PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mendakwa pegawai penguat kuasanya jika terbukti salah meraba usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat.
Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata, JAIS sudah pun membuat laporan polis terhadap dakwaan Sajat pada Januari lalu.
“JAIS sudah buat laporan polis (awal tahun lalu) berhubung dakwaan Nur Sajat dan terserah kepada pihak polis untuk siasat.
“Jadi terpulang kepada polis untuk dakwa pegawai saya sekiranya salah. Saya tiada masalah. Buat apa saya nak bela orang yang tidak betul,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau turut meminta Sajat yang kini diberi suaka di Australia supaya tampil membuktikan dakwaan sekiranya benar pegawai JAIS melakukan gangguan seksual terhadapnya.
“Dia boleh balik ke Malaysia dan buat laporan polis atau buat apa jua laporan.
“Dia tuduh dia kena buktikan. Bila dia tuduh tanpa bukti, orang lain akan nafi tanpa bukti juga,” katanya.
Dalam temu bual dengan New York Times, Sajat berkata kejadian itu disaksikan ibunya sendiri, yang menegur dan mempertikaikan perbuatan berkenaan oleh seseorang yang sepatutnya alim.
Menurut Sajat, kejadian itu berlaku Januari lalu ketika dia dipanggil ke JAIS di mana dia dan beberapa anggota keluarga serta rakan telah menemui pegawai yang mendakwa menerima aduan awam mengenainya.
Beliau mendakwa, ketika disoal sekurang-kurangnya tiga lelaki mengasarinya termasuk meraba dadanya sebelum dia dimasukkan ke tempat tahanan lelaki selama semalaman.
Sajat berjaya melepaskan diri ke Thailand pada Februari sebelum ditahan kerana kesalahan imigresen dan hampir dihantar pulang ke Malaysia.
Bagaimanapun semalam dia mendedahkan telah pergi ke Australia pada bulan ini di mana individu transgender lain dari negara ini juga pernah diberikan suaka.-FMT
0 comments:
Catat Ulasan