Khamis, 28 Oktober 2021

Tiada had siling harga kit ujian kendiri COVID-19 - Rosol

 Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri COVID-19.

Harga kit berkenaan akan ditentukan pasaran selepas KPDNHEP mendapat jaminan daripada syarikat pengeluar bahawa kit berkenaan akan dijual dengan harga lebih murah berbanding harga siling RM19.90 ketika ini, termasuk menjualnya pada harga bawah RM10.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat yang diluluskan tanpa sebarang pindaan, hari ini.

Beliau berkata, kit kendiri COVID-19 itu akan dijual bukan saja di farmasi dan kedai ubat, tetapi akan diperluas ke pasar raya, kedai rangkaian dan stesen minyak dalam masa terdekat.

"Pada asalnya, kementerian bercadang untuk menentukan harga maksimum (kit ujian kendiri COVID-19), mungkin RM15 atau RM13, namun apabila ramai pemain industri datang dan beradvokasi dengan kita, ada yang tawarkan untuk menjualnya di bawah RM10.

"Jika dibenarkan dijual di pasaran terbuka yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), maka mereka boleh jual dengan harga lebih murah.

"Jadi, saya yakin menerusi komitmen dan janji yang dibuat pemain industri ini dan akan dikotakan pada akhir bulan ini. Jadinya kementerian beranggapan tidak perlu tentukan harga maksima, kita biarkan pasaran menentukan harganya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perihal Dagangan (Pindaan) 2021. RUU berkenaan diluluskan hari ini tanpa sebarang pindaan.

Mengenai mekanisme bagi menentukan kebolehpercayaan kit ujian kendiri yang akan dijual lebih murah itu, Rosol berkata, kit berkenaan diluluskan MDA.

"Apabila ada cop MDA, maka ia diluluskan kerajaan, jadi tiada kerisauan. Jika tidak diluluskan, maka ia menjadi satu kesalahan untuk alat itu dijual.

"Jika ada hal penipuan dan peralatan palsu, kita terbuka untuk sentiasa menyiasat," katanya.

Sementara itu, mengenai isu minuman keras jenama Timah yang sebelum ini mewujudkan suasana tidak selesa dalam kalangan umat Islam, Rosol berkata, pengeluar minuman itu sudah membuat satu komitmen untuk mengkaji semula nama berkenaan.

"Mereka memahami akan keresahan dan kerisauan umat Islam di negara ini dan ini menunjukkan Keluarga Malaysia ini cukup prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan," katanya.

Mengenai RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 yang diluluskan itu, Rosol berkata, ia adalah penambahbaikan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) supaya lebih komprehensif, bersesuaian dengan peredaran masa dan isu berbangkit masa kini.

Ia antara lain memasukkan seksyen baharu 39A ke dalam Akta 730 bagi memberikan kuasa kepada Penolong Pengawal untuk menahan mana-mana orang yang dipercayainya melakukan atau cuba melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5, 16, 17, 20 atau 51 Akta 730.

Selain itu, ia turut bertujuan memasukkan seksyen baharu 52A untuk memberikan seseorang Penolong Pengawal kuasa untuk meminda, memilih, mengambil atau mendapatkan sampel apa-apa barang bagi maksud analisis, tanpa bayaran daripada mana-mana orang yang mengilang, mengeluarkan, menjual atau mengimport barang itu atau daripada ajen atau perkhidmatannya.

"Seksyen 52A yang dicadangkan juga bertujuan untuk menjadikan suatu kesalahan jika mana-mana orang enggan untuk mematuhi apa-apa permintaan yang dibuat oleh Penolong Pengawal," katanya.

-BH Online

0 comments:

Catat Ulasan