Kota Bharu: Hanya sempat menikmati satu perempat sahaja pulangan pelaburan sebelum menyedari diri diperdaya sebaik laman sesawang pelaburan sudah tidak boleh diakses.
Kerugian itu dialami seorang ahli perniagaan berusia 30-an yang membuat pelaburan melalui pembelian mata wang kripto sebanyak RM242,000 menerusi beberapa transaksi ke empat akaun bank.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa ditawarkan oleh kenalannya untuk menyertai satu skim pelaburan menggunakan mata wang kripto pada awal Oktober lalu yang kononnya menjanjikan pulangan satu peratus sehari mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.
"Dalam tempoh seminggu, mangsa membuat beberapa transaksi pelaburan berjumlah RM242,000 dengan membuat bayaran ke empat akaun bank milik individu lain untuk membeli mata wang kripto sebagai pelaburan melalui satu aplikasi yang dimuat turun melalui laman sesawang.
"Status pelaburan yang dibuat mangsa juga boleh dipantau melalui aplikasi e-wallet itu dan dalam tempoh kurang tiga minggu, mangsa berjaya membuat pengeluaran wang pulangan pelaburan berjumlah RM51,000 dengan membuat pindahan dari aplikasi pelaburan berkenaan ke akaun bank miliknya" katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, Shafien berkata, sehingga 18 Oktober lalu, mangsa dapati aplikasi telefon pintar serta laman sesawang pelaburan berkenaan sudah tidak lagi boleh dimasuki.
Katanya lagi, mangsa yang kerugian RM191,000 segera membuat laporan polis kerana mengesyaki dirinya ditipu.
"Kes kini dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun serta dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
"Kami ingin mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dalam membuat pelaburan secara dalam talian mahupun bersemuka dengan sentiasa membuat semakan menerusi pihak yang sewajarnya seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Antara langkah lain yang boleh diambil untuk mencegah diri dari menjadi mangsa penipuan atau scam adalah dengan memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar 'Check Scammers CCID' bagi membuat semakan nombor akaun bank dan nombor talian telefon yang digunakan sama ada pernah terbabit dengan kes jenayah komersial," katanya.
-myMetro
0 comments:
Catat Ulasan