“Ape yang jadi kat Zul lepas dia kena buang asrama, atuk? Sebab ape die kene buang asrama?”, tanya Sarah penuh debaran.
“Ddebor ork? Haha…Atuk nok stop dulu cite tu. Kite cite pasal sambutang hari-hari kebesorang Islam di Tranung.”, kata Tok Aki sambil menikmati Teh O Peng yang disediakan isterinya.
Masang catung muka Sarah bila Tok Akinya cuba mengalih topik. “Hmmm…Ikut atuklah!”, Sarah mencebik.
********************
Selain Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di Terengganu sebagaimana negeri-negeri yang lain pada era 70-an ke 80-an turut merayakan hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti Hari Raya Aidil Adha, Awal Muharram, Maulidurrasul, Isra’ Mi’raj, Nuzul Quran dan Nisfu Sya’ban. Cuma, mungkin budaya setempat sedikit membezakan bentuk keraiannya antara negeri-negeri terutamanya di Pantai Timur dan Pantai Barat.
Awal Muharram
Sambutan Awal Muharram atau Ma’al Hijrah di Terengganu pada era 70-an ke 80-an tidak semeriah 10 Muharram atau Hari Asyura. Di Kubang Kekura, Majlis Kuca Sughe[1] diadakan dengan sangat meriah. Penduduk kampung bergotong royong menyediakan sughe di rumah imam, penghulu atau orang kenamaan. Resipi sughe Pantai Timur berbeza dengan negeri-negeri lain. Antara bahan yang digunakan untuk memasak sughe adalah tumisan bawang, halia, lengkuas, daging, ikan, jagung, ayam, pucuk ubi kayu, dan nasi, selain rempah ratus. Daging yang digunakan kebiasaannya adalah lebih daging korban. Maka, ia lebih jimat dan mengelakkan pembaziran. Sughe dimasak dalam kawah selama lebih 8-9 jam sebelum diagihkan kepada penduduk kampung. Uniknya, sughe dinikmati di dalam mangkuk daripada purung nyior[2], beralaskan daun pisang. Sudunya daripada daun nanas.
Rabi’ul Awwal
Apa yang istimewanya dengan Rabi’ul Awwal di Terengganu adalah Sambutan Maulidurrasul yang dipenuhi dengan pelbagai acara-acara menarik. Antaranya adalah perarakan, ceramah agama dan Majlis Barzanji dan Marhaban dari rumah ke rumah. Di Kubang Kekura, kumpulan Barzanji dan Marhaban yang popular adalah yang dianggotai oleh kaki dikir Pok Dik, Ayoh Ngoh Toklat, Ayoh Ngoh Che Hussin, Ayoh Su Usop, Pok De We, Pok De Mok De Joh, Ayoh Nik dan beberapa orang lain.
Mereka dijemput dari kampung ke kampung untuk mempersembahkan bacaan Barzanji dan Marhaban. Kalau nasib baik, dapatlah 2-3 kumpulan bertemu dalam satu majlis. Kumpulan-kumpulan ini akan tewwah[3] bermula selepas solat Zohor, berhenti untuk Solat Asar dan biasanya tamat dengan jamuan selepas solat Asar.
Kalau hendak makan percuma, ikutlah Pok Dik dan kumpulannya. Ajuk saja Pok Dik baca berzanji. Orang lain tak dengar samada sedap atau sumbang. Asalkan ada bunyinya. Selalunya di hujung majlis ada jamuan yang enak-enak seperti gulai ayam kampung dan telur rebus yang dibelah dan ditabur lada dan garam atasnya.
Bagi pelajar dan guru, perarakan sempena Maulidurrasul menjadi aktiviti yang dinantikan. Setiap sekolah akan menghantar wakil dengan pakaian seragam berwarna-warni, sepanduk dengan tulisan khat yang cantik dan sudah pasti ada tekong yang melagukan selawat dengan suara yang sedap. Bulan Rabi’ul Awwal akan dipenuhi dengan ceramah-ceramah di sejik dan balasoh. Sekali sekala, penceramah daripada Kuala Lumpur akan dijemput. Bila orang KL datang ceramah, memang jemaah penuh sampai ke luar.
Sesungguhnya, sambutan Maulidurrasul adalah sambutan yang amat baik bagi mengingatkan umat Islam khususnya generasi muda kepada Rasulullah SAW. Syeikh Abdul Halim Mahmud pernah menghuraikan dalam fatwanya berkenaan keharusan sambutan Maulidurrasul dengan menyebut: “Sambutan Maulid Nabi SAW adalah jalan yang baik daripada sunnah-sunnah yang diisyaratkan oleh Rasul SAW dalam sabdanya: “Barangsiapa merintis jalan yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal denganya, barangsiapa yang merintis jalan yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya” Dan ianya adalah kerana terdapat usul/asas yang membimbingnya dan dalil-dalil yang sahih yang berpandukan padanya. Dan tidaklah bererti peninggalan salafussoleh bagi amalan yang soleh ini merupakan pertentangan kepada syariat, kerana salafussoleh masih mempunyai kebangkitan/keprihatinan agama dan cinta Nabi yang mulia yang mana menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada peringatan hari maulid untuk disambut.”[4]
Isra’ Mi’raj
Program sempena Isra’ Mi’raj lebih ringkas. Selalunya diisi dengan ceramah agama daripada ustaz setempat ataupun yang dijemput daripada luar. Ada penceramah yang akan membaca kitab Kifayatul Muhtaj fi al-Isra’ wa al-Mi’raj. Ia merupakan sebuah kitab kecil karangan Shaykh Dāwūd bin ʿAbdullah al-Faṭānī yang membicarakan mengenai peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang dilalui oleh Nabi Muḥammad SAW. Majlis diakhir dengan jamuan makan nasi berlauk dan pencuci mulut pilihan di Pantai Timur iaitu timung cine[5].
Nisfu Sya’ban
Kedatangan bulan Sya’aban amat diraikan oleh umat Islam kerana bulan Sya’aban merupakan bulan yang mulia, bulan beribadah dan bulan untuk memperbaiki diri. Bulan Sya’aban berada di antara dua bulan yang mulia, iaitu Rejab dan Ramadhan. Ia juga satu daripada empat bulan yang dinyatakan Allah SWT sebagai bulan yang dihormati seperti firman-Nya:
ﵟإِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرٗا فِي كِتَٰبِ ٱللَّهِ يَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡهَآ أَرۡبَعَةٌ حُرُمٞۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُۚ فَلَا تَظۡلِمُواْ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ وَقَٰتِلُواْ ٱلۡمُشۡرِكِينَ كَآفَّةٗ كَمَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ كَآفَّةٗۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَﵞ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”[6]
Lazimnya setiap kali Nisfu Sya’ban, penduduk kampung akan bergotong royong menyediakan jamuan di balasoh. Bacaan Yāsīn akan diadakan selepas Solat Maghrib sebanyak tiga kali. Imam akan berpesan agar bacaan Yāsin pertama, diniatkan untuk panjang umur bagi mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala larangan-Nya. Bacaan Yasin kedua diniatkan untuk keluasan rezeki yang halal serta diberkati. Manakala bacaan Yāsīn ketiga, diniatkan untuk ketetapan iman.
Nuzul al-Qur’an
Sambutan Nuzul al-Qur’an diadakan bagi memperingati sejarah penurunan Al-Quran kepada Nabi Muḥammad SAW. Al-Qur’an selain bacaan, ia juga adalah penawar hati dan fikiran. Ia mampu merubah atau memandu perjalanan hidup manusia, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.
Sekitar 70-an, ia jarang sekali disambut kerana umat Islam di Terengganu memfokuskan kepada ibadah solat Tarawih. Siangnya pula disibukkan dengan puasa dan amalan-amalan sunat lain. Sehinggalah lewat 80-an, barulah ia menjadi sambutan yang lazim di adakan di sejik dan balasoh.
Hari Raya Aidil Adha
Tak keterlaluan dikatakan, sambutan Aidil Adha di Pantai Timur lebih meriah daripada Aidilfitri. Setiap tahun, ibadah korban akan dijalankan samada di rumah Haji Bakar ataupun Ustaz Mad. Harga satu bahagian lembu adalah RM60 bersamaan RM450 lebih kurang, bagi seekor lembu. Penduduk kampung yang ingin menunaikan ibadah korban akan mula mengumpul wang sejak Muharram. Setelah cukup jumlahnya, mereka akan mendaftar untuk penyertaan bagi ibadah korban pada tahun berkenaan. Kebiasaannya, pendaftaran penyertaan akan selesai sebelum 10 Zulhijjah atau lebih awal. Lembu tak perlu cari jauh-jauh. Boleh pilih samada dibeli daripada peraih, ataupun mungkin orang kampung sendiri. Amat nadir melihat orang Terengganu menyembelih kerbau atau kambing.
Selepas solat sunat Aidil Adha di balasoh, penduduk Kampung Kubang Kekura akan pulang ke rumah bagi melakukan persiapan. Tukang sembelih mengasah parangnya. Tukang masak mula menumis. Tukang lapah sudah siap dengan pisau dan kapaknya. Ibu-ibu pula sibuk di dapur menyediakan Mee Goreng, Nasi Dagang, kepok, Kopi O dan Teh O secara bergotong royong untuk jamuan ketika proses melapah. Tiba saat menyembelih lembu, kanak-kanaklah paling girang. Aksi-aksi lembu itulah hiburan kanak-kanak. Tidak perlu risau siapa hendak merebahkan lembu kerana pakar pereboh ada di setiap kampung. Adakalanya tali terlucut. Pernah juga lembu yang telah disembelih, tak semena-mena bangun semula mengejar penyembelihnya. Berderailah ketawa anak-anak kecil melihat orang ramai lari khucuk.
Lembu yang selesai disembelih akan terus dilapah. Pembahagian dilaksanakan seadilnya samada sekati atau setengah kati setiap penerima. Jika tuan rumah orang berada, dapatlah merasa terus gulai kawah.
********************
Senyum mewek[7] Tok Aki keseorangan mengimbau kembali sambutan-sambutan keagamaan satu ketika dahulu.
“Atuk! Atuk…! Haish, boleh pulak die berangan.”, Sarah menggoyangkan tubuh Tok Aki. “Atuk sambunglah cepat cite Zul kena buang asrama tu…”, pinta Sarah dengan penuh harapan. Ya, siapalah tak geram. Sudah sampai klimaks cerita, tiba-tiba ubah topik!
“Ha..yelah, yelah. Atuk cite slalu…Hehe.”, Tok Aki tertawa kecil dengan gelagat cucunya.
____________________
[1] Kacau Bubur Asyura
[2] Tempurung kelapa
[3] Saling beradu
[4] Fatawa Imam Abdul Halim Mahmud, m. 273
[5] Tembikai
[6] Sūrah al-Tawbah: 36
[7] Senyum sampai ke telinga
Sumber Asal: zulkiflialbakri.com
Artikel Barkaitan:
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya
Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang
0 comments:
Catat Ulasan