Khamis, 21 Oktober 2021

Pandelela bongkar pengalaman diganggu bekas jurulatih gatal

 PANDELELA Rinong. FOTO Agensi

PANDELELA Rinong. FOTO Agensi

Kuala Lumpur: Isu gangguan seksual dan rogol kembali menular selepas ia menjadi perbualan hangat netizen membabitkan golongan artis ketika ini.

Tidak terkecuali perkara seperti itu turut dirasai oleh sebahagian atlet dan ia turut menarik perhatian ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang berkongsi pengalamannya apabila terpaksa berdepan dengan jurulatih yang sering membuat lawak lucah terhadap rakan atlet.

Atlet berusia 28 tahun itu dalam hantaran di laman sosial Twiternya menulis bahawa dia terpaksa berdiam diri atau terpaksa ketawa kerana takut terhadap jurulatih itu.

"Dulu saya ada seorang coach (jurulatih) yang suka buat lawak lucah. Saya buat diam je tak pun fake laugh (buat-buat ketawa) sebab takut dia.

"Pernah sekali tak tahan saya tegur dia tapi kena buli balik. Tujuh tahun kemudian dia buat kes rogol.

"Tapi paling sedih dalam tujuh tahun itu dia buat hal setiap tahun. Tapi kami atlet tak boleh buat apa sebab backup besar dia adalah head coach (ketua jurulatih) kami sendiri.

"Moral dari cerita ini adalah kita perlukan pemimpin yang baik, yang boleh menilai mana yang baik dan buruk.

"Bukannya menutup mata kesalahan yang dilakukan dan kepada mereka yang terbabit dalam kes seperti ini, tampillah bersuara. Biarpun suara kecil tetap penting sekiranya kita bersatu," tulis Pandelela di Twitter rasminya.

Bagaimanapun Pandelela berkata, golongan atlet ini sedikit bertuah apabila dilindungi oleh persatuan sukan yang mengambil berat isu membabitkan atlet mereka.

Status yang dimuat naik pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu turut mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan yang kini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludddin Abu Bakar.

Ciapan Pandelela itu mendapat lebih 14 ribu 'retweets' dan 16 ribu tanda suka selain dihujani pelbagai komen daripada netizen.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan