nampak hasil. Tapi kebangkitan ISIS di Iraq pada tahun 2014 memaksa US divert sumber dan tenaganya. Taliban mengambil kesempatan untuk regroup. malah Taliban juga rekrut kaum bukan Taliban (termasuk Tajik dan Hazara) yang kurang berpuas hati dengan kerajaan Karzai yang korup dan incompetent.

Kemudian, datang pula Trump yang menentang campur tangan US di Iraq dan juga Afghanistan. Trump memulakan pelan pengunduran tentera US, diteruskan oleh Biden. Tindakan US ini menjatuhkan morale kerajaan Afghanistan dan menaikkan morale Taliban, membawa kepada kemenangan demi kemenangan Taliban.

Taliban hari pun ada beza sikit dengan Taliban yang dulu. Mengambil pengajaran lepas, Taliban sedar dasar isolasionis semasa 1996-2001 menjadi punca kejatuhannya dulu. Jadi sekarang Taliban rajin nak berbaik-baik dengan China, dengan UK, dengan Iran, demi menunjukkan bahawa diorang juga bersifat diplomatik, bertamadun dan pragmatik, supaya kerajaan Taliban diiktiraf oleh lebih banyak negara.

Dan itu mungkin akan sedikit sebanyak mempengaruhi Taliban untuk bersifat lebih terbuka (terutamanya berkaitan isu hak wanita), walaupun terasnya masih Pashtun-Deobandi yang ultra-konservatif.

Pengalaman Afghanistan 2001-2021 adalah contoh di mana reform yang tidak mempunyai keabsahan di mata majoriti tidak akan bertahan lama, tak kira betapa bagus reform yang dilakukan. 

Apabila sebahagian besar masyarakat meragui "Afghanistan Baharu" yang dianggap mengancam dan menghakis kaum majoriti, itu membolehkan Taliban yang merupakan "reactionary forces" kembali berkuasa.

(awal upload hari ini sebab takut nanti orang busy cerita benda lain).

Penulis Asal Aiman Rasydan Wong.

TERKINI:

Kenyataan baru dari Taliban:

🛑 Menanam pokok dadah, menjual atau mempromosikan penjualan dadah, mulai sekarang akan menjadi hukuman mati.

🛑 Semua persengketaan darah dibatalkan. Mulai sekarang, semua perselisihan akan melalui pengadilan Syariah Islam, tidak ada lagi cara yang sah untuk menyelesaikan perselisihan selain pengadilan Syariah Islam. 

🛑 Kami menjemput jurutera, doktor dan profesional lain dari seluruh dunia untuk membina semula Afghanistan. Kami menjamin mereka gaji yang tinggi.

🛑 Mulai sekarang, memberitahu nasib, mantra cinta, ramalan, syirik di kubur akan dikenakan hukuman berat.

🛑 Rasuah, keganasan terhadap lelaki muda, akan dihukum bunuh. Emiriah Islam Afghanistan akan menghukum pesta sumpah dengan teruk.

🛑 Wanita bebas untuk meninggalkan rumah berseorangan, tetapi hijab menjadi satu kemestian!

🛑 Emiriah Islam Afghanistan melarang sebarang jenis aktiviti yang berkaitan dengan faedah, semua hutang dan faedah dibatalkan.