Isnin, 23 Ogos 2021

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

 Sarah menguis-nguis pasir dengan ibu jari kakinya yang mongel. “Bosanlah atuk. Dah dua minggu Sarah kat kampung ni. Abah dengan ibu sibuk je memanjang di KL.”, suara kecilnya mengeluh. Sesekali Sarah mengetuk-ngetuk lantai beranda rumah tiang dua belas yang kaya dengan motif ukiran kayu Terengganu.

“Atuk ada cerita best tak untuk Sarah? Penatlah hari-hari nenek suruh baca buku…”, Sarah menyeringai sambil memandang datuknya.

Tok Aki yang ketika itu sedang berehat di beranda rumah, membetulkan kain pelikatnya. Tergelak kecil beliau mendengar permintaan cucu tunggalnya itu. “Atuk ade cite best. Lagi best dari hok ade dalang Netflix tu. Tapi jom kite gi duduk di wakaf tu. Atah lambo ni panah ketik.” Pantas Tok Aki memimpin tangan cucunya dengan langkahan yang sederhana ke gazebo berhadapan rumahnya.

“Sarah nok atuk cite panjang ke pendek?”, tanya Tok Aki ringkas sambil mengusap kepala cucunya. “Hmm…atuk cerita panjang-panjang pun takpe. Sarah suka dengar atuk cerita.”, ujar Sarah ringkas.

“Atuk auu gok cite atuk ni best ke dop. Tapi doh Sarah suruh, atuk citelah. Kalu ngatuk mate, kabor ke atuk. Atuk kalu doh start cite ni, dok leh berenti doh…Haha.” Tok Aki berseloroh dan membetulkan silanya. “Sarah ok je atuk.”, angguk Sarah yang mula memberi tumpuan penuh kepada Tok Aki.

“Citenye mule gini…”. Tok Aki menarik nafasnya dan memulakan kisahnya.

**********

16 Januari 1969 bersamaan 27 Syawal 1388, lahir seorang bayi lelaki di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu. Tangisannya membelah keheningan penghulu hari, hari Jumaat. “Allahuakbar, Allahuakbar…”, Ustaz Mad, si ayah mengazankan anak ketiganya dengan penuh kesyukuran. Keluarga kecil Ustaz Mad dan Hajah Ramlah bertambah dengan kehadiran cahaya mata ketiga yang masih belum diberi nama ini.

“Abang ingat, nok juppe qadhi. Nok mitok pandangang name-name hok mmolek untuk anok kite ning.”, kata Ustaz Mad kepada isterinya yang ketika itu sedang menidurkan si bayi. Abang dan kakaknya sedangnya berlari-lari di halaman. “Moleklah tu. Saye setuju blake ape-ape hok bagoh, insya-Allah.”, jawab Hajah Ramlah ringkas.

Petang itu selepas Asar, Ustaz Mad menapak ke rumah qadhi yang berdekatan dengan rumahnya.

“Ambe ade hajat ni ustak. Alhamdulillah, anok ambe nombor tige baru lahir. Takdop name lagi. Hajatnye nok mitok cadangang name dari ustak.”, Ustaz Mad memulakan bicaranya di rumah qadhi daerah Kemaman.

“Haha…Anta sendiri pung bulih bagi name. Jauh derak maghi rumah ana.”, katanya merendah diri. “Memang hajat ambe. Tupang barakah orang alim.”, Ustaz Mad membalas dengan senyuman.

Ana cadang name Zulkifli. Ambik semangat almarhum Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Muhammad, bekah Timbalang Yang Dipertue Agung PAS. Mase tu PAS kalau anta ingat, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hok pegang. Molek doh. Anta pung name Mohamad. Zulkifli bin Mohamad”. Air teh o yang masih berasap, dicicip perlahan-lahan oleh qadhi.

Angin petang berhembus sepoi-sepoi bahasa. Kedua-duanya diam. Ustaz Mad menunduk dan kemudiannya mengangguk-angguk. “Zulkifli bin Mohamad bin Abu Bakar bin Ahmad bin Ya’kub. Alhamdulillah. Molek sangat.”, bisik hati kecilnya.

**********

“TASS…!!!”, rotan dilibas ke lantai papan.

“Bace mmolek skek! Dok ssaboh mung bace hok tule. 10 kali doh aku ajar…!!!”, suara Haji Abu Bakar (selepas ini dikenali sebagai Haji Bakar) memecah kesunyian pagi Sabtu di Kampung Kubang Kekura, Kuala Terengganu. Mi, Fauziah, Zul dan adik-adik mereka masing-masing menjeling antara satu sama lain dan suke glekek melihat teman sepengajian mereka menikus ketakutan kerana dimarahi.

Tok Aki mereka, Haji Bakar memang bekeng orangnya. Kalau tak “makan” penampar, rotan memang wajib. Pernah ada anak-anak muridnya yang terkencing dek takut dirotan. Tapi hatinya baik.

Beranda tepi rumah Haji Bakar itulah tempat mereka belajar mengaji al-Qur’an sehingga khatam. Bacaannya al-Qur’annya laju, fasih. Beliau amat tegas ketika mengajar. Hasilnya, kesemua cucunya khatam al-Qur’an sejak sekolah rendah. Cucunya pula seronok belajar mengaji walaupun Tok Aki mereka bekeng kerana setiap hari cuma satu mukasurat. Tak lebih, tak kurang.

Hadiah daripada Jabatan Pendaftaran Negara

“Ayub. Kite tubik cepat-cepat pah habih bace Qur’an ning. Aku nok ajak mung gi cari ikang sekila. Mu bowok sekali botol-botol sos tomato hok aku bagi tu.”, bisik Zul kepada adiknya. Khairul atau lebih mesra dengan panggilan Ayub mengangguk laju.

Basikal pantas dicapai. Zul mengayuh laju dibonceng adiknya. Adik beradiknya yang lain terpinga-pinga melihat kedua-duanya bagai lipas kudung hilang dari pandangan.

“Adi! Mung cari hok mmolek skek untuk aku. Di rumoh aku ade lapang ekor doh.”, jerit Zul kepada jirannya yang juga teman sepermainannya, Adi. “Hohh..penat aku! Gohek jauh-jauh sapa sini, nok kene cari ikang sekila untuk mung pulok. Hok aku pung dok dapat lagi ni!”, dengus Adi sambil disambut derai tawa Zul dan adiknya.

Cikgu Zamberi atau lebih mesra dipanggil Adi. Rakan sepermainan semasa kecil. Sekarang tinggal di Padang Midin.

Sampai di rumah, langit sudah mula senja. Ustaz Mad menjeling tajam Zul dan Khairul. “Dari mane ning…???”, tegur Ustaz Mohamad dengan tegas.

Zul menyiku adiknya. Adiknya menyiku kembali. Mung kabor lah kite dari balasoh.”, bisik Zul perlahan kepada adiknya. Khairul menggumam. “Ish…tak mboh eh. Mung dop soh nawok. Dose.”, balas Khairul. “Gi mandi cepat. Lepah Ghorib bace buku.”, arah Ustaz Mad ringkas kepada anak-anaknya.

Sedang mereka mandi, Ustaz Mad turun ke bawah rumahnya dan melihat deretan botol kaca sos tomato yang terisi ikan laga. Beliau menggeleng kepala. Dicapainya baldi yang ada di tepi tempayan air dan semua botol berisi ikan itu dicurahkan ke dalam baldi. Khairul yang baru selesai mandi, memerhatikan dari celah rekahan lantai rumahnya. “Aduh…ayoh nak wak mende pulok ikang-ikang tu.”, getusnya.

Selepas solat Maghrib, Ustaz Mad menyuruh anak-anaknya membaca buku. Zul dan Khairul dipanggil ke ruang tamu. Riak wajah keduanya bagai ditoreh tak berdarah.

“Nah. Makang blake ikang sekila ni. Ayoh goreng.”, ujar Ustaz Mad sambil menghulurkan pinggan yang dipenuhi ikan laga yang digoreng. Kelihatan seperti ikan bilis goreng. Tercengang Zul dan adiknya. Semenjak itu, hobi mengumpul ikan sekila terus dilupakan.

Banyak aktiviti Zul ketika di kampung. Setiap hutan banat diredah, merata parit diranduk dan segala batang pokok diragas. Ada masanya beliau dan kawan-kawan mandi di parit, masuk baruh. Bulan Ramadhan, Zul suka beraksi dengan bedil coloknya. Lagaknya sudah persis Jefri Zain atau Roger Moore dalam filem James Bond. Habis semua rakannya ditembak dengan tepat.

“Burrr…!!! Zul terjun ke dalam sungai dengan baju sekolah yang masih belum ditukar. Pulang daripada sekolah, sungai menjadi tempat persinggahan sebelum sampai ke rumah. “Sedak do’oh. Sejuk kettor aku..maghila Mi, Ayub!”, Zul mengajak abang dan adiknya mandi bersama. Tengahari yang membahang, semestinya menyamankan bila berada di dalam sungai yang dingin airnya.

Sampai di rumah, dari jauh Hajah Ramlah sudah bertempik, “Ya Allah…bertuoh budok-budok ning! Baju skoloh dok tukar lagi, busuk kohong, basoh jjeruk!” Pantas mereka lari naik ke rumah dan masuk ke dalam bilik air. “Bulih pekdoh. Chik maroh kite…cepat-cepat.”, kata Ayub kepada abang-abangnya.

Datang musim laga ayam, Zul juara Kampung Kubang Kekura. Sebut sahaja Hujung Tanduk, Taji Asal, Batang Kaki, apa jua jenis ayam laga sudah ada dalam kepalanya. Beliau boleh mensyarahkan perihal ayam laga sehari suntuk tanpa bosan.

Jalan di sekitar Kubang Kekura

“Mung nok main ayang lage, kene panda cari hok mmolek. Pale woh pinang, balung meroh nyale, leher tebal, dade kene bidang. Se lagi jari kaki kene panjang, haluh.”, Zul mengajar Adi, Mat, Ku, dan kawan-kawan lain tentang kaedah memilih baka ayam laga yang baik. Lagaknya seperti ustaz yang berceramah di balasoh.

Ayam laga kepunyaannya dimandikan setiap kali sebelum disabung di “bon”. Sehelai kain dibasahkan dan dilap ke seluruh badan ayam daripada kepala hingga ke kakinya. Bulu-bulu sayap, bahagian bawah sayap dan ekornya digosok hingga basah kuyup. Kerongkong ayam dijolok dengan bulu ayam supaya keluar lendir yang boleh mengganggu pernafasannya. Balung ayamnya dikilatkan sehingga merah menyala.

Khairul terkebil-kebil memerhatikan kemahiran abangnya mempersiap ayam laga yang akan disabung. Kadangkala menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Abang aku ni menang sokmo lage ayang. Auu gok ape ilmu die ning. Ayang tu macam pahang je ape hok die suruh.”, Khairul memuji abangnya ketika berbual-bual dengan Adi.

Selain laga ayam, Zul juga dikenal di kampungnya sebagai jaguh lage woh getoh. Apabila musim getah berbuah, anak-anak kampung akan mencari biji getah di kawasan kebun getah dan lagakan mengunakan tangan. Biji getah siapa yang pecah dia kalah. Biasanya, Zul dan rakan-rakannya mencari biji getah di sekitar Wakaf Che Kapur.

**********

“Sarah dok soh main lage ayang. Haram. Mase ni, Zulkifli budok kecik lagi. Biaselah…dok tau starang halal haram. Nabi kabor doh:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ التَّحْرِيشِ بَيْنَ الْبَهَائِمِ

Rasulullah dok bagi lage natang.[1]

Imam al-Syaukani dalam kitab die ade syaroh hadith ni. Die kate:

وَوَجْهُ النَّهْيِ أَنَّهُ إيلَامٌ لِلْحَيَوَانَاتِ وَإِتْعَابٌ لَهَا بِدُونِ فَائِدَةٍ بَلْ مُجَرَّدُ عَبَثٍ

Sebabnye main lage ning bagi natang sakit. Dok rok mmepeh. Tak dop pekdoh, sie-sie.[2]

Panjang Tok Aki menghuraikan fiqh pengharaman laga ayam yang menjadi kebiasaan di sebelah Pantai Timur sekitar 70-an.

Nantikan penerbitan buku ini

__________

[1] Hadis Riwayat Imam Abu Daud (2562) dalam Sunan Abu Daud

[2] Lihat Nail al-Autar (8/99)

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

Artikel Berkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

0 comments:

Catat Ulasan