Selasa, 12 Oktober 2021

Syarikat ingkar, cuai periksa sijil vaksinasi penumpang boleh dikenakan tindakan

Ka Siong melawat lokasi kebakaran di Kampung Baru Karak, hari ini. - FOTO BERNAMA
Ka Siong melawat lokasi kebakaran di Kampung Baru Karak, hari ini. - FOTO BERNAMA

BENTONG: Syarikat perkhidmatan pengangkutan awam yang ingkar atau cuai dalam memastikan penumpang dibawa sudah lengkap vaksinasi COVID-19 untuk perjalanan merentas negeri, boleh dikenakan tindakan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata arahan khusus untuk memeriksa sijil vaksinasi berkenaan telah dikeluarkan kepada semua pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam sama ada darat, udara mahupun maritim selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan semula, mulai semalam.

"Agensi penguatkuasaan boleh membuat pemeriksaan, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat pemeriksaan rawak terhadap bas untuk memastikan semua penumpang mematuhi syarat ditetapkan.

"Pemeriksaan ini (sijil vaksinasi) juga tidak membabitkan kos tambahan pada pengusaha syarikat pengangkutan, sebaliknya menambah keyakinan penumpang untuk melakukan perjalanan jarak jauh dengan menaiki pengangkutan awam," katanya.

 Ka Siong berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, dan bekas Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Media sebelum ini melaporkan Ka Siong berkata, pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam diminta memastikan penumpang dibawa sudah lengkap vaksinasi seperti ditetapkan bawah prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan merentas negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak itu dikecualikan bayaran untuk mendapatkan lesen memandu yang musnah dalam insiden berkenaan, bagi meringankan beban mereka.

"Kita sudah membawa unit bergerak JPJ ke sini bagi membantu penduduk berhubung perkara terbabit.

"Jika masih belum membuat permohonan mendapatkan penggantian, mereka boleh ke pejabat JPJ terdekat dan mengemukakan laporan polis," katanya.

Dalam kebakaran kira-kira jam 9 malam 1 Oktober lalu, sebanyak 51 rumah dan sembilan unit kedai musnah.

Punca kejadian masih dalam siasatan, setakat ini. – BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan