Jumaat, 22 Oktober 2021

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 19 - Hari Jumaat di Madinah dan Mekah

 

Hari Khamis dan Jumaat adalah cuti hujung minggu bagi keseluruhan Arab Saudi. Sejarah bermulanya cuti hujung minggu pada hari Khamis dan Jumaat ini bermula sejak era pemerintahan Saidina Umar al-Khattab lagi. Pada ketika itu, beliau menjadikan hari Khamis dan Jumaat sebagai cuti bagi kanak-kanak yang belajar di katatib[1] setelah hari-hari lain dipenuhi dengan pengajian. [2]

Sekitar jam 11 pagi atau 12 tengahari paling lambat, Zul sudah menaiki bas yang disediakan oleh pihak universiti menuju ke Masjid Nabawi. Ada 10-15 buah bas universiti yang membawa pelajar ke sana. Suasana di Masjid Nabawi mulai penuh sekitar 1 jam sebelum Solat Jumaat atau lebih awal lagi jika bulan Ramadhan. Hari Jumaat merupakan hari yang mulia di sisi umat Islam. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan yang ada padanya. Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi SAW bersabda:

الصَّلَاةُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ، مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ

Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar.”[3]

Imam al-Nawawi menyatakan setiap yang disebut di dalam hadith tersebut boleh menghapuskan dosa sekiranya terdapat dosa kecil untuk dihapuskan. Sekiranya tidak terdapat dosa kecil atau besar maka akan dicatat baginya kebaikan dan diangkat darjatnya. Sekiranya terdapat dosa besar dan tidak terdapat dosa kecil, mudah-mudahan perkara tersebut dapat meringankan dosa besar yang dilakukan.[4]

“Sape yang jadi imam hari ni?”, tanya Taufik Tee, rakan Zul daripada Muar, Johor. “Ana dengar tadi jemaah kata, imam dan khatib hari ni Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Salih al-Salih.[5]”, jawab Zul yang baru selesai menamatkan bacaan Surah al-Kahfi sementara menunggu masuknya waktu solat. Kebetulan ketika Zul baru memasuki Universiti Islam Madinah, Syeikh ‘Abd al-Aziz bin Salih al-Salih berada di tempoh akhir perkhidmatannya. Sempatlah beberapa kali beliau solat berimamkan Syeikh.

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Salih al-Salih

Syeikh biasanya akan mengulang-ulang Surah Fussilat ayat 30-35 setiap kali gilirannya menjadi imam solat Jumaat.

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ  وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ نُزُلًا مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ  ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. (Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani! Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”

Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan mentafsirkan (إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا) dengan katanya, “Kalian ikhlaskanlah amal kerana Allah.”[6] Menurut Ibn Kathir, pendakwah yang disebutkan dalam ayat (وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ) adalah mereka yang menyeru kepada Allah SWT dalam keadaan diri mereka juga mengikut sama. Mereka menyuruh kepada hal kebaikan, mencegah kemungkaran dan mereka turut melaksanakannya. Mereka menghidupkan amal kebaikan dan juga meninggalkan syirik kepada-Nya.[7]

Bacaan Syeikh tidak terlalu berlagu sebagaimana sebahagian imam lain. Ada lenggoknya yang tersendiri. Namun setiap butir ayat al-Qur’an yang keluar daripada mulutnya seolah-olah satu persatu masuk ke dalam lubuk hati. Mungkin begitulah bacaan orang yang ikhlas melazimi al-Qur’an.

Seperti yang dijangka, khutbah Syeikh memang ditunggu ramai. Beliau tidak membaca teks, sebaliknya benar-benar berkhutbah. Syeikh adalah antara khatib yang diizinkan oleh Dewan Diraja Arab Saudi untuk berkhutbah tanpa teks. Setiap patah yang dilontarkannya dalam khutbah, amat berpengaruh dan ini menjadikannya salah seorang imam dan khatib yang disegani di bumi Madinah.

Selain beliau, Syeikh ‘Abdullah al-Zahim[8] dan Syeikh ‘Ali al-Huzaifi[9] juga antara imam dan khatib yang digemari Zul. Syeikh ‘Abdullah al-Zahim boleh dikenali dengan janggutnya yang masih hitam dan berkaca mata. Bacaannya pantas, berbeza dengan Syeikh ‘Ali al-Huzaifi yang sedikit berlagu dan senang ditiru lenggoknya.

Syeikh ‘Abdullah al-Zahim

Sesekali, Zul akan berpakat dengan Affandi, Zaini, Hilmi, Shohor Bani, Yasir, Zulazhan dan lain-lain menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Qiblatain, kurang 3 kilometer daripada Universiti Islam Madinah. Masjid Qiblatain adalah masjid bersejarah yang menjadi saksi berpindahnya kiblat umat Islam dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram.

Dalam surat Al-Baqarah ayat 144, Allah berfirman:

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ  فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا  فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ  وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ  وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ  وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Sesuai namanya, masjid ini disebut Masjid al-Qiblatain yang bererti memiliki dua kiblat. Pada awalnya masjid ini dikenal sebagai Masjid Bani Salamah, kerana ia didirikan di atas tapak rumah Bani Salamah. Masjid ini dikelilingi kebun dan begitu juga lembah al-‘Aqiq yang terbentang berhampirannya.

“Semasa Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda SAW melaksanakan solat berkiblatkan Baitul Maqdis. dengan arah kiblat ke Baitul Maqdis. Ini yang membanggakan Yahudi di Madinah. Dalam masa yang sama, Rasulullah SAW lebih senang jika dapat berkiblatkan Kaabah kerana kiblat umat Islamdi Baitul Maqdis untuk menjadi bahan persendaan orang Yahudi. Rasulullah SAW pun berdoa kepada Allah SWT agar diturunkan wahyu dari-Nya.”, begitulah penjelasan Zul kepada para pelajar baharu yang mendaftar masuk ke Universiti Islam Madinah. Zul suka menceritakan kepada rakan-rakan dan juniornya tentang sejarah bumi Madinah dan sekitarnya. Secara tak langsung, itu membantunya untuk membaca lebih banyak buku-buku berkaitan sejarah Dua Tanah Haram.

Beliau menyambung kupasannya, “Setelah lebih kurang 16 ke 17 bulan Rasulullah SAW solat menghadap ke arah Baitul Maqdis, barulah Baginda mendapatkan perintah dari Allah SWT untuk menghadap ke arah Kaabah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Rejab tahun kedua Hijrah. Peristiwa berpalingnya arah kiblat ini terjadi saat Baginda sedang menunaikan solat berjamaah di sebuah masjid di pinggiran kota Madinah. Sampai sekarang, masjid tu masih mempertahankan ada mimbar, satu menghadap ke Ka’bah dan satu lagi menghadap ke Baitul Maqdis, dan dikenali dengan nama Masjid al-Qiblatain.”

Syeikh Ismail Humaidi

“Ustaz Zul! Kalau di sini, Ustaz Zul suka imam atau khatib yang mana?”, tanya seorang adik junior. Zul tersenyum dan membetulkan duduknya sambil menikmati ‘asab[10]. “Ada seorang khatib yang ana minat. Khutbahnya memang bersemangat. Namanya Syeikh Ismail Humaidi[11]. Uniknya, khutbah Syeikh ni, khutbah bersiri. Ada kisah-kisah menarik yang dibawa. Jadi, orang ramai akan tertunggu-tunggu sambungannya. Ana ada ingat satu khutbahnya yang beliau petik kata-kata Syeikh Muhammad al-Ghazali, ulama’ terkenal dari al-Azhar.”, kata Zul dengan penuh semangat menggayakan lenggok khutbah Syeikh Ismail Humaidi.

Adakalanya, Zul akan menuju ke Masjid Quba’ menunaikan solat Jumaat. Antara tokoh yang pernah menyampaikan khutbah Jumaat di situ adalah gurunya sendiri, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti[12].

“Solaaahhh…Solahhhh….bissur’ah!”[13]kedengaran suara pegawai Haiah Amar Ma’ruf Nahi Munkar mengarahkan kedai-kedai ditutup sambil mengetuk-ngetuk pintu kedai dengan cota. Satu budaya yang baik adalah apabila menghampiri solat Jumaat dan solat waktu, semua kedai-kedai akan ditutup seadanya. Tidak ada kedai yang dibuka. Namun, tidak kedengaran kes-kes kecurian walaupun kedai hanya ditinggalkan tanpa berkunci apabila peniaga ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Itulah antara keunikan di sini.

Jika Zul dan rakan-rakan ke Mekah, peluang menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram pasti tidak akan dilepaskan. Antara Imam dan Khatib yang masyhur adalah Syeikh Abdullah Khayyat[14], Syeikh ‘Abdullah al-Khulaifi[15], Syeikh Muhammad bin ‘Abdullah al-Subayyil[16], Syeikh Salih bin ‘Abdullah bin Humaid[17] dan seorang imam yang jauh lebih muda namun meningkat naik namanya, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sudais[18]. Bilal? Sudah tentu Sheikh Ali Abdul Rahman Ahmed Mulla[19] yang menjadi kegemaran. Laungan azan beliau sudah menjadi trademark bagi Masjidil Haram.

Syeikh Muhammad bin ‘Abdullah al-Subayyil

“Wajib bagi kita untuk bersama-sama dengan perjuangan mujahidin di Afghanistan. Sekurang-kurangnya, angkatkan kedua tangan anda semua dan berdoalah agar mereka mendapat pertolongan Allah dalam peperangan ini!”, berkobar-kobar semangat Syeikh Salih bin ‘Abdullah bin Humaid berkhutbah pada tengahari Jumaat dengan panas terik yang membahang. Bermula tahun 1979 hingga tahun 1989, dunia Islam berhadapan dengan episod Perang Soviet-Afghan yang memperlihatkan kebangkitan demi kebangkitan para mujahidin dan berakhir dengan kemenangan mujahidin Afghanistan pada ketika itu.

Isu-isu semasa umat Islam seperti Palestin dan Rohingya adalah antara topik lazim yang dikhutbahkan oleh khatib-khatib di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Setiap khatib ada caranya yang tersendiri dan sudah pasti khutbah sarat dengan al-Qur’an, hadis dan kisah-kisah salafussoleh yang menarik pendengar untuk fokus dan menghayati isi khutbah yang disampaikan.

Pintu Bab al-Salam di Masjid Nabawi yang merupakan pintu masuk ke maqam Rasulullah SAW menjadi ruang kegemaran para pelajar untuk melepak atau berbincang sementara menunggu solat Asar. Menjadi budaya di Masjid Nabawi, tidak semua yang pulang selepas solat Jumaat. Ada yang memilih untuk terus beriktikaf atau tidur sehingga masuk waktu Asar, termasuk Zul. Adakalanya, selepas Isya’ baru Zul pulang kerana sibuk dengan majlis talaqqi bersama para masyaikh di Masjid Nabawi, dari tiang ke tiang.

********************

“Zul. Ana panah so’uh[20] ning. Enta tengoklah cuace. Panah ketik[21]. Enta nok tengok jugok ke hukumang hudud tu? Ye dok or?[22]”, tanya Zaini sambil mengibas-ngibas jubahnya.

Mestilah. Mende ni tak dop di Malaysia.”, Zul membalas ringkas sambil mengintai-intai tempat pelaksanaan hudud yang berada jauh di depannya. Selepas solat Jumaat, orang ramai mula memenuhi perkarangan Masjid Nabawi di mana hukuman itu bakal dijalankan. Debaran di hati makin terasa. Kedengaran suara pengumuman tentang pelaksanaan hukuman hudud sebentar nanti. Dua orang akan dipotong tangan kerana mencuri dan dua orang bakal dipancung kerana qisas.

Hudud dalam Bahasa Arab adalah kata majmuk kepada hadd, bermaksud batasan. Kalimah hududullah (batasan Allah) disebut beberapa kali dalam al-Qur’an, memberi amaran kepada umat Islam tentang dosa melanggar batasan tersebut dan bahawa mereka tidak seharusnya mendekati batasan tersebut

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا  كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.[23]

Allah SWT telah berfirman:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ  وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”[24]

Sambil menunggu hukuman dijalankan, Zul bercerita kepada Shohor Bani dan Zaini tentang salahfaham berkenaan hukuman Islam bagi perbuatan mencuri. “Enta tau dop. Dop segheme kes mencuri ni kene potong tangang. Hok ni saloh pahang hok berlakuPertame, barang yang dicuri tu mestilah harte yang boleh dialih, cukup kador nisab, berade pade tempat simpanangnye dan barang tu kene ade pemilik, jelas hakmilik. Kalu mende hok remeh-remeh, dop kene potong tangang. Contoh mende remeh? Api air, rumput, buku, mende hok cepat rosok, mende haram di sisi Islam dan culik manusie. Kalu nilai barang hok dicuri tu kurang ¼ dinar atau 3 dirham, dop kene potong tangang. Hatta kesamarang hakmilik pade barang yang dicuri itu pung, boleh buat hukum potong tangang gugur. Contohnye, pencuri ingat barang tu barang ye. Jadi die nok ambik balik barang tu. Tengok-tengok, bukang barang ye. Haa, macam tu. Begitu jugok kes-kes seperti terpakse mencuri dan lain-lain, itu kene teliti dulu.”, terang Zul panjang lebar kepada Shohor Bani.

“Oh…jadi, kalu ikutkang hukum Islam, hampir mustahil lah nok potong tangang. Alhamdulillah, adilnye Islam. Ana dengor statistic jenayoh di Saudi pung dop banyok.”, Shohor Bani tersenyum berpuas hati dengan penjelasan sahabatnya.

Ambulan baru sampai dan siap menunggu. Dalam tempoh yang amat singkat, hukuman selesai dijalankan. Jenazah pesalah diangkat segera, begitu juga dengan pesalah yang dipotong tangan juga dibawa menaiki ambulan. Zul melihat ada beberapa orang yang pengsan sejurus selepas menyaksikan hukuman berkenaan. Mereka turut dibawa naik ke ambulan dan terus berlalu meninggalkan tempat hukuman.

Terkebil-kebil Zul dan Shohor Bani pada ketika itu. Shohor Bani menoleh ke arah Zul dan berkata, “Enta nok tengok sangat kang? Hoh! Muke enta pucat kesi[25], supe mayat doh!”. Zul tersenyum tawar dan menggaru-garu kepalanya. Itulah pengalaman yang tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit. Amat menggerunkan dan menginsafkan dalam masa yang sama.

********************

“Wahhh…takutnye atuk.”, Sarah membulatkan matanya yang sepet.

“Takut kang? Jadi, orang dop berani nok buat jahat. Islam beri peluang yang luas kepade orang yang buat jahat. Tak semudoh-mudohnya dihukum melainkan dibuktikang benor-benor bersaloh dan perlu dihukum, barulah kene hukum.”, Tok Aki mengulas ringkas tentang konsep hudud dalam Islam.

“Sarah. Takdi atuk cite, Zul dop kelik lepah Asor kang? Die belajor dengang syeikh di tiang-tiang Sejik Nabi. Kadang-kadang kelik asrama lepah Ise[26]. Sarah nok atuk cite dop hok tu?”, tanya Tok Aki tersengih. “Nak…nak…!”, Sarah melompat kegirangan.

____________________

[1] Madrasah / tempat pengajian di era awal Islam

[2] Al-Taratib al-Idariyyah, 2/200

[3] Riwayat Muslim, no. 233

[4] Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 3/113

[5] Imam dan Khatib di Masjid Nabawi. Beliau juga adalah ketua bagi mahkamah-mahkamah daerah di Madinah al-Munawwarah. Lahir pada tahun 1911 di al-Majma’ah dan meninggal dunia pada tahun 1994. Dikuburkan di tanah perkuburan Baqi’. Ikuti doa beliau semasa mengimamkan solat witir pada malam akhir Ramadhan di https://www.youtube.com/watch?v=FgZPrVsJmuc

[6] Tafsir al-Baghawi, 4/65

[7] Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 4/102

[8] Ikuti bacaan beliau semasa mengimamkan solat di Masjid Nabawi https://www.youtube.com/watch?v=TJOTvYcJ-5A

[9] Imam dan Khatib di Masjid Nabawi. Lahir pada tahun 1947 dan kini berusia 74 tahun. Ikuti bacaan beliau di https://www.youtube.com/watch?v=c2NdaQRuDJc&t=298s

[10] Air tebu

[11] Ikuti khutbah beliau di https://www.youtube.com/watch?v=9ek9BTFxWFY

[12] Ikuti khutbah beliau di https://www.youtube.com/watch?v=H5r-qljBB2w

[13] Solat, solat…cepat!

[14] Imam dan Khatib di Masjidil Haram. Lahir pada tahun 1908 di Mekah dan meninggal dunia pada tahun 1995 di Mekah. Ikuti bacaan beliau di sini https://www.youtube.com/watch?v=HR2QSNA8ptg

[15] Imam dan Khatib di Masjidil Haram. Lahir pada tahun 1915 di al-Qasim dan meninggal dunia pada tahun 1993. Ikuti bacaan beliau di https://www.youtube.com/watch?v=q4Uq5UK3Y9c

[16] Imam dan Khatib di Masjidil Haram. Lahir pada tahun 1924 di al-Qasim dan meninggal dunia pada tahun 2012. Ikuti bacaan beliau di https://www.youtube.com/watch?v=pa5oDXwA2gE

[17] Imam dan Khatib di Masjidil Haram. Beliau juga adalah anggota Hai’ah Kibar Ulama’ Arab Saudi, ahli politik dan Penasihat Dewan Diraja Arab Saudi. Lahir pada tahun 1949 dan kini berusia 72 tahun. Ikuti bacaan beliau di https://www.youtube.com/watch?v=DzoPXrMkkmU

[18] Presiden Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ikuti bacaan beliau di https://www.youtube.com/watch?v=_ZGPVk3cfqw

[19] Lahir pada tahun 1947 dan kini berusia 74 tahun. Ikuti azan beliau di https://www.youtube.com/watch?v=kyoPseUWstE

[20] Berkuap

[21] Panas terik

[22] Betul ke ni?

[23] Surah al-Baqarah: 187

[24] Surah al-Ma’idah: 38

[25] Pucat

[26] Isyak

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

 Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri :Bab 7 - Sambutan Hari Kebesaran Islam

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 8- 11A di SMASZA Ladang

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 9- Bekwoh di Tranung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 10- Usrah, Tarbiah dan Dakwah

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 11- Cerita Budak Kubang Kekura di depan Syeikhul Azhar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 12: Al-Arqam dan Nadamurni

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 13: Belajar dan Mengajar

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 14- Jemaah Tabligh

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 15 - “Demonstrasi Aman” di SMAASZA

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 16 - Temuduga Universiti Islam Madinah

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 17- SZB- JED

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 18 - Pengalaman Pertama Sekelas Dengan Orang Arab

0 comments:

Catat Ulasan