"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Skandal Rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Skandal Rasuah. Papar semua catatan

Khamis, 11 Ogos 2022

Pengurus bank sahkan Shahrir terima cek RM1 juta daripada Najib

 TAN Sri Shahrir Ab Samad. FOTO BERNAMA

TAN Sri Shahrir Ab Samad. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pengurus bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad menerima cek bernilai RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sembilan tahun lalu.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata cek tersebut dikeluarkan oleh Najib sendiri atas nama bekas Pengerusi Felda berkenaan pada 27 November 2013 dan 'clear' pada keesokan harinya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Berdasarkan salinan penyata bank Datuk Seri Najib, baki wang untuk bulan November 2013 adalah berjumlah RM48,273,239.26 manakala baki yang tinggal pada 30 November 2013 adalah RM36,922,068.26. Pada 28 November 2013, terdapat pengeluaran berjumlah RM1 juta daripada akaun tersebut," kata saksi pendakwaan ke-12 itu.

Bagaimanapun, Uma Devi berkata akaun bank milik Najib itu, yang dibuka pada 31 Julai 2013, ditutup pada 9 Mac 2015 atas sebab yang tidak dinyatakan.

"Baki dalam akaun tersebut bersama dua lagi akaun beliau yang lain ialah sebanyak RM103,361.17 dikeluarkan menerusi cek atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd," katanya.

Shahrir, 72, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 5 September ini.

-myMetro 

Khamis, 16 Jun 2022

'Saya hantar bagasi berisi wang tunai RM3 Juta kepada Ahmad Zahid' - Saksi

 AHMAD Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Faiz Anuar.

AHMAD Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Shah Alam: Bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) David Tan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah menghantar bagasi berisi RM3 juta kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Seri Satria, Putrajaya.

Tan, 47, bagaimanapun tidak ingat bila penghantaran itu dilakukan tetapi ia adalah kali kedua beliau ke kediaman rasmi Ahmad Zahid bersama bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Katanya, beliau telah memasukkan wang itu ke dalam bagasi beroda dan meninggalkannya di ruang tamu.

Ditanya mengenai penghantaran pertamanya, saksi itu berkata: "Saya ke rumah Ahmad Zahid dengan Wan Quoris (bekas Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani).

"Kami ke ruang tamu (rumah Ahmad Zahid), kemudian Wan Quoris mula bercakap mengenai operasi perniagaan dan juga isu politik. Selepas itu, Wan Quoris meminta diri dan keluar dari bilik itu.

"Kemudian saya mengambil sampul (yang berisi wang itu) dan memaklumkan Datuk Seri bahawa ini sampulnya serta meninggalkan ia di atas meja, salam Datuk Seri dan meninggalkan bilik itu," katanya.

Semasa membacakan pernyataan saksinya, Tan berkata, beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyediakan wang tunai untuk dihantar kepada Ahmad Zahid setiap bulan.

"Saya diminta berbuat demikian oleh Harry (Lee). Saya juga beberapa kali terlibat menghantar wang tunai kepada Datuk Seri (Ahmad Zahid). Saya telah membuat catatan untuk menunjukkan penghantaran wang tunai secara bulanan kepada Datuk Seri bermula dari Oktober 2014 hingga Ogos 2018," katanya.

Beliau juga berkata, wang yang digunakan UKSB sebagai bayaran bulanan dan sekali beri tidak diambil daripada akaun syarikat itu sebaliknya ia adalah daripada rakan kongsi perniagaan di Hong Kong.

"UKSB tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung pembayaran itu, justeru itu saya terpaksa meminta rakan kongsi kami untuk membantu.

"Dana dari Hong Kong itu akan disalur ke Malaysia melalui pengurup wang di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada saya secara tunai.

"Selepas menerima wang tunai itu, saya akan menyimpannya di dalam peti keselamatan terlebih dahulu dan apabila tiba masa untuk membuat penghantaran, saya akan mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan memasukkannya ke dalam sampul yang bertutup," katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

-myMetro

Rabu, 18 Mei 2022

UKSB beri wang tunai kepada Ahmad Zahid setiap bulan selama 4 tahun

 Ahmad Zahid (dua, kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Bernama

Ahmad Zahid (dua, kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Bernama

Shah Alam: Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini, bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Harry Lee Vui Khun berkata, bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir tahun 2014 dengan bayaran sebanyak SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

"Bayaran SG$200,000 sebulan bermula pada hujung 2014 dan berterusan sehingga pertengahan 2015. Dalam tempoh itu, kami ada pergi ke rumah beliau (Ahmad Zahid) di Country Heights, Kajang dan dalam perjumpaan itu Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) meminta sumbangan bulanan dinaikkan.

"Selepas berbincang dengan Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, Pengarah UKSB) dan David Tan, kami bersetuju untuk (memberi) SG$300,000 sebulan.

"Kemudian pada 2017, Datuk Seri Zahid meminta untuk berjumpa kami berdua di kediaman peribadinya. Dalam pertemuan itu juga Datuk Seri Zahid meminta bayaran bulan dinaikkan berikutan pilihan raya umum akan diadakan.

"Selepas berbincang dengan Wan Quoris dan David Tan, kami bersetuju untuk menaikkan bayaran bulanan daripada SG$300,000 kepada SG$520,000 sebulan," katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Abdul Malik Ayob pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah.

Saksi pendakwaan ke-15 itu menambah mereka bersetuju dengan jumlah itu selepas Ahmad Zahid memaklumkan bahagian Umno memerlukan bantuan kewangan.

"Dalam perbincangan, kami bersetuju untuk membayar sejumlah RM10,000 bagi setiap bahagian iaitu lebih kurang 100 bahagian Umno dan selepas pengiraan jumlah keseluruhan mencecah SG$520,000 sebulan," katanya.

Saksi pendakwaan ketiga, bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN) Siti Jalilah Abd Manap sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid telah menyambung kontrak UKSB untuk projek VLN walaupun kontrak sedia ada masih berbaki tiga tahun lagi.

Apabila ditanya dalam soalan tambahan oleh DPP Datuk Raja Rozela Raja Toran, bolehkah anda mengingati berapa kali anda menghantar (wang tunai) dari 2014 hingga 2018?

Beliau berkata: "Proses itu 70 peratus dilakukan oleh saya...40 kali dalam tempoh empat tahun."

Raja Rozela: Bolehkah anda ingat dengan siapa anda pergi ke Country Heights, Kajang (rumah Ahmad Zahid) untuk menyerahkan wang itu?

Harry Lee: Dengan Wan Quoris dan David Tan.

Raja Rozela: Dalam kenyataan, anda berkata wang itu diserahkan sendiri oleh anda, anda pergi bersama (Wan Quoris dan David Tan) mengapa anda berbuat demikian?

Harry Lee: Saya tak pasti, dari hari pertama penghantaran sedemikian, saya hanya ikut dari hari pertama, ia adalah pertemuan empat mata (dengan Ahmad Zahid).

Beliau menambah sepanjang 40 kali penghantaran yang dilakukannya, Ahmad Zahid tidak pernah memulangkan wang itu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

-myMetro

Jumaat, 25 Februari 2022

Najib tak tahu laporan Bank Negara mengenai suami Zeti

 

 Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dia tidak tahu-menahu mengenai sebarang laporan maklumat yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) melibatkan suami kepada bekas gabenor bank pusat berkenaan.

“Pada masa itu saya masih perdana menteri tetapi bekas gabenor tersebut, BNM atau ada mana-mana agensi kerajaan tidak pernah memaklumkan perkara ini kepada saya.

“Pihak saya hanya menyedari perkara ini pada akhir 2020 setelah surat akuan bersumpah ahli-ahli keluarga gabenor tersebut kepada polis Singapura mula terbongkar dan menjadi tular,” kata Najib di Facebooknya.

Najib merujuk kepada kenyataan BNM semalam bahawa ia ada menerima maklumat daripada unit perisikan kewangan asing berkaitan dengan akaun milik suami kepada mantan gabenor.

Ekoran daripada itu, BNM berkata mereka memberikan maklumat kepada “agensi penguatkuasaan undang-undang” berkaitan - yang tidak dinamakan - pada April 2016, selaras Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada masa itu, Najib ialah perdana menteri dan menteri kewangan, manakala Zeti Akhtar Aziz pula merupakan gabenor BNM sehingga 30 April 2016.
Tim Leissner

Pada 22 Feb, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, memberitahu sebuah mahkamah di New York bahawa dia dimaklumkan oleh bekas pekerja bawahannya yang suami Zeti telah “dirasuah”.

“Rasuah” berkenaan, menurut pemahaman Leissner, membolehkan 1MDB memindahkan AS$1 bilion ke luar negara pada 2009 untuk apa yang dikatakan sebagai usahasama PetroSaudi-1MDB.

Leissner berkata dia tidak mengetahui apakah benar-benar ada sebarang pembayaran rasuah dibuat.

Dia memberi keterangan sebagai saksi utama dalam perbicaraan jenayah membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs Malaysia, Roger Ng.

Tidak ada maklumat

Keterangan ahli perbankan pada 22 Feb itu menyaksikan dia menamakan Zeti dua kali, tetapi bukan suami bekas gabenor BNM berkenaan, Tawfiq Ayman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tawfiq berkata dia tidak pernah menerima rasuah sepanjang hidupnya, serta tidak pernah mengenali Leissner mahupun Ng.

Najib turut mempersoalkan jika benar BNM ada memberikan maklumat mengenai suami bekas gabenor BNM itu, maka itu bererti kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) juga patut tahu mengenainya.

“[...] bekas Gabenor ini yang juga merupakan antara saksi-saksi penting dan memainkan peranan yang amat penting dalam kes-kes mahkamah SRC dan 1MDB saya.

“Jadi, kenapa pula pihak pendakwa raya tidak pernah menyalurkan maklumat ini kepada barisan peguam pertahanan saya untuk saya bela diri?” soal Najib.

Dakwanya ahli parlimen Pekan itu lagi, pihak pendakwaan bahkan mendakwa mereka tidak mempunyai maklumat berhubung bekas gabenor berkenaan.

(Mk)

Ahad, 20 Februari 2022

Pegawai SPRM belanja sakan dengan duit curi RM25 juta

 

Antara barangan mewah dan hartanah yang dibeli tertuduh menggunakan duit curi daripada simpanan SPRM.
Antara barangan mewah dan hartanah yang dibeli tertuduh menggunakan duit curi daripada simpanan SPRM.

SHAH ALAM - Menggemparkan dan mengejutkan. Itulah dua perkataan menggambarkan pengakuan seorang penguasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keputusan Mahkamah Sesyen pada Jumaat.

Tertuduh, Shahrum Nizam Baharuddin, 41, yang sudah 17 tahun bertugas di agensi itu akhirnya mengaku bersalah menggunakan wang rampasan agensi tersebut berjumlah AS$6.94 juta.

Berikutan pengakuan tertuduh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 13 September 2021 dan sebat dua kali.

Bagaimanapun, perbuatan curang Shahrum Nizam yang pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang sebanyak empat kali itu ternyata telah mencalarkan imej dan integriti SPRM.

Malah, kini ramai yang mempersoalkan sejauh mana ketatnya protokol keselamatan aset-aset rampasan di bawah simpanan SPRM.

Bagi memudahkan pemahaman pembaca, Sinar Premium menyusun semula secara terperinci perjalanan kronologi kes yang menggemparkan negara ini.

ASET HASANAH DIRAMPAS

- Pada 26 Ogos 2018, tertuduh dilantik sebagai Ketua Operasi dalam Ops Dinar 2 berkaitan dengan penyiasatan ke atas bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang disyaki telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang milik Kerajaan Malaysia.

Malah, kini ramai yang mempersoalkan sejauh mana ketatnya protokol keselamatan aset-aset rampasan di bawah simpanan SPRM.

- Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan ketika itu ialah Datuk Hasanah Ab Hamid yang sebelum ini didakwa atas tuduhan pecah amanah mencecah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

- Wang rampasan tersebut kemudian telah diserahkan oleh pegawai penyiasat kepada Ketua Cawangan, Cawangan Tindakan Khas (KC CTK) untuk disimpan dalam peti besi.

- Pada 17 Disember 2018, Shahrum Nizam telah meminta KC CTK untuk menyerahkan sebahagian wang rampasan tersebut untuk pengiraan semula dan disahkan ketulenannya.

Sebanyak AS$1.9 juta daripada jumlah keseluruhan wang rampasan diserahkan kepada tertuduh bagi tujuan itu tetapi Shahrum Nizam hanya mengambil AS$800 ribu manakala bakinya diserahkan semula pada KC CTK.

Sebaik sahaja mengambil wang tersebut, Shahrum Nizam telah membawa wang AS$800 itu keluar daripada bangunan SPRM untuk ditukarkan kepada Ringgit Malaysia dengan bantuan seseorang di Kota Damansara. Hasil tukaran pada ketika itu ialah RM1.6 juta.

- Pada 9 April 2019, tertuduh sekali lagi meminta wang rampasan yang berada dalam simpanan KC CTK untuk proses pengiraan semula dan pemeriksaan keselamatan. Selepas diserahkan, Shahrum Nizam telah membawa keluar wang tersebut untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia.

- Penukaran kali kedua tersebut membabitkan wang sebanyak AS$2,470,000 yang mana hasil tukaran ialah sebanyak RM9,880,000. Tertuduh turut menyerahkan sebuah beg berwarna ungu berisi AS$4.07 juta untuk disimpan oleh kenalannya untuk dijadikan modal perniagaan.

PERBUATAN MULA TERBONGKAR

- Pada 12 APril 2021, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.

- Pembebasan Hasanah menyebabkan perbuatan Shahrum Nizam mula terbongkar.

- Ini kerana pada 23 Ogos 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya wang eksibit yang dirampas dalam kes terhadap bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) termasuk wang US$6.94 juta tersebut dipulangkan semula kepada bahagian tersebut.

- Selepas diserahkan, pemeriksaan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RD JPM, Mohd Yani Daud mendapati wang rampasan dalam Dolar Amerika itu diragui ketulenannya selepas mendapati ada di antara not-not wang tersebut hanya bercetak pada sebelah permukaan sahaja, mempunyai nombor siri yang sama, warna yang tidak seragam dan berkualiti rendah.

- Pada September 2021, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes dan aset Hasanah.

- Pada 4 Januari 2022, Shahrum Nizam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah AS$6.94 juta.

BERBELANJA MEWAH

- Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membelanjakan RM2,713,730 untuk membeli aset-aset dari tempoh 17 Disember 2018 hingga kini.

- Hasil daripada penukaran wang itu, tertuduh telah menjadikan wang eksibit tersebut untuk kegunaan sendiri dengan membeli aset-aset mewah dengan membuat 13 kali transaksi bayaran secara tunai untuk membeli sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan, Sepang.

- Tertuduh telah membeli jam tangan berjenama iaitu empat unit jam tangan jenama Hublot Big Bang, dua unit jam tangan jenama Tag Heuer dan dua unit jam tangan jenama Rolex secara tunai di sebuah kedai jam di Mid Valley City dengan nilai keseluruhan pembelian berjumlah RM397,580.

- Tertuduh juga telah membeli sebuah kenderaan jenis 4x4 jenama Ford Raptor 2.0 secara tunai berjumlah RM219,000, membeli dua bidang tanah, masing-masing seluas 2.9967 hektar bernilai RM333,220 atas nama tertuduh dan 1.244 hektar bernilai RM150,000 atas nama isterinya di Jerantut, Pahang.

- Dia juga membeli sebuah kereta jenis Honda Civic Type R 2.4L Turbo bernilai RM290,030 yang mana pembayaran dibuat secara tunai berjumlah RM265,930

- Tertuduh juga membeli sebuah motosikal Ducati 1299 Panigale R Final Edition bernilai RM278,000 dan sebuah lagi motosikal Ducati 1199 Superleggera bernilai RM300,000 yang mana pembelian motosikal itu telah dibuat dengan cara 'trade in' motosikal Panigale 1199R oleh tertuduh berjumlah RM110,000 manakala sebahagian lagi RM190,000 dibayar lima kali oleh tertuduh kepada kedai motosikal.

- Selain itu, tertuduh turut membeli sebuah kereta Mercedes Benz A250 Sport secara tunai bernilai RM130,000

- Tertuduh turut meminta seseorang untuk menyimpan wang tunai sebanyak RM1.4 juta (sebahagian yang telah ditukar kepada Ringgit Malaysia) sebagai `persediaan’ untuk dijadikan modal perniagaan kayu balak.

- Pada 24 September 2021 SPRM telah menyita sebuah beg bagasi mengandungi wang tunai berjumlah AS$4.07 juta di Wisma D.H.R, Kampung Tanjung Mas, Kota Bharu, Kelantan, daripada saksi sama yang diserahkan oleh tertuduh kepada saksi itu untuk disimpan bagi dijadikan modal perniagaan tertuduh kelak.

-SH Online

Jumaat, 12 November 2021

Najib dakwa PM8 cuba pesong sejarah, lupa 1MDB sejarah skandal terbesar dunia

 

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digiring oleh pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dibawa ke mahkamah pada 4 Julai 2018 bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah dan rasuah berkaitan syarikat SRC International.

Datuk Seri Najib Razak tidak mengulas pelbagai kisah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditulis adiknya Datuk Seri Nazir, sebaliknya menuduh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjaja cerita dongeng dan cuba memesongkan sejarah.

Najib tidak menyedari atau buat-buat lupa bahawa penyelewengan dana 1MDB berjumlah berbilion-bilion ringgit, merupakan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia yang melibatkan beliau, dan sejarah itu tidak boleh dipesongkan.

Sejarah juga tidak boleh dipesongkan apabila penyata akaun peribadi bekas Presiden UMNO – juga bekas Perdana Menteri keenam, dalam masa sama bekas Menteri Kewangan dan bekas Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB – menunjukkan angka RM2.973 bilion.

Sebagaimana diberitahu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari lalu bahawa Najib menerima sejumlah wang yang besar, RM2.973 bilion daripada 1MDB dalam akaunnya tanpa sebarang justifikasi komersial atau perniagaan.

Perkara itu didedahkan pegawai penyiasat pengubahan wang haram Superintendan Foo Wei Min bahawa perpindahan wang dari 1MDB ke akaun Ambank Najib bernombor 9694 dilakukan dalam tiga peringkat, termasuk pergerakan wang dari Good Star membabitkan AS$120 juta (RM369,029,514) dalam lima transaksi antara tahun 2011 dan 2012.

Pergerakan wang dari Aabar sebanyak AS$170 juta (RM523,389,779.96) melalui enam transaksi antara tahun 2011 dan 2012 dan peringkat (ketiga) Tanore sebanyak AS$681 juta (RM2,081,476,926) dipindahkan melalui dua transaksi pada tahun 2013.

Inilah sejarah yang tercatat di mahkamah.

Dalam catatan membalas kenyataan Muhyiddin, hari ini, Najib mendakwa bekas Perdana Menteri kelapan itu cuba memesongkan sejarah dan menjaja cerita dongeng kononnya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan UMNO kerana mempersoalkan isu 1MDB.

Untuk menegakkan dakwaannya, Najib juga memetik keterangan Datuk Seri Muhkriz Mahathir kepada mahkamah bahawa Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad telah lama merancang menjatuhkannya.

Jika Najib mendakwa keterangan Mukhriz di mahkamah itu sebagai sejarah, maka benarlah hukuman penjara 12 tahun dan denda terhadapnya juga adalah sejarah Malaysia di mana buat pertama kali seorang bekas Perdana Menteri didapati bersalah dan dihukum penjara.

Kini, pendedahan dibuat adiknya sendiri, Nazir, berhubung 1MDB dalam bukunya ‘What’s in the Name’ semakin menarik perhatian bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga pada peringkat global.

Bukan orang lain, tetapi darah dagingnya sendiri, namun Najib sedikit pun tidak mengulas atau membalas kenyataan Nazir, seolah-olah apa yang diceritakan adiknya itu benar belaka.

Antara yang didedahkan Nazir ialah pertemuan dengan Dr Mahathir di London sekitar tahun 2015 yang membincangkan kebimbangannya kemungkinan berbilion-bilion dana 1MDB diseleweng.

Ianya tidak mengejutkan bagaimana Nazir boleh mengetahui kemungkinan penyelewengan dalam 1MDB berlaku kerana beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank sejak 1999 hingga 2014, sedangkan aliran transaksi dalam akaun Najib bermula pada 2011.

Nazir juga mengakui menjejaki 1MDB hampir enam tahun.

Dalam memoir buku berkenaan Nazir mendedahkan, pertemuan itu bukan sesuatu yang mudah untuk beliau dan pemilik The Edge Group, Datuk Tong Kooi Ong, tetapi ia harus dilakukan demi mencari kebenaran berkaitan skandal 1MDB.

Dalam bab bertajuk ‘Eh, We Have a Problem’ beliau memperincikan keraguannya terhadap penubuhan 1MDB serta hubung kait dana itu dengan Najib.

Najib, 68, kini berdepan pelbagai tuduhan jenayah, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama, yang sedang dibicarakan sekarang.

-Agenda Daily