PETALING JAYA – Lama tiada perkhabaran, rupa-rupanya telah hampir sebulan penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan sensasi Caprice menyepi daripada sebarang perkongsian media sosial.
Sepatutnya, 21 oktober lalu, pemilik nama lengkap, Ariz Ramli itu melancarkan single rap terbaharunya, Tiger of Al Quds selepas ditangguhkan 10 Oktober.
Lagu dan muzik video berkenaan telah dirakamkan di Jordan dan Mesir ketika dia cuba untuk memasuki Palestin demi melunaskan misi kemanusiaannya di Palestin.
Kali terakhir pelantun lagu Dem Girls itu memuat naik hantaran status dalam Instagram adalah pada 8 Oktober lalu apabila memberi justifikasi dan pandangan tentang isu tular iaitu gangguan seksual di pejabat.
Ramai dalam kalangan netizen musykil di mana keberadaan Caprice sekarang apabila tiada langsung khabar berita daripadanya sejak awal bulan.
“Mana Caprice? Suarakanlah pendapat tentang benda-benda begini. What’s on the news today (signatur cogan kata Caprice) hello?,” ciap seorang seorang pengguna Twitter tentang isu viral melibatkan Fauzi Nawawi minggu lepas.
Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan komen lanjut tentang keadaan dan keberadaannya kini menemui jalan buntu apabila sebarang panggilan telefon dan pesanan WhatsApp tidak berbalas.
Awal bulan lalu, Caprice dimasukkan ke pusat perubatan di ibu negara disebabkan kesan daripada penyakit hipertiroid. Katanya, perasaan dan emosi bercampur-baur serta baran adalah disebabkan penyakit tersebut.
“Insya-Allah saya boleh menghadapi perkara ini. Saya berharap dapat pulang secepat mungkin, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu,” ujarnya dalam satu muat naik InstaStory.
Tidak sebulu dengan pendakwah bebas, Ebit Lew yang kini sedang menikmati percutian di Switzerland bersama keluarga tersayang, permasalahan yang timbul antara mereka akibat perbezaan idealogi misi bantuan kemanusiaan Palestin masih tergantung sehingga kini. – K! ONLINE
0 comments:
Catat Ulasan