Ahad, 31 Oktober 2021

Bajet 2022: Golongan bujang tidak disisih, dapat RM350 - Tengku Zafrul beri penjelasan

 Bajet 2022: Golongan bujang tidak disisih, dapat RM350 - Tengku Zafrul beri penjelasan

Tengku Zafrul mengakui, menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai sama ada BKM diberikan kepada golongan bujang atau tidak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Golongan bujang yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 turut menerima bantuan sebanyak RM350 di bawah inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menjelaskan sebab ia tidak diumum dalam pembentangan Bajet 2022 petang Jumaat, Tengku Zafrul berkata, hanya sebahagian daripada pelbagai bantuan yang disediakan untuk Keluarga Malaysia disenaraikan dalam ucapannya.
Beliau mengakui, menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai sama ada BKM diberikan kepada golongan bujang atau tidak.
“Kalau nak kita senaraikan semua, sampai malam pun mungkin tak habis ucapan.
“Tapi dalam Bajet 2022 memang ada macam-macam bantuan untuk semua lapisan masyarakat.
“Saya kongsikan di sini ringkasan BKM untuk rujukan semua. Insya-Allah pencerahan lain akan menyusul,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat malam.
Sumber Facebook tzafrulaziz
Bajet 2022 | RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia
Pada Jumaat, kerajaan memperkenalkan BKM menerusi Bajet 2022 dengan bantuan tunai tertinggi iaitu sebanyak RM2,000 bagi mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Tengku Zafrul berkata, BKM dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500.
-AstroAwani

0 comments:

Catat Ulasan