Kuala Lumpur: Ada yang bersimpati dan berkongsi perasaan sedih terhadap kesusahan yang menimpa artis pujaan mereka.
Namun, sebaliknya tidak kurang juga yang mengeji dan melahirkan pelbagai kata-kata kurang manis dan keterlaluan.
Itu hakikat yang perlu ditelan oleh lima penggiat seni iaitu Man Kidal, Ali XPDC, Shima, To'ki dan Alina Hassan yang kini berstatus asnaf.
Mereka yang pernah meniti zaman kegemilangan suatu ketika dulu kini berdepan kesukaran hidup akibat masalah populariti yang merudum, kewangan, kesihatan, kemalangan dan jangkitan virus Covid-19.
Penularan Covid-19 dan insiden melecur 30 peratus di tangan dan muka selepas disambar api pada 26 Mac tahun lalu mengubah hidup penyanyi kumpulan XPDC, Ali, 53.
Ali kemudian dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang membantunya mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menampung perbelanjaan mendapatkan rawatan selain kehilangan pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Sejak itu Ali yang mempunyai lima anak bergelar asnaf dan bantuan kekal diberikan sehingga sekarang.
"Syukur LZS berikan bantuan sebanyak RM600 sebulan. Ia amat diperlukan untuk rawatan saya sebelum ini dan kelangsungan hidup," katanya.
Kos rawatan Ali yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2 September lalu kerana masalah semput dan lemah jantung sebanyak RM2,500 turut ditanggung LZS.
"Tak sangka mereka akan selesaikan kos sampai jumlah itu. Saya memang tiada wang untuk rawatan. Pengerusi Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) bawa saya ke PPUM dan sanggup tanggung kos sebab keadaan saya yang teruk," katanya.
Ali berkata, dia sebenarnya berpeluang untuk menghasilkan drama dalam projek membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan anggaran kos RM15,000 namun tidak sempat berbuat demikian kerana masalah kesihatan.
"Saya tak sempat buat pitching kerana kebetulan hari itu saya dimasukkan ke wad. Insya-Allah pada lain masa saya boleh lagi bekerjasama dengan mereka.
"Saya akan terus terima bantuan LZS kecuali apabila saya boleh berdikari semula. Selepas itu saya pasti akan beritahu mereka. Apabila keadaan sudah kembali biasa, kitalah pula bayar zakat.
"Doakanlah semoga dugaan ini akan berakhir. Orang nak cakap biarlah. Kalau nak dengar sangat memang jenuhlah," katanya
Menurutnya, terdapat juga segelintir pihak mempertikaikan bantuan zakat yang diterimanya sedangkan dia memiliki kereta jenama mahal.
Namun, Ali menjelaskan kereta terbabit dihadiahkan kepadanya oleh satu pihak membabitkan projek bersama XPDC sebelum ini.
Alina pasrah kehidupan tidak seperti orang lain
Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018, Alina Hassan, 53, mula dikategorikan asnaf sejak Julai tahun lalu.
Alina yang tinggal bersendirian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak menerima bantuan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM300 sebulan dan memperuntukkan RM124 untuk sewa rumah sebulan dan selebihnya untuk keperluan lain.
Alina ketika dihubungi berkata, dia reda dengan nasibnya dan bahagia meneruskan kehidupannya biarpun tidak seperti orang lain.
"Saya bersyukur kerana dibantu MAIWP bagi meneruskan kehidupan. Tempoh bantuan yang diberikan selama setahun dan kemudian akan disambung sekiranya saya masih memerlukannya.
"Saya juga lega kerana tiada kecaman dilemparkan mana-mana pihak dengan keadaan saya. Jiran-jiran pun okey, malah saya sering dapat sumbangan makanan daripada pelbagai pihak di situ.
"Rakan-rakan artis seperti Ifa Raziah pun kerap bantu, manakala Didie Alias pula rajin telefon bertanya khabar. Itu pun dah mencukupi. Jadi, tidaklah saya rasa tersisih," katanya.
Sebelum ini, Alina pernah mengambil upah membeli barangan keperluan harian bagi penduduk di sekitar tempat tinggal lamanya di Setapak selain mengambil upah mencuci dan melipat pakaian serta mengasuh anak.
Kini, Alina mengajar mengaji untuk anak-anak jiran berusia lima hingga enam tahun di rumahnya tanpa mengenakan bayaran.
Alina mengakui mempunyai cita-cita untuk keluar dari kepompong sebagai asnaf.
"Dah tentu saya nak keluar dari asnaf ini. Sesiapa saja akan ada cita-cita itu. Bukan selamanya saya nak dibantu. Sampai masa, saya nak tolong orang lain pula.
"Alhamdulillah bukan nak cakap besar, tapi dengan apa yang ada, saya boleh bantu orang lain juga. Syukur sangat-sangat. Anak-anak pun dah pandai tak minta lebih-lebih kerana faham keadaan saya," katanya yang berhasrat membawa dua daripada tiga anaknya tinggal bersama selepas ini.
Air mata Man Kidal gugur kenang nasib
Pemain gitar terkenal, Man Kidal pula mengalirkan air mata selepas berdepan kesempitan hidup akibat tidak bekerja hampir dua tahun selain positif Covid-19 bersama isterinya, Norlaila Yusof pada Julai lalu.
Penderitaannya mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mengkategorikannya sebagai asnaf sementara.
Isterinya Norlaila Yusof berkata, mereka amat bersyukur kerana diberikan bantuan untuk tempoh setahun.
"LZS bagus kerana ambil berat berkenaan artis. Ramai artis menolak apabila nak dibantu dengan alasan malu nanti keluar akhbar. Apa nak malu dah memang kita susah.
"Bukanlah kami susah sampai tak makan langsung tapi mereka bantu dari segi kos sara hidup. Lagipun abang Man memang tiada tawaran persembahan buat masa ini," katanya kepada Harian Metro.
Norlaila berkata, mereka menyerahkan kepada LZS berkenaan status mereka selepas ini.
"Semuanya atas kita. Kalau kita dah okay, kita cakap jujurlah. Kalau dah boleh kerja semula dan pendapatan stabil, kami pasti serahkan kepada LZS untuk menilai.
"Namun, buat masa ini memang tiada pendapatan. Mereka pun faham keadaan kami. Mereka tolong apa yang patut dan bantu berikan wang bulanan serta bayarkan rumah.
"Kita minta pun bukan untuk selama-lamanya. Kalau dah okay kita pulang balik dan bagilah pada orang lain pula," katanya bersyukur kerana kata-kata cemuhan masyarakat sudah tiada.
-myMetro