Meskipun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan 'memberi muka' kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin, tegas Khairy Jamaluddin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: “Pendekatan kita adalah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin.”
Demikian peringatan tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin khusus buat golongan antivaksin yang masih berdegil, enggan menerima vaksin COVID-19.
Menurut beliau, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan saringan secara mingguan kepada mereka dan kosnya perlu sendiri ditanggung, bukan melalui dana kerajaan.
Tegasnya, meskipun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan 'memberi muka' kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.
“Kalau anda tidak divaksin kerana masalah kesihatan, tidak mengapa. Kita akan beri pengecualian dengan memberikan e-sijil MySejahtera tapi kalau anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, kita akan ‘menyusahkan’ hidup anda.
“Kita akan terus sukarkan hidup anda, tidak boleh makan di restoran, tidak boleh pergi ke pusat beli-belah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di sini, hari ini.
Tambah beliau, isu tersebut terus dibangkitkan apabila beliau melihat wujudnya kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang gusar untuk menghantar anak mereka ke sekolah memandangkan terdapat guru yang enggan divaksin.
Vaksinasi | Dakwa segera penyebar antivaksin - KJ
“Sebab itu bila kita bincang, kita kata ia tidak boleh hanya melibatkan sektor pendidikan tapi ia juga mestilah untuk sektor awam. Sekarang ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah keluarkan pekeliling, mewajibkan penjawat awam untuk divaksinasi.
“Kita galakkan sektor lain turut melakukan perkara sama termasuk syarikat swasta. Mereka perlu ada undang-undang juga seperti kalau tidak divaksin, anda tidak boleh kembali bekerja,” ujarnya.
Astro AWANI pada Jumaat melaporkan Khairy memohon pihak berkuasa agar menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.
Menerusi muat naik di akaun Twitternya, beliau menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri sudah bertindak dengan membuat beberapa laporan polis terhadap beberapa kumpulan antivaksin.
Bagaimanapun katanya kumpulan berkenaan terus menyebarkan berita palsu yang mengancam kesihatan awam dan ia perkara yang menjengkelkan.
-AstroAwani
0 comments:
Catat Ulasan