Isnin, 11 Oktober 2021

Calon BEBAS Di PRN Melaka Akan Dibayar RM100,000?

MELAKA: Satu gerakan sedang dijalankan pihak tertentu untuk mencari individu profesional termasuk daripada ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertanding atas tiket calon Bebas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiap calon itu dikatakan dijanjikan habuan sebanyak RM100,000 jika bersetuju bertanding dan diletakkan di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gerakan itu yang sedang bergiat aktif itu sekadar menghubungi calon-calon yang telah dikenal pasti berpotensi dan ada pengaruh menerusi telefon bimbit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia menerima panggilan telefon daripada nombor telefon bimbit tidak dikenali dua hari lalu.

Menurutnya, lelaki berkenaan bertanyakan sama ada berminat atau tidak untuk bertanding atas tiket calon Bebas pada PRN nanti.

“Saya terkejut sebab lelaki itu tahu serba-serbi butiran tentang diri saya, pekerjaan dan kerjaya sebelum ini. Pada mulanya saya terdiam seketika apabila dia meminta persetujuan saya untuk bertanding atas tiket Bebas.

“Lebih mengejutkan saya ditawarkan bayaran sebanyak RM100,000 jika bersetuju. Saya cakap dengan dia secara berseloroh, bayaran RM100,000 sangat rendah. Kalau jadi calon, saya terpaksa berhenti kerja dan jika sekiranya kalah macam mana saya nak cari rezeki,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan memberitahu jika bersetuju, dia diletakkan bertanding di DUN Ayer Keroh.
“Saya tidak memberikan sebarang jawapan sehingga hari ini,” katanya lagi.

Jelas Ahmad, gerakan mencari calon Bebas itu nampak seperti ingin pecah undi memandangkan dia tinggal di Lorong Pandan tetapi disuruh bertanding di Ayer Keroh.

Secara logik tambahnya, jika bertanding untuk menang, sudah pasti dia akan diletakkan bertanding di kawasan yang berdekatan tempat tinggalnya dan masyarakat sekeliling mengenalinya.

“Ini tidak, duduk di tempat lain disuruhnya bertanding di kawasan lain. Nampak sangat gerakan ini sekadar nak pecah undi semata-mata,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

0 comments:

Catat Ulasan