Kuala Lumpur: Hanya enam peratus lagi untuk negara mencapai 100 peratus golongan dewasa divaksin sepenuhnya.
Melalui unjuran yang dikeluarkan COVIDNOW, Malaysia dijangka akan mencapai 100 peratus lengkap vaksin pada penghujung tahun ini iaitu pada 28 Disember ini atau 67 hari lagi.
Melalui data laman web itu juga, setakat semalam, 94.3 peratus rakyat dewasa berusia 17 tahun ke atas sudah lengkap divaksin manakala mereka yang menerima satu dos pula adalah 97.3 peratus.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan di Twitternya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang bertanggungjawab melaksanakan program vaksinasi sejak Februari lalu.
Beliau juga mengesahkan, CITF mengadakan mesyuarat terakhirnya hari ini dan vaksin vaksinasi seterusnya akan diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
"Dengan hampir 95 peratus dewasa divaksin sepenuhnya, CITF mengadakan mesyuarat terakhirnya hari ini. Terima kasih kepada semua di CITF yang menjadikan PICK satu kejayaan.
"Vaksinasi seterusnya akan berada di bawah @KKMPutrajaya dengan CITF-A (remaja) akan dipengerusikan oleh @DrNoorAzmi (Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali) dan CITF-B (dos penggalak) oleh saya," katanya yang turut memuat naik gambar bermesyuarat bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Moati) Datuk Seri Dr Adham Baba.
Data COVIDNOW turut menunjukkan, golongan dewasa yang divaksin sepenuhnya adalah seramai 22,084,594 manakala belum lengkap divaksin adalah 708,322 (tiga peratus) selain tiada vaksinasi 1,113,317 (4.8 peratus).
Sejumlah 48,673,215 dos suntikan juga sudah diberikan kepada penduduk Malaysia dengan +235,607 dos harian disuntik.
Bagi dos penggalak pula, 66,672 diberikan dengan +19,047 dos penggalak harian disuntik.
Data keseluruhan penduduk Malaysia yang lengkap divaksin adalah 71.8 peratus dan 77.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan