Selasa, 19 Oktober 2021

Isu arak Timah: Tak bantu perniagaan jika siasat aduan mengarut, kata MICCI

Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia berkata, kontroversi arak ‘Timah’ tidak sepatutnya timbul kerana jelas dinyatakan produk itu tidak halal dan pengguna perlu tahu membezakannya.

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan meneliti “aduan mengarut” tidak akan membantu perniagaan, kata Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah.

Oleh itu katanya, tiada keperluan untuk kerajaan campur tangan dalam cara peniaga menguruskan perniagaan, kecuali terbukti mereka mempunyai niat untuk menipu.

 “Jika kerajaan berterusan meneliti perniagaan dan bertindak balas terhadap aduan paling kecil, ini tidak akan membantu perniagaan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian susulan kontroversi arak jenama “Timah” yang didakwa boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna, khususnya umat Islam.

Cheah berkata, kontroversi itu tidak sepatutnya timbul kerana jelas dinyatakan produk itu tidak halal dan pengguna perlu tahu membezakannya.

“Bagaimana seseorang boleh keliru? Peraturan majlis tempatan dan perdagangan domestik menetapkan pelabelan harus dalam bahasa Melayu.

“Sekiranya saya menggunakan nama Melayu yang dinyatakan, tidak semestinya produk itu adalah produk halal,” katanya.

Terdahulu, pengurusan syarikat pengeluar arak “Timah” dalam kenyataan di Facebook menjelaskan beberapa maklumat salah yang tersebar bagi mengelakkan salah faham.

Katanya, perkataan “Timah” itu merujuk logam timah, manakala jenama “Timah Whiskey” adalah sempena perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir British.

Gambar lelaki berjanggut dengan penutup kepala pula adalah Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya minum wiski pada zaman itu.

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor dilapor menyarankan nama jenama arak “Timah” ditukar kerana ia dianggap oleh pihak tertentu sebagai penghinaan yang tidak sepatutnya berlaku.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan