Ahad, 10 Oktober 2021

Penantian berakhir,PM umum rentas negeri dibenar mulai esok

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Seperti dijanjikan, kerajaan memberi kebenaran rentas negeri kepada individu lengkap vaksinasi bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu susulan kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.

"Mulai esok, bebaslah dan inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat selepas kerajaan sebelum ini terpaksa tegas dari segi pergerakan rentas negeri.

"Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang lama berpisah, melancong dan sebagainya," katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen dan platform media sosial Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Selain itu, Ismail Sabri mengingatkan Keluarga Malaysia supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan dalam usaha membantu negara bagi pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat.

Katanya, jika hal ini diambil mudah tidak mustahil penularan wabak akan kembali meningkat.

"Sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, rakyat disaran untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

"Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, saya nasihat tangguhkanlah dahulu perjalanan. Sekiranya didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.

Walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, katanya, pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan secara rawak mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama yang diberikan selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi Covid-19.

-myMetro

0 comments:

Catat Ulasan