Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membayangkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS atau Perikatan Nasional (PN) sebaliknya kekal dengan pendirian Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menjawab soalan dilontarkan kepadanya mengenai kerjasama dengan PAS atau PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya diadakan, Rauf yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata:
“Kita jentera bekerja untuk UMNO, apa sahaja kita fikirkan kepentingan dan kekuatan UMNO dahulu, sebelum mengambil kira mana-mana parti.
“UMNO mesti perkukuhkan kedudukan kekuatan parti itu dahulu, baru kita lihat siapa juga bakal datang berunding dengan kita.
“Itu PAS… saya tidak campur urusan parti (itu)… saya hanya menguruskan jentera UMNO untuk bersama-sama menghadapi PRN akan datang,” katanya.
Pada sidang media selepas pertemuan bersama jentera UMNO Bahagian Masjid Tanah hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Rauf menegaskan sehingga kini gerak kerja parti di kawasan pusat daerah mengundi (PDM) telah bersedia menghadapi PRN sendirian.
Sebelum ini, Zahid membuat keputusan sendiri bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara sendirian, tanpa bekerjasama dengan PAS, parti sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).
Presiden UMNO itu bertindak demikian atas beberapa sebab, termasuk MN tidak berdaftar dan beliau berasa PAS telah banyak kali mengkhianati UMNO, terutama apabila kekal bersama Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu.
Zahid turut membayangkan UMNO akan bergerak secara bersendirian di bawah bendera BN apabila masuk bertanding dalam PRN dan juga pilihan raya umum nanti atas kepercayaan parti tersebut sudah kuat dan akan disokong rakyat.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membuat keputusan itu, susulan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan UMNO.
Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Sementara itu, Rauf berkata UMNO negeri bersedia mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor dan Sungai Udang jika PRN diadakan.
Katanya, seluruh peringkat jentera UMNO dan BN telah digerakkan, tanpa melibatkan parti lain, di negeri itu bagi memastikan persediaan berdepan dengan pilihan raya berjalan lancar.
-Agenda Daily
0 comments:
Catat Ulasan