PRN MELAKA | Nampaknya hampir pasti perebutan kerusi DUN Melaka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Umno.
Hari ini Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dengan tegas memberitahu mereka tidak boleh terus dibiarkan menunggu-nunggu keputusan Umno - dan BN seperti dinyatakan Ahmad Zahid Hamidi - untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.
Setakat hari ini, kata Muhyiddin, Umno belum menunjukkan sebarang petanda sama ada mahu bertanding sendiri atau bekerjasama dengan PN sedangkan keputusan perlu dibuat segera.
“Justeru, saya kata hari ini kita buat keputusan, kita akan bertanding tiga penjuru.
"Ini ketegasan kita kerana kita mesti buat keputusan begitu dalam usaha hendak mengatur strategi menghadapi PRN," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Bekas perdana menteri itu dipetik berkata demikian semasa menghadiri majlis makan tengah hari PN di Ayer Keroh, Melaka. Turut hadir Pengerusi PN Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen dan Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Rina Harun.
Tambah Muhyiddin dia "cukup berpengalaman" dalam menghadapi pilihan raya dan jika dibiarkan menunggu lama, pelbagai gerak kerja akan terganggu dan ahli di peringkat bawahan kehilangan arah.
Sedang cari jalan terbaik
Katanya jika terus menanti keputusan Umno juga, katanya, ada kemungkinan parti terbabit membuat persiapan sendiri.
“Kenapa kita masih belum buat sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi dalam PN? Sebab kita nak menunggu.
"Sampai bila kita nak menunggu dalam kita menunggu nanti dia (UMNO) sudah buat persiapan," katanya.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata dia sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Umno tetapi hampa kerana tempoh masa yang begitu lama berlalu namun belum ada keputusan diambil.
Sementara itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan masih yakin pertembungan tiga penjuru masih boleh dielakkan berdasarkan kepada kedudukan BN dan PN menjadi kerajaan pusat.
“Tidak ada pertembungan lagi sekarang ini, tak ada pertembungan,” katanya dipetik portal Free Malaysia Today di Bangi hari ini.
Kata ahli parlimen Kota Bharu itu lagi PN sentiasa melakukan perbincangan dalam kerajaan bagi mencari jalan terbaik "untuk negara dan rakyat."
Dia juga memberitahu PAS belum membuat keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi di Melaka pada bulan depan kerana sedang mencari jalan terbaik.
“Kita dalam proses berbincang, belum diputuskan lagi kita sedang cari jalan terbaik,” katanya.
-malaysiakini
0 comments:
Catat Ulasan