“Saya Percaya Ada Kuasa Besar… Tapi Saya Tak Boleh Percaya Dia Tuhan Yang Baik.”
Oleh:Firdaus Wong Wai Hung
Seusai urusan di Mahkamah Sesyen Klang, saya terus bergegas ke Restoran Jom Claypot, Bukit Jelutong untuk bertemu dengan seorang pemuda. Dia telah menghubungi saya di Instagram pada Khamis lepas.
Ianya teramat penting sehingga saya meletakkan pertemuannya sebagai keutamaan. Untuk menjaga identiti mereka, saya namakan dia sebagai Hakim. Dia datang bertemu saya bersama adiknya, saya namakan sebagai Haris.
Ketika mereka duduk di hadapan saya, selepas berkenalan, saya mula bertanya.
“Apa yang saya boleh bantu hari ini?”
Hakim diam seketika. Wajahnya seperti orang yang terlalu banyak benda mahu diceritakan, tetapi tidak tahu dari mana mahu bermula.
“Saya tak tahu macam mana nak mula,” katanya perlahan.
Saya jawab, “Tak apa. Kita bukan di sini untuk menghukum. Kita berbincang. Hakikat bahawa Hakim mesej saya pun sudah satu tanda yang baik. Hakim boleh sahaja hidup diam-diam dan buat tidak tahu, tetapi Hakim tetap mesej. Itu tanda masih mencari.”
Perlahan-lahan, ceritanya keluar.
Hakim dilahirkan sebagai Muslim. Sejak umur sekitar 12 tahun, dia mula mempersoalkan Tuhan. Bukan kerana dia mahu melawan. Bukan kerana dia mahu menjadi “free thinker” untuk nampak hebat. Tetapi kerana hidupnya terlalu sakit.
Pada usia 9 tahun, katanya, dia pernah hampir dibunuh oleh ibunya sendiri.
Ketika dia menyebut perkara itu, saya dapat lihat suaranya berubah. Dia menjadi sebak. Airmatanya mula mengalir.
Ada luka yang belum sembuh. Ada kanak-kanak berusia 9 tahun yang masih hidup dalam tubuh lelaki berusia 29 tahun. Dia berkata lebih kurang begini,
“Kalau betul Tuhan itu ada, kenapa Dia biarkan budak umur 9 tahun lalui semua ini? Apa yang saya buat sampai saya kena macam ini?”
Dia pernah masuk agama Kristian. Pernah mencari di tempat lain. Tetapi soalan yang sama tetap tidak selesai. Kenapa dunia ini penuh penderitaan? Kenapa orang baik diuji? Kenapa Tuhan yang baik membiarkan benda buruk berlaku?
Sampai satu tahap, dia berkata satu ayat yang sangat berat.
“Saya boleh percaya ada kuasa yang lebih besar. Tapi saya tak boleh percaya Dia Tuhan yang baik.”
Saya pandang dia dan saya katakan, “Hakim, saya tak nampak awak sebagai ateis. Saya juga tak nampak awak sebagai agnostik. Awak percaya ada Tuhan. Cuma awak kecewa dengan Tuhan kerana ada soalan yang belum terjawab.”
Dia diam.
Saya teruskan berkongsi,
“Kadang-kadang manusia kecewa bukan kerana Tuhan mungkir janji, tetapi kerana kita meletakkan harapan kepada Tuhan berdasarkan apa yang kita sangka, bukan berdasarkan apa yang Tuhan sendiri beritahu.
Kita sangka kalau Tuhan itu baik, dunia ini mesti bebas sakit, bebas derita, bebas kehilangan, bebas pengkhianatan. Tetapi Allah tidak pernah kata dunia ini syurga. Allah beritahu dari awal, dunia ini tempat ujian. Akan ada takut. Akan ada kehilangan. Akan ada kematian. Akan ada luka yang manusia tidak faham ketika sedang melaluinya.”
Saya tanya dia,
“Hakim, umur 29 tahun. Awak tanya tadi, ‘apa salah aku sampai aku layak dapat semua ujian ini.’ Tetapi pernah tak Hakim tanya, apa amal kebaikan aku sampai aku layak dapat semua nikmat yang aku ada hari ini?”
Dia terdiam. Saya sambung,
“Kita biasanya cepat nampak apa yang kita kurang. Tapi kita jarang mengira apa yang Allah beri lebih daripada apa yang kita layak.”
Kemudian saya beri satu gambaran.
Kalau seseorang maki Hakim, hina Hakim, persoalkan Hakim, adakah Hakim masih mahu belanja dia makan?
Hakim membalas dengan cepat,
“Confirm tak lah.”
Saya tanya kenapa tak nak belanja? Sebab Hakim jahat ke?
Lalu Hakim membalas, “Bukan sebab saya jahat tetapi kenapa saya nak belanja seseorang yang maki hamun saya?”
Saya sambung analogi saya,
“Tetapi berapa kali Hakim marah kepada Allah, persoalkan Allah, bahkan membenci takdir Allah, namun Allah tetap beri Hakim semua nikmat ini? Nafas, mata, tangan, kaki, rezeki, peluang hidup, bahkan Allah tetap bagi nikmat & kemampuan untuk Hakim memaki hamun Allah. Bukankah itu juga tanda kebaikan Tuhan?
Malahan Hakim pasti setuju, walaupun dengan hakim memaki hamun Allah, nikmat yang Allah berikan kepada Hakim ini jauh lebih banyak dari mereka yang taat kepada Allah, jaga solatnya dan agamanya. Bukan kerana Allah benci Hakim atau mereka tetapi ujian setiap manusia berbeza.”
Pada waktu itu, Hakim menutup kedua matanya sekali lagi. Kali ini airmatanya bercucuran turun membasahi wajahnya.
Dia cuba tahan, tetapi ada benda yang tidak mampu lagi ditahan. Lelaki biasanya susah menangis depan orang. Kalau seorang lelaki menangis ketika bercerita, biasanya luka itu bukan kecil.
Saya tidak cepat-cepat potong. Ada masa orang datang bukan kerana mahu dibelasah dengan hukum. Ada masa dia datang kerana dia sudah terlalu lama sesak dan perlukan seseorang mendengar sebelum memberi jawapan. Dia tanya lagi,
“Kalau Allah Maha Mengetahui, kalau Dia sudah tahu saya akan jadi begini, adakah saya dicipta hanya untuk masuk neraka?”
Saya jawab,
“Allah Maha Mengetahui, tetapi Allah juga Maha Adil. Allah tidak menghukum manusia atas perkara yang dia tidak boleh pilih. Kita tidak pilih siapa ibu bapa kita. Kita tidak pilih bangsa kita. Kita tidak pilih bila kita lahir. Kita tidak pilih bila kita mati. Tetapi dalam hidup, banyak benda Allah beri kita pilihan.”
Saya kata kepadanya,
“Allah tidak mencipta manusia untuk dihumban ke neraka. Allah tunjuk jalan. Allah ajak manusia ke syurga dalam Surah Yunus 10:25. Tetapi manusia tetap ada pilihan untuk ikut atau menolak.
Saya beri contoh mudah. Kalau kerajaan sudah bina jalan yang betul, tetapi kita sengaja melawan arus kemudian kemalangan, bolehkah kita salahkan kerajaan kerana membina jalan?”
Dia mula mengangguk.
Perlahan-lahan wajahnya berubah. Bukan terus selesai semua luka hidupnya, tetapi saya nampak beban yang dia pikul mula sedikit ringan. Kadang-kadang satu jawapan tidak menghapuskan semua kesakitan, tetapi ia boleh membuka tingkap kecil untuk cahaya masuk semula.
Saya juga beritahu dia,
“Hakim, soalan awak bukan tanda awak jahat. Nabi Ibrahim Alaihi Salam pernah bertanya kepada Allah dalam Surah Al-Baqarah 2:260 bagaimana Allah menghidupkan yang mati. Malaikat juga pernah bertanya apabila Allah mahu mencipta manusia sebagai khalifah. Bezanya, ada orang bertanya untuk menolak. Ada orang bertanya kerana mahu faham. Awak tanya ini kerana mahu faham.”
Akhirnya dia bertanya, “Jadi orang macam saya perlu syahadah balik?”
Saya jawab, “Awak bukannya murtad. Hakim hanya seorang manusia yang kecewa dengan Tuhan bukan kerana Tuhan memungkiri janji tetapi Hakim meletakkan ‘expectations’ yang tidak pernah Allah janjikan. Tiada salah untuk awak bersyadah kembali. Lafaz syahadah semula. Kemudian mandi wajib. Bertaubat. Mudah. Islam ini bukan agama yang mahu menyusahkan orang yang mahu kembali.”
Saya jelaskan, berdasarkan apa yang dia ceritakan, dia bukan datang sebagai orang yang memusuhi Tuhan. Dia datang sebagai orang yang keliru, kecewa dan mahu mencari jawapan. Jangan buka pintu was-was yang tidak perlu. Yang penting, selepas ini pandang ke depan.
Sebelum berakhir, saya nasihatkan dia belajar semula tentang Allah. Bukan mula dengan isu yang terlalu berat dahulu. Mula dengan mengenal siapa Allah melalui Asmaul Husna. Kenal Allah sebagai Ar-Rahman, Ar-Rahim, At-Tawwab, Al-Hakim, As-Syakur. Bila kita salah faham siapa Allah, kita akan salah faham cara Allah mengatur hidup kita.
Petang semalam bukan sekadar perbualan agama. Ia pertemuan dengan seorang manusia yang sejak kecil membawa luka, lalu menyangka luka itu bukti bahawa Tuhan tidak baik.
Sedangkan mungkin selama ini, dalam setiap luka itu, Allah masih memegangnya daripada jatuh lebih jauh.
Saya terfikir, berapa ramai lagi orang seperti Hakim di luar sana?
Mereka bukan jahat. Mereka bukan semestinya menolak agama. Mereka cuma kecewa, keliru, terluka dan tidak tahu kepada siapa mahu bertanya tanpa terus dihukum.
Kadang-kadang orang yang bertanya tentang Tuhan bukan mahu meninggalkan Tuhan. Dia sebenarnya sedang mencari jalan untuk kembali kepada Tuhan.
Anda juga seperti Hakim? Hubungi MRM di wasap.my/601110500414 untuk kami bantu anda kembali mengenali & mencintai Allah yang selama ini mencintai kamu.
Jadilah Penyokong MRM
MAYBANK
Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor
5648 1052 0353














