Sabtu, 16 Oktober 2021

Anwar tak setuju elaun keraian RM12,320 sebulan, ubah suai pejabat

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan elaun ditawarkan kepadanya sebagai Ketua Pembangkang dan memutuskan untuk menyalurkannya ke dalam dana tabung rakyat miskin.

Emolumen yang ditolak oleh Anwar termasuk gaji bulanan dan elaun berjumlah RM33,560,20 serta beberapa elaun pakaian berjumlah RM 9,000 yang boleh dituntut setiap tiga tahun.

Butiran elaun adalah seperti berikut:

  • RM 14,907.20 sebulan untuk gaji bulanan
  • RM 12,320.00 sebulan untuk elaun keraian
  • RM 1,500.00 sebulan untuk bayaran khas
  • RM 4,000.00 sebulan untuk elaun rumah
  • RM 833.00 sebulan untuk elaun selenggara rumah
  • RM 6,000.00 untuk elaun pakaian panas (sekali dalam 3 tahun)
  • RM 1500.00 untuk elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam 3 tahun)
  • RM 1500.00 untuk elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam 3 tahun)
  • Sebuah kereta rasmi serta penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi

Beliau juga menegaskan kepada pihak Parlimen yang menyediakan pejabatnya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan

“Beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat saya terima sama sekali. Malah, saya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob telah menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar Ibrahim untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri.

Anwar berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengiktirafan kerajaan kerana bersetuju menambah baik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti yang selayaknya.

Namun, beliau menekankan bahawa pengiktirafan kepada Pejabat Ketua Pembangkang ini tidak bermaksud pihaknya akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.

“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala.

“Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi,” katanya.-FMT

0 comments:

Catat Ulasan