"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Khamis, 30 Jun 2022

AFC Cup 2022: Kedah Penuh Bergaya Ke Separuh Akhir

 Kedah Darul Aman (KDA) FC terus mempamerkan belang sebenar apabila membelasah Visakha FC 5-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan G Piala AFC 2022 yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan, Dipta, Bali sebentar tadi.

Kemenangan besar tersebut sekali gus meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu di tangga teratas yang mana membawa mereka ke separuh akhir Zon Asia Tenggara.

Keadaan yang cukup bermakna buat bola sepak Malaysia selepas satu lagi wakil negara, KL City turut mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir untuk melayakkan diri.

Pemain import baharu Kedah, Mahmoud Al-Mardi menjadi perbualan utama pada aksi ini berikutan hatrik yang diledakkannya.

Kedah berpeluang mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-12 tetapi sepakan penalti yang diambil Ronald Ngah Wanja sekadar melewati palang gol.

Tidak cukup dengan kekecewaan tersebut, skuad kenari dihukum pada minit ke-20 setelah hantaran jauh ketika situasi sepakan percuma diambil Teat Kimheng berjaya ditanduk Faeez Khan untuk meletakkan wakil Kembaoja itu dihadapan.

KREDIT FOTO: KEDAH DARUL AMAN

Tersentak dengan jaringan itu, Kedah bangkit melawan dan kembali menyamakan kedudukan berselang lapan minit kemudian menerusi Mahmoud yang mudah menolak masuk bola berikutan kegagalan pertahanan lawan untuk mengeluarkan bola hantaran cantik daripada Dechi Marcel N’Guessan.

Ketika para pemain sedang berkira-kira untuk kembali ke bilik persalinan, Mahmoud menyempurnakan sepakan percuma menarik yang jelas mengelirukan penjaga gol Visakha FC, Keo Soksela untuk memberikan kelebihan 2-1 buat Kedah.

Mahmoud melengkapkan hatrik sulungnya pada minit ke-54 selepas beliau tidak berdepan masalah untuk merembat masuk bola susulan ‘cutback’ dilakukn Fayadh Zulkifli.

Fayadh kemudiannya turut meletakkan namanya selaku penjaring apabila rembatannya selepas menerima lorongan baik daripada Ronald Ngah yang melakukan gerakan solo ke dalam kawasan penalti tidak mampu dinafikan Soksela.

Ronald Ngah menutup pesta jaringan Kedah untuk mereka mengesahkan tempat selaku juara kumpulan sekali gus bakal menentang kelab dari Indonesia, PSM Makassar.

-Vocket FC

Rabu, 29 Jun 2022

Bank naikkan BLR, penjawat awam merana bayaran pinjaman peribadi melonjak

 

Surat rasmi yang diterima daripada bank berkenaan menyatakan kadar KA dan KAP telah berubah daripada 2.60% kepada 2.85% berkuat kuasa 20 Mei 2022.

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam terkejut apabila bayaran balik pinjaman peribadinya melonjak sehingga lebih RM600 sebulan selepas bank melaraskan kadar asas (KA) dan kadar asas pinjaman (KAP), Mei lalu.

Beliau yang enggan dinamakan memberitahu FMT bahawa sebelum ini bayaran balik pinjamannya ialah RM1,450 sebulan, tetapi bermula akhir bulan ini ia perlu membayar RM2,072 sebulan.

Saya terpaksa tanggung perbelanjaan bayaran balik yang terlebih sangat. Selepas bank isytihar naikkan BLR (kadar pinjaman asas), saya kena bayar lebih RM2,000 setiap bulan. Dengan harga barangan yang hampir semua meningkat, apa yang tinggal untuk saya tanggung keluarga?” keluhnya kepada FMT.

Pada 8 Jun lepas, beliau menerima surat rasmi daripada bank berkenaan menyatakan kadar KA dan KAP telah berubah daripada 2.60% kepada 2.85% berkuat kuasa 20 Mei 2022.

Beliau membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 empat tahun lepas dan kini berbaki sekitar dua tahun untuk melunaskannya.

Sudah 28 tahun berkhidmat untuk negara, beliau terkejut dengan peningkatan mendadak itu dan berasa kecewa dengan kerajaan yang dilihat tidak membuat kajian menyeluruh sebelum bertindak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) bank.

Kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menyaksikan rata-rata bank tempatan di negara ini mula menaikkan KA dan KAP masing-masing, sehingga menjejaskan rakyat.

Bagi saya, kerajaan kena ada mekanisme untuk kaji sesuatu dengan lebih mendalam dan kesannya terhadap orang kebanyakan.

“Kalau harga barang dah naik lepas itu kerajaan naikkan lagi kadar bayaran balik pinjaman, macam mana orang nak seimbangkan dengan harga barang? Kaji betul-betul dulu,” tegasnya.

Bakal bersara sekitar dua tahun lagi, penjawat awam ini sebak memikirkan masa depan keluarga terutama anak-anaknya yang masih bersekolah.

“Saya ada anak yang masih bersekolah. Tiga orang masih bersekolah, dua orang sedang melanjutkan pelajaran di universiti. Semua masih bergantung pada mak ayah mereka. Sudahlah harga barang semua naik,” ceritanya.-FMT

Selasa, 28 Jun 2022

Kutipan cecah RM12 juta: Sebenarnya filem Mat Kilau belum balik modal, untung pun belum lagi-Mawi

 


Setakat semalam, filem pecah panggung arahan Syamsul Yusoff berjaya meraih kutipan sebanyak RM12.2 juta hanya pada minggu pertama ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan pada 23 Jun lalu boleh dikira sudah balik modal dan untung kira-kira RM4 juta apabila pembikinan karya berkenaan sebelum ini dilaporkan menelan kos sebanyak RM8 juta.

Bagaimanapun, pelakon dan penerbit, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi mendedahkan bahawa filem Mat Kilau belum boleh dianggap ‘sudah balik modal’ mahupun sudah mencapai keuntungan kerana ianya tidak seindah yang ramai sangkakan.

Mawi berkata, setiap penerbit perlu tertakluk kepada undang-undang bahawa filem yang ditayangkan perlu menjelaskan cukai hiburan sebanyak 25 peratus.

“Modal RM8 juta, kumpul RM12 juta, yang mereka nampak ada untung RM4 juta. Sebenarnya ini yang ramai tak tahu. Saya sendiri ada pengalaman dalam menerbitkan filem. Dekat sini saya nak terangkan pada semua. kalau kita kumpul RM12 juta, dengan modal RM8 juta sebenarnya kita masih belum balik modal untuk penerbit. Kenapa?

“Pertama sekali, apabila filem kita ditayangkan di pawagam, kita kena bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus. Kalau dikira dari RM12 juta kutipan, sebanyak RM3 juta perlu dibayar untuk cukai hiburan” katanya dalam satu penjelasan yang dimuat naik di TikTok.

Secara anggaran, filem Mat Kilau baru sahaja mengutip RM9 juta selepas RM3 juta ditolak untuk cukai. Tetapi menurut Mawi ada lagi bayaran yang perlu dipatuhi pihak penerbit yang menyebabkan filem Mat Kilau sebenarnya belum lagi mencapai keuntungan mahupun balik modal.

Selain cukai hiburan, pihak penerbit juga perlu membuat perjanjian dengan pihak panggung wayang di mana hasil kutipan filem untuk minggu pertama akan dibahagi 50-50 antara pihak penerbit dan pihak pawagam.

Ini bermakna dari RM9 juta yang ada, pihak penerbit perlu memberikan sebanyak RM4.5 juta kepada pihak panggung wayang.

“Minggu pertama, perjanjian dia adalah penerbit dan pihak panggung wayang akan buat pembahagian 50-50. Jadi pihak penerbit akan beri separuh pada panggung wayang selepas bayaran cukai ditolak.

“Kalau kita dapat RM12 juta, perlu tolak 25 peratus cukai atau RM3 juta. Kemudian dari baki RM9 juta mereka akan bahagi dua. Jadi maknanya mereka belum balik modal kerana ketika ini mereka baru ada RM4.5 juta.

Pada minggu kedua tayangan, pihak panggung wayang akan ‘up’ lagi peratus. Mereka akan ambil 55 peratus, penerbit 45 peratus. Minggu ketiga naik lagi 60 peratus, penerbit dapat 40 peratus sahaja. Minggu keempat pula mereka akan ambil 65 peratus. Penerbit pula? hanya 35 peratus,” jelasnya.

Juseru itu katanya, orang ramai perlu terus menyokong filem Mat Kilau dan semua filem tempatan yang ditayangkan di panggung wayang kerana para penerbit mengeluarkan kos yang amat besar dan sukar mendapat untung besar.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata terkejut dengan pendedahan Mawi dan mengakui mereka baru tahu tentang bayaran di sebalik tabir yang selama ini mereka tidak tahu.

Ada juga yang berkata, mereka sudah dapat agak perkara berkenaan dan tidak dapat bayangkan bagaimana filem-filem tempatan lain yang sebelum ini tidak mendapat sambutan dan tidak untung.

Sehingga kini, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan kekal unggul di tangga pertama carta filem pecah panggung GSC mengatasi karya-karya luar negara seperti Top Gun Maverick, The Black Phone, Elvis dan Vikram.

-Malaysiadateline

Isnin, 27 Jun 2022

Isu Cerai:Pihak berkuasa agama perlu panggil pasangan DJ Sal dan DJ Wong

 DJ Wong dan DJ Sal.

DJ Wong dan DJ Sal.

ALOR SETAR: Pihak berkuasa agama negeri diminta memanggil pasangan DJ Wong dan DJ Sal yang mencetuskan kontroversi apabila mendakwa kembali tinggal bersama, walaupun berlaku perceraian antara mereka pada April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata pasangan terbabit mungkin menganggap perceraian sebagai perkara biasa berikutan kurang memahami hukum Islam.

Kita hendak kata dia permain agama tak boleh juga kerana mungkin sebab kejahilan mereka anggap benda itu (perceraian) mainan biasa, anggap boleh rujuk begitu sahaja.

"Disebabkan itu pihak berkuasa agama perlu panggil mereka kerana ini membabitkan soal nasab dan keturunan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Minggu lalu, pasangan yang memiliki lebih 100,000 pengikut di laman sosial itu membuat kejutan apabila DJ Sal, 47, mendakwa sudah merujuk isu yang timbul kepada ahli keluarga dan bijak pandai agama yang memaklumkan apa dilafazkan suaminya, DJ Wong atau Noor Aziz Johari, 53, sebelum itu sebagai tidak sah.

DJ Sal turut mendakwa, ketika kejadian, dia sedang uzur selain suaminya dikatakan berada dalam keadaan tidak waras sehingga memaksa dia melafazkan cerai secara siaran langsung di media sosial.

Mengulas lanjut, Idris turut meminta orang ramai yang bimbang perkara tidak elok berlaku kepada pasangan terbabit membuat laporan kepada pihak berkuasa agama.

Jika berlaku perkara sebegini, orang ramai boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. Apabila ada laporan maka kita boleh ambil tindakan kerana ada ketika pihak berkuasa tidak tahu mengenai sesuatu kes yang berlaku.

"Di daerah kita hanya mempunyai seorang kadi sahaja, kita tidak mahu terlepas pandang dan jika kita tahu memang pihak berkuasa agama siasat segera," katanya.

-BH Online

Mat Kilau:'Baru 3 hari tayang, dah dapat RM7 juta'

 Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mendapat sambutan memberangsangkan di pawagam tempatan, Singapura dan Brunei. Foto IG Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mendapat sambutan memberangsangkan di pawagam tempatan, Singapura dan Brunei. Foto IG Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

KUALA LUMPUR: Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus meledak apabila meraih kutipan RM7 juta dalam tempoh tiga hari ditayangkan di pawagam, sejak Khamis lalu, berdasarkan maklumat terkini diperoleh penerbit.

ADVERTISEMENT

Sebelum ini, filem terbitan Studio Kembara arahan Syamsul Yusof itu dilaporkan mencipta rekod sebagai filem epik tempatan pertama mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangan.

Diikuti pada hari kedua, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan RM1.8 juta dan hari ketiga menghampiri RM3 juta.

Penerbit merangkap Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali ketika dihubungi tidak menyangka filem kebanggaannya itu terus mencipta fenomena.

"Kami bersyukur kepada Allah atas sambutan hangat yang diterima secara berterusan terhadap filem ini. Angka kutipan itu juga diambil kira membabitkan pawagam di Singapura dan Brunei.

"Angka tepat kutipan dijangka bertambah lagi membabitkan semua pawagam dalam negara dan di dua negara terbabit," katanya BH Online.

Abdul Rahman berkata, kejayaan dicapai tidak lengkap tanpa sokongan jitu penonton yang terus membanjiri pawagam.

"Kami terharu atas kepercayaan ini. Ia membakar semangat kami untuk terus menghasilkan karya yang terbaik pada masa mendatang," katanya.

Abdul Rahman menambah, kutipan jualan tiket hari pertama sudah cukup memberi bererti kepada pihaknya.

"Inikan pula angka RM7 juta. Sukar dipercayai... Tetapi Alhamdulillah atas nikmat indah ini.

"Perkara ini sangat memberi simbolik kepada kami dan industri seni amnya. Apatah lagi, filem sebegini sarat mesej. Malah dinanti-nantikan sekian lama oleh peminat wayang," katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan membariskan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Datuk Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa'ri dan Wan Hanafi Su.

-BH Online

Zahid sedang melumpuhkan Ismail Sabri, takut kena langgar jawatan presiden

 

SATU demi satu pemimpin UMNO yang menerima jawatan di dalam kerajaan dipecat jawatan parti oleh Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terbaharu ialah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana menerima jawatan Duta Besar Malaysia di Indonesia beliau dipecat daripada jawatan MKT UMNO.

Seterusnya selain Ketua Pemuda Shahril Hamdan, Tan Sri Noh Omar yang menang jawatan MKT dan kini menyandang Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan turut dipecat.

Pemecatan Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan melemahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam parti. Zahid kerana dikhuatiri akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti kelak.

Jadi mana-mana pemimpin yang dilihat menyokong Ismail Sabri akan dipecat dan dengan cara itu Zahid akan mengawal semua keputusan dan naratif parti.

Zahid menjadi pemimpin ‘kuku besi’ yang memecat siapa sahaja disyaki mencabar beliau, semata-mata mahu mengekalkan jawatan yang disandangnya.

Bahkan orang suruhan Zahid juga kini sangat rancak menyerang bagi membunuh karaktor Ismail Sabri dengan menggambarkan sebagai perdana menteri yang lemah.

Selain itu mereka yang memegang jawatan di dalam kerajaan pada masa kelotini juga dituduh sebagai pembelot kerana bersekongkol dengan parti Bersatu untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedangkan Zahid mahu pilihan raya diadakan lebih awal.

Zahid mahu Barisan Nasional (BN) kembali memenangi pilihan raya dan beliau selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional akan dipilih sebagai Perdana Menteri.

-Waklabufarm

Ahad, 26 Jun 2022

Selepas dua hari tayangan, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan hampiri RM3 juta

 SYAMSUL YUSOF

SYAMSUL YUSOF

Kuala Lumpur: Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus mencetus fenomena dan mencatat rekod luar biasa apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM1.8 juta pada hari kedua tayangannya, semalam.

Pada hari pertama tayangannya kelmarin, filem arahan Syamsul Yusof, 38, itu mencipta rekod sebagai filem epik tempatan pertama mencatat kutipan sebanyak RM1 juta.

Sehingga hari ini, filem terbitan Studio Kembara itu sudah mencatat kutipan hampir RM3 juta.

Syamsul berkata, dia bersyukur dan bangga apabila filem tempatan mendahului kutipan filem luar negara.

"Alhamdulillah untuk segalanya. Filem Melayu kita berjaya mengenepikan filem luar dan Hollywood antarabangsa. Dan itu, kamu harus berbangga. Tahniah kepada semua pasukan produksi saya," katanya.

Menurut Syamsul, itu adalah rezeki daripada Allah selain kerja keras yang sudah ditunjukkan semua pelakon dan pasukan penerbitan sepanjang proses penggambaran.

"Kita juga hebat dan mampu bersaing dengan filem Hollywood lain. Kita mampu bersaing dengan dengan orang lain dalam apa juga bidang. Mat Kilau bukan saja pecah rekod pembukaan hari pertama malah mengetepikan filem Hollywood lain yang sedang ditayangkan di Malaysia," katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang sebelum ini 'diperam' seketika tayangannya selama dua tahun akibat penularan Covid-19 dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Ellie Suriaty Omar, Farah Ahmad dan pelakon aksi terkenal Indonesia bertaraf Hollywood, Yayan Ruhian.

-myMetro

Arif Aiman bernilai RM1.4 juta,Faisal Halim RM 1.2 juta

 Pemain Harimau Malaya dan JDT, Arif Aiman Hanapi (kiri) naik sekali ganda dalam pasaran antarabangsa.

Pemain Harimau Malaya dan JDT, Arif Aiman Hanapi (kiri) naik sekali ganda dalam pasaran antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Saham pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi naik sekali ganda apabila nilai pasarannya kini diletakkan pada harga £270,000 (RM1.4 juta) berbanding £135,000 (RM728,365) pada November tahun lalu.

Nilai pasaran terbaru pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT) itu diletakkan oleh laman www.transfermarkt.co.uk pada bulan lalu dan ia menyamai nilai seorang lagi pemain Harimau Selatan, Safawi Rasid.

Tanda harga Safawi bagaimanapun mengalami penurunan berbanding nilai pasaran yang diletakkan bagi pemain berusia 25 tahun itu pada November tahun lalu iaitu £293,000 (RM1.5 juta).

Peningkatan nilai pasaran Arif Aiman sebenarnya sudah dijangka selepas dia memenangi anugerah berganda pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21), tahun lalu.

Graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu dinobatkan sebagai pemenang anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik selain muncul pemain termuda merangkul anugerah utama iaitu Pemain Paling Bernilai (MVP).

Malah, bintang muda yang baru berusia 20 tahun itu turut berjaya membantu JDT mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun ini.

Nilai pasaran pemain muda sedang meningkat naik, Faisal Halim juga menunjukkan peningkatan mendadak apabila dia kini memegang tanda harga £225,000 (RM1.2 juta).

Angka berkenaan meningkat selepas aksi positif ditampilkan pemain Terengganu FC (TFC) berusia 24 tahun itu yang mana pada November lalu, dia memiliki nilai pasaran £135,000 (RM728,365).

Seorang lagi pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin pula diletakkan pada nilai pasaran yang lebih rendah iaitu £90,000 (RM485,577), jumlah sama dengan tanda harga yang diletakkan oleh laman berkenaan pada Januari lalu.

Jumlah itu menyaksikan penurunan berbanding nilai pasaran berjumlah £135,000 (RM728,365) yang diletakkan buat penyerang yang bersama kelab Belgium, KV Kortrijk itu pada Jun tahun lalu.

-BH Online

PEMECATAN TAJUDDIN ISYARAT HANYA LOYALIST ZAHID CALON PRU-15

 

MEREKA yang bukan “loyalist” Datuk Ahmad Zahid Hamidi setidak-tidaknya sudah diberi isyarat awal, bahawa kebarangkalian mereka tidak dicalonkan cukup tinggi.

Dalam Umno, hanya Presiden yang boleh memberi watikah untuk menjadi calon.

Pemecatan Tajuddin daripada MKT Umno, adalah isyarat pada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (DSIS), bahawa jawatan Perdana Menteri ke-10, tidak semestinya milik beliau, walaupun Umno menamakan beliau sebagai calon.

Tradisi Umno, Presiden adalah calon Perdana Menteri, jika parti menang.

DSIS dilantik ke jawatan Perdana Menteri pada Ogos, 2021, bukan mengikut tradisi Umno, kerana Umno tidak menang, akan tetapi perlantikan tersebut atas sokongan parti-parti lain yang lebih banyak kerusi.

Menerusi langkah Zahid, DSIS bukan sahaja terperangkap akan tetapi dalam keadaan dilema, maju kena mundur kena, kerana tidak boleh berbuat apa-apa, kerana Umno telah memutuskan pemilihan parti hanya dilakukan 6 bulan selepas PRU-15.

Dalam situasi sekarang, tiada manafaat bagi DSIS jika tunduk pada desakan kumpulan Zahid untuk melaksanakan PRU-15 lebih awal, kerana beliau sedar akan masuk senerai Perdana Menteri tidak sampai sepenggal, seperti mana PM-7 dan PM-8.

Mereka yang dilihat penyokong DSIS, terutama kluster menteri, perlu akur, apabila parlimen dibubar, maka tarikh itu lah titik penamat bagi mereka sebagai ahli parlimen. Selain itu, desas desus di peringkat Dun juga, mana-mana ADUN dilhat berpihak pada Perdana Menteri, mempunyai kebarangkalian juga tidak dipilih semula sebagai calon.

Jika calon-calon Umno hanya loyalist Zahid, sudah tentu, jika Umno menang, maka mereka akan menyokong calon yang direstui Presiden, jika beliau tidak boleh dicalonkan kerana sangkut di mahkamah.

Bagi parti-parti lain pula, jika calon-calon Umno hanya loyalist Zahid, maka rakyat akan mempunyai persepsi, bahawa mereka-mereka itu akan jadi pendesak untuk membebaskan Zahid termsuk juga Datuk Najib Razak daripada semua pertuduhan. Dan jikapun didapati bersalah, maka akan menggerakan permohonan pengampunan daripada Agong.

Dalam situasi sekarang, baik DSIS mahupun Zahid berlumba dengan masa atau dikejar-kejar masa, sama-sama mahu menyelamatkan kedudukan masing-masing. Di lain pihak pula, jika parti-parti lain dapat memanfaatkan situasi ini, kebarangkalian akan berlaku “upset” pada PRU-15, walaupun awalnya dijangka, tiada parti yang menang majoriti mudah secara persendirian.

-Suara Rakyat

Rupanya Lagu Taman Rashidah Utama Ada Kaitan Dengan Seorang Gadis Yang Sekarang Dh Jadi Pelakon Terkenal?

Sebut saja lagu-lagu seperti Sejati, Intanku Kesepian, Misteri Mimpi Syakila dan Belenggu Irama pasti imaginasi terus terbayangkan kumpulan rock legenda, Wings.

Ditubuhkan sekitar tahun 1985 di Sekolah Menengah Seri Ampang Kuala Lumpur oleh lima orang anak muda yang masih menuntut, siapa sangka Wings antara kumpulan rock 80an yang kekal popular hingga kini.

Bercakap pasal kumpulan Wings, pelbagai kisah menarik tentang kumpulan rock lagenda ini telah dibongkar dan dikongsikan dengan peminat.

Kali ini, Kualalumpur Viral nak berkongsi satu kisah yang tidak kurang menariknya iaitu tentang lagu Taman Rashidah Utama, salah sebuah lagu keramat Wings yang diciptakan oleh Bob Lokman.

Lagu tersebut diterbitkan pada tahun 1988 dan sudah mencecah 30 tahun menerusi album Wings Hukum Karma.

Lagu ini masih segar dan popular serta diterima baik peminat muzik tempatan samada yang lama dan baru.

Bob Lokman sebenarnya mempunyai cerita yang tersendiri sehingga mendapat ilham untuk menulis lagu tersebut dan menjadi sebuah lagu hits hingga kini.

Adakah Taman Rashidah Utama itu wujud?

Bob Lokman menceritakan kepada New Straits Times tentang terhasilnya lagu tersebut.

Di Senawang, iaitu kira-kira 10 kilometer dari Bandar Seremban terdapat satu taman perumahan yang diberikan nama Taman Rashidah Utama.

Rupa-rupanya tajuk lagu popular kumpulan Wings itu adalah bersempena dengan nama tempat tersebut.

Kisahnya adalah begini…

Ketika Bob berusia lewat 20-an, beliau telah mengenali sorang gadis berusia 14 tahun dan dia benar-benar jatuh cinta pada seorang gadis.

Akhirnya Bob mendapat tahu yang gadis tersebut tinggal di Taman Rashidah Utama, Seremban. Pada masa itu Bob berulang-alik dari KL ke Seremban kerana Studio tempat Kumpulan Wings berlatih terletak di sana.

”Pada satu hari gadis diminat dia tersebut telah singgah di studio dengan kawan-kawannya untuk bertemu dengan Kumpulan Wings.

”Bagi saya, dia sangat cantik tapi saya tidak pernah dihiraukannya. Walau bagaimanapun saya tetap suka padanya dan kami kekal berkawan”. ujar Bob.

Kisah pinangan ditoIak

Boleh dikatakan setiap hari Bob sanggup berulang dari Seremban semata-mata untuk melihat gadis itu dari jauh ketika dia menunggu bas sekolah setiap pagi.

Bob sanggup menunggu sehingga gadis tersebut habis sekolah dan merancang berjumpa dengan keluarganya untuk meminang. Walau bagaimanapun gadis tersebut menjelaskan bahawa dia memang tidak ada perasaan terhadap Bob.

”Saya tetap menghantar rombongan meminang, namun pinangan saya ditolak. Saya sangat kecewa dan patah hati,” luah Bob.

Walaupun pinangan ditolak dan ke.cewa, Bob tetap pergi ke Seremban dan melalui kawasan perumahan itu untuk melihat gadis tersebut walaupun sekejap.

Dari situlah datang ilham untuk Bob mencipta lagu Taman Rashidah Utama yang akhirnya meletup.

Gadis tersebut adalah pelakon popular, Aida Aris

Tanpa kita duga, gadis yang menjadi kegiIaan Bob Lokman itu sebenarnya adalah seorang gadis yang kini menjadi pelakon popular iaitu Aida Aris.

Setelah Aida menjadi pelakon, mereka kekal berkawan sehinggalah ke hari ini. Bob memberitahu mereka sering tergelak mengenangkan peristiwa itu.

”Aida ada mencadangkan agar saya membuat kisah kami ini untuk dijadikan drama tetapi sehingga kini idea tersebut masih tidak direalisasikan”. kata Bob.

Taman Rashidah Utama bukan sekadar patah hati, tetapi mengingatkan kita bahawa jika kita buat sesuatu ikhlas dari hati, ia akan membawa kita ke suatu arah yang tak pernah diduga.

Tahulah Bob yang cintanya telah ditolak..

Sementara itu, menerusi satu versi berbeza yang ditulis oleh portal Watandaily.com mengatakan ada satu kjadian yang mencetus kepada satu lirik di dalam lagu Taman Rashidah Utama.

“Ku berjalan di dalam hujan
Mencari api yang terpadam…”

Demikian petikan lirik lagu Taman Rashidah Utama nukilan Bob Lokman.

Lagu dendangan Wings ini merupakan imbasan pengalaman Bob Lokman ‘bercinta’ dengan pelakon Aida Aris (masa tu belum jadi pelakon lagi) yang tinggal di Taman Rashidah Utama, Seremban.

Bob tunggu Aida Aris tak muncul-muncul

Ada satu ketika Bob mengajak Aida Aris untuk dating dan Bob menunggu Aida dari petang sampai ke malam di deretan kedai mamak namun Aida  tak muncul-muncul.

Disebabkan ins1den itulah, Bob menulis pengalamannya menunggu Aida Aris yang tak kunjung tiba dan diabadikan dalam lagu Taman Rashidah Utama.

Selepas Bob ‘berhijrah’ kira-kira sedekad yang lalu, beliau didatangi oleh ramai peminat yang mengaku menggemari lirik-lirik tulisan beliau.

Seorang peminat mengaku meminati lirik Taman Rashidah Utama kerana terdapat unsur tasawuf di dalamnya melalui rangkap “Ku berjalan di dalam hujan mencari api yang terpadam”.

Macam mana berjalan dalam hujan yang basah tapi mencari api, fuh ini memang deep ni. Agaknya mencari api hidayah kot.

Bob hanya ketawa saja dan berkata itu bukannya tasawuf. Cerita sebenar lirik itu ialah Bob menunggu Aida Aris dari tiga petang sampai ke sembilan malam, waktu tu hujan lebat.

Tunggu punyalah lama sambil h1sap ro.k0k sampai ro.k0k dia terpadam sebab terkena tempias hujan. Mancis dia pulak dah habis.

Maka dia merayaulah mencari kedai atau orang yang ada mancis/lighter supaya dia boleh h1sap ro.k0k.

Kerana itu dia sebut “ku berjalan di dalam hujan mencari api yang terpadam”, maknanya aku tunggu kau punyalah lama sampai api ro.k0k aku pun habis dan dalam hujan tu aku carilah mancis untuk menggantikan mancis aku sebab api ro.k0k dah terpadam.

Bukannya tasawuf pun!

Sumber/Kredit: watandaily.com, sukaviral.net via muzikjalanan

-kualalumpurviral.com

Khamis, 23 Jun 2022

Kerajaan Tak Stabil Sebab Muhyiddin Bertemu DAP?

 

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan pada tahun ini kerana kerajaan sedia ada kini tidak stabil.

Menurut beliau, antara faktor berlakunya ketidakstabilan termasuk tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan pemimpin DAP.
Muhyiddin tidak sepatutnya mengadakan pertemuan dengan DAP kerana Bersatu pada masa ini bersama Barisan Nasional (BN), Pas dan beberapa parti lain berada dalam kerajaan yang memerintah sekarang.

“Macam mana kerajaan hendak stabil jika ada pemimpin daripada parti yang bersama-sama membentuk kerajaan mengadakan perbincangan dengan pembangkang seperti DAP.

“Disebabkan ketidakstabilan ini, eloklah PRU15 disegerakan. Namun, jika ditanya bila sepatutnya PRU15 diadakan, saya berpendapat eloklah pada tahun ini juga,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, menambah, PRU15 perlu dipercepatkan demi menstabilkan kerajaan.

Tegasnya, cadangan itu juga tiada kena mengena dengan kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin tertentu.

"Jika kerajaan stabil semua urusan pasti berjalan lancar dan masalah negara dan rakyat dapat diselesaikan segera. Yakinlah, kerajaan yang stabil dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

"UMNO tidak pernah campur tangan dalam urusan melibatkan kes-kes mahkamah. Kes mahkamah diselesaikan melalui mahkamah untuk tentukan bersalah atau tidak,” katanya lapor Sinar Harian

-Anak Sungai Derhaka

Selasa, 21 Jun 2022

Suami dah bertunang? Ini reaksi Puteri Sarah

 

REAKSI ringkas Puteri Sarah berhubung dakwaan suaminya, Syamsul yang sudah bertunang dengan Ira Kazar.

PETALING JAYA – “Kalau betul, alhamdulillah, jangan lupa tanggungjawab kepada anak-anak”.

Demikian respons ringkas pelakon Puteri Sarah berhubung suaminya Syamsul Yusof yang didakwa sudah bertunang dengan seorang anak dramatis popular dikenali sebagai Ira Kazar.

Syamsul dan Ira Kazar sudah pun bertunang. Selamat bertunang Syamsul!,” tulis mesej yang dikirim seorang netizen kepada Puteri Sarah dalam Instagramnya.

Langsung tidak melatah apatah lagi terkejut, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, dilihat memberi reaksi dengan nada cukup positif.

“Terima kasih DM saya. Kalau betul, alhamdulillah. Jangan lupa tanggungjawab pada anak-anak,” tulisnya ringkas menerusi InstaStory.

Terdahulu, menerusi laporan sebuah portal sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan seorang pengarah dan pelakon terkenal bakal berkahwin dengan seorang wanita yang telah dikenali sejak empat tahun lalu dalam waktu terdekat.

Sebelum ini, pelakon drama Sabarlah Duhai Hati itu pernah mendedahkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Syamsul. Dia juga mendakwa suaminya itu tahu punca keretakan hubungan mereka sejak 2018.

Meskipun begitu sehingga kini, Syamsul yang juga pengarah filem Mat Kilau itu masih mengunci mulut berkenaan kemelut rumah tangganya yang didakwa ada orang ketiga.

Sementara bapanya, pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam sebelum ini memberitahu media bahawa beliau enggan masuk campur hal peribadi anaknya itu dan menyerahkan kepada Syamsul untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya sebaik mungkin.

Untuk rekod, Puteri Sarah berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5 dan Sumayyah yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Isnin, 20 Jun 2022

34 tahun kahwin, rupanya tak sah

 

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Melangsungkan perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan, segala syarat dan hukum perlu dipatuhi dengan betul agar perhubungan tersebut sah di sisi Islam.

Berbeza dengan situasi yang dialami satu pasangan apabila ‘perkahwinan’ yang dibina selama 34 tahun sebenarnya adalah tidak sah di sisi agama dan syarak.

Perkara tersebut didedahkan oleh pendakwah bebas @tokadi_hipster menerusi video yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini.

Menurut pendakwah tersebut, pada awalnya beliau didatangi oleh pasangan terbabit yang meluahkan hasrat untuk bernikah semula sambil tersipu-sipu malu.

Sehubungan itu, beliau turut menyoal sebab pasangan tersebut berbuat demikian.

“Kenapa nak nikah semula? dah pernah nikah? cerai?,” soalnya.

Namun, apa yang mengejutkan, pasangan tersebut memaklumkan selama 34 tahun hidup sebagai suami isteri sebenarnya perkahwinan mereka tidak sah gara-gara menggunakan khidmat wali bukan warganegara.

“Nikah kami yang dah 34 tahun ini hakim putuskan tak sah sebab dulu kami nikah guna wali hakim, dan wali hakim itu bukan orang Malaysia,” kongsi pasangan terbabit.

Pada masa sama, ‘si isteri’ mengakui bapa kandungnya masih hidup cuma tidak merestui perkahwinannya bersama pasangan pilihan sehingga bertindak menggunakan wali hakim.

Mendengar kepada pengakuan tersebut, pendakwah berkenaan turut berasa terkejut selain terkenang nasib anak-anak pasangan terbabit.

“Pak cik, mak cik, kalau nak kahwin buat la cara yang betul, ini sampai 34 tahun rupanya nikah tak sah, tak kesian dekat anak-anak? tolong lah jangan main-main bab wali ini,” pesannya.

Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi dan persoalan diberikan orang ramai berhubung situasi yang berlaku itu.

“Allah, kesian anak-anak, apakah status mereka? anak tak sah taraf? Bagaimana pula dengan nama mereka yang telah didaftarkan?,” soal seorang pengguna.

“Sebab itu penting ilmu agama, jangan buat keputusan ikut emosi tanpa akal, rujuk pada pakar sebelum ambil sebarang keputusan, beringatlah buat pasangan yang ingin kahwin nanti,” ujar pengguna lain. – KOSMO! ONLINE